Sunday, November 19, 2023

Tidak salah, tidak betul

Aku memilih tidak membalas atau memberi sebarang reaksi kerana mesej yang dihantar itu aku rasakan tidak berguna buat aku dan jawapan atau maklum balas aku juga, aku mengira tidak akan berguna dan penting buat mereka. 

Misalnya jika aku sekadar beri emoji tanda bagus sudah pasti akan menimbulkan tanda tanya lain pula. Manakala, jika aku balas dengan kata-kata ceria, menunjukkan aku baik-baik saja atau okay itu aku fikir tindakan itu hanya menipu diri sendiri sedangkan aku tidak gembira dengan apa yang telah berlaku. 

Tapi jika aku mengkespresikan perasaan sebenar, memberontak tidak semua orang boleh faham dan terima. Orang pun rasanya tidak ingin memujuk atau 'malas layan' agaknya kerana masing-masing pun ada hal atau urusan sendiri yang mahu diurus dan difikirkan.

Jadi secara peribadi, aku juga tidak mahu berpura-pura. Kalau marah, ya marah. Kalau fed-up, raikan saja rasanya. Kalau rasa mahu diam, membatu sahaja. Aku tidak kata tindakan aku terpaling betul atau mereka salah. 

Barangkali kami cuma self-love atau lebih selesa mendahulukan kepentingan dan rasa diri sendiri berbanding orang lain atau istilah berterus terangnya, selfish. Begitulah. 

Kesal

SATU
Beberapa hari ini jiwaku sedikit merusuh.
Puncanya aku ada daftar satu acara larian yang berlangsung semalam (Sabtu) dan hari ini (Ahad) di daerah dekat tempat kelahiranku. Slot larianku adalah pada hari Sabtu. 

Hari Jumaat usai kerja sekitar tengah hari aku bergegas balik kampung dan sampai sekitar pukul 3 petang. Rasa berkobar-kobar nak pergi lari. Tapi, entah kenapa, aku tak bangun masa mak aku kejutkan untuk pergi larian tu. Maka berlalulah satu hari di hari Sabtu yang bagi aku agak merugikan tanpa aktiviti yang begitu produktif dan tidak mengeluarkan peluh misalnya main beyblade dengan anak buah aku dan tidur petang berjam-jam.

DUA
Memandangkan jadual kerja aku boleh saja berubah sekelip mata (kecuali jika pergi ibadah haji / umrah atau bercuti luar negara atau keluar dari negeri P) maka aku tidak begitu terkejut apabila tiba-tiba Ketua Biro minta cover dua assignment pada pagi Ahad iaitu keesokan harinya yang sepatutnya aku off lagi sehari. Jadi hari ini pukul 6.30 pagi aku sudah gerak balik dan sampai ke lokasi tugasan pertama pada jam 8.10 pagi.

Berbalik pada tajuk entri ini, sejak beberapa hari sebelum itu, aku agak kecewa sebenarnya kerana tiada kawan sudi tukar slot Ahad mereka untuk berlari bersama-sama aku pada hari Sabtu. Terlintas juga di fikiran, alahai rupanya aku tiada seorang kawan pun yang sanggup berkorban dan penuhi permintaan yang bagi aku tidaklah begitu mustahil. Barangkali salah aku juga kerana tidak minta dengan cukup bersungguh-sungguh dan terus-terang. Ya hujung-hujung orang akan memilih apa yang lebih menguntungkan / memberi kepuasan / mengembirakan diri mereka terlebih dahulu. 

Ya salahku juga kerana bitter serta agak beremosi hingga pada akhirnya aku menjadi tidak bermotivasi untuk pergi acara itu. Mungkin aku sudah sering pergi larian seorang diri jadi kali ini aku tak rasa nak jadi lone ranger. Aku letih hadap fasa hidup seorang-seorang. Sunyi dalam riuh. Bungkam dalam ramai. Mereka tak perlu faham dan aku pula tak perlu jelaskan atau update apa-apa. Aku juga letih berkawan lewat mesej dan hantaran komen di media sosial. Jadual dan minat tak sepadan untuk bersua dan meluangkan masa bersama-sama. 

