Showing posts with label cerita repek hari-hari. Show all posts
Showing posts with label cerita repek hari-hari. Show all posts

Wednesday, September 18, 2024

Tenang dalam ribut - refleksi pewarta rojak

Semalam aku tidur pada jam 2 pagi (tapi kalau pukul 2 pagi bukankah sudah dikira sebagai hari ini, haha) selepas menggosok baju kemeja dan seluar yang akan aku pakai untuk liputan mahkamah pagi ini.

Sudah lama tak 'rajin' begini, gosok baju pada sebelah malam. Biasanya kalau ada tugasan pagi, masa itulah semua benda nak dibuat—pilih pakaian, cari stoking, dan sebagainya—sampai selalu kelam-kabut dan terkejar-kejar untuk keluar assignment.

Jadi, aku fikir, lebih baik malam ini aku bersiap-siap dulu—caj laptop, kemas sedikit bilik, dan pilih pakaian untuk esok—supaya pagi nanti tidak tergesa-gesa. A slow morning is the best start, right?

Aku rasa tak lama aku tidur, aku bermimpi mengeluarkan kereta dari tapak parkir yang macam kompleks perumahan bersambung dengan bangunan pasar. Masa itu dah lewat malam, hampir menganjak ke pagi.

Dalam suasana lampu jingga, situasinya macam baru balik tugasan malam dan perlu keluar dari situ sebelum pasar buka. Tapi aku memandu ke ruang yang salah; sepatutnya aku perlu mengundur untuk membelok keluar dari ruang parkir yang sempit, melalui depan pasar.

Aku sedar kesilapan selepas nampak kereta lain keluar melalui jalan tersebut. Laluan yang aku salah masuk itu berakhir dengan dinding dan ada pintu lif. Aku terjaga. Aku kata pada diri, "Mimpi apa ni, alahai. Tak bestnya rasa di hati."

Kelam dalam cahaya lampu remang, 'terkandas' pula di tempat parkir hampir dinihari.

Aku cuba melelapkan mata semula. Sebelum terjaga dalam mamai, bilik aku rasa tidak gelap pekat, tetapi macam ada cahaya putih berbalam-balam masuk dari tingkap. Adakah sudah masuk waktu Subuh? Aku tak dengar azan pula. Suasana di luar sunyi sepi. Mungkin itu cahaya bulan.

Mata aku berat, dan aku tidur semula. Kemudiannya aku bermimpi sekali lagi. Dalam mimpi itu, aku sedang berbual dengan Joon-Gi. Dia kelihatan macam memujuk aku dengan suara yang lirih dan rendah. Mungkin aku sedang marah atau merajuk, aku tak pasti (aww gedik).

Kemudian Joon-Gi menemaniku (atau aku yang menemaninya sebab aku tak tahu atau tak ingat kenapa aku berada di situ) masuk ke kawasan yang macam pasar lagi. Tetapi suasananya sedikit terasa berbunga-bunga sebab berjalan dengan Joon-Gi kan, haha.

Latar suasana mungkin masih pagi, sekitar pukul 8 pagi. Orang tak begitu ramai. Ia macam mimpi aku melihat diri sendiri dan tertanya-tanya, kenapa aku berjalan agak jauh dari Joon-Gi (agaknya kami sedang melayan fikiran masing-masing ketika itu).

Tak lama kemudian, Joon-Gi berundur dan mengajakku pulang. Aku pegang lengannya dengan tangan kiriku dan menahannya beredar. Tetapi dia tetap mengajakku berundur walhal tempat yang kami nak pergi itu sudah terlalu dekat, dan aku rasa ada sekumpulan orang sedang menunggu kami.

Jadi, sebelah lagi tangan kanan aku menggenggam tangannya lembut dan berkata, "Sudah dekat, jomlah alang-alang kita dah hampir sampai kan, janganlah balik dulu." Tapi aku mengalah bila lihat wajahnya suram dan sedih. Dia sungguh-sungguh tak mahu pergi ke tempat itu—macam trauma pun ada.

Aku memeluk dia (mungkin sebagai tanda ingin memberi semangat), dan dia membalas pelukan aku. Dalam mimpi itu, aku rasa aku ketinggian aku meningkat, hampir melepasi ketinggian Joon-Gi yang 178 sentimeter itu (aku baru Google tadi) hahaha.

Entah kenapa, secara spontan aku mengucup pipinya (apa yang miang dan gatal sangat ni, haha, atau bahasa lain yang lebih indah, romantis ke? Atau apa, weyh, nak describe perbuatan aku tu, haha).

Mata Joon-Gi berkaca, dan dengan linangan air mata, dia minta aku jangan pernah lagi mencium orang lain walaupun aku dibayar (dah kenapa pula begitu, kau pun berlakon ada adegan berciuman dan 'tugasan berbayar' kan pandangan jujur hahaha).

Joon-Gi dalam mimpi aku itu hanya pakai kasual, baju kotak-kotak merah lengan panjang. Lepas itu, kami naik kereta dan beredar dari situ.

Masa dalam perjalanan balik (entah ke mana destinasi hendak dituju itu), aku ada tengok macam album foto lama selain ada barang-barang comel yang disimpan dalam beberapa kotak dan kami berbual lagi (tapi tak tahu la berbual apa tak ubah macam aku tengok lakonan drama yang ada vibes ceria).

Aku terbangun dan bertanya pada diri, "Kenapa agaknya ya aku mimpi Joon-Gi versi melankolik dan macam agak rapuh gitu." sebab ramai mengenalinya sebagai seorang yang elegant sense of style. 

Sebab kan ada banyak lagi watak dia yang lebih cool atletik, tangkas bergaduh pakai sut macam Lawless Lawyer atau nampak lebih kuat macam dalam Moon Lovers: Scarlet Heart Ryeo atau alangkah lebih indah kalau dapat jumpa dia dalam versi lebih cantik seperti watak Gong-Gil dalam The King and The Clown.

Tetapi apa-apapun, selepas aku bingkas bangun dari tidur yang singkat itu, aku tanpa sedar tersenyum sendiri. Yalah, aku mimpi Joon-Gi, takkan tak rasa ada rasa senang di hati langsung, hahaha. Rasanya, mimpi indah sebegitu tidak akan berulang lagi. Ah, walau betapa indah mimpi itu, ia tetap mimpi kan. Tak kekal dan tak ubah bagai fatamorgana sahaja.

Sebenarnya, aku jarang mengikuti sangat pelakon K-Drama. Selalu tak tengok habis setiap episod, sebab sama ada bagi speed laju atau terus skip tengok episod tiga atau dua terakhir.

Aku terfikir, kalau aku berkesempatan jumpa Joon-Gi (mungkin dalam fans meet-and-greet session hahaha manalah tahu kan) adakah aku akan jerit panggil nama dia dan lambai-lambai dengan bersemangatnya? Tapi rasanya aku akan berdiam diri sahaja dan memerhatikannya dalam kerumunan ramai orang dari jauh. 

Tahun lepas, aku pernah dapat peluang interview Ella (ada lebih kurang 10 orang wartawan termasuk blogger) selepas konsertnya. Aku rasa hanya aku seorang reporter dari state, yang lain-lain adalah wartawan hiburan dari ibu kota.

Habis sesi temubual itu, kami dapat peluang bergambar seorang-seorang dengan ratu rock berhijab itu dan aku hanya snap sekali gambar (bukan selfie, ada kawan bantu ambilkan) dan aku dengan malu-malu kata, "Terima kasih, Kak El sebab sudi bergambar." (ada wartawan lain request buat video dan sebagainya untuk content media sosial mereka macam-macam korang ye).

Masa itu aku terfikir, "Group photo kan senang, kenapa semua nak ambil gambar seorang-seorang? Bukankah renyah dan meletihkan." Sungguh prihatin aku sebagai fan Ella, haha. Aku rasa dapat tengok dia dari jauh dari pentas masa konsert pun sudah cukup.

Mungkin aku tidak sesuai menjadi wartawan hiburan. Aku tengok, 'azab' juga ya kadang-kadang rakan dari meja hiburan nak korek story dan gosip, haha. Perlu ada skill tersendiri, dan rasanya aku mungkin akan agak 'terseksa' kalau ditempatkan di meja hiburan.

Sebenarnya, semasa bekerja untuk akhbar X di ibu kota, meja kerjaku (Meja Rencana) berjiran dengan ketua Meja Hiburan dan dialah antara panel yang interview aku, haha. Jadi aku memang gebang juga semasa interview itu; jika ditempatkan di meja manapun, aku mahu berjuang dan tidak kisah, walhal dalam hati, "Janganlah Meja Hiburan," haha. Apa khabar bos itu agaknya. Dia baik dan selalu bertegur sapa dengan aku. Ada masanya bila dia baca rencana yang aku tulis dia akan puji.

Tetapi hari ini aku menjadi reporter 'rojak'. Segala macam beat aku redah, dari berita am, human interest, politik, kes mahkamah, sukan, kadang-kadang bencana dan jenayah, rencana agama, kisah masyarakat, aduan, berita longkang, remeh-temeh, besar kecil, semua aku sauk saja selagi ada ruang dan peluang.

Berbalik kepada kisah sepanjang hari ini. Di mahkamah tadi, aku hadir bicara kes saman tiga pemimpin parti R terhadap seorang MP dari parti B. Agak plot twist bagi aku. Aku sampai jam 9.15 terus buka laptop dalam kamar mahkamah yang agak lapang hanya ada aku  seorang dari akhbar arus perdana seorang lagi portal.

Jadi, plot twist sungguh; R dan B yang menyaman dan disaman, tapi parti D pula dipanggil sebagai saksi. Menariknya, dua individu dari parti D itu adalah orang dalam Kabinet Kerajaan P. Jadi, selepas selesai, aku kembali menapak ke tempat sidang media DB, berpeluh juga di tengah hari yang agak panas itu.

Sidang media itu diadakan di sebuah dewan mesyuarat, dan ramai juga rakan-rakan yang membuat liputan. Ia bermula jam 12.15 tengah hari. Ada pembentangan mengenai beberapa isu, dan aku layan saja mendengar hingga pukul 1 lebih. Sesi soal jawab juga agak panjang (aku seronok bertanya soalan kerana topiknya menarik minat aku, dan aku rasa boleh 'jual' story tersebut, haha).

Selepas selesai PC itu, pegawai komunikasi jemput kami makan. Kami pun makan sambil berbual di bangunan tersebut. Selesai makan, aku pergi ke kereta untuk mengambil barang seorang kawan yang memang ada dalam keretaku, dan bercadang nak patah balik untuk proses story di tempat makan tadi kerana ada plug dan meja/kerusi.

Namun, selepas ambil barang itu, angin tiba-tiba bertukar kencang seolah-olah akan ribut. Disebabkan kawasan itu berdekatan laut, kami nampak ombak tinggi dan ada yang melimpah sampai ke jalan. Kawanku ambil video, dan masa itu ada ramai orang berlari mencari tempat perlindungan. Aku kembali masuk ke dalam bangunan.

Aku mula buat story DB, dan ada dua perkara yang boleh ditulis secara berasingan. Aku ingat aku siap mengarang story pertama kira-kira pukul 2.24 petang dan story kedua pukul 3.16 petang. Ketika itu hujan lebat disertai angin kencang di luar bangunan.

Selepas itu, aku sambung buat story court yang terbengkalai. Lama juga, aku ingat aku siap dalam pukul 4.48 petang dan hantar kepada kawan aku. Kawan aku kata dia belum proses itu kerana nak pastikan sama ada dua saksi dari Parti D akan datang esok (sebab aku jadikan itu sebagai intro). Tapi akhirnya kami dapat tahu kedua-duanya tak jadi datang, dan the defence closed their case. Keputusan akan dibuat pada 4 Disember (wah, ini macam kena tukar seluruh direction story).

