Tuesday, August 31, 2021

Hantar surat resign


Tengah hari semalam aku pergi ke sebuah kedai buku untuk print surat resign. Kali kedua aku print surat resign di kedai tersebut yang entah berapa kali disunting dan ditukar tarikh sebelum itu.

Pukul 4.20 petang semalam aku sudah sampai ke pejabat untuk memulakan syif bertugas pukul 5 petang.  Tujuan aku masuk awal untuk claim honorarium untuk dua artikel iklan client yang selamat disiarkan pada bulan ini.

Aku duduk di bahagian belakang berbual-bual dengan rakan-rakan di meja hiburan sambil asah bakat 'loyar buruk' aku yang sudah lama berkarat sebab sudah agak lama tidak bercampur gaul dengan mereka.

Tepat pukul 5 petang aku bergerak menuju ke stesen oc dan memulakan tugas aku pada petang tersebut mengendalikan web dan platform media sosial akhbar X.

Pukul 6.34 petang, aku hantar mesej WhatsApp kepada bos nombor 1 akhbar X untuk minta izin bercakap sebentar. Selepas dapat lampu hijau, aku bawa sekeping fail plastik yang di dalamnya ada sampul berisi surat resign.

Aku: Assalamualaikum bos, maaf bos ganggu saya ada perkara nak beritahu
Bos: Ada apa tu?
Aku: Maaf bos. Saya nak resign bos.
Bos: Laaa kenapa tu. Awak tak suka kita semua ke? Kita tak okey ke awak?  
Aku: Eh tak bos. Semua okey dan baik-baik belaka bos. Cuma saya nak balik kampung bos, teman mak saya. Mak saya tinggal seorang dekat rumah kampung nun. 
Bos: Tapi masa depan awak macam mana? Awak kena fikir juga tu.
Aku: Kerja insya-Allah ada banyak. Tapi mak cuma ada seorang bos.
Bos: (terdiam seketika) tak apa hari Rabu kita jumpa dan sembang semula ya (sambil pulang balik surat aku).
Aku: Tak apa bos. Bos simpan dulu surat itu. Jangan risau tempohnya sebulan dari tarikh terima. Saya rasa lega sangat bila sudah bagi surat itu. Minta diri dulu bos terima kasih banyak-banyak.

Aku pun berjalan ke tempat aku semula. Tiba-tiba seorang dari editor kata, wah hantar proposal. Untunglah ada proposal. Aku hanya ketawa di sebalik facemask. Fail yang aku bawa ke bilik bos itu disangka proposal rupanya. Elok juga begitu dan aku terus hanyut dengan kerja-kerja aku.



Monday, August 30, 2021

Rangkuman 4 hari

25 Ogos 2021

Hari ini waktu mula bekerja pukul 12 tengah hari. Tetapi pukul 9.08 pagi dapat arahan melalui aplikasi WhatsApp untuk proses satu story seorang pemimpin parti X yang sedang berada di hospital.

Kira-kira 25 minit kemudian dapat satu lagi arahan untuk temubual tujuh beradik yang kematian ibu akibat Covid-19.

Call tak jawab. WhatsApp satu tick sahaja. Scroll FB arwah rasanya macam mereka tinggal di Bandar Tun Hussein Onn.

Pukul 11.19 pagi aku hantar satu lagi story mengenai Sekretariat S yang buat himpunan nyalaan lilin di Dataran Merdeka minggu lepas sudah dapat kumpul dana untuk bayar kompaun dan dana guaman.

Berbalik kepada arahan editor bertugas  aku dapat juga alamatnya dari seorang seller yang pernah COD kek dekat rumah arwah. Pukul 12.28 tengah hari dapat alamat. 

Mandi sekali lagi. Bersiap ala kadar dan gerak ke kereta. Aku call sekali lagi anak arwah untuk tanya sama ada mereka sedia menerima tetamu. Katanya boleh datang pukul 2 petang.

Aku terus gerak sampai dalam pukul 1.20 tengah hari. Kemudian aku pusing-pusing cari ATM sebab dalam dompet ada RM20 sahaja. Seorang editor transfer RM100 dan aku tambah RM50. 

Aku fikir, mungkin lepas keluar ceritanya esok lebih ramai yang bantu. Aku sampai di flat tempat mereka pukul 1.58 tengah hari. Kemudian naik tangga, nampak seorang lelaki berusia 40-an sedang jemur beberapa keping karpet.