Jadi, aku terasa tidak mahu menempuh proses larian itu 'bersendirian'. Aku membayangkam aku akan ambil gambar orang paling tidak pun gambar kaki sendiri, medal post di status lepas tu dapat like dan komen. Ah sangat tidak seronok. Hal yang orang kata not a big deal. Hoi takkanlah itupun nak berkecil hati. Tapi itulah, kecil dan simple pada orang, boleh jadi besar dan rumit untuk seorang aku. Begitu juga sebaliknya. Besar dan sulit bagi sesetengah orang, boleh jadi remeh dan mudah saja bagi aku. Aku cuba cari buku / bahan bacaan yang mungkin judulnya Seni Untuk Tidak Merasa Apa-apa. Cara-cara Menjadi Tidak Perasa. Ah belum aku jumpa lagi, naskhah bertajuk sedemikian. Mungkin aku kena buat satu 🥸









Wednesday, November 15, 2023

Menunggu balasan jawapan

Aku tak pandai bab agama. Tapi, ada satu seorang editor di HQ rajin pula dia suruh aku tulis artikel agama sekurang-kurang satu atau dua kali sebulan. Aku ambil daripada sudut positif kerana ia sesuatu yang bagus untuk pengisian jiwa aku. Aku yang jahil ini pernah diminta handle kolum agama hari Sabtu masa bekerja di akhbar K selama kira-kira setahun. Ia susulan ramai dalam kalangan wartawan yang lebih senior dan berpengalaman ketika itu memilih mengambil VSS sebelum syarikat yang menaungi akhbar K gulung tikar pada 2019. 

Cuma semasa di KL contact aku lebih meluas dan banyak penganjuran majlis ilmu misalnya di UIAM, UKM, UPM banyak masjid yang aktif + tajuk kuliah ikut isu semasa / menarik perhatian jadi aku dapat idea menulis dan bahan / rujukan daripada pensyarah / penceramah jemputan di sana. Aku teringat pernah suatu ketika dahulu, berlaku kudeta di Turkiye. Dalam dua tiga hari ketika isu itu hangat dibincangkan sebuah masjid anjurkan sebuah forum menjemput seorang profesor yang bidang kepakaran beliau ada kaitan dengan perkara tersebut. Jadi, aku tanpa berlengah pergi forum tersebut dan berkesempatan  interview profesor berkenaan yang Alhamdulillah sangat-sangat membantu. Malah, tahun lalu 2022 aku ada contact profesor tersebut yang minta aku panggil dia Dr sahaja kerana sudah bersara untuk rencana topik Islamophobia isu bakar al-Quran di Denmark. 

Aku juga masih ingat, demi tulis artikel kedua panjangnya cuma lapan perenggan pun aku sanggup cari seorang mufti di tempat beliau dijemput kuliah. Aku sanggup tunggu beliau habis menyampaikan kuliah untuk tanya satu soalan yang simple saja. Tentang redha ibu bapa dan bagaimana berbakti kepada ibu bapa yang sudah meninggal dunia. Masa itu aku tulis rencana mengenai usahawan jutawan yang rapat sangat dengan parents dia aku tak tahu macam mana perbualan tu boleh pergi agak deep dia sebak bercerita, mata aku pula berkaca mendengar.

Berbanding di bandar P aku kurang maklumat kuliah-kuliah yang sesuai aku hadir pada masa sama menjadi platform untuk jumpa asatizah bersesuaian yang boleh bantu dalam penulisan aku. Jadi pada satu masa aku dah tak tahu nak cari /  tanya siapa dan aku cuba tidak mahu ulang sumber yang sama. Aku fikir ini juga berpunca daripada kelemahan diri aku sendiri yang tidak lagi begitu agresif mengejar sumber-sumber dan contact baharu. Juga ini disebabkan aku terikat dengan jadual coverage newsdaily
yang disusun ketua biro. Aku sebenarnya kurang suka jadual yang diberi ketua biro. Tetapi aku tak boleh cakap banyak sebab kalau ketua yang dilantik itu selalu dibantah, maka apa perlu dia duduk di kerusi itu. Jadi biarlah. Kalau aku rasa menarik, aku pergi. Kalau aku rasa tak berbaloi aku tak pergi. Prioriti aku ialah mengikut arahan bos di HQ. 