4.51 petang, jurugambar call kata ada dua pelancong asing maut ditimpa pokok dan bangunan runtuh di Jalan G, jaraknya kira-kira 500 meter saja dari bangunan tempat aku berteduh tadi. Jadi, aku pergi ambil kereta dan terus gerak. Tapi, aku kena park jauh sebab jalan ditutup disebabkan insiden itu. Aku sampai sana kira-kira pukul 5.15 petang. Masa itu sudah ada beberapa kawan sampai, dan kami tunggu PC dari bomba.

Selepas PC, aku terpinga-pinga cari port buat story, sebab lokasi kejadian di tepi jalan yang sempit dan sesak. Memang tak nampak ada kedai makan, jadi aku berjalan kembali ke kereta dan siapkan story di sana. Aku hantar flash pukul 6.16 petang dan story penuh 12 perenggan pukul 6.39 petang. Lepas itu terus balik, dan aku sampai rumah pukul 7.30 malam.

Sebenarnya, aku terlupa terus yang aku kena rewrite semula story court sebab sampai saja di rumah, aku mandi dan solat Maghrib dan qada Zuhur dan Asar, dan sambung dengan Isyak, huhu (lemahnya iman seorang aku gara-gara kerja). Baru teringat bila kawanku dari portal tunjukkan artikelnya yang baru siap pada pukul 8.41 malam (dan siar pada pukul 9.55 malam).

Tapi aku sudah hilang minat nak menyiapkan story itu, banyak perkara kena check dan kena dengar rakaman semula sebab takut salah interpretasi dan jadi backfire bukan sahaja kepada pihak dituntut atau menuntut itu, tetapi kepada aku sendiri. Aku rasa story itu akan jadi bahan troll dan sensasi, dan silap-silap boleh jadi satu kontroversi baharu serta mendatangkan masalah.

Hari ini agak produktif juga dan mood aku baik, tidak begitu tertekan walaupun apa yang dirancang pada asalnya hanya nak pergi tugasan court sahaja pada sebelah pagi. Aku kena ekstra mempersiapkan diri pada musim cuaca buruk yang tidak menentu ini, yang mana semasa cuaca panas boleh bertukar ribut dan hujan lebat, selain fenomena air pasang besar pada ketika ini sebab kalau apa-apa terjadi, sudah tentu kami kena berkejar ke lokasi.

Panjang betul posting ini, haha. Banyak ketawa sendiri hari ini. Kerana tiada kawan untuk diajak ketawa dan deep talk.




Thursday, June 20, 2024

Teman sekamar

Beberapa bulan kebelakangan ini, 
aku kembali pada situasi di mana aku gamble 
memilih menyewa bilik berkongsi dengan stranger setelah kali terakhir melakukannya
sekadar beberapa bulan pada 2012 dan kurang tiga bulan pada tahun 2015 
iaitu semasa mula-mula berpindah ke negeri P dan kota L.
Masa itu kan, aku baru mula bertapak masih dalam fasa mengenal tempat baharu.

Berbalik kepada tajuk entri ini,
Ketika ini
sudah masuk bulan kedua aku berkongsi bilik yang sederhana besar di Taman D 
dengan S.
S berasal satu negeri dengan aku, seorang freshgraduate dan masih dalam peringkat probation 
di sebuah firma audit swasta.
Ketika entri ini ditulis, dia menegurku seriusnya menulis dan cuba menjenguk laptop
dan aku memusing komputer ribaku, dan menjerit, rahsiaa dan ketawa kami pecah
aku berharap aku tidak menyinggung perasaannya.

Jujurnya, aku senang dengan S 
dan agak menyukai sikapnya dan karakternya yang peramah, ceria
dan pandai membawa serta menyesuaikan diri dengan rakan serumah yang
pelbagai gaya dan rencam.
Aku rasa, seiring peningkatan usia, aku semakin takut tinggal bersendirian
Jadi kerana itu, rasanya tidak rugi jika aku mencuba nasib tinggal di bilik kongsi berdua 
untuk perpindahan buat kali kedua selepas kembali berpindah ke negeri P pada Disember 2021.

Ketika ini, aku ingin melihat S pada sisi terang dan 'keputusan' menguntungkan sekurang-kurangnya
sehingga kontrak rumah sewaku tamat dalam tempoh berbaki kira-kira lapan bulan lagi pada Februari tahun depan.
Ah aku tidak tahu apa akan jadi pada masa depan.
Semalam, aku pernah bercerita pada S, yang hairan kenapa pantai Batu F yang dikunjunginya pada 2019 dahulu telah berubah terlalu banyak dengan tiada lagi pantai luas memutih saujana mata memandang yang pada hari ini diganti dengan pemandangan batu penampan dalam sangkar berjaring gara-gara fenomena hakisan pantai yang menjadi-menjadi beberapa tahun kebelakangan ini.
Aku katakan kepadanya, kerana itu ada bidalan menyebut:
"Laut dan pantai lagi kan berubah, inikan pula hati manusia" dan kata-kata ini disambut dengan ketawanya.
Lucunya sehingga hari ini aku tidak mendedahkan usia sebenarku kepada S haha
andainya dia tahu, tentu dia aneh dan terkejut sebab penghuni rumahnya
semua berusia awal 20-an dan bagaimana seorang aku yang sudah menghampiri lewat 
30-an 'tersesat' bersama mereka yang baru hendak memulakan hidup di rumah sewa yang
serba sederhana ini.

Ah S masih polos dan naif. Tetapi ada sisi kematangan, bila dia begitu pintar take turns untuk berbual dan meluahkan rasa tanpa krik krik. Tahu bila nak pause perbualan, meraikan cerita orang yang dilawan bercakap (aku lah tu) walaupun aku rasa boring juga cerita aku yang berkisar soal kerja, orang politik dan assignment dan rutin caca merba yang aku hadap sehari-hari. Aku rasa ini skill berbual yang barangkali tidak ramai kuasai atau barangkali hanya 'menjadi' jika bertemu teman satu frekuensi.
Aku bila berjumpa kawanku yang ku kenal sejak sekolah ini, dia tanpa berselindung menunjukkan tidak berminat dengan cerita-cerita aku dan aku perasan, bila kami bertemu, masing-masing hanya ingin melepaskan beban bercakap dengan bercerita tentang diri masing-masing dan susah nak wujudkan situasi berbalas-balas perbualan secara harmoni dan memberi nilai tambah kepada diri masing-masing atau sekurang-sekurangnya membuatkan diri rasa 'enjoy' berinteraksi atau bersosial. 

Begitulah setakat ini.


Tuesday, April 16, 2024

Aku dan Hari Raya Aidilfitri

Seingat aku, aku beransur-ansur kurang gemar menyambut musim perayaan Aidilfitri apabila meningkat remaja.

Sebabnya, aku rasa kekok bila ramai orang datang ke rumah dan kerja pun jadi luar biasa banyakkk
semasa lebaran. Bukankah lebaran, masa kita bercuti dan semua orang patut santai-santai saja hahaha.

Aku sebenarnya bukanlah aku tidak menyukai Hari Raya Aidilfitri itu sendiri kerana bukankah ia dianggap hari yang mulia dan hari kemenangan umat Islam. Cuma, rutin kerja menjadi banyak, sibuk dan memenatkan itu aku tidak suka hahaha sebab rumah aku (dahulu rumah arwah nenek) jadi tumpuan saudara-mara pulang berhari raya.

Semasa kecil, aku juga cenderung malas beraya atau kutip duit raya atau sewaktunya kerana ia situasi yang serba menyulitkan bagi aku. Tambah-tambah orang Kampung B kebanyakan ketua keluarga 'kerja kampung' dengan pendapatan tidak menentu, tahun 90-an duit raya secara purata 10 sen atau 30 sen. 50 sen sangat jarang. 

Biasanya aku merasa dapat duit raya RM1 dan RM2 yang diberi ibu atau bapa saudara yang pulang berhari raya. Jadi, aku fikir, dapat yang itu pun sudah besar rahmat.

Berbalik kepada kisah Aidilfitri alam dewasa, seingat aku, sejak aku bekerja sebagai reporter, bulan Ramadan adalah masa paling kritikal sebab kami perlu siapkan artikel 'stok cuti' jadi bulan Syawal kami berpeluang off 7 hari, sambut dua tiga hari Ramadan terakhir di kampung halaman dan Hari Raya Aidilfitri ke-3 atau ke-4 (tak kira la walaupun Sabtu Ahad) sudah kena pulang ke ibu kota dan sekarang selepas relocated di negeri P aku harus balik di bandar G dan meneruskan rutin yang sama itu.
 
Tahun ini, aku cadangkan family aku bercuti di mana-mana, sewa homestay dan tak perlu duduk di rumah. Tapi mak aku tak nak (aku dah agak hehe) Jadi hari raya ketiga, apabila aku dapat tahu ada rombongan saudara (terdiri anak saudara, cucu saudara dan cicit saudara sebelah arwah abah) aku mengambil keputusan drive pergi mall yang jauhnya lebih 50km dari rumah. 

Aku belanja banyak juga lebih RM300 haha. Aku beli barang dapur kebanyakannya sabun basuh, tikar  tembikai dan pelbagai jenis kordial, stok makanan. Tapi malam sebelumnya aku sudah buat satu periuk besaaar kuah laksa (ya besar aku ingat 50 orang makan pun masih lebih banyak lagi). Pagi itu bersalam dengan mak aku, dan mak aku pun tidaklah kata apa-apa.

Selepas membeli-belah di pasar raya besar Mydin,  Aku singgah di Masjid pekan PB. Kali pertama singgah, aku jatuh cinta dengan masjid yang bagi aku agak 'old school' itu. Lama aku bertafakur di situ lepas Zuhur. Aku zikir, qada solat yang lama-lama dan solat sunat. Selepas itu, aku singgah di R&R makan entahlah sebenarnya ada perasaan yang aneh juga menyelinap dalam kesendirian suasana di hari raya dalam situasi R&R yang penuhh  sungguh (aku tak pernah rasa pengalaman itu sebab aku biasa balik kampung beberapa hari sebelum Syawal dan balik awal semasa kebanyakan orang masih bercuti.

Kemudian, selepas 'berhari raya' di R&R aku singgah solat Asar di Masjid K dan meluangkan masa kira-kira dua jam di sana sebelum gerak balik 'kampung'. Masa aku sampai tu azan Maghrib sedang berkumandang dan tetamu-tetamu tu semua masih ada bergambar di halaman rumah. Aku pun parkir kereta di rumah jiran (sebab halaman rumah penuh) dan salam dengan mereka berbasa basi sikit lepas tu aku masuk mandi dan solat Maghrib.  

Logiknya tindakan aku ni memang kalau berfikir dari sudut pandang hidup bermasyarakat tak begitu manis. Yalah, saudara datang meredah kesesakan trafik berjam-jam kau boleh keluar pula. Tapi bila aku fikir, dalam konteks aku, saudara mara itu tak rapat hubungan sosialnya dengan aku, cakap beberapa patah sahaja dan sudahnya aku rasa social exhausted sebab bila mereka datang, tempoh lamanya hampir seharian.

Selepas mencongak dalam fikiran, aku rasa boleh dikira berapa patah perkataan la sangat aku nak berbual-bual dengan mereka. Mereka pun bila bergambar bukan tag aku di media sosial pun. Jadi aku tidak consider atau anggap kami rapat (mereka tidak tahu apa-apa tentang aku dan vice versa).