Aku bagi salam. Katanya dia sahabat dan jiran kepada arwah dan jemput masuk. Kemudian anak sulung arwah datang. Aku sembang santai minta adik tu flashback momen dengan emak dia buat kali terakhir.

Apa yang paling dia rindu. Rutin emak dia setiap hari. Apa yang mak dia selalu pesan. Adik tu jawab sepatah-sepatah saja. Sebab pakai face mask susah nak baca air muka dia. 

Aku berulang kali minta maaf kalau soalan-soalan aku buat dia lagi sedih.Tapi jiran dia memang bagus. Banyak dia tahu mengenai keluarga tu.

Arwah pernah berkahwin dua kali. Anak bersama suami pertama ada lima orang (10 hingga 18 tahun) manakala suami kedua ada dua orang (3 dan 6 tahun). Kelu dan sedih bercampur baur. 

Aku tidak sentuh langsung perkara itu dalam artikel aku. Aku cuma tulis arwah merupakan seorang ibu tunggal. Moga arwah bahagia di dunia lagi satu.

Sesi interview itu berlangsung kira-kira 40 minitLepas photographer datang baru aku minta adik-adik yang lain keluar untuk snap gambar sekeping dua. Seorang adik berusia 10 tahun lagi tidur. Teringat aku semasa kecil jika ada orang datang aku akan naik rumah atas dan tidur. 

Lepas itu kami gerak. Pukul 5.30 petang begitu aku sudah siap karang story. Tapi editor kata masukkan dalam folder esok sebab tiada kami sahaja yang cover kisah family tu. Jadi story tu akan disiarkan pada 27 Ogos.

Setiap hari ada sahaja kisah anak-anak menjadi yatim atau yatim piatu apabila ibu atau bapa atau kedua-dua orang tua mereka meninggal dunia akibat Covid-19. 

Pergi hospital lepas tu tak balik-balik lagi ke rumah. Tak ubah macam lagi K-Clique yang berjudul Mimpi tu. Pahit sekali mengenangkan. Al-Fatihah buat yang telah pergi. 


26 Ogos 2021

Hari ini aku ditugaskan update ramalan cuaca pagi, petang dan malam. Seawal pukul 7.38 pagi aku sudah hantar ramalan cuaca untuk pagi.

Pukul 8.52 pagi aku buat tulis update kisah seorang pelakon yang tengah struggle jaga keluarga yang kena kuarantin di rumah dengan ibu yang bedridden yang perlu dicuci luka dan ditukar lampin dan disuap makan.

Sedih betul kisah dia. Sudah burnout. Aku yang cuma jaga diri sendiri pun macam sudah kehabisan bateri. Pandemik ini buat semua orang letih.  

Kisah-kisah sedih dan meruntun hati begini dapat ribuan reaction di media sosial platform akhbar kami dan menyumbang page view di laman web yang tinggi. Situasi sama juga di portal-portal berita lain.

Adakah frasa 'menunggang' berita sedih untuk tarik view agak keterlaluan? Entahlah. Apa yang pasti, aku tidak selesa sekali menggunakan perkataan 'menunggang' itu. Barangkali kami hanya membuat kerja kami iaitu melapor dan menghebahkan.

Jauh di sudut hati, aku rasa tidak best juga memikirkan perkara ini. Tetapi itulah hakikat kehidupan. Apa yang terjadi saling berhubung dan berkait.

27 Ogos 2021

Buat update laporan cuaca dan cari story viral lagi. Hari ini story tujuh beradik disiarkan di page 2. Ada yang WhatsApp aku untuk menyumbang. Tapi rupa-rupanya mereka tiada nombor akaun. Macam aku hendak pergi ambil kakaknya yang sulungnya untuk buat akaun tapi aku sibuk sekali seperti kelaziman.

Hari ini aku hantar 10 story total dan ada beberapa yang dapat page view tinggi dan satu daripadanya duduk di kedudukan pertama untuk story yang paling ramai orang klik pada hari tersebut.

Kalau zaman stringer dulu dapat buat 10 story begini tentu sudah berkepuk-kepuk aku punya claim

28 Ogos 2021

Hari ini ada cover seminar kesihatan mental dan ketagihan. Menarik seminar tu. Ada pc dan cuma ada dua soalan yang dapat dijawab dengan jawapannya yang tidak begitu solid sebab tiada figure yang menyokong sayang sungguh.