Jadi berbalik kepada tugasan terbaru yang aku dapat. Hari ini aku ada kirim dua soalan kepada Dr S dan dua soalan kepada Dr Z. Dr S reply jawab dia tak berani komen 😅 dan akan cari jawapan huhu. Dr Z pula tiada balas apa (hanya bluetick). Susah juga nak ulas soal agama. Lagi tinggi ilmu, lagi banyak yang sudah dipelajari, lagi hati-hati mereka nak keluarkan pandangan. Aku menyangka soalan aku direct dan tidaklah begitu rumit tapi rupanya (barangkali) 'berat' buat mereka.

Mungkin aku kena tukar tajuk lain. Tapi hari ini sudah Selasa. Aku ingat nak hantar petang Rabu atau pagi Khamis supaya editor dapat semak lebih awal (siaran Ahad) kerana Jumaat sudah mula sidang DUN. Aku harap Dr berdua tidak lupakan (soalan) aku. Ya Allah bantulah daku.

#braindump
#isikepala




Tuesday, November 14, 2023

Teman sekamar

Aku fikir dalam setahun kebelakangan ini, aku begitu terasa dihambat rasa sunyi.
Malas menjalani hidup dan rasa apa yang aku lalui setiap hari semakin tidak menarik. Jadi, masa mengelamun dan mengenang nasib yang ku anggap 'muram' dan 'suram' itu aku cuba tutup dengan menyibukkan diri pergi assignment atau cuba memikirkan dan menghasilkan story yang 'boleh dijual' atau  dengar sharing ilmiah /  kerohanian / podcast etc supaya aku tidak terasa begitu keseorangan.

Dalam situasi aku yang tiada kawan dengan jadual kerja yang tak menentu susah nak bergabung dengan adik beradik. Aku teringat suasana meriah rumah sewa di BTR dulu. Ada tujuh housemate banyak aktiviti kami buat bersama-sama macam mengaji al-Quran, solat berjemaah, shopping, beriadah, karaoke, derma darah etc. Jadi aku terkenangkan perkara itu dan ia sangat membantu aku semasa musim COVID-19 dulu. Aku suka energy mereka.

Jadi sekitar September lalu, aku ada pelawa seorang student Universiti D untuk tumpang bilik. Kami tidaklah kenal begitu rapat, cuma pernah berjumpa beberapa kali semasa dia buat part time di kedai Mi tahun lepas. Awalnya dia tanya, sama ada rumah yang aku sewa ada bilik kosong atau tidak dan dia ada mengadu juga bilik di bandar P mahal-mahal belaka ditambah pula deposit yang agak tinggi. Jadi aku katakan padanya, duduklah di bilik aku dulu sementara nak cari bilik yang sesuai. Tak payah bayar pun tidak mengapa. Aku jadi teringat, dia ada bercerita yang dia ada depression dan pernah bergantung kepada ubat-ubat. Jadi aku terasa ingin menolong dan jadi sistem sokongan untuk orang-orang sebegini.

Tetapi rupa-rupanya ia tak  mudah buat aku. Dia datang dan hampir tidak bawa barang-barang keperluan asas untuk tinggal menyewa. Macam baldi, penyangkut baju, sabun basuh baju, bantal, tilam / narita dan syampu. Agak menghairankan dia tak pula beritahu aku dia tak bawa / tiada barang-barang tersebut. Jujurnya, aku kurang gemar orang guna barang aku senyap-senyap. Sekurangnya-kurangnya beritahu, minta izin, "Alang aku tak bawa hanger, bolehkan jika nak pinjam beberapa"? sudah tentu aku akan jawab ya dan beri dengan senang hati.  