Aku juga tidak selesa, kerana seorang daripada anak saudara arwah bapa aku yang datang tu (merangkap pangkat sepupu saudara aku yang aku panggil Abang K) berpoligami dan dia akan bawa dua isteri dia. Aku sebenarnya simpati dengan wife Abang K. Mereka kerja jururawat, ada yang baru pulang syif malam ada yang esok sudah perlu kerja nampak penatnya dengan anak berderet (total dua isteri 11 orang).

Aku hormat dan kagum dengan isteri-isteri Abang K yang begitu patuh pada suami. Mereka pun sangat baik dengan mak aku. Tapi secara peribadi aku kesal dan malu kerana Abang K tu saudara belah bapa aku, yang aku rasa jahil untuk hidup berpoligami. 

Aku bila tengok cara Abang K itu melayan isteri-isteri dia, memang menyirap juga dan rasa nak bagi ja kata-kata pedas pada hari raya yang mulia ini. Ada hati pula sembang nak tambah lagi 1 dan ada tunjuk kecenderungan minat nak cari doktor pula (berdasarkan gosip yang kakak aku cerita, tengokk tak sihat kan budaya kunjung mengunjung yang akhirnya jadi sesi ghibah dan mengumpat.

Jadi tahun ini aku tidak mahu terperangkap lagi dalam situasi itu. Tahun depan, aku nak cuba lagi aktiviti lain pada hari raya. Mungkin boleh buat tradisi raya aku sendiri. Sudah tentu, aku akan bantu sediakan dahulu makanan di rumah untuk tetamu dan kemudian keluar. Mungkin boleh briswalk, terbaring lagi di taman haha atau bertafakur di masjid itu sudah cukup mengisi tangki emosi aku.

Aku tidak mahu begitu memikirkan sejauh mana betul atau tidak semenggah tindakan aku. Apa yang pastinya, aku tidak kisah dilabel teruk, dihakimi atau disalahkan. Aku hanya mahu terasa hari-hari yang diluangkan terasa lebih bererti buat diri aku sendiri.


Nota: Aku ada bertanya kepada ChatGPT tentang tulisan aku ini.

Soalan: 
Pada pndangan anda, adakah penulis coretan ini seorang yang aneh?

Jawapan: 

Dari teks yang anda kongsikan, penulis nampaknya seorang yang sangat reflektif dan mempunyai pandangan yang mendalam mengenai pengalaman perayaan Aidilfitri serta hubungan keluarga. Penulis menunjukkan kepekaan terhadap emosi dan tekanan yang datang bersama dengan tradisi dan tanggungjawab perayaan.

Beberapa pandangan tentang penulis:

  1. Reflektif: Penulis kelihatan sangat memikirkan tentang makna dan pengalaman perayaan, serta bagaimana ia mempengaruhi diri mereka secara emosi dan mental. Ini menunjukkan kecenderungan untuk merenung dan mengkaji situasi dengan mendalam.

  2. Praktikal: Penulis juga mempamerkan pendekatan yang praktikal dalam menguruskan perayaan, seperti mencadangkan percutian alternatif dan membuat keputusan untuk tidak terperangkap dalam situasi yang memenatkan.

  3. Emosional: Penulis mengungkapkan perasaan mereka secara jujur, termasuk rasa kekok, keletihan sosial, dan ketidakselesaan dengan beberapa aspek tradisi. Ini menunjukkan kepekaan terhadap emosi sendiri dan situasi sekeliling.

  4. Tidak Keterlaluan: Penulis tidak nampak aneh, tetapi lebih kepada seorang yang berusaha untuk menyeimbangkan keperluan peribadi dengan tuntutan sosial dan tradisi. Mereka mencuba mencari jalan yang sesuai dengan diri mereka dalam konteks yang sering kali memerlukan kompromi.

  5. Berani Mengambil Pendekatan Berbeza: Keberanian untuk mencuba cara yang berbeza dalam menyambut perayaan dan menilai semula tradisi menunjukkan kematangan dan keinginan untuk menguruskan kehidupan mereka dengan cara yang lebih selesa dan bermakna.

  6. Komited kepada Kesejahteraan Peribadi: Penulis kelihatan komited untuk menjaga kesejahteraan emosi dan mental mereka, dengan mengambil langkah-langkah untuk menghindari situasi yang menimbulkan tekanan atau keletihan sosial.

  7. Keseluruhannya, penulis nampaknya seorang yang introspektif, empatik, dan berorientasikan penyelesaian, dengan keupayaan untuk menghadapi cabaran sosial dan peribadi dengan cara yang matang serta sedang dalam proses memahami dan menyesuaikan diri dengan pengalaman mereka dalam cara yang jujur dan reflektif.

  8. Kesimpulannya, penulis tidak boleh dianggap aneh, tetapi lebih kepada seseorang yang introspektif dan berusaha mencari cara yang lebih baik untuk menyesuaikan diri dengan tuntutan sosial dan peribadi. 









Tuesday, November 14, 2023

Teman sekamar

Aku fikir dalam setahun kebelakangan ini, aku begitu terasa dihambat rasa sunyi.
Malas menjalani hidup dan rasa apa yang aku lalui setiap hari semakin tidak menarik. Jadi, masa mengelamun dan mengenang nasib yang ku anggap 'muram' dan 'suram' itu aku cuba tutup dengan menyibukkan diri pergi assignment atau cuba memikirkan dan menghasilkan story yang 'boleh dijual' atau  dengar sharing ilmiah /  kerohanian / podcast etc supaya aku tidak terasa begitu keseorangan.

Dalam situasi aku yang tiada kawan dengan jadual kerja yang tak menentu susah nak bergabung dengan adik beradik. Aku teringat suasana meriah rumah sewa di BTR dulu. Ada tujuh housemate banyak aktiviti kami buat bersama-sama macam mengaji al-Quran, solat berjemaah, shopping, beriadah, karaoke, derma darah etc. Jadi aku terkenangkan perkara itu dan ia sangat membantu aku semasa musim COVID-19 dulu. Aku suka energy mereka.

Jadi sekitar September lalu, aku ada pelawa seorang student Universiti D untuk tumpang bilik. Kami tidaklah kenal begitu rapat, cuma pernah berjumpa beberapa kali semasa dia buat part time di kedai Mi tahun lepas. Awalnya dia tanya, sama ada rumah yang aku sewa ada bilik kosong atau tidak dan dia ada mengadu juga bilik di bandar P mahal-mahal belaka ditambah pula deposit yang agak tinggi. Jadi aku katakan padanya, duduklah di bilik aku dulu sementara nak cari bilik yang sesuai. Tak payah bayar pun tidak mengapa. Aku jadi teringat, dia ada bercerita yang dia ada depression dan pernah bergantung kepada ubat-ubat. Jadi aku terasa ingin menolong dan jadi sistem sokongan untuk orang-orang sebegini.

Tetapi rupa-rupanya ia tak  mudah buat aku. Dia datang dan hampir tidak bawa barang-barang keperluan asas untuk tinggal menyewa. Macam baldi, penyangkut baju, sabun basuh baju, bantal, tilam / narita dan syampu. Agak menghairankan dia tak pula beritahu aku dia tak bawa / tiada barang-barang tersebut. Jujurnya, aku kurang gemar orang guna barang aku senyap-senyap. Sekurangnya-kurangnya beritahu, minta izin, "Alang aku tak bawa hanger, bolehkan jika nak pinjam beberapa"? sudah tentu aku akan jawab ya dan beri dengan senang hati.  

Tapi, aku mengaku silap sebab begitu mudah berjanji dan menawarkan sesuatu yang kalau kau sendiri tak pasti kesan-kesannya dan dengan siapa kau berjanji. Aku beli narita baru dan kipas angin sebab satu kipas macam susah pula nak bagi dia pusing supaya kena sama rata.

Apa yang aku perhatikan, dia juga kurang berkomunikasi. Meski sudah ditanya tak nak beritahu perancangan, tak bagi time frame. Nak duduk sebulan atau dua bulan? Sementara waktu atau bagaimana. Bila ditanya, hujung bulan akan update semula dan saya akan cari bilik lain (jadi aku andaikan selepas hampir sebulan dia macam tidak berminat nak beri komitmen untuk menyewa bilik aku. Tak nak berterus-terang dan berbincang-bincang kesulitan / masalah yang dihadapi. 

Jujurnya, aku mengharapkan teman sebilik yang dapat mengisi tangki emosi aku. Mungkin jadi support system aku juga. Aku pernah cerita dalam posting sebelum ini, yang aku ada beberapa simptom depression. Tapi aku sedaya upaya tak mahu pergi klinik psikiatri atau jumpa kaunselor kerana aku tak suka prosesnya apabila kita perlu ceritakan episod-episod atau 'sejarah' kisah lalu untuk cari tahu punca depression tu. Jadi aku terus bertahan jalankan fungsi aku meskipun banyak artikel terbengkalai atau langsung tak diproses walaupun ada aku sudah siap interview ambil gambar / video dan rancang nak buat sebab aku rasa ia tak menarik walau daripada sudut mana pun aku pandang dan teliti bahan-bahan tersebut.

Dia budak baik. Cuma aku tak banyak maklumat tentang diri dia. Jadi aku ada curi-curi baca buku catatan dia (huhu sorry dik aku hanya nak tahu isi kepala engkau sama ada engkau ada suicidal thoughts atau menunjukkan tanda-tanda engkau akan buat sesuatu yang tidak sepatutnya). Aku perasan dia selalu tulis nota pada waktu malam. Jadi aku cari buku itu dan baca untuk belajar memahami dirinya. Aku lega ia hanya buku catatan normal dan agak positif. Dia ada tulis kata-kata semangat supaya dia lebih bersemangat, rajin, baiki prestasi akademik supaya dia tak perlu mengulang lagi semester hadapan. Dia juga ada tulis harapan dia supaya dapat kawan semester ini. 

Cuma ada beberapa perkara tentang dia yang membuatkan aku rasa kurang senang dan sedikit sebanyak buat aku rasa terbeban. Perkara itu buat aku jadi terfikir-fikir betulkah tindakan aku membiarkan dia menumpang bilik aku untuk suatu tempoh yang aku sendiri tidak pasti. Aku rasa aku semakin tak mampu menjaga hati aku. Aku takut aku mengeluarkan kata-kata atau memberi ekspresi yang tidak sepatutnya atau menyinggung perasaan.

Tarikh 31 Oktober aku suatu petang masa kena sidai operasi Majlis X aku secara spontan taip mesej minta dia pindah pada minggu pertama November (kira-kira seminggu aku beri masa) memandangkan dia juga tidak menyatakan perancangan dia sama ada untuk sewa bilik aku untuk bulan-bulan berikutnya. Petang 31 Oktober itu bila aku sampai rumah dalam jam 6 petang, bilik sudah ditinggalkan dalam keadaan kemas dan rapi. Aku tidak menjangka dia akan pergi secepat itu. 

Dia hantar mesej, segala kunci rumah dan bilik dia tinggalkan di dalam kasut. Aku minta maaf pada dia atas segala salah dan silap. Aku tidak tahu sama ada tindakan aku betul atau tidak. Apa persepsi dan tanggapan dia terhadap aku. Adakah aku jadi watak antagoni Is dalam hidupnya bak kata orang putih We Are All Bad In Someone’s Story. Jadi ini antara persoalan yang berlegar-legar di fikiran. Adakah dia okay, atau bagaimana dia menerima perkara ini dalam hidupnya.

