Friday, July 10, 2026

Tentang rasa yang tidak kesampaian

Pada Mei lepas, aku bertemu seseorang
yang aku rasa ada suatu tempat yang istimewa 
di hati aku.
Ia bermula dengan urusan kerja, 
dengan beberapa soalan dan rasa hormat. 
dia kata dia orang biasa saja,
tiada kisah menarik,
tapi bagi aku dia orang paling tepat untuk melengkapkan naratif 
rencana yang aku tulis sebagai sumber terakhir.

Bagi aku, bahagian kisahnya paling menarik,
kalau tidak menarik, 
aku tidak akan ulang tonton berkali-kali podcast yang menjemputnya
sebagai tetamu untuk topik rencana tersebut.

Pada akhirnya 
dia yang jadi paling memudahkan urusan aku 
tanpa mengharapkan balasan.
menambah rasa dan rencah pada artikel aku
menjadikannya jauh lebih baik,
berbanding apa yang aku harapkan.
Kemudian, tanpa sedar, hadir pula 
pesan-pesan ringkas
dan kadang-kadang berbentuk doa,
yang dia dia tulis untuk aku.

Kemudian, dia mula menulis mesej 
lebih panjang
penuh emoji ceria dan kadang-kadang berbaur harapan,
dan 'hint' tentang rasa hatinya 
yang masih dia rasa ragu untuk meluahkan secara terus terang.
Pada waktu itu, semuanya terasa biasa. 
Aku membalas ringkas, 
sekadar cukup untuk menunjukkan aku membaca.

Pada masa sama, 
aku takut
jika aku memberi ruang terlalu besar 
kepada seseorang yang belum benar-benar aku kenal. 
Takut kalau akhirnya aku bertemu orang yang salah. 
Takut kalau segala yang indah itu hanyalah sangkaan.
walaupun ada masanya aku terasa ingin memeluk dirinya
apabila membaca status-statusnya
yang seakan-akan ditujukan untuk tatapan aku,
yang hanya akan dipadam selepas
aku melihatnya.

Tetapi akhir Mei dan memasuki Jun,
aku agak tenggelam dengan kerja,
aku tidak meladeni mesejnya betul-betul,
disebabkan assignment back to back,
cuti panjang Aidiladha,
aku tak sempat proses apa yang nak disampaikan,
alhasil, hubungan yang tidak pernah bermula itu
berakhir begitu saja
sekitar pertengahan Jun.

Tiada pergaduhan. Tiada kata putus. 
Tiada ucapan selamat tinggal. 
Dia berlalu pergi begitu saja kerana dua orang 
yang mungkin sama-sama ada rasa, 
tetapi tidak bergerak pada waktu yang sama.
Hanya jarak yang perlahan-lahan mengambil tempat 
sehingga yang tinggal hanyalah kenangan tentang 
seseorang yang pernah membuat aku rasa dihargai 
dan terasa indahnya hidup pada masa itu.

Sungguh aku rindu.
Pada dia yang bertanya khabar tanpa diminta 
dan membuat hari-hari biasa terasa 
sedikit lebih manis dan berbunga-bunga.
Meski aku pernah menyangka dia bukanlah seseorang 
yang akan menarik perhatian aku.
dia jauh lebih berusia dari aku, 
berwajah serius,
selalu typo,
(dan ada 1 @ 2 perkara tentang 
dia yang aku rasa tidak secocok dengan kriteria aku)
malah aku pernah terfikir, 
kalau benar ada apa-apa antara kami, 
aku mungkin akan berasa malu 
dengan pandangan orang.
Ya Allah teruknya diriku kerana fikir begitu.

Aku tidak tahu sama ada apa yang berlaku ini 
boleh dipanggil cinta.
Tapi aku terasa hilang sesuatu yang berharga.
bukan saja orangnya 
tapi kehilangan cerita yang tidak sempat ditulis,
kehilangan perbualan yang tidak sempat berlaku.
kehilangan masa depan yang hanya sempat singgah sebagai bayangan.

Kepada Abang A,
Saya mahu mengenang abang
sebagai satu bab yang pernah mengajar saya
bahawa perhatian yang ikhlas, 
walau sekejap
mampu meninggalkan kesan yang panjang
dan dalam pada hati.

Saya hanya berharap Allah SWT 
membalas segala kebaikan 
abang dengan kebahagiaan yang jauh lebih indah 
daripada apa yang pernah abang impikan.

Abang, saya minta maaf 
untuk semuanya yang terjadi,
Maaf kerana saya tidak menjadi orang yang lebih berani untuk membuka ruang.
Maaf kerana saya tidak menjadi seseorang 
yang mampu meninggalkan lebih banyak kenangan manis dalam hidup abang.

Jika atau kalaulah peluang 
pertemuan itu datang sekali lagi, 
saya tidak pasti saya benar-benar akan berani melangkah ke fasa yang lebih serius, 
mungkin alam percintaan.
Mungkin kita akan break up 
di pertengahan jalan. 
atau...barangkali juga, 
kita ada potensi ke jinjang pelamin, 
menyatu dalam akad nikah.
Tapi walau sekuat mana saya cuba memikirkannya, 
saya tetap berasa ragu
Adakah kita betul-betul sesuai untuk satu sama lain?
Adakah pertemuan kita sekadar ujian hati
dan perasaan?
Sebab, semua ini tak masuk akal buat saya abang.

Nota kecil untuk diri sendiri:
Selepas ini, jika aku melihat pasangan yang 
kelihatan tidak secocok pada pandangan mata manusia, 
yang kelihatan janggal atau sukar difahami, 
aku berjanji untuk tidak lagi cepat menilai.

Kerana aku sudah belajar satu perkara. 
Cinta kadangkala tidak mengikut logik. 
Ia tidak semestinya memilih berdasarkan usia, 
rupa, latar belakang atau apa yang orang lain fikir sesuai.

Kadangkala hati menemukan sesuatu yang 
tidak mampu dijelaskan oleh akal. 
Mungkin, di sebalik pasangan yang kita anggap pelik 
atau tidak sepadan itu ada cerita panjang 
tentang dua manusia yang saling memahami, 
saling menerima dan menemukan bahagia dengan cara mereka sendiri.
Kerana pada akhirnya, 
bukan mata orang lain yang menjalani sebuah hubungan 
tetapi dua hati yang memilih untuk terus bertahan.








Tentang rasa yang tidak kesampaian

Pada Mei lepas, aku bertemu seseorang yang aku rasa ada suatu tempat yang istimewa  di hati aku. Ia bermula dengan urusan kerja,  dengan beb...