Tapi, aku mengaku silap sebab begitu mudah berjanji dan menawarkan sesuatu yang kalau kau sendiri tak pasti kesan-kesannya dan dengan siapa kau berjanji. Aku beli narita baru dan kipas angin sebab satu kipas macam susah pula nak bagi dia pusing supaya kena sama rata.

Apa yang aku perhatikan, dia juga kurang berkomunikasi. Meski sudah ditanya tak nak beritahu perancangan, tak bagi time frame. Nak duduk sebulan atau dua bulan? Sementara waktu atau bagaimana. Bila ditanya, hujung bulan akan update semula dan saya akan cari bilik lain (jadi aku andaikan selepas hampir sebulan dia macam tidak berminat nak beri komitmen untuk menyewa bilik aku. Tak nak berterus-terang dan berbincang-bincang kesulitan / masalah yang dihadapi. 

Jujurnya, aku mengharapkan teman sebilik yang dapat mengisi tangki emosi aku. Mungkin jadi support system aku juga. Aku pernah cerita dalam posting sebelum ini, yang aku ada beberapa simptom depression. Tapi aku sedaya upaya tak mahu pergi klinik psikiatri atau jumpa kaunselor kerana aku tak suka prosesnya apabila kita perlu ceritakan episod-episod atau 'sejarah' kisah lalu untuk cari tahu punca depression tu. Jadi aku terus bertahan jalankan fungsi aku meskipun banyak artikel terbengkalai atau langsung tak diproses walaupun ada aku sudah siap interview ambil gambar / video dan rancang nak buat sebab aku rasa ia tak menarik walau daripada sudut mana pun aku pandang dan teliti bahan-bahan tersebut.

Dia budak baik. Cuma aku tak banyak maklumat tentang diri dia. Jadi aku ada curi-curi baca buku catatan dia (huhu sorry dik aku hanya nak tahu isi kepala engkau sama ada engkau ada suicidal thoughts atau menunjukkan tanda-tanda engkau akan buat sesuatu yang tidak sepatutnya). Aku perasan dia selalu tulis nota pada waktu malam. Jadi aku cari buku itu dan baca untuk belajar memahami dirinya. Aku lega ia hanya buku catatan normal dan agak positif. Dia ada tulis kata-kata semangat supaya dia lebih bersemangat, rajin, baiki prestasi akademik supaya dia tak perlu mengulang lagi semester hadapan. Dia juga ada tulis harapan dia supaya dapat kawan semester ini. 

Cuma ada beberapa perkara tentang dia yang membuatkan aku rasa kurang senang dan sedikit sebanyak buat aku rasa terbeban. Perkara itu buat aku jadi terfikir-fikir betulkah tindakan aku membiarkan dia menumpang bilik aku untuk suatu tempoh yang aku sendiri tidak pasti. Aku rasa aku semakin tak mampu menjaga hati aku. Aku takut aku mengeluarkan kata-kata atau memberi ekspresi yang tidak sepatutnya atau menyinggung perasaan.

Tarikh 31 Oktober aku suatu petang masa kena sidai operasi Majlis X aku secara spontan taip mesej minta dia pindah pada minggu pertama November (kira-kira seminggu aku beri masa) memandangkan dia juga tidak menyatakan perancangan dia sama ada untuk sewa bilik aku untuk bulan-bulan berikutnya. Petang 31 Oktober itu bila aku sampai rumah dalam jam 6 petang, bilik sudah ditinggalkan dalam keadaan kemas dan rapi. Aku tidak menjangka dia akan pergi secepat itu. 

Dia hantar mesej, segala kunci rumah dan bilik dia tinggalkan di dalam kasut. Aku minta maaf pada dia atas segala salah dan silap. Aku tidak tahu sama ada tindakan aku betul atau tidak. Apa persepsi dan tanggapan dia terhadap aku. Adakah aku jadi watak antagoni Is dalam hidupnya bak kata orang putih We Are All Bad In Someone’s Story. Jadi ini antara persoalan yang berlegar-legar di fikiran. Adakah dia okay, atau bagaimana dia menerima perkara ini dalam hidupnya.