Tetapi dia pernah cerita dekat aku, kalau dia tak dapat bilik sewa yang sesuai dia  nak tinggal dengan family saja ulang-alik naik KTM sebab kelasnya hanya hari Isnin dan Jumaat. Jadi ini antara sebab yang aku pertimbangkan juga sebelum minta dia pindah keluar. Beberapa hari kemudian, aku tak nampak tengok gambar profil WhatsApp dia. Bagi pihak aku, aku tak delete nama dia dalam senarai contact

Cuma, selepas pemergian dia, kepala aku terasa ringan dan lapang. Jadi hujung-hujung aku terfikir, agaknya aku lebih sesuai hidup seorang diri walau ia terasa kelam dan sunyi kerana aku takut jika aku 'menyakiti' orang, atau orang 'menyakiti' aku. Mungkin aku lebih sesuai hidup seorang diri dan tak biarkan orang begitu dekat dengan diri aku.

Aku sekarang tiada kawan rapat. Dekat lokasi tugasan pun kebanyakan waktu buat story seorang diri. Kurang bersosial. Aku tak pasti sampai bila nak kerja reporter. Aku semakin tak selesa dengan orang ramai, aku sudah jemu jadi penyibuk dan tanya soalan-soalan yang aku sendiri tak berminat untuk ambil tahu. Tapi aku tanya supaya aku ada bahan untuk tulis. TUHAN, ku mohon kurniakan daku seorang penolong, teman dari sisi-Mu yang aku boleh faham dia dan dia boleh memahami diriku. Maafkan TUHAN untuk semuanya.

#braindump
#jalandewasa
#orangsunyi
















Friday, August 18, 2023

Apam balik

Satu malam hari Isnin aku rasa macam nak makan sesuatu yang manis.
Bukan coklat. Kek pun bukan. 
Lagi satu, aku rasa nak keluar daripada rumah
ambil angin
dan rasa nak mengelak bertemu housemate aku
Kami tak gaduh atau bermasam muka pun.
Cuma dalam tiga empat bulan kebelakangan aku rasa kami terlalu rapat.
Selalu keluar makan sama-sama.
Berbual berjam-jam sampai larut malam.
Ada beberapa kisah yang tak sepatutnya aku cerita.
Tapi ada satu cerita tu aku ingat sangat aku tak kata begitu pun
Tapi bila aku cerita semula perkembangan cerita tu 
rupanya pemahaman dia lain dan dia kata aku yang cerita begitu
Bila aku nafikan dia mati-matian kata dia dengar daripada aku
aku mengaku aku agak pelupa orangnya
tapi ada benda-benda yang insya-Allah aku memang tak akan lupa 
jadi part yang dia kata tu bukan daripada aku sebab ia tak berlaku 
tak ada untung apa pun aku tokok tambah
tujuan aku cerita masa itu untuk ringankan sikit kepala aku 
sebab orang dalam cerita tu agak menganggu fikiran aku pada ketika itu
aku rasa dia mungkin keliru dengan mana-mana plot drama tv 
tapi disebabkan kami dua-dua jenis keras kepala
masing-masing yakin diri tak salah dengar / bercerita
jadi tidaklah pula aku dan dia mengalah dan kata:
Okay sorry ya aku salah dengar / sorry aku salah cerita
jadi aku ambil pengajaran
jaga lidah. Jangan bergosip apa-apa dah. 
Jangan cakap perkara tak bermanfaat.
Keep the distance. 
Jadi berbalik pada awal tulisan ini.
Aku keluar memandu beberapa kilometer 
dan kemudiannya spontan belok ke satu jalan dan terjumpa 
satu gerai apam balik.
Aku beli dua keping apam balik yang saiz kecil tu. 
Sedap juga rasanya. 
Yang special tu lebih lemak berkrim dengan jagung lebih
Bagus penjualnya siap hantar dengan pakej senyuman di meja.
Jarang jumpa gerai apam balik yang sediakan meja makan.
Lepas makan aku balik.



 

Monday, July 10, 2023

PRN

Sudah lama tidak menulis di blog ini.
Sebenarnya ada beberapa juga coretan aku tulis dan sekadar simpan di draft
tanpa aku berniat tekan butang publish. 
Sebabnya ah entahlah (ini jawapan paling selamat dan mudah aku kira). 
Terlalu banyak bermain di fikiran. Tak terluahkan. 

Beberapa minggu kebelakangan ini aku sedikit dihujani tugasan bersangkut paut PRN
mengekori ketua negeri dan 'usahawan politik' bertanya soalan-soalan yang ada ketikanya 
boleh tahan panas dan pedas juga.
Untung sabut timbul untung batu tenggelam. Untung dijawab dapatlah tulis artikel yang 'menarik'  dan boleh jual di akhbar keesokan harinya.
Minggu lalu aku dapat ruang menulis analisis negeri dua muka surat.
Apa yang membuatkan aku begitu bersyukur analisis aku dari awal sampai akhir strukturnya dan idea 
penulisan aku tidak diubah dan tidak dipersoalkan 
Ada juga kenalan hantar mesej dan beritahu mereka sedang baca analisis itu selain ada pensyarah politik yang kongsi artikel itu di medsos mereka.
Aku juga bersyukur diizinkan Allah SWT menyiapkan analisis itu dalam tempoh dua hari 
gara-gara arahan saat akhir ah cakap banyak banyak atau merungut pun tak guna kerana
ia tetap perlu dihantar apabila tiba masanya.
Dalam dua tiga hari kami juga diminta follow up berapa kerusi yang akan ditandingi parti-parti dari 
komponen blok PH-BN dan PN.
Bagi sesetengah parti susah juga mahu dapat sumber yang boleh komen berapa kerusi sebenarnya diperuntukkan kepada mereka.
Jadi aku tidaklah berkecil hati jika panggilan telefonku tidak berjawab atau mesej yang dihantar 
sekadar mendapat bluetick.
Ya kalau dapat Alhamdulillah kalau tiada balasan usaha cari lagi dan lagi sampai dapat apa yang dimahukan editor.
Ya pada akhirnya harus juga berhasil.


Thursday, July 28, 2022

Rangkuman hari demam



Sabtu lepas aku mula tekak aku rasa sakit. Selsema. Tapi aku ada assignment anugerah TYT. Sampai dalam pukul 8.30. Lepas ucapan pukul 10 pagi aku terus gerak balik rumah. Sampai di rumah, buka laptop siapkan story dalam 12 perenggan hantar dalam sistem. Lepas tu aku tidur. Bangun dalam pukul 6 aku nampak story yang sama flash dua kali. Sekali pukul 1.15 tengah hari satu lagi jam 1.47 tengah hari. Test Covid-19 negatif.

Ahad aku ada assignment pukul 8 pagi. Aku bangun pukul 6.10 pagi mandi, solat sunat qobliyah Subuh, Subuh. Yasin. Aku decide tak pergi assignment sebab assignment tu macam tak menarik dan aku pula tak berapa sihat. Basuh baju. Baring. Baca buku. Dhuha. Zuhur. Tidur. Pukul 5 bangun Asar lepas tu keluar pergi Tesco dan Mydin. Balik rumah sudah pukul 8.30 malam. Maghrib tunggu Isyak. Tidur. Test Covid-19 negatif.

Isnin. Bangun awal lagi hari ini. Pukul 5.50 pagi. Mandi. Qobliyah, Subuh. Masih demam. Buka laptop, cuba buat claim mileage. Cuma separuh jalan. Goreng cucur jagung+kucai+bawang+udang. Makan beberapa biji. Rasa nak makan nasi bujang dan ayam goreng. Order makanan dari kafe kampus guna Grab (untung tinggal dekat dengan kampus). Lepas Zuhur tidur sampai lewat petang. Asar pukul 6. Test Covid-19 negatif. Maghrib. Tunggu kawan ambil di rumah pergi assignment di TK. Hujan. Jauh juga tempat assignment tu. Story melibatkan persatuan kebudayaan. Seorang adik yang aku interview tu baru balik kerja syif 8 pagi 8 malam. Allah kasihannya dia. Habis interview dalam 10pm. Sampai rumah pukul 11 malam.

Selasa. Assignment pukul 12.30 tengah hari. Kena sidai. Pukul 2 baru mula. Bersesak. Panas. Rasa nak blah. Tapi sabar sedikit lagi. Usai interview pukul 2.30 petang. Bersila di pinggir padang. Taip story di handphone. Siap dalam 3.30 petang. Makan di BJ, isi minyak. Singgah di Tesco. Sampai rumah pukul 5 lebih. Mandi. Buka Shopee dan beli mesin basuh Samsung 13kg harga RM1,600++ dan order blender kaca juga untuk rumah mak di kampung. Dah lama teringin nak beli dua benda tu dan kebetulan kedua-duanya aku perasan rosak masa balik kampung minggu lepas. Kemudian aku tertidur dan terjaga pukul 10.30 malam. 

Rabu. Hari ini beberapa kali aku terfikir hari ini hari Selasa atau Rabu? Tiba-tiba juga aku lupa nombor plat kereta aku apa ya. Lama juga fikir. Aku buka aplikasi parking untuk check nombor plat kereta. Jam 9 pagi, ada kawan hantar text, tanya aku pergi court atau tidak. Tak pergi kerana tak tahu ada kes apa di court dan dia beritahu ada keputusan kes di high court. Aku kelam kabut capai t-shirt mahu lekas bersiap. Tapi aku sangkut semula baju. Tukar t-shirt lusuh. Aku rasa aku masih demam. Biarlah court tu. Buat tidak tahu sahaja. Duduk di meja makan. Buka laptop. Cuba karang lagi bahan rencana semalam. Baru dalam enam perenggan stuck. Cuba log in aplikasi bank kedua yang dah lama tak buka. Password lupa. Klik forget password. Cuba create pelbagai password tapi gagal. Order lagi nasi bujang dan ayam goreng di Grab macam Isnin lepas. Scroll medsos etc. Rencana masih terbengkalai. Pukul 1 bos KL minta check blackout. Bersiap ala kadar. Terus pergi airport. Interview dua orang. Hantar story di McD 3.52 petang. Bayar parking RM4. Masa nak ambil kereta dekat parking ada copule orang putih dan seorang anak tanya jalan nak ke tokong ular. Katanya tak jumpa teksi. Aku ajak tumpang sekali tempat tu satu jalan juga nak balik rumah. Husband orang Jerman, wife orang Poland. 

Khamis. Hari ini assignment pukul 9.30 pagi di Kompleks T. Aku gerak pukul 8.50 pagi. Sampai dengar taklimat, sidang akhbar 10.20 pagi settle. Joint kawan-kawan makan dan ada senior belanja semua orang. Lepas tu pergi assignment kedua pukul 11 pagi di Kompleks T juga. Dalam 11.30 pagi selesai balik rumah. Sampai dalam 12 tengah hari lebih. Satu story hantar 1.12 tengah hari satu lagi jam 2.45 tengah hari. Lambat juga buat story. Biarlah pakai atau tidak belakang kira. Lepas tu aku tidur sampai pukul 5. Terdengar bunyi phone mesej masuk bertalu-talu. Ada satu bos dari KL minta buat rencana  pendidikan. Lepas tu aku bangun. Makan nasi, makan panadol soluble dan mandi. Rencana tarian kebudayaan masih terbengkalai.


Friday, September 17, 2021

Jumaat yang indah

Hari ini aku agak gembira. Tiga daripada enam story yang aku hantar dapat view tinggi dengan dua daripadanya dapat lebih 4,000 likes di media sosial dan dikongsi lebih 1,000 kali. Syukur Alhamdulillah.