Pukul 12 editor sudah tanya apa yang menarik. Seminar itu ada tiga hari. Aku fikir kalau Covid-19 tidak ada dan aku di meja rencana, seminar tu mungkin dibuat di dewan kuliah atau hotel ke dan aku akan stay sampai petang tunggu slot yang menarik dan dapat tulis lebih terperinci lagi.

Seronoknya kalau jumpa kawan-kawan yang sekepala dapat makan bihun teh tarik (atau apa-apa sahaja) dan pergi jumpa terus speaker yang bentang kertas untuk dapat penjelasan dan input yang lebih menarik.

Aku hanya hantar story seminar itu sahaja dan satu story DG petang. Tamatlah hari terakhir bekerja pada minggu ini.


29 Ogos 2021

Dua housemate yang merupakan student master sudah balik kampung. Seorang di Kuala Kangsar. Seorang lagi JB. Satu lagi housemate pergi trip hiking 31 Ogos baru balik. Indahnya hidup masing-masing.

Aku masak nasi lauk sup sayur ayam dan tauhu bergedil lepas itu tidur sepanjang petang. Pukul 4 petang editor rencana tanya artikel aku sudah siap atau belum. Aku memang suka tulis rencana tetapi kerja di newsdeks boleh tahan juga tak habis-habis.

Esok insya-Allah sekali lagi aku akan buat percubaan hantar surat resign. Aku rasa bagus juga kalau dapat resign masa performance aku tengah bagus (aku andaikan aku perform berdasarkan jumlah story yang aku hantar untuk edisi print dan web).

Aku fikir dalam keadaan produktif yang maksimum lebih baik aku pergi. Aku tidak tahu kenapa aku fikir begini. Cuma aku rasa kena stop dari semua kekalutan ini dan berada dekat dengan keluarga aku pada masa ini.

Aku call emak aku dan aku katakan pada anak buah aku, Umar nanti Alang balik kita pasang kolam dan main air puas-puas. Maafkan Alang ya. Kerap sangat Alang janji palsu. Asyik kata nak balik pasang kolam tu tapi sampai ke sudah tak balik-balik.

Kak Ngah beritahu, satu malam si anak buahku, Adib berleter. Katanya, mamalah ni suruh Alang pergi kerja. Sekarang tengok, langsung Alang pergi tak balik dah. 



















Tuesday, August 17, 2021

Kebenaran yang pahit

Hari ini sepatutnya syif aku bermula pukul 5 petang sebagai OC petang. Tetapi seawal pukul 8.08 pagi sudah masuk arahan dari seorang editor melalui aplikasi WhatsApp menyuruh aku menghantar satu dua story viral di medsos dan belum sempat aku hadam arahan tersebut masuk pula satu arahan yang meminta aku telefon satu orang susah di laman Facebook. 

Tetapi selang beberapa minit kemudian dia beritahu semula yang aku tak perlu telefon individu berkenaan. Aku scroll medsos macam tiada apa yang menarik sangat jadi awal pagi itu aku pun bersiap ala kadar menapak ke pasar pagi berdekatan taman perumahan tempat aku tinggal. 

Lapang sedikit fikiran bila berjalan-jalan dalam kedamaian pagi dengan cahaya matahari bagaikan masih malu-malu untuk keluar dari lenanya hari itu. Pukul 11.58 pagi aku dapat satu lagi arahan untuk menghubungi penganalisis politik untuk minta dia ulas mengenai kedudukan kerajaan sekarang yang tiada cukup majoriti di Parlimen. Katanya buat tiga para online. 

Aku call Prof Z. Nasib baik dia cepat respons. Tapi susah sungguh hendak buat tiga perenggan saja hasil temubual itu kerana bukan senang hendak menjelaskan sesuatu perkara serumit itu secara ringkas. Ada dekat 30 minit juga aku sembang dengan Prof Z. Sebab takut silap fakta aku minta dia cek dulu tulisan itu.

Sementara menunggu Prof Z, editor tersebut suruh aku goreng dua lagi story untuk online dan satu daripadanya dapat page view yang tinggi di laman web dan komen yang banyak dari netizen dari medsos.  Pukul 3.55 petang Prof Z pulangkan semula artikel yang aku minta dia semak tadi dan aku terus hantar untuk online. 