Tetapi dia pernah cerita dekat aku, kalau dia tak dapat bilik sewa yang sesuai dia  nak tinggal dengan family saja ulang-alik naik KTM sebab kelasnya hanya hari Isnin dan Jumaat. Jadi ini antara sebab yang aku pertimbangkan juga sebelum minta dia pindah keluar. Beberapa hari kemudian, aku tak nampak tengok gambar profil WhatsApp dia. Bagi pihak aku, aku tak delete nama dia dalam senarai contact

Cuma, selepas pemergian dia, kepala aku terasa ringan dan lapang. Jadi hujung-hujung aku terfikir, agaknya aku lebih sesuai hidup seorang diri walau ia terasa kelam dan sunyi kerana aku takut jika aku 'menyakiti' orang, atau orang 'menyakiti' aku. Mungkin aku lebih sesuai hidup seorang diri dan tak biarkan orang begitu dekat dengan diri aku.

Aku sekarang tiada kawan rapat. Dekat lokasi tugasan pun kebanyakan waktu buat story seorang diri. Kurang bersosial. Aku tak pasti sampai bila nak kerja reporter. Aku semakin tak selesa dengan orang ramai, aku sudah jemu jadi penyibuk dan tanya soalan-soalan yang aku sendiri tak berminat untuk ambil tahu. Tapi aku tanya supaya aku ada bahan untuk tulis. TUHAN, ku mohon kurniakan daku seorang penolong, teman dari sisi-Mu yang aku boleh faham dia dan dia boleh memahami diriku. Maafkan TUHAN untuk semuanya.

#braindump
#jalandewasa
#orangsunyi
















Thursday, November 9, 2023

Catatan random lewat status-status yang bakal hilang 24 jam

Malam tadi aku dan team (ada 10 orang) selamat menganjurkan sebuah event yang aku sifatkan agak berjaya.

Secara keseluruhan, majlis berjalan lancar. Aku kira lebih 90 peratus mereka yang hadir memberi maklum balas positif.

Cuma adalah satu dua, suara, cakap-cakap belakang yang ada antaranya dikongsi lewat status di media sosial.

Bagi aku, kita tak boleh kawal apa yang orang ingin tulis di status mereka / apa yang mereka rasa dan kesan / persepsi orang lain terhadap status tersebut.

Bagi diri aku selagi orang tak ajak kita gaduh atau terang-terang buat provokosi maka kita biarkan saja seperti angin lalu. Bincang pun tak guna perkara sudah lepas.

Lagipun kita bukannya menzalimi orang. Tetapi, lumrah manusia biasa. Tiada yang sempurna. Ada satu dua perkara terlepas pandang dan di luar kendali.

Hendak beri pandangan atau penjelasan, rasanya ia tidak akan mengubah apa yang telah terjadi. 

Aku percaya, ada masanya, pandangan yang berlegar-legar di dalam fikiran lebih bagus jika tak diluahkan. Lebih selamat, simpan untuk diri kita sahaja. Tak perlu beritahu sesiapa.

Macam apa yang aku tulis ini pun, kalau aku kongsi secara terbuka mungkin akan timbul andaian-andaian /salah faham atau pengertian yang lain pula.

Jadi cukuplah aku berkongsi rasa diam-diam di sini. Tak perlu semak beratus juta kali ayat yang dikeluarkan menyinggung perasaan atau tidak. 

Tak perlu fikir pemilihan perkataan, gramatis atau laras bahasa lembut terasa bagai angin sepoi-sepoi bahasa 

atau jangan-jangan kata-kata yang dianggap jujur dianggap seperti peluru berdas-das tembus ke jantung pula.

Begitulah.

kata-kata ringkas untuk hari ini

am, jangan berhenti kerja. hari yang buruk akan berlalu hari yang baik akan datang lagi.