Bulan depan, 28 Februari kontrak aku tamat. Hati melonjak tak sabar melewati hari-hari berlalu. Ah realitinya, belum tentu ada kerja lain menanti di hari depan.
Aku macam rasa nak balik kampung. Teman mak yang keseorangan di sana. Kadang-kadang ditemani tok yang sudah mencecah usia 80 tahun ini.
Tentu tok lebih selesa di rumah sendiri. Buktinya, bila ada anak-anak mak yang balik, tok tidak akan betah duduk berlama-lama.
Tapi, kawan-kawan cakap, kebarangkalian untuk diserap sebagai permanent staff agak tinggi. Cuma, aku sendiri tidak pasti mahu kekal atau pergi.
Musim pandemik ini, rasa macam mustahil dapat balik kampung dalam waktu terdekat walaupun jaraknya cuma 70 kilometer.
Hati kecilku memberontak, bukan virus yang sebenarnya memisahkan aku dan kampung halaman tapi undang-undang.
Masa aku menganggur hampir 10 bulan lalu, aku pernah mengadu stress kat mak sebab susahnya nak dapat kerja. Rasa macam nak 'lari' dari rumah. Mak kata larilah dan ketawa.
Tapi bila aku dapat kerja kilang di Penang mak kata, jadi Alang nak tinggal maklah?
Aku kata, alah Alang bukan tahan sangat kerja kilang. Entah-entah hari pertama Alang dah cabut lari balik kampung.
Mak aku ketawa lagi. Tapi end up dah hampir lima bulan di sini.
Ah, entah-entah lepas habis kontrak, aku apply kilang lain dekat-dekat sini juga nanti. Secara peribadi, aku lihat, kerja kilang antara sektor yang ada banyak vacancies musim virus ini.
Sekarang, biarpun dalam suasana PKP, masih banyak kilang memerlukan ramai operator yang mungkin aku boleh cuba nasib mohon (lagi) itu saja la mampu.
Ironinya, aku sendiri tak pasti mahu jadi apa atau buat apa. Kalau boleh aku hanya mahu buat kerja senang dan tak memeningkan kepala. Serasa aku tidak peduli lagi langkah aku mundur ke belakang. Pendek kata, cita-cita aku sudah mengecil.
Teringat, ex-roommate di rumah pertama yang aku pernah sewa semasa kat sini selama sebulan sebelum aku pindah ke Halaman S.
Bila aku kata aku kerja kilang, dia sangka aku engineer di sana. Sebab ada banyak buku di bilik aku. Tinggi bersusun-susun.
Sebenarnya kalau dia tengok betul-betul kebanyakannya buku self-help, puisi, novel, naskah agama) selain timbunan koleksi diari tebal (jurnal yang aku tulis sejak 2012) yang masih aku tulis sehingga sekarang.
Aku ketawa. Lucu. Ah dia sendiri engineer. Tentu dia lebih maklum seperti apa lazimnya sosok engineer itu sebenarnya.