Kilang F (September 2020- Februari 2021)
Pada 28 Ogos 2020 (Jumaat) aku bangun awal solat Subuh dan kata pada mak yang aku tak nak pergi kerja dan mungkin tidak akan pergi lagi ke kilang pada hari-hari seterusnya.
Kira-kira pukul 11.30 pagi, pegawai Perkeso dari Taiping tempat aku mendaftar urusan Sistem Insurans Pekerja (SIP) beritahu melalui WhatsApp ada interview kilang F di Alor Pongsu pada keesokan harinya.
Kebetulan. Semasa aku mecongak-congak fikir nak apply kerja apa mesej itu muncul. Aku perhatikan sebenarnya ada banyak kerja kosong yang diiklankan di media sosial dan pelbagai platform lain.
Persoalannya adakah kerja itu sesuai dengan aku atau aku boleh menyesuaikan diri dengan kerja tersebut.
Berbalik soal temuduga esok, waktunya 9 pagi hingga 4 petang di pejabat penghulu. Tapi aku terbangun agak lewat dan bertolak sekitar pukul 11 pagi.
Aku singgah di sebuah kedai di Pekan S fotostat salinan kad pengenalan dan sijil SPM.
Aku rupa-rupanya tersalah waze dan parking agak jauh berjalan kaki dan tanya pada orang di mana pejabat penghulu. Ada seorang pak cik tunjukkan dan dia kata:
"Hari ini Ahad. rasanya pejabat penghulu tutup". Sesampainya di sana, memang betul kata pak cik berkenaan. Pintu pagarnya dari jauh sudah nampak terkunci rapat dengan rantai dan mangga.
Setelah diamati alamatnya sedikit berbeza dengan pejabat penghulu yang sepatutnya aku pergi.
Aku teruskan pencarian. Azan zuhur sayup-sayup berkumandang. Radio IKIM masa itu memutarkan lagu Syarat Bercinta nyanyian InHeart.
"Pertama jagalah imanmu,
adabmu,
caramu,
solat engkau lima waktu,
cukup saja,
tiada ragu,
hormat mama papa aku,
tutur kata enak bagai sutera....
Nice juga lagu ni. Sedikit sebanyak menghibur hatiku yang gundah gulana belum jumpa destinasi yang dicari.
Semakin lama aku semakin jauh dari titik location yang sepatutnya. Waze akhirnya membawa aku melalui sebatang jalan sempit belakang rumah orang berdekatan ladang kelapa sawit.
Aku berhenti. Berfikir sejenak sebelum menghalakan kereta ke jalan besar. Berhenti di hadapan sebuah bengkel kereta yang kelihatan seperti dibuka dekat dengan rumah persendirian.
Pekerja bengkel kelihatan menjenguk mungkin hairan aku berhenti di hadapan kedai mereka tapi tak turun.
Aku berdoa. Istighfar dan kemudian aku tengok semula poster dan hubungi nama person in charge interview tu.
Alhamdulillah dia jawab dan kemudian share location yang sepatutntya. Aku pun gerak dan Alhamdulillah parking betul-betul sebelah pejabat penghulu dan melangkah masuk dengan teragak-agak.
Masa itu cuma ada aku dan seorang remaja lelaki. Baru tamat SPM katanya. Dia kata tadi ada beberapa orang disuruh balik sebab tak bawa sijil SPM.
Aku isi borang dan jawab test yang ada beberapa soalan matematik dan bahasa Inggeris asas.
Masa hantar jawapan, rupanya ada beberapa soalan matematik yang aku salah jawab. Mungkin sebab fikiranku menerawang tak fokus. Mungkin sebab kelam-kabut operasi tolak aku buat tambah.
Tapi penemuduga baik hati. Dia minta aku jawab semula. Kalau nak bagi betul semua pun boleh. Aku pun jawab semula dan lulus temuduga peringkat pertama.
Peringkat kedua aku ditanya seorang lagi penemuduga tanya beberapa soalan.