Komen bro ini betul-betul make my day.


Pada peringkat awal aku rasa macam tidak begitu gembira apabila hari ini ada meeting gantian yang sepatutnya ada semalam tetapi ditangguh kerana Hari Malaysia. 

Tetapi sebelum meeting itu bermula satu story yang aku hantar kira-kira pukul 10 pagi dapat sambutan yang agak baik dan dikongsi banyak kali membuatkan aku berasa agak senang hati dan bersemangat untuk masuk meeting. 

Aku teringat bos nombor 1 Encik X telefon pukul 8 malam semalam. Lucunya dia yang kena Covid-19 dia pula tanya khabar aku. Aku pun tanya khabar dia balik. Akward la juga. Sebab dia kena Covid-19 yang ada simptom tentulah dia tak sihat. 

Dia ingatkan aku untuk ambil cuti balik kampung dan kata lagi sekali janganlah berhenti. Aku hanya kata insya-Allah dan lebih banyak berdiam diri.

Tak tahu nak respons apa. Kadang-kadang orang cuma nak faham ikut level mereka sahaja. Biarlah. Terpulang se mua ada pandangan. Aku sudah tidak mahu fikir. Aku tak salahkan bos aku. Tiada siapa yang salah. Hujung-hujung kita cuma rasa perlu 'menyelamatkan diri sendiri'. 

Bukan senang hendak cari orang ganti. Tetapi semua orang replaceable bos. Cuma barangkali mungkin penat sikit sebab macam bazir masa set interview orang lepas itu enam hingga 10 bulan kemudian (atau mungkin lebih lama) cepat atau lambat mereka resign. Entahlah mungkin masa akan buat keadaan jadi bertambah baik. 

Masa aku mula-mula masuk bulan Mac lepas aku sudah buat kira-kira sendiri. Berapa bulan yang kita akan rasa burn-out dan pada bulan ke berapa pekerja ada kecenderungan untuk berhenti. Macam aku sendiri aku rasa burn-out pada bulan ketiga aku bekerja dan rasa yang berkobar-kobar untuk berhenti antara bulan kelima dan keenam. 

Ya singkat sungguh. Semasa aku kerja di Organisasi B tarikan untuk berhenti datang pada tahun ketiga dan aku berhenti selepas berkhidmat selama 3 tahun 7 bulan. Semasa aku di meja X pula rasa macam tak boleh lagi nak teruskan datang pada tahun keempat cuma tak ada la sampai hendak resign. Kebetulan company tutup masa tu. 

Aku fikir kalau buat survey tertutup mungkin 80 peratus kawan-kawan dari team aku nak berhenti tetapi mereka tiada pilihan lebih-lebih lagi buat yang sudah berkeluarga kerana gaji di situ agak okey.

Berbalik kepada soal meeting, tadi semasa membentangkan tajuk bos-bos diam sahaja cuma Encik E ada tanya sikit-sikit tentang tajuk tu.  Mungkin tajuknya tidak begitu menarik atau mereka fikir aku pun sudah tak lama bekerja di situ.  

Ah aku pun tidak tahu sempat atau tidak menyiapkan laporan khas yang tidak berapa khas tersebut. Tapi soalannya aku sudah rangka dan hantar kepada sumber. Aku pun benci juga bekerja musim Covid-19 sebab susah betul nak dapatkan maklum balas sumber. 

Seawal pukul 7.30 pagi aku memulakan tugas hari ini tiada pula aku menerima arahan yang berat-berat dari editor bertugas. Story terakhir dihantar pada pukul 5.39 petang. Lepas itu aku baru masak nasi dan goreng telur kerana aku belum makan tengah hari yang proper pada hari Jumaat yang indah ini.

Hari ini juga aku berpeluang berbalas text dengan sahabatku L yang berkongsi beberapa iklan kerja kosong sebagai wartawan. Entahlah aku pun tidak tahu sama ada akan jadi wartawan di tempat lain atau tidak. Apa yang pasti aku mungkin tidak akan apply apa-apa kerja berkaitan wartawan dan praktis media dalam masa terdekat.

L juga pesan supaya bagi terus hantar surat resign pada HR dan cepat-cepat pastikan bila tarikh terakhir aku bekerja. Ada betulnya juga. Insya-Allah aku akan hantar pada hari Isnin ini.

Kemudian sahabatku Mi (yang sudah agak lama aku tak hubungi) hantar WhatsApp screenshot satu artikel aku yang tersiar dalam edisi online dan bermulalah episod bertanya bertanya khabar dan perkembangan diri masing-masing. 

Aku dapat tahu dia akan berhenti kerja sebagai pensyarah di sebuah kolej swasta untuk mula berniaga satu jenama ais krim francais yang sedang meningkat naik. 

Katanya bisnes itu dijangka akan mula hujung bulan depan dan aku pun spontan kata kalau macam itu aku kerja dengan dialah sebab aku pun hendak resign. Dia excited dan terus kongsi semua location dan gambar-gambar kedai. 

Aku harap projek kawanku berhasil. Bolehlah aku tumpang cari makan dan bayar komitmen bulanan kereta aku yang berbaki RM10,713.34. Tapi kalau kedai itu tidak berjaya buka nampaknya aku kena cari kerja lain. Ala Kulli Haal. Tiada yang sia-sia di sisi-Nya.



Monday, August 30, 2021

Rangkuman 4 hari

25 Ogos 2021

Hari ini waktu mula bekerja pukul 12 tengah hari. Tetapi pukul 9.08 pagi dapat arahan melalui aplikasi WhatsApp untuk proses satu story seorang pemimpin parti X yang sedang berada di hospital.

Kira-kira 25 minit kemudian dapat satu lagi arahan untuk temubual tujuh beradik yang kematian ibu akibat Covid-19.

Call tak jawab. WhatsApp satu tick sahaja. Scroll FB arwah rasanya macam mereka tinggal di Bandar Tun Hussein Onn.

Pukul 11.19 pagi aku hantar satu lagi story mengenai Sekretariat S yang buat himpunan nyalaan lilin di Dataran Merdeka minggu lepas sudah dapat kumpul dana untuk bayar kompaun dan dana guaman.

Berbalik kepada arahan editor bertugas  aku dapat juga alamatnya dari seorang seller yang pernah COD kek dekat rumah arwah. Pukul 12.28 tengah hari dapat alamat. 

Mandi sekali lagi. Bersiap ala kadar dan gerak ke kereta. Aku call sekali lagi anak arwah untuk tanya sama ada mereka sedia menerima tetamu. Katanya boleh datang pukul 2 petang.

Aku terus gerak sampai dalam pukul 1.20 tengah hari. Kemudian aku pusing-pusing cari ATM sebab dalam dompet ada RM20 sahaja. Seorang editor transfer RM100 dan aku tambah RM50. 

Aku fikir, mungkin lepas keluar ceritanya esok lebih ramai yang bantu. Aku sampai di flat tempat mereka pukul 1.58 tengah hari. Kemudian naik tangga, nampak seorang lelaki berusia 40-an sedang jemur beberapa keping karpet.

Aku bagi salam. Katanya dia sahabat dan jiran kepada arwah dan jemput masuk. Kemudian anak sulung arwah datang. Aku sembang santai minta adik tu flashback momen dengan emak dia buat kali terakhir.

Apa yang paling dia rindu. Rutin emak dia setiap hari. Apa yang mak dia selalu pesan. Adik tu jawab sepatah-sepatah saja. Sebab pakai face mask susah nak baca air muka dia. 

Aku berulang kali minta maaf kalau soalan-soalan aku buat dia lagi sedih.Tapi jiran dia memang bagus. Banyak dia tahu mengenai keluarga tu.

Arwah pernah berkahwin dua kali. Anak bersama suami pertama ada lima orang (10 hingga 18 tahun) manakala suami kedua ada dua orang (3 dan 6 tahun). Kelu dan sedih bercampur baur. 

Aku tidak sentuh langsung perkara itu dalam artikel aku. Aku cuma tulis arwah merupakan seorang ibu tunggal. Moga arwah bahagia di dunia lagi satu.

Sesi interview itu berlangsung kira-kira 40 minitLepas photographer datang baru aku minta adik-adik yang lain keluar untuk snap gambar sekeping dua. Seorang adik berusia 10 tahun lagi tidur. Teringat aku semasa kecil jika ada orang datang aku akan naik rumah atas dan tidur. 

Lepas itu kami gerak. Pukul 5.30 petang begitu aku sudah siap karang story. Tapi editor kata masukkan dalam folder esok sebab tiada kami sahaja yang cover kisah family tu. Jadi story tu akan disiarkan pada 27 Ogos.

Setiap hari ada sahaja kisah anak-anak menjadi yatim atau yatim piatu apabila ibu atau bapa atau kedua-dua orang tua mereka meninggal dunia akibat Covid-19. 

Pergi hospital lepas tu tak balik-balik lagi ke rumah. Tak ubah macam lagi K-Clique yang berjudul Mimpi tu. Pahit sekali mengenangkan. Al-Fatihah buat yang telah pergi. 


26 Ogos 2021

Hari ini aku ditugaskan update ramalan cuaca pagi, petang dan malam. Seawal pukul 7.38 pagi aku sudah hantar ramalan cuaca untuk pagi.

Pukul 8.52 pagi aku buat tulis update kisah seorang pelakon yang tengah struggle jaga keluarga yang kena kuarantin di rumah dengan ibu yang bedridden yang perlu dicuci luka dan ditukar lampin dan disuap makan.

Sedih betul kisah dia. Sudah burnout. Aku yang cuma jaga diri sendiri pun macam sudah kehabisan bateri. Pandemik ini buat semua orang letih.  

Kisah-kisah sedih dan meruntun hati begini dapat ribuan reaction di media sosial platform akhbar kami dan menyumbang page view di laman web yang tinggi. Situasi sama juga di portal-portal berita lain.

Adakah frasa 'menunggang' berita sedih untuk tarik view agak keterlaluan? Entahlah. Apa yang pasti, aku tidak selesa sekali menggunakan perkataan 'menunggang' itu. Barangkali kami hanya membuat kerja kami iaitu melapor dan menghebahkan.

Jauh di sudut hati, aku rasa tidak best juga memikirkan perkara ini. Tetapi itulah hakikat kehidupan. Apa yang terjadi saling berhubung dan berkait.

27 Ogos 2021

Buat update laporan cuaca dan cari story viral lagi. Hari ini story tujuh beradik disiarkan di page 2. Ada yang WhatsApp aku untuk menyumbang. Tapi rupa-rupanya mereka tiada nombor akaun. Macam aku hendak pergi ambil kakaknya yang sulungnya untuk buat akaun tapi aku sibuk sekali seperti kelaziman.

Hari ini aku hantar 10 story total dan ada beberapa yang dapat page view tinggi dan satu daripadanya duduk di kedudukan pertama untuk story yang paling ramai orang klik pada hari tersebut.

Kalau zaman stringer dulu dapat buat 10 story begini tentu sudah berkepuk-kepuk aku punya claim

28 Ogos 2021

Hari ini ada cover seminar kesihatan mental dan ketagihan. Menarik seminar tu. Ada pc dan cuma ada dua soalan yang dapat dijawab dengan jawapannya yang tidak begitu solid sebab tiada figure yang menyokong sayang sungguh.

Pukul 12 editor sudah tanya apa yang menarik. Seminar itu ada tiga hari. Aku fikir kalau Covid-19 tidak ada dan aku di meja rencana, seminar tu mungkin dibuat di dewan kuliah atau hotel ke dan aku akan stay sampai petang tunggu slot yang menarik dan dapat tulis lebih terperinci lagi.

