Saturday, January 30, 2021