1. Boleh kerja syif 12 jam?
2. Boleh kerja berdiri?
3. Boleh pakai jump suit?
4. Boleh naik bas dua kali?
5. Boleh tengok barang guna mikroskop?
6. Boleh berpisah dengan kawan?
7. Boleh kerja kontrak enam bulan?
Sudah pasti aku jawab ya semua boleh. 1 September aku perlu lapor diri di kilang F, Batu Kawan. Proses temuduga kurang dari 10 minit.
Dalam hati ada sedikit ragu. Bolehkah aku bertahan sekurang-kurangnya enam bulan.
Sangat mudah. Tidak perlu isi borang yang begitu rumit. Tidak perlu juga buat pemeriksaan kesihatan.
Kata mak, mudah sangat dapat kerja tu. Tentu kerjanya susah dan ramai orang berhenti.
Aku melihat komen-komen di bawah iklan itu dan lihat poster pengambilan pekerja yang lama-lama juga untuk survey respons orang yang pernah bekerja di situ.
Cuma aku tertarik dengan satu komen. "Lebih baik kerja enam bulan dari enam bulan tak ada kerja"
Kontrak direct kilang bukan under agent ada caruman KWSP dan Parkeso. Ada cuti tahun. Cuma tiada bonus akhir tahun.
Berulang kali aku memanjatkan doa. "Ya Allah sebagaimana urusan aku mendapat kerja ini mudah, Engkau mudahkanlah sehingga ke akhirnya".
Aku hubungi kawan minta tolong untuk tumpang rumahnya sementara dapat kerja.
Baru aku sedar, ia adalah syarikat yang sama pernah aku kerja lepas STPM. Cuma plant saja lain dan aku tidak bercadang untuk menaiki bas kilang seperti dulu-dulu.
Bila tarikh lapor diri tiba, aku drive dan dapati agak jauh dari rumah kawanku. Training dua hari dan aku dapat sebuah sewa sebuah bilik sharing di Taman Seroja RM200 sebulan.
Tapi bilik itu hanya akan kosong pada 15 Oktober dan tuan rumah sudi tempatkan aku di bilik single bernilai RM300 di Pangsapuri Suria buat sementara waktu dan cuma perlu bayar RM200.
Jadi dia benarkan aku sewa bilik single di pangsapuri pada harga yang sama sehingga tarikh tersebut.
Hari ketiga, aku diminta lapor diri kepada supervisor department S. Pukul 6.50 aku kena ada dalam line.
Aku semangat turun seawal pukul 5.30 pagi dari rumah kawan dengan bawa semua barang-barang untuk terus pindah ke rumah baru selepas hari bekerja.
Hujan renyai-renyai dan baru aku sedar mengapa aku secara tak sengaja terbawa baju hujan dalam bagasi.
Jadi aku sarung baju hujan angkut barang penuh di kiri dan kanan tangan menapak perlahan-lahan ke arah kereta.
Perasannya melankolik. Seorang diri angkut barang berbondong-bondong. Gelap. Hujan. Aku pula keluar senyap-senyap bagi pencuri kerana tak mahu menganggu kawanku yang sedang nyenyak tidur.
Dalam perjalanan, nasibku tidak begitu baik. Aku terlepas simpang dan sesat sedikit. Aku fikir adakah ini satu petanda yang aku tak patut bekerja di kilang tersebut?
Tapi aku teringat buku berjudul Inspirasi Sukur yang pernah aku baca.
Beliau tulis lebih kurang bunyi begini:
"Kita tak perlu petanda untuk tahu kita akan berjaya atau tidak. Kalau kita tidak cuba atau usaha memang kita tak akan berjaya".
Aku jadikan kata-kata itu penguat semangat yang sedikit goyah. Aku sampai agak lewat pukul 7.10 pagi.
Kebetulan ada kawan satu batch aku dalam empat orang dari Bagan Serai. Mereka lambat sampai sebab bas kilang mereka lambat. Jadi aku bergabung dengan mereka dan menunggu nama kami dipanggil semula.
Tidak lama selepas itu, supervisor Encik A bawa aku ke line S tempat produk headphone. Line itu dipanggil S Right tempat part headphone sebelah kanan dipasang.
Tiba-tiba aku teringat surah al-Waqiah yang ada menyebut mengenai 'golongan kanan' tapi aku sudah lupa konteks ayatnya.
