Monday, February 15, 2021

Dipanggil temuduga

Satu pagi 4 Februari (Khamis) seorang senior di syarikat akhbar X telefon. Sebenarnya semalam dia sudah WhatsApp bertanya khabar dan buat apa sekarang.

Aku kata, "saya kerja kilang sekarang bang".

Dia tanya pada aku sama ada berminat tak nak joint akhbar X semula? Aku terdiam. Berfikir apa jawapan yang aku patut beri.

Takkanlah aku hendak kata: "Tak apalah bang. Terima kasih tanya. Tapi saya suka kerja kilang lagi" (hoih sukalah sangat hahaha)

Atau mampukah aku hendak kata: "Insya-Allah minat bang kalau diberi peluang"

Serius aku sudah tak larat nak kerja kilang. Aku juga rasa agak gerun mengenangkan tekanan bergelar wartawan semula.

Aku membayangkan hidupku yang akan menjadi kelam-kabut mengejar deadline, memandu ke sana ke mari menuju tempat tugasan dan berdepan saman parking dalam situasi mendesak.

Aku juga terfikir situasi-situasi random yang pasti tidak sunyi mengusutkan fikrian dan jiwa aku kelak termasuk mengalami sindrom mudah lupa sebab kepala banyak berfikir soal kerja.

Aku memikirkan keberangkalian 1001 keadaan yang aku sifatkan serba payah bakal menanti kalau aku kerja wartawan semula.

Ah mungkin aku exaggerate atau terlalu drama. Tapi jujurnya itulah yang aku sering rasai.

Tapi aku akhirnya dengan agak pantas memberi jawapan kedua. Tidak lama selepas itu, bos nombor satu akhbar tersebut call pula. 

Beliau minta aku hadir temu duga di KL secepat mungkin. Tapi aku rasa berat hati memikirkan kos, tenaga, masa dan kena mohon cuti yang agak leceh juga sebenarnya. 

Jadi beliau cadangkan sesi temuduga melalui Google Meet pada 8 Februari dan mujur aku bekerja syif malam pada hari tersebut.

Pada hari temuduga aku prepare jawapan untuk soalan yang biasanya gemar ditanya penemuduga seperti tell me about yourself yang mana aku compile sedikit sebanyak pengalaman aku sebagai wartawan sejak November 2011.

Tetapi soalan itu tidak ditanya sebaliknya aku mendapat soalan di luar jangkaan iaitu apa pandangan aku tentang story-story yang diketangahkan frontpage akhbar X sekarang.

Jawapannya aku goreng saja sebab sebenarnya lebih setahun lebih aku tak beli surat khabar. Aku cuma baca surat khabar lama yang bungkus nasi lemak yang biasa aku beli untuk sarapan saja.

Pada tahap aku sebagai pekerja kilang yang bekerja 12 jam empat hari seminggu dan bergaji kecil surat khabar bukanlah satu item keutamaan untuk dibeli.

Jika diperhatikan, ketiadaan beberapa akhbar termasuk akhbar X yang berdepan isu pemberhentian operasi dalam tempoh setahun tidaklah begitu mengubah kehidupan orang awam ditambah musim pandemik. 

Tapi aku fikir tindakan mempersoalkan kewujudan surat khabar seperti yang kerap aku dengar beberapa tahun kebelakangan ini seperti bukanlah begitu tepat.

Ada orang baca lagi ke surat khabar?
Siapa baca artikel macam ni?
Eh bukan surat khabar tu dah bungkus ke?

Kerana bagi aku mudah sahaja. Surat khabar itu boleh jadi dianggap penting untuk satu-satu kelompok dan boleh juga menjadi tidak penting kepada kelompok yang lain.

Berbalik kepada temuduga. Bos yang interview tanya bolehkah aku lapor diri di KL pada 15 Februari. Jawabku tidak boleh kerana aku beritahu kontrak aku memang akan tamat hujung bulan Februari.

Sebenarnya boleh saja aku cabut lari begitu saja. Cuma kali ini aku rasa nak pecah rekod peribadi - tempoh paling lama aku bekerja kilang dan tiada ponteng.

Aku fikir tiada apa yang perlu dikejar. Kalau dapat Alhamdulillah. Kalau tak dapat juga Alhamdulillah. Pendek kata, kalau dapat bagus. Kalau tak dapat juga bagus. 

Aku teringat kata-kata Allahyarham Syeikh Ali Jaber yang lebih kurang begini:

"Semua takdir adalah baik kerana kita tidak tahu apa rahsianya"

Sebelah petangnya bahagian HR mesej. Mereka minta isi borang dan minta nombor Perkeso serta KWSP. 

Esok paginya HR hantar surat tawaran kerja. Allah Allah Allah. Hanya kepada-Mu aku berserah.

kata-kata ringkas untuk hari ini

am, jangan berhenti kerja. hari yang buruk akan berlalu hari yang baik akan datang lagi.