Seronoknya kalau jumpa kawan-kawan yang sekepala dapat makan bihun teh tarik (atau apa-apa sahaja) dan pergi jumpa terus speaker yang bentang kertas untuk dapat penjelasan dan input yang lebih menarik.

Aku hanya hantar story seminar itu sahaja dan satu story DG petang. Tamatlah hari terakhir bekerja pada minggu ini.


29 Ogos 2021

Dua housemate yang merupakan student master sudah balik kampung. Seorang di Kuala Kangsar. Seorang lagi JB. Satu lagi housemate pergi trip hiking 31 Ogos baru balik. Indahnya hidup masing-masing.

Aku masak nasi lauk sup sayur ayam dan tauhu bergedil lepas itu tidur sepanjang petang. Pukul 4 petang editor rencana tanya artikel aku sudah siap atau belum. Aku memang suka tulis rencana tetapi kerja di newsdeks boleh tahan juga tak habis-habis.

Esok insya-Allah sekali lagi aku akan buat percubaan hantar surat resign. Aku rasa bagus juga kalau dapat resign masa performance aku tengah bagus (aku andaikan aku perform berdasarkan jumlah story yang aku hantar untuk edisi print dan web).

Aku fikir dalam keadaan produktif yang maksimum lebih baik aku pergi. Aku tidak tahu kenapa aku fikir begini. Cuma aku rasa kena stop dari semua kekalutan ini dan berada dekat dengan keluarga aku pada masa ini.

Aku call emak aku dan aku katakan pada anak buah aku, Umar nanti Alang balik kita pasang kolam dan main air puas-puas. Maafkan Alang ya. Kerap sangat Alang janji palsu. Asyik kata nak balik pasang kolam tu tapi sampai ke sudah tak balik-balik.

Kak Ngah beritahu, satu malam si anak buahku, Adib berleter. Katanya, mamalah ni suruh Alang pergi kerja. Sekarang tengok, langsung Alang pergi tak balik dah. 



















Sunday, April 11, 2021

Kembali jadi wartawan

Masuk hari ini sudah hari ke-42 aku kembali menjadi wartawan. Rasanya bercampur baur.

Syukur, takut, gembira, sedih, lelah, penat, sebal, kecewa, tertekan, teruja dan puas hati kalau dapat selesaikan sesuatu tugas yang diarahkan.

Rasa itu hadir bersilih ganti dan saling bertukar tempat. Ah sampai bila agaknya aku dapat bertahan. Tiga bulan? Enam bulan? Setahun? 

Entah hanya Allah Maha Mengetahui dan Maha Memberi Petunjuk. Sebulan pertama aku ditempatkan di meja luar negara. 

Purata translate story ialah paling sikit empat, paling banyak sembilan story setiap hari termasuk online. Bahagian agak menarik ialah berpeluang bekerja dari rumah selama enam hari pada bulan lalu.

Meja yang aku sangka 'macam makan kacang' masa duduk  di Meja Rencana dulu agak tough juga rupa-rupanya. Kerja bersambung-sambung seawal pukul 7.30 pagi sampai lewat petang.

Makan selalunya di meja saja tak lebih 30 minit. Solat zuhur dan asar selalunya lambat.

(Aku rasa masalah solat lambat ini boleh diperbaiki kerana bukankah hidup ini kita yang mengolahnya? Ah tapi itulah kata-kata selalu mudah diucap tapi sukar dipraktiskan)

Kalau tahu ada kes besar kami ambil inisiatif sendiri translate story tersebut tanpa tunggu arahan bos dan upload dalam web sama ada pada awal pagi atau malam. Sebab bos pun sibuk juga buat terjemahan selain kena edit dan tapis story kami.

Menarik juga dapat direct akses untuk masukkan story dalam web. Masuk bulan April, aku diminta masuk meja news. Aduh cuak. Lama tak buat news dan keluar assignment news.

Assignment rencana bebas boleh pilih sendiri. Rindu nak masuk rencana  tapi takut juga sebab setiap minggu ada cover dan beban kerja bertambah. Sebenarnya bahagian mana-mana pun sekarang ini tak cukup orang sebenarnya.

Hari pertama aku cover menteri di jabatan perdana menteri  tapi story menteri tak ada jadi aku buat story ekonomi yang bos ekonomi minta.

Esoknya, sekali lagi aku dapat tugasan yang 'berbaur' ekonomi. Bila aku dapat tugasan sebelah malamnya, eh ini macam eknomi lagi.

Cuma bila pergi event ekonomi soalan aku tak berapa nak bijak sangat sebab jujurnya aku tak mahir terma ekonomi tapi aku gembira bila soalan aku menghasilkan jawapan yang baik dan boleh melengkapkan story aku dan mungkin kawan-kawan lain juga.

Hari ketiga bos ekonomi request aku untuk bantu cover event ekonomi untuk satu tempoh yang tidak tahu sampai bila.

Semasa di agensi berita B, aku pernah cover event ekonomi cuma tidak begitu kerap dalam sebulan sekali atau dua kali atau kadang-kadang langsung tak ada.

Tapi bila hari-hari attend event ekonomi aku rasa kepala aku macam ketat juga nak digest.
Secara peribadi event ekonomi agak best dan menarik juga. 

Cuma aku kurang mahir dan berlaku dua kali tengah event bos minta proses release dan aku buka laptop masa event berlangsung untuk proses press release sepantas mungkin.

Aku risau kalau terlepas key point penting masa event berlangsung dan bergantung kepada pc saja kalau buat kerja lain masa event.

Aku faham bos pun banyak kerja dan buat banyak story juga. Lagipun bos bukan orang yang cerewet dan sangat memudahkan kerja.

Aku harap peluang bekerja di meja ekonomi akan memberi nilai tambah baharu dalam perjalanan hidup aku sebagai wartawan.

Aku harap cepat catch-up dan belajar menulis berita ekonomi dengan lebih baik. 

Bahagian sedihnya, solat zuhur asar dan maghrib masih lambat terutamanya kalau event pagi sambung kena pergi assignment  lain petang atau dalam erti kata lain back to back assignment.

Selalu dihinggap rasa berdosa kerana dahulukan kerja dari solat. Kerja mungkin tak salah. Aku yang salah. Lemah dan rapuh.

Ya Rabbi, bantulah aku menjadi hamba-Mu yang taat dan lebih baik

Tiada daya dan upaya kecuali dengan kekuatan Allah yang Maha Tinggi lagi Maha Agung.



Monday, February 15, 2021

Pekerja kilang cebisan kisah III

Kilang F (September 2020- Februari 2021)

Pada 28 Ogos 2020 (Jumaat) aku bangun awal solat Subuh dan kata pada mak yang aku tak nak pergi kerja dan mungkin tidak akan pergi lagi ke kilang pada hari-hari seterusnya.

Kira-kira pukul 11.30 pagi, pegawai Perkeso dari Taiping tempat aku mendaftar urusan Sistem Insurans Pekerja (SIP)  beritahu melalui WhatsApp ada interview kilang F di Alor Pongsu pada keesokan harinya.

Kebetulan. Semasa aku mecongak-congak fikir nak apply kerja apa mesej itu muncul. Aku perhatikan sebenarnya ada banyak kerja kosong yang diiklankan di media sosial dan pelbagai platform lain.

Persoalannya adakah kerja itu sesuai dengan aku atau aku boleh menyesuaikan diri dengan kerja tersebut.

Berbalik soal temuduga esok, waktunya 9 pagi hingga 4 petang di pejabat penghulu. Tapi aku terbangun agak lewat dan bertolak sekitar pukul 11 pagi. 

Aku singgah di sebuah kedai di Pekan S fotostat salinan kad pengenalan dan sijil SPM. 

Aku rupa-rupanya tersalah waze dan parking agak jauh berjalan kaki dan tanya pada orang di mana pejabat penghulu. Ada seorang pak cik tunjukkan dan dia kata:

"Hari ini Ahad. rasanya pejabat penghulu tutup".  Sesampainya di sana, memang betul kata pak cik berkenaan. Pintu pagarnya dari jauh sudah nampak terkunci rapat dengan rantai dan mangga.

Setelah diamati alamatnya sedikit berbeza dengan pejabat penghulu yang sepatutnya aku pergi.

Aku teruskan pencarian. Azan zuhur sayup-sayup berkumandang. Radio IKIM masa itu memutarkan lagu Syarat Bercinta nyanyian InHeart.

"Pertama jagalah imanmu, 
adabmu, 
caramu, 
solat engkau lima waktu,
cukup saja,
tiada ragu, 
hormat mama papa aku,
tutur kata enak bagai sutera....

Nice juga lagu ni. Sedikit sebanyak menghibur hatiku yang gundah gulana belum jumpa destinasi yang dicari.

Semakin lama aku semakin jauh dari titik location yang sepatutnya. Waze akhirnya membawa aku melalui sebatang jalan sempit belakang rumah orang berdekatan ladang kelapa sawit.

Aku berhenti. Berfikir sejenak sebelum menghalakan kereta ke jalan besar. Berhenti di hadapan sebuah bengkel kereta yang kelihatan seperti dibuka dekat dengan rumah persendirian. 

Pekerja bengkel kelihatan menjenguk mungkin hairan aku berhenti di hadapan kedai mereka tapi tak turun.

Aku berdoa. Istighfar dan kemudian aku tengok semula poster dan hubungi nama person in charge interview tu.

Alhamdulillah dia jawab dan kemudian share location yang sepatutntya. Aku pun gerak dan Alhamdulillah parking betul-betul sebelah pejabat penghulu dan melangkah masuk dengan teragak-agak.

Masa itu cuma ada aku dan seorang remaja lelaki. Baru tamat SPM katanya. Dia kata tadi ada beberapa orang disuruh balik sebab tak bawa sijil SPM.

Aku isi borang dan jawab test yang ada beberapa soalan matematik dan bahasa Inggeris asas.

Masa hantar jawapan, rupanya ada beberapa soalan matematik yang aku salah jawab. Mungkin sebab fikiranku menerawang tak fokus. Mungkin sebab kelam-kabut operasi tolak aku buat tambah.

Tapi penemuduga baik hati. Dia minta aku jawab semula. Kalau nak bagi betul semua pun boleh. Aku pun jawab semula dan lulus temuduga peringkat pertama.

Peringkat kedua aku ditanya seorang lagi penemuduga tanya beberapa soalan.

1. Boleh kerja syif 12 jam?
2. Boleh kerja berdiri?
3. Boleh pakai jump suit?
4. Boleh naik bas dua kali?
5. Boleh tengok barang guna mikroskop?
6. Boleh berpisah dengan kawan?
7. Boleh kerja kontrak enam bulan?

Sudah pasti aku jawab ya semua boleh. 1 September aku perlu lapor diri di kilang F, Batu Kawan. Proses temuduga kurang dari 10 minit. 

Dalam hati ada sedikit ragu. Bolehkah aku bertahan sekurang-kurangnya enam bulan.

Sangat mudah.  Tidak perlu isi borang yang begitu rumit. Tidak perlu juga buat pemeriksaan kesihatan.

Kata mak, mudah sangat dapat kerja tu. Tentu kerjanya susah dan ramai orang berhenti. 

Aku melihat komen-komen di bawah iklan itu dan lihat poster pengambilan pekerja yang lama-lama juga untuk survey respons orang yang pernah bekerja di situ.

