Sunday, February 28, 2021

Pindah I

23 Februari (Selasa) lalu merupakan hari terakhir  aku bekerja di Kilang F yang jatuh pada syif malam pada minggu tersebut.

Memandangkan kilang memang cuti Jumaat, Sabtu dan Ahad, aku apply cuti tahunan pada hari Rabu dan Khamis.

Masa itu cuti tahun aku cuma tinggal 1.53 hari jadi baki 0.5 hari lagi aku apply cuti tanpa gaji melalui sistem pekerja secara online.

Alhamdulillah supervisor approved. Cara pengiraan cuti tahunan di sini agak unik aku rasa (mungkin kebanyakan tempat lain juga begitu cuma aku tidak pernah tahu sebelum ini).

Setelah aku teliti rupa-rupanya kiraan cuti tahunan pekerja mengikut sistem yang dikemaskini secara automatik ialah lebih kurang ialah 0.034 sehari.

Dalam tempoh enam bulan aku bekerja, aku dapat 7 hari cuti tahunan.  Cumanya, kebanyakan cuti sudah digunakan sempena cuti Hari Krismas dan cuti Tahun Baharu 2021 . 

Puas hati dapat bercuti dalam 12 hari juga campur dua public holiday tersebut dan cuti wajib Jumaat Sabtu dan Ahad selepas empat bulan berkempas pulas pulun OT dan hanya dapat cuti sehari sahaja seminggu.

Aku tanya HR apa status aku lepas tamat kontrak enam bulan. Kata mereka, aku secara automatik akan diserap sebagai pekerja tetap pada Mac.

Tapi terpulang pada aku untuk sambung atau tidak.  Aku katakan sudah dapat tawaran kerja lain.

Berbalik kepada kisah last day aku bekerja. Aku ada bawa satu beg mengandungi 60 pek coklat untuk dihadiahkan kepada kawan-kawan.

Detik dramanya ialah apabila aku dah siap loading barang dalam kereta aku tertinggal kunci dalam rumah dan dengan yakinnya terus lock pintu. Kasut kerja belum bawa keluar. Jam ketika itu sudah menginjak ke pukul 6.30 petang.

Aduh. Adakah aku perlu terus balik kampung tak payah pergi kerja. Bisikku alah sekali ini sahaja aku bukan pernah ponteng. 

Lagipun semua penghuni rumah kerja kilang. Takkan balik punya kalau belum pukul 7 petang.

Aku cuba nasib  text dalam group rumah dan nasib baik roomate aku beritahu dia boleh cuba balik awal sikit.

Ajaibnya, roomate aku A kerja di bahagian akaun dan purchasing di kilang H sangat jarang (jujurnya aku rasa aku tak pernah tengok dia balik dalam lingkungan pukul 6pm) dapat balik awal apatah lagi menghampiri hujung bulan sebab nak tutup akaun.

6.42 petang housemate aku yang baik hati itu hantar voice note WhatsApp beritahu dia sudah dekat dan Alhamdulillah dia sampai tak lama kemudian.

Dalam tempoh kurang 15 minit tu aku pecut ke kilang nasib baik jaraknya tak begitu jauh dan jalan tak sesak.

Lepas scan badge suhu etc di aras bawah aku berlari naik tangga ke tingkat tiga. Ya aku berlari dan tercungap-cungap bernafas sebaik sahaja tiba di atas.

Sampai di tempat scan kasut jam besar di dinding kilang menunjukkan pukul 7.02 malam. 

Tapi masa scan, kasut anti-statik yang aku pakai menunjukkan keputusan failed dan bukan pass seperti kelaziman.

Aku tak pasti kenapa. Mungkin kasut dah rosak sebab dah pakai dekat enam bulan atau mungkin sebab aku berlari dan caj elektriknya jadi tinggi. Eh boleh ke macam tu? Hehe pokoknya aku pun tak tahu.

Aku pergi ke stesen aku buat kerja tapi rasa tak sedap hati pakai kasut yang failed. Lagipun selepas pukul 7.30 supervisor biasanya akan terima report result kasut. 

Dalam 10 minit aku pun keluar balik di pintu lain pergi mesin test lagi satu di luar line dan bila test memang sah failed.

Sebelum 7.30 malam aku beritahu leader kata kasut failed dan dia kata tak apa dan aku terus buat kerja.

Pukul 2.30 pagi leader tanya aku bila aku last day. Aku jawab hari ini dan dia minta aku train bakal pengganti aku di stesen X dan Y.

Aku pun ajar budak tu dan nampak dia agak gelabah (mungkin mamai juga) dan buat banyak reject. Ah aku pun dulu begitu juga. Sehari dua lagi tentu dia boleh buat dengan lebih cekap dan pantas.

Pukul 6 lebih gitu aku minta tolong leader edarkan coklat dekat kawan-kawan di line.

Yalah takkan aku nak berjalan-jalan dalam line edar coklat macam wakil rakyat pula.

Output kena ligan weyh. Lagipun aku fikir nak buat stok lebih sikit untuk hari esok dengan harapan dapat memudahkan kerja kawan-kawan.

Tapi aku tahu mereka boleh handle dan ah setakat aku berhenti seorang apalah sangat cuma aku rasa alang-alang dah pergi kerja nak bagi yang terbaik dari awal sampai akhir.

Masa itu rasa terharu pula masa kawan-kawan di line lambai ucap good luck etc. 

Team work di sana memang terbaik dan hormat orang tua (aku paling tua dalam line termasuk lebih tua dari leader dan penolong leader hoho)

Aku sempat SMS supervisor ucap terima kasih approved cuti yang aku apply last minute dan beliau ucap selamat maju jaya dan doa moga aku berjaya di luar sana.

Sebelum balik aku pergi bilik pengawal dan pulangkan badge.  Maka berakhirlah hari aku pada hari terakhir di kilang F dan terus pecut balik kampung. 

Alhamdulillah. Terima kasih Allah untuk semuanya.





kata-kata ringkas untuk hari ini

am, jangan berhenti kerja. hari yang buruk akan berlalu hari yang baik akan datang lagi.