Aku ditempatkan di mesin HM. Barangnya hanya sebesar serpihan potongan kuku. Nipis. Kecil dan berwarna merah. Aku panggilnya kuku merah.
Aku perlu ambil satu komponen berwarna putih menggunakan tweezer, letakkan ia di atas kuku merah. Press guna mesin HM.
Putih pula sifatnya ringan. Mudah koyak dan berterbangan. Lebih banyak yang berterabur di atas lantai dari unit yang siap diproses.
Aku panik. Rasa macam nak lari. Jauh dan tak ingin balik-balik lagi. Kesal menjentik tangkai jiwa.
Pukul 9.15 pagi line leader datang ke tempat aku. Dia minta aku pergi break 45 minit. Wah awal juga. Peluang baik. Ya aku fikir nak balik.
Aku beli makanan makan cepat-cepat. Tekadku bulat. Aku berjalan laju-laju menuju ke kereta. Bila sampai dekat kereta, aku ditahan seorang gadis. Mungkin usianya sekitar 20-an.
"Tumpang tanya, tandas di mana ya? soalnya. Barangkali dia datang ke kilang untuk temuduga sebab kilang itu memang tengah rancak ambil orang baharu.
Aku katakan, mari saya tunjuk. Aku spontan bawa dia masuk ke dalam kilang. Aduhai alang-alang sudah ada dalam kilang takkkan aku nak menysup keluar balik. Nampaknya aku kena teruskan juga ini.
Aku menapak naik ke tingkat tiga tempat department S berada. Kali ini aku cuba bersungguh-sungguh.
Terus usaha!!! jerit hatiku kepada diri. Tak boleh patah balik lagi. Aku tak boleh jadi loser. Paling penting aku tak boleh jadi manusia yang mungkir janji. Aku luruskan niat dan fikiran.
Aku dah janji nak sewa rumah Kakak L. Aku dah janji kena bagi notis dua minggu kalau nak berhenti.
Jadi aku teruskan bekerja. Lepas pukul 12 aku sudah pandai sedikit. Pukul 4 petang ada seorang jurutenik ambil timer aku buat kerja. Tidak laju. Tapi tidak juga begitu lambat. Ya masih terkial-kial.
Hari kedua dan ketiga aku sudah perlahan-lahan membiasakan diri.
Hari kelima entah bagaimana mesin aku bermasalah. Tapi aku tidak tahu bezakan barang yang reject atau OK semasa proses inspection.
Oh aku inspection barang guna komputer. Mikroskop (atau apa ya namanya alat itu aku tak pasti) disambung terus pada komputer jadi boleh tengok reflection barang yang dibesarkan melalui skrin komputer dari jauh sahaja.
Banyak juga rupa-rupanya reject.
Bahagian yang bagus, line leader dan supervisor di department bukanlah jenis orang yang suka marah-marah tak tentu pasal.
Mereka tegas dan agak garang (anak buah ramai kalau lemah gemalai tak tahu apa akan jadi) tapi aku kagum juga dengan mereka yang setiap hari tanpa gagal support line supaya dapat output.
Aku tekad untuk buat lebih baik. Hari keenam aku kerja, leader benarkan beberapa stesen termasuk di bahagian aku untuk duduk.
Alhamdulillah nikmatnya dapat duduk. Aku telefon beritahu mak dengan nada bergurau aku beritahu cuma kerusinya keras. Kataku kepada mak, bila duduk lama-lama sakit pinggang.
Hakikatnya, leader pun guna kerusi yang sama. Adil. Aku katakan pada diri, datang untuk bekerja bukan untuk duduk selesa. Dapat menghilangkan lenguh berdiri sudah cukup.
Mak ketawa dan keluarkan nasihat berdas-das. Seiring peningkatan usia, leteran mak terasa bagai lagu merdu. Aku akan dengar dengan tekun dan hadam satu persatu.
Hari-hari yang berlalu terasa makin mudah. Tempat duduk pun jauh-jauh lebih dua meter dan aku duduk agak terasing dari orang lain.
Aku selesa dengan keadaan tersebut dan dalam kebanyakan masa aku selalu berzikir dan menyanyi pelbagai jenis lagu.