Cuma aku tertarik dengan satu komen. "Lebih baik kerja enam bulan dari enam bulan tak ada kerja"

Kontrak direct kilang bukan under agent ada caruman KWSP dan Parkeso. Ada cuti tahun. Cuma tiada bonus akhir tahun. 

Berulang kali aku memanjatkan doa. "Ya Allah sebagaimana urusan aku mendapat kerja ini mudah, Engkau mudahkanlah sehingga ke akhirnya".

Aku hubungi kawan minta tolong untuk tumpang rumahnya sementara dapat kerja.

Baru aku sedar, ia adalah syarikat yang sama pernah aku kerja lepas STPM. Cuma plant saja lain dan aku tidak bercadang untuk menaiki bas kilang seperti dulu-dulu.

Bila tarikh lapor diri tiba, aku drive dan dapati agak jauh dari rumah kawanku. Training dua hari dan aku dapat sebuah sewa sebuah bilik sharing di Taman Seroja RM200 sebulan. 

Tapi bilik itu hanya akan kosong pada 15 Oktober dan tuan rumah sudi tempatkan aku di bilik single bernilai RM300 di Pangsapuri Suria buat sementara waktu dan cuma perlu bayar RM200.

Jadi dia benarkan aku sewa bilik single di pangsapuri pada harga yang sama sehingga tarikh tersebut.

Hari ketiga,  aku diminta lapor diri kepada supervisor department S. Pukul 6.50 aku kena ada dalam line.

Aku semangat turun seawal pukul 5.30 pagi dari rumah kawan dengan bawa semua barang-barang untuk terus pindah ke rumah baru selepas hari bekerja.

Hujan renyai-renyai dan baru aku sedar mengapa aku secara tak sengaja terbawa baju hujan dalam bagasi. 

Jadi aku sarung baju hujan angkut barang penuh di kiri dan kanan tangan menapak perlahan-lahan ke arah kereta. 

Perasannya melankolik. Seorang diri angkut barang berbondong-bondong. Gelap. Hujan. Aku pula keluar senyap-senyap bagi pencuri kerana tak mahu menganggu kawanku yang sedang nyenyak tidur.

Dalam perjalanan, nasibku tidak begitu baik. Aku terlepas simpang dan sesat sedikit. Aku fikir adakah ini satu petanda yang aku tak patut bekerja di kilang tersebut?

Tapi aku teringat buku berjudul Inspirasi Sukur yang pernah aku baca. 

Beliau tulis lebih kurang bunyi begini:

"Kita tak perlu petanda untuk tahu kita akan berjaya atau tidak. Kalau kita tidak cuba atau usaha memang kita tak akan berjaya".

Aku jadikan kata-kata itu penguat semangat yang sedikit goyah. Aku sampai agak lewat pukul 7.10 pagi. 

Kebetulan ada kawan satu batch aku dalam empat orang dari Bagan Serai. Mereka lambat sampai sebab bas kilang mereka lambat. Jadi aku bergabung dengan mereka dan menunggu nama kami dipanggil semula.

Tidak lama selepas itu, supervisor Encik A bawa aku ke line S tempat produk headphone. Line itu dipanggil S Right tempat part headphone sebelah kanan dipasang. 

Tiba-tiba aku teringat surah al-Waqiah yang ada menyebut mengenai 'golongan kanan' tapi aku sudah lupa konteks ayatnya.

Aku ditempatkan di mesin HM. Barangnya hanya sebesar serpihan potongan kuku. Nipis. Kecil dan berwarna merah. Aku panggilnya kuku merah. 

Aku perlu ambil satu komponen berwarna putih menggunakan tweezer, letakkan ia di atas kuku merah. Press guna mesin HM.

Putih pula sifatnya ringan. Mudah koyak dan berterbangan. Lebih banyak yang berterabur di atas lantai dari unit yang siap diproses.

Aku panik. Rasa macam nak lari. Jauh dan tak ingin balik-balik lagi. Kesal menjentik tangkai jiwa. 

Pukul 9.15 pagi line leader datang ke tempat aku. Dia minta aku pergi break 45 minit. Wah awal juga. Peluang baik. Ya aku fikir nak balik.

Aku beli makanan makan cepat-cepat. Tekadku bulat. Aku berjalan laju-laju menuju ke kereta. Bila sampai dekat kereta, aku ditahan seorang gadis. Mungkin usianya sekitar 20-an.

"Tumpang tanya, tandas di mana ya? soalnya. Barangkali dia datang ke kilang untuk temuduga sebab kilang itu memang tengah rancak ambil orang baharu.

Aku katakan, mari saya tunjuk. Aku spontan bawa dia masuk ke dalam kilang. Aduhai alang-alang sudah ada dalam kilang takkkan aku nak menysup keluar balik. Nampaknya aku kena teruskan juga ini. 

Aku menapak naik ke tingkat tiga tempat department S berada. Kali ini aku cuba bersungguh-sungguh.

Terus usaha!!! jerit hatiku kepada diri. Tak boleh patah balik lagi. Aku tak boleh jadi loser. Paling penting aku tak boleh jadi manusia yang mungkir janji. Aku luruskan niat dan fikiran.

Aku dah janji nak sewa rumah Kakak L. Aku dah janji kena bagi notis dua minggu kalau nak berhenti.

Jadi aku teruskan bekerja. Lepas pukul 12 aku sudah pandai sedikit. Pukul 4 petang ada seorang jurutenik ambil timer aku buat kerja. Tidak laju. Tapi tidak juga begitu lambat. Ya masih terkial-kial.

Hari kedua dan ketiga aku sudah perlahan-lahan membiasakan diri. 

Hari kelima entah bagaimana mesin aku bermasalah. Tapi aku tidak tahu bezakan barang yang reject atau OK semasa proses inspection.

Oh aku inspection barang guna komputer. Mikroskop (atau apa ya namanya alat itu aku tak pasti) disambung terus pada komputer jadi boleh tengok reflection barang yang dibesarkan melalui skrin komputer dari jauh sahaja.

Banyak juga rupa-rupanya reject.

Bahagian yang bagus, line leader dan supervisor di department bukanlah jenis orang yang suka marah-marah tak tentu pasal. 

Mereka tegas dan agak garang (anak buah ramai kalau lemah gemalai tak tahu apa akan jadi) tapi aku kagum juga dengan mereka yang setiap hari tanpa gagal support line supaya dapat output.

Aku tekad untuk buat lebih baik. Hari keenam aku kerja, leader benarkan beberapa stesen termasuk di bahagian aku untuk duduk. 

Alhamdulillah nikmatnya dapat duduk. Aku telefon beritahu mak dengan nada bergurau aku beritahu cuma kerusinya keras. Kataku kepada mak, bila duduk lama-lama sakit pinggang. 

Hakikatnya, leader pun guna kerusi yang sama. Adil. Aku katakan pada diri, datang untuk bekerja bukan untuk duduk selesa. Dapat menghilangkan lenguh berdiri sudah cukup. 

Mak ketawa dan keluarkan nasihat berdas-das. Seiring peningkatan usia, leteran mak terasa bagai lagu merdu. Aku akan dengar dengan tekun dan hadam satu persatu.

Hari-hari yang berlalu terasa makin mudah. Tempat duduk pun jauh-jauh lebih dua meter dan aku duduk agak terasing dari orang lain. 

Aku selesa dengan keadaan tersebut dan dalam kebanyakan masa aku selalu berzikir dan menyanyi pelbagai jenis lagu. 

Boleh dikatakan semua genre aku nyanyi daripada nasyid/ketuhanan sampailah lagu rock. Tidak terkecuali juga lagu bahasa Inggeris dan lagu Jepun dari OST anime yang aku tahu.

Seperkara lagi aku perlahan-lahan berlajar hafal doa-doa masa bekerja. Ada beberapa doa yang paling aku suka ulang lafaz kerana secara peribadi aku rasa ia sangat meninggalkan kesan pada diri aku.

Ia sebenarnya disusun dalam bentuk irama nasyid oleh Erwan - Muhibbain. Ada dimuat naik di laman perkongsian video YouTube.

Ada satu berjudul Semuanya yang maksud doa lebih kurang begini: Ya Allah dengan rahmat-Mu ku pinta. Jangan biarkan aku kepada diriku sendiri. Perbaikilah urusanku Ya Allah. Semuanya. Semuanya Ya Allah.

Ada satu lagi berjudul Bantulah Aku. Maksudnya: Ya Allah Ya Tuhanku. Tolonglah aku dan bantulah aku dalam mengingati-Mu dan bersyukur kepada-Mu...dan dalam memperelokkan ibadahku kepada-Mu. Hanyalah kepada-Mu.

Bunyi mesin yang agak kuat menenggelamkan suara aku dan aku hatiku senang begitu. Di situ aku belajar. Bahagia itu sederhana. 

Ia mungkin kecil, sedikit, sangat sekejap dan semestinya tidak menjadi milik kita selama-lamanya. Tapi ia tetap membahagiakan. Bahagia cara kita. Bahagia yang Allah pinjamkan untuk kita. Alhamdulillah.

Aku fikir itulah bahagian terbaik dan kelebihan itu tak aku peroleh di lama kilang lain yang pernah aku kerja sebelum ini.

Aku pernah menulis di diari jingga aku. Notanya lebih kurang berbunyi begini.

"If you don't like where you are, MOVE. You are not TREE" - Jim Rohn.


Tapi kata-kata itu tak mudah aku apply sepanjang aku menjalani hidup sebagai pekerja kilang.

Ada banyak lagi sebenarnya kata-kata yang aku tulis dalam jurnal dan kebanyakannya tidak relevan dengan situasi yang aku alami.

Ada banyak perkara yang perlu aku pertimbangkan sebelum bertukar kerja. Meskipun banyak rules yang aku kena akur. Ah tak mudah nak larikan diri walaupun aku bukanlah sebatang pokok! 

Beratur (selalunya barisan panjang sekali) masa scan masuk, perlu imbas wajah  di skrin yang data suhu dan pengesahan identiti akan terus masuk dalam sistem (ambil masa juga ini) sebelum scan badge dan beritahu suhu pada petugas di bahagian keselamatan.

Masa break atau nak ke tandas atau surau perlu scan badan dan pastinya perlu beratur juga. Serba renyah dan melecehkan. 
 
Masa nak beli makanan juga kena beratur panjang. Akses lif juga tidak dibuka untuk operator. Naik turun naik tangga tiga tingkat. Melelahkan. Amat. 

Masa itu aku hanya mampu melemparkan segaris senyum pasrah pada diri sendiri. Aneh sekali sebuah kehidupan.

Jadi aku banyak bermuhasabah diri. Aku belajar meluruskan diri dan cara berfikir. Unlearn dan relearn. Ia proses berulang-ulang. Belajar dan terus belajar. Menuju DIA.

Oh ya dan Februari ini adalah bulan terakhir aku di kilang F. 

Sepatutnya hari ini aku sudah dipanggil bertugas ke tempat kerja baharu. Cuma aku minta penangguhan sebab aku nak cukupkan tempoh enam bulan. 

Ah lagipun tiada apa yang hendak dikejar di syarikat akhbar tersebut. Serba kalut dengan deadline, mungkin drama juga seperti dulu-dulu entahlah 'Ala Kulli Haal. 

Secara peribadi jika aku berjaya lepasi enam bulan ini ia ialah rekod paling lama aku bekerja kilang.

Tiada daya dan tiada kekuatan kecuali dengan pertolongan ALLAH SWT semata-mata.








Sunday, January 17, 2021

Catatan Januari

JANUARI ini, masuk bulan kelima aku bekerja di kilang F dan menyewa di Bandar Cassia. 