Tapi bila aku masuk pejabat pukul 5 story tu tiada di laman web dan bila aku cek aku nampak story tu akan pakai di halaman 3 esok. Bila hari semakin petang, aku nampak ada seorang lagi kawan yang hantar story yang minta pandangan pakar mengenai isu yang hampir sama dengan arahan yang aku dapat cuma bila lain orang bercakap kandungannya tidaklah jadi begitu sama. 

Pada pandangan aku, berlaku pembaziran tenaga di situ. Sisi baiknya ulasan Prof Z agak bagus dan menarik. Tulisan tersebut dapat jumlah like dan komen yang agak tinggi di medsos. Sisi kurang baiknya aku rasa penat gila sebab sudah perah otak sejak pagi dan sambung syif 5 petang hingga 12 malam. Aku ingat ada dua kali masa aku cuti bos minta aku buat story. Memanglah kami bekerja dari rumah. Tapi perkara begini bukanlah satu budaya kerja yang baik dan dianggap sebagai satu kebiasaan walau apapun alasannya. 

Ah pahit sekali menyatakan yang benar dan berterus-terang. Aku jadi teringat kata-kata senior aku dulu bahawa susah sekali untuk berkata tidak jika ia melibatkan soal tugasan. Jadi wartawan bukan sekadar satu pekerjaan tetapi ia merupakan gaya hidup.





Wednesday, August 4, 2021

Kerajaan PN tumbang?

Semalam aku masuk pejabat syif pukul 4 petang hingga 12 malam sebagai oc petang. Sejak Julai lalu walaupun kes harian Covid-19 negara meledak lima digit, petugas sudah kembali ke pejabat dengan jumlah terhad. Pada hari tersebut ada 195 orang menemui ajal kerana Covid-19. Rekod kematian semasa hari ini pula 257 kes. 

Kira-kira pukul 6 petang terdengar beberapa NE sedikit berteriak "Kerajaan Tumbang" (tetapi tidaklah begitu kuat). Masa itu ada sidang live Presiden Parti U. 

Semacam deja vu. Awal Julai lalu situasi agak sama juga berlaku selepas TPM baharu dilantik. Kebetulan aku jadi oc petang dan duduk di tempat sama yang berdekatan NE, ANE dan ketua-ketua meja seperti kelaziman.

Aku tidak begitu ambil pusing. Aku bercakap kepada diriku sendiri, ah sembang sahaja kerajaan tumbang. Bos A belikan KFC untuk semua orang. Agaknya kerajaan akan betul-betul boleh tumbang agaknya esok. Tapi sejauh mana untungnya untuk marhean? 

Kerja aku sebagai oc masukkan story ke dalam web yang masuk tak berhenti-henti pada masa yang sama cari gambar yang sesuai, taip segala hashtag dan tulis kapsyen media sosial. Sepantas mungkin.

Tapi PV web agak rendah. Aku goreng dua story dan satu daripada lepas muat naik kurang 15 minit dapat hampir 100 likes dan dikongsi 12 kali. Satu lagi sejuk saja tiada sambutan.

Pukul 10.30pm gerak keluar dari pejabat dan sampai rumah pukul 11 malam sambung masukkan story game bola dan crime yang baru masuk. Standby sampai pukul 12.30pm dan kemudian mandi dan masukkan baju kotor dalam mesin basuh.

Aku tersenyum sendiri. Terasa lucu. Sebenarnya hari ini aku hendak tender surat resign. Aku sudah atur ayat dalam kepala apa yang perlu diperkatakan. Tetapi semuanya hilang dan lenyap ditelan kesibukan tugas di newsroom.

Aku cuba melelapkan mata. Keesokan harinya aku off day mahu hantar kereta untuk service. 

Bila aku mahu hantar surat peletakan jawatan? Biarlah masa menentukan. Mungkin minggu-minggu berikutnya atau bulan depan. Sebelum itu, sabarlah sehari lagi dan sehari lagi dan sehari lagi sampai sabar yang sudah lama menipis itu sampai ke tarikh luputnya.

Aku juga tidak tahu adakah keputusan resign adalah keputusan yang tepat dan baik untuk masa depan aku. Kerja lain belum tentu. Sahabatku L yang beberapa bulan lebih awal angkat kaki sudah berpesan kalau mahu resign apa-apa yang berlaku selepas itu kena redha. Jalan terus.



















kata-kata ringkas untuk hari ini

am, jangan berhenti kerja. hari yang buruk akan berlalu hari yang baik akan datang lagi.