Wednesday, November 6, 2019

Tak tahu

Hari ini, ada mesyuarat pertemuan antara bekas pekerja dan bekas majikan.
Aku tak tahu akan murung atau tidak dalam tempoh terdekat ini.
Aku tak tahu banyak perkara yang bakal aku tak tahu kelak.
Tapi hari ini, aku tidak datang dengan rasa tegang, marah atau tertekan.
Aku datang membawa rasa insaf dan muhasabah diri. 
Minggu ini dan minggu lalu, 
aku lebih banyak memerhati dan berfikir.
Ah, ada banyak cara orang bertanya khabar.

Thursday, October 10, 2019

Tragedi Oktober

Semalam, kurang dalam tempoh lapan jam, secara rasmi, menerusi sekeping kertas, syarikat tempatku mencari rezeki, menutup rapat pintunya untuk aku dan lebih 800++ kakitangannya.

Khabar yang dibawa angin mengenai penutupan sudah berterbangan sejak beberapa hari lalu dan kian kencang pada 8 Oktober sebelum menjadi kisah nyata keesokan.

Suara esakan kecil beberapa rakan sedikit sebanyak mencuit emosi. Tapi aku tidak rasa ingin menangis atau terlalu sedih. Aku cuma ingin cepat berkemas dan balik tidur. Mungkin kerana fizikal dan fikiran yang begitu lelah dengan bebanan kerja yang bertambah setelah separuh dari kakitangan menyambut tawaran VSS syarikat tahun lalu.

Aku masih pergi assignment di The Garden, Mid Valley pada pagi 8 Oktober. Fikiran begitu bercelaru. Sesat beberapa kali, sehinggakan akhirnya parking kereta di stesen Abdullah Hukum dan naik LRT (itupun terlepas stesen dan naik Grab pula  ke lokasi). Kali pertama jadi sekacau itu. Walhal sudah selalu ke situ.

Sampai saja terus duduk dan tangan terus menyalin segala butiran maklumat dan kata-kata yang dicurahkan. Usai tugasan, minum kopi dan makan sambil berbual lama dengan wajah-wajah biasa yang selalu ditemui di lapangan.  Pulangnya tumpang kereta Kak R ke stesen LRT.

Petangnya, keluar dari pejabat agak awal (pukul 6.30 petang dikira awal bagiku kerana biasanya balik selepas Mahgrib atau Isyak) berkumpul  di Restoran W dengan dengan 8-10 orang lagi meraikan officemate yang resign dan sudah dapat tawaran kerja baru.

Lucu. Rupa-rupanya kami semua yang meraikan rakan tersebut secara berjemaah pula hilang kerja pada keesokan harinya.

Mudahnya semuanya berakhir begitu sahaja untuk sebuah perusahaan yang baru menyambut ulang tahunnya ke-80. Aneh jika difikirkan.

Mujur semua bahan rencana yang kukira penting dan dikerjakan bermati-matian sebelum itu sempat disiarkan. 
Pendek kata, tidak gembira tetapi lega. 

Juga rasa sedikit bimbang. Bagai separuh diriku bagai ikut menghilang entah ke mana.

Adakah aku akan berpeluang lagi menjadi wartawan di tempat lain?

Entah kenapa terdetik juga rasa lega kerana aku mengakhirinya kerjaya ini tanpa menyebakan kerugian duit ringgit etc, disaman, terbunuh, menjerit marah-marah, memukul sesiapa, mencemar imej dan reputasi individu etc

Kerana laporan/penulisan akhbar boleh menaikkan seseorang boleh juga jadi sebaliknya.

Ah benar bagai nukilan kata Pak Samad dalam naskhah Hujan Pagi. "Wartawan jati jarang makan gaji tanpa makan hati".

Heh, kerja apapun, kebanyakannya sama saja. Kadangkala menyenangkan. Ada ketikanya menyebalkan. 





Nota untuk diri sendiri:
Dalam tempoh lebih tujuh tahun bekerja dalam bidang ini aku pernah terlibat dalam lapan kemalangan (empat semasa menunggang scooter dan empat lagi ketika memandu kereta). 












Sunday, October 6, 2019

Hujan di hatiku

Walaupun hari ini off, pukul 8 pagi aku sudah sampai di pejabat. Mahu bereskan/kemaskan artikel untuk siaran lusa (Selasa).

Artikel tiga muka surat itu harus siap & lengkap sehari sebelum tarikh cetak (Isnin)

Biasanya editor akan baca dan turunkan tandatangan (tanda bahan yang dihantar sudah lulus) pada sebelah malamnya. 

Kira-kira 1 jam 30 minit kemudian aku buru-buru ke kuliah di Masjid W.

Sampai sahaja kerusi yang disusun dalam dewan masjid sudah penuh. Alhamdulillah ramai yang hadir memakmurkan rumah-Nya.

Aku duduk bersila belakang merapat terus di ceruk dinding.

Di barisan hadapan  duduk pula rombongan anak-anak yatim. Terhibur sejenak melihat gelagat dan wajah naif mereka.

Kuliah dimulakan dengan selawat, qasidah Ya Robbi Solli dan bacaan al-Quran (Inna Fatahna).

Setelah itu penyampaian tausiyah diselangi qasidah yang indah seperti Assalamu’alaik, Muhammad Nabina, Mudhoriyyah dan Sollu ‘ala Khairil Anam.

Suara penceramah jelas. Tutur bicaranya tersusun rapi. Wajahnya aku tak nampak. Terlindung di sebalik pentas dan kepala jemaah yang memenuhi saf lebih hadapan.

Baru bahagian mukadimah mataku sudah basah. Aduh awal-awal sudah menangis. Menangis tanpa suara.

Kenapa agaknya? Getus kotak fikirku tertanya sendiri.

Adakah benar aku rindu pada Rasulullah SAW yang menjadi topik utama kuliah hari itu?

Mungkin barangkali teringat orang tua. Sudah lebih seminggu tidak telefon bertanya khabar.

Atau mungkin terkenang kerja di pejabat yang masih belum lunas. 

Barangkali juga terkenang hidup yang jarang sunyi dilambung ombak kehidupan.

Harap tiada sesiapa tengok. Kesat air mata dengan sapu tangan. Letak  sapu tangan atas lantai beralaskan karpet berwarna merah.

Tiba-tiba ada botol air (mungkin tak ditutup dengan baik) terbalik lalu tumpah di atas sapu tangan. Jadi agak lencun. Siapa pemiliknya aku tidak pasti.

Sapu tangan sama diguna pula mengelap air mata. Ah dramatik. Lucu pun ya juga.

Habis kuliah segera bingkas bangun. Lalu di hadapan  kumpulan anak yatim, beberapa orang daripada mereka cepat menghulur tangan.

Tanganku dikucup atau diletak di dahi. Terasa tua pula. Sama-sama mengukir senyum.




Sunday, March 31, 2019

Belajar senyum

Senyum adalah cara paling mudah untuk hilangkan rasa geruh.
Biarkan gundahmu larut dengan garisan senyum yang paling lebar dan tulus,
dan jadikan senyum itu untuk dirimu sendiri saat kau berasa tidak berdaya melakukan apa-apa.

Kata Kuntowijaya "Tersenyumlah. Bahkan sesaat sebelum orang datang membunuhmu".

kata-kata ringkas untuk hari ini

am, jangan berhenti kerja. hari yang buruk akan berlalu hari yang baik akan datang lagi.