Boleh dikatakan semua genre aku nyanyi daripada nasyid/ketuhanan sampailah lagu rock. Tidak terkecuali juga lagu bahasa Inggeris dan lagu Jepun dari OST anime yang aku tahu.
Seperkara lagi aku perlahan-lahan berlajar hafal doa-doa masa bekerja. Ada beberapa doa yang paling aku suka ulang lafaz kerana secara peribadi aku rasa ia sangat meninggalkan kesan pada diri aku.
Ia sebenarnya disusun dalam bentuk irama nasyid oleh Erwan - Muhibbain. Ada dimuat naik di laman perkongsian video YouTube.
Ada satu berjudul Semuanya yang maksud doa lebih kurang begini: Ya Allah dengan rahmat-Mu ku pinta. Jangan biarkan aku kepada diriku sendiri. Perbaikilah urusanku Ya Allah. Semuanya. Semuanya Ya Allah.
Ada satu lagi berjudul Bantulah Aku. Maksudnya: Ya Allah Ya Tuhanku. Tolonglah aku dan bantulah aku dalam mengingati-Mu dan bersyukur kepada-Mu...dan dalam memperelokkan ibadahku kepada-Mu. Hanyalah kepada-Mu.
Bunyi mesin yang agak kuat menenggelamkan suara aku dan aku hatiku senang begitu. Di situ aku belajar. Bahagia itu sederhana.
Ia mungkin kecil, sedikit, sangat sekejap dan semestinya tidak menjadi milik kita selama-lamanya. Tapi ia tetap membahagiakan. Bahagia cara kita. Bahagia yang Allah pinjamkan untuk kita. Alhamdulillah.
Aku fikir itulah bahagian terbaik dan kelebihan itu tak aku peroleh di lama kilang lain yang pernah aku kerja sebelum ini.
Aku pernah menulis di diari jingga aku. Notanya lebih kurang berbunyi begini.
"If you don't like where you are, MOVE. You are not TREE" - Jim Rohn.
Tapi kata-kata itu tak mudah aku apply sepanjang aku menjalani hidup sebagai pekerja kilang.
Ada banyak lagi sebenarnya kata-kata yang aku tulis dalam jurnal dan kebanyakannya tidak relevan dengan situasi yang aku alami.
Ada banyak perkara yang perlu aku pertimbangkan sebelum bertukar kerja. Meskipun banyak rules yang aku kena akur. Ah tak mudah nak larikan diri walaupun aku bukanlah sebatang pokok!
Beratur (selalunya barisan panjang sekali) masa scan masuk, perlu imbas wajah di skrin yang data suhu dan pengesahan identiti akan terus masuk dalam sistem (ambil masa juga ini) sebelum scan badge dan beritahu suhu pada petugas di bahagian keselamatan.
Masa break atau nak ke tandas atau surau perlu scan badan dan pastinya perlu beratur juga. Serba renyah dan melecehkan.
Masa nak beli makanan juga kena beratur panjang. Akses lif juga tidak dibuka untuk operator. Naik turun naik tangga tiga tingkat. Melelahkan. Amat.
Masa itu aku hanya mampu melemparkan segaris senyum pasrah pada diri sendiri. Aneh sekali sebuah kehidupan.
Jadi aku banyak bermuhasabah diri. Aku belajar meluruskan diri dan cara berfikir. Unlearn dan relearn. Ia proses berulang-ulang. Belajar dan terus belajar. Menuju DIA.
Oh ya dan Februari ini adalah bulan terakhir aku di kilang F.
Sepatutnya hari ini aku sudah dipanggil bertugas ke tempat kerja baharu. Cuma aku minta penangguhan sebab aku nak cukupkan tempoh enam bulan.
Ah lagipun tiada apa yang hendak dikejar di syarikat akhbar tersebut. Serba kalut dengan deadline, mungkin drama juga seperti dulu-dulu entahlah 'Ala Kulli Haal.
Secara peribadi jika aku berjaya lepasi enam bulan ini ia ialah rekod paling lama aku bekerja kilang.
Tiada daya dan tiada kekuatan kecuali dengan pertolongan ALLAH SWT semata-mata.