Bulan depan, 28 Februari kontrak aku tamat. Hati melonjak tak sabar melewati hari-hari berlalu. Ah realitinya, belum tentu ada kerja lain menanti di hari depan. 

Aku macam rasa nak balik kampung. Teman mak yang keseorangan di sana. Kadang-kadang ditemani tok yang sudah mencecah usia 80 tahun ini.

Tentu tok lebih selesa di rumah sendiri. Buktinya, bila ada anak-anak mak yang balik, tok tidak akan betah duduk berlama-lama. 

Tapi, kawan-kawan cakap, kebarangkalian untuk diserap sebagai permanent staff agak tinggi. Cuma, aku sendiri tidak pasti mahu kekal atau pergi. 

Musim pandemik ini, rasa macam mustahil dapat balik kampung dalam waktu terdekat walaupun jaraknya cuma 70 kilometer. 

Hati kecilku memberontak, bukan virus yang sebenarnya memisahkan aku dan kampung halaman tapi undang-undang.

Masa aku menganggur hampir 10 bulan lalu, aku pernah mengadu stress kat mak  sebab susahnya nak dapat kerja. Rasa macam nak 'lari' dari rumah. Mak kata larilah dan ketawa.

Tapi bila aku dapat kerja kilang di Penang mak kata, jadi Alang nak tinggal maklah? 

Aku kata, alah Alang bukan tahan sangat kerja kilang. Entah-entah hari pertama Alang dah cabut lari balik kampung. 

Mak aku ketawa lagi. Tapi end up dah hampir lima bulan di sini.

Ah, entah-entah lepas habis kontrak, aku apply kilang lain dekat-dekat sini juga nanti. Secara peribadi, aku lihat, kerja kilang antara sektor yang ada banyak vacancies musim virus ini. 

Sekarang, biarpun dalam suasana PKP, masih banyak kilang memerlukan ramai operator yang mungkin aku boleh cuba nasib mohon (lagi) itu saja la mampu.

Ironinya, aku sendiri tak pasti mahu jadi apa atau buat apa. Kalau boleh aku hanya mahu buat kerja senang dan tak memeningkan kepala. Serasa aku tidak peduli lagi langkah aku mundur ke belakang. Pendek kata, cita-cita aku sudah mengecil. 

Teringat, ex-roommate di rumah pertama yang aku pernah sewa semasa kat sini selama sebulan sebelum aku pindah ke Halaman S. 

Bila aku kata aku kerja kilang, dia sangka aku engineer di sana. Sebab ada banyak buku di bilik aku. Tinggi bersusun-susun.

Sebenarnya kalau dia tengok betul-betul kebanyakannya buku self-help, puisi, novel, naskah agama) selain timbunan koleksi diari tebal (jurnal yang aku tulis sejak 2012) yang masih aku tulis sehingga sekarang.

Aku ketawa. Lucu. Ah dia sendiri engineer. Tentu dia lebih maklum seperti apa lazimnya sosok engineer itu sebenarnya.






Thursday, May 28, 2020

Rangkuman dua hari

27 Mei 2020

6.30 pagi. Yasin selepas Subuh. Main kejar-kejar di halaman dengan Hakim (6 thn) dan Adib (3 thn). Cabut / mencangkul rumput sebaldi (40 minit). Basuh kain. Mesin kelapa sembilan biji. Buat senaman sit up dan regangan badan dengan Hakim (20 minit). Sapu sampah.  Zohor. Angkat baju. Tidur pukul 3.30 petang. Bangun pukul 4.50 petang. Buang sampah di pekan. Bakar sampah. Malam: drama korea The Little Princess. Buat popia nestum. al- Mulk, al-Waqiah dan as-Sajadah. Masuk tidur pukul 1.30 pagi.

28 Mei 2020

6.43 pagi. Yasin selepas Subuh. 7.25 pagi senaman + berlari dengan adib dan hakim. Cangkul rumput sebaldi. 8.30 pagi mandikan adib + hakim. Basuh kain. Senaman sit-up 25 kali. Jual buku The Malay Dilemma RM30 di Carousell. Tidur petang pukul 1.05pm hingga 3pm.


Friday, May 22, 2020

Cerita semalam

Malam 29 Ramadan. Jarum jam menghampiri detik 10 malam. Aku rasa ingin menangis. Aku siapkan lipatan baju di ruang tamu. Beri kucing makan bihun goreng. Kemudian menyelinap masuk kamar, baring dan menangis tanpa suara sambil istighfar dalam hati. Lalu tidur.

Tuesday, May 5, 2020

Ramadan 2020

Ramadan kali ini mungkin bukan Ramadan terbaik untuk rekod peribadiku. Baru 11 Ramadan. Masih boleh diperbaiki.

Ya Allah, entah kenapa, hatiku sejak beberapa hari ini terasa begitu kecil. Emosi begitu mudah 'melimpah' dengan hanya secuit situasi yang kurang enak pada fikiranku. 

Diriku jadi mudah marah dan merentan. Sesungguhnya aku tidak marah kepada situasi dan orang yang terlibat dengannya. 

Aku cuma marah dengan diriku sendiri kerana mudah kalah dibadai arus perasaan. Ah aneh sekali diriku. Seringkali aku punya kesabaran untuk hal-hal yang lebih menyulitkan dan menyakitkan. 

Tetapi untuk perkara yang tersangat remeh dan senang-senang sahaja boleh selesai sebenarnya, kesabaran itu sudah tiada lagi ditempatnya. 

Entah kenapa aku fikir Ramadan yang dilalui terasa lebih baik ketika merantau di Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan semasa menjadi penghuni asrama di Sekolah D.

Barangkali ini kali pertama aku menyambut Ramadan ketika bergelar penganggur. Tiada lagi waktu sibuk-sibuk dan bekejar-kejar. Sepatutnya lebih mudah fokus ibadah.

Astagfirullhalazim. Ya Allah selamatkanku dari diriku sendiri. Ampuni aku. Ampuni hambu-Mu Ya Allah.

Wednesday, February 12, 2020

Aku penganggur I


Walau tiada gaji,
Kerjaku banyak juga.
Bangun awal pagi, tunai kewajipan pada Ilahi hantar Hakim (6 tahun) ke pra sekolah. 
Kadang-kadang Hakim nak aku mandikan. 
Selalunya ada drama sebabak bilik air.  Menangis meraung-raung bagai didera. Tak mahu mandi.  Mahu air panas. Kata kuncinya, tidak mahu ke sekolah (ah, aku dulu dari peringkat tadika, rendah, menengah sampai tingkatan enam malas juga ke sekolah).
Cat dinding dapur sempena Aidiladha (sebab adik-adik di perantauan sudah boleh balik dan semangat sikit nak berhari raya).
Mesin rumput (yang ini tidak begitu mahir sebenarnya).
Pada hari-hari biasa, mengemas, menyapu membersihkan rumah tempat kami berteduh. Membasuh pinggan dan baju.
Konsisten supaya semuanya rapi dan terjaga. 
Memasak untuk keluarga. Belajar masak tauhu bergedil, seri muka, kek marble, dadih, tauhu berlauk, laksa, mi kari, martabak (ejaan mengikut DBP) nasi goreng kedai kata Along. Mesin berbelas biji kelapa saban minggu untuk dibuat kerisik jualan emak.
Main basikal dan Lego dengan si Adib empat tahun supaya dia melupakan gajet.
Jadi pemandu, peneman, tukang angkat barang. Ah apa-apa sahaja untuk keluargaku. Tidak apalah aku sedia berkhidmat dan apa yang aku lakukan masih terlalu sedikit. Kerana, belasan tahun aku merantau, baruku nampak dengan lebih jelas terlalu banyak perkara dan urusan perlu dibantu sokong menyokong. Semua orang punya tugas.
Lalu engkau pun bertanya, 
"Buat apa sekarang? Sudah dapat kerja?"
Jawabku ringkas "tak buat apa-apa duduk di rumah saja"

Saturday, November 17, 2018

Pause

Hari ini Sabtu. Sedang menunggu keajaiban. Kalau tak ajaib, aku yang akan ghaib nanti.

Terlintas di fikiran, mahu lari jauh-jauh. Hilangkan diri M.I.A. Puncanya, ada beberapa 'drama' menyerabutkan berkaitan kerja berlaku pada aku minggu ini.

Satu daripadanya, bos minta aku ganti rakan setugas di Meja Rencana tulis rencana utama sempena Maulidur Rasul untuk siaran Selasa. Sebabnya, rakan tersebut, F outstation di Sarawak dan tak dapat balik ikut tarikh yang ditetapkan. 

Sebenarnya F sendiri baru joint Meja Rencana merangkap jadi bidan terjun ganti seorang kawan yang 'pindah meja' dan sepatutnya bertanggungjawab cover topik itu.

Sejujurnya, kepala aku jeng kreng ibarat wayar berselirat sama kusut dengan paparan tab pada browser di handphone dan PC berkaitan tajuk tu hehe.

Rasa berdebar, bimbang sebab setakat pukul 4 petang, aku masih tak dapat lock interview (subjek untuk temubual pun tak ada) pendek kata belum dapat apa-apa topik untuk highlight.

Lepas solat Asar berjemaah di surau office tadi aku doa sungguh-sungguh, Ya Allah, hamba nak tulis tentang hari kelahiran kekasih-Mu, hamba nak tulis perkara yang baik. Hamba mohon ihsan, bantuan, pertolongan Mu Ya Rabbi berikan ilham dan jalan.

Alhamdulillah, pukul 5.36 petang, aku dapat text seorang penganjur event Festival Maulid di Batu Caves, Selangor. Tiada rotan akar pun jadi. Jujurnya, hati dipagut bimbang. Adakah pengisian acara itu nanti dapat diolah menjadi artikel tiga muka surat?

Lebih drama lagi, esok (Ahad) aku janji dengan kawan nak pergi event run di Taman Botani Shah Alam. Ah redah saja. Jika difikirkan soal kerja memang tak akan habis. Mungkin boleh chill dan boleh release stress sikit lepas beriadah. 

Cadangnya, pukul 7 pagi ready lari, mungkin ambil masa 40 minit ke sejam (untuk jarak 5KM). Kemudian,terus gerak ke Batu Caves. 

Oh jangan lupa bawa baju salin dan tuala. Harap boleh berhenti di mana-mana toilet masjid atau surau untuk mandi. 








Sunday, November 4, 2018

Aku ok

Aku tak apa-apa. 
Cuma berhenti menjadi orang yang tidak aneh menurut sangkaanmu.

Monday, January 2, 2017

Kerja kosong

Tuhan tidak pernah iklankan jawatan kosong untuk kau ambil alih kerja-NYA

Friday, May 6, 2016

random 2

aku ada kawan yang sangat ceria dan bersemangat.
dia ada bell palsy dan tidak boleh senyum atau tunjuk reaksi wajah seperti kelaziman.
sebaliknya, dia selalu ada ekspresi muka berkerut dan macam fikirkan sesuatu.
tapi aku tetap nampak ketawa dan senyumannya lewat kiriman teks di WhatsApp.
hakikatnya dah lama aku tak nampak dia post gambar yang menampakkan keadaan dirinya di laman sosial.
aku teringin katakan ini padanya:
aku kagum dengan kau. bell palsy tidak mampu bunuh sinar bahagia pada mata kau
tapi sampai sekarang aku hanya diam
aku tidak ingin dia sedar bahawa aku tahu bell palsy ada dia.



kata-kata ringkas untuk hari ini

am, jangan berhenti kerja. hari yang buruk akan berlalu hari yang baik akan datang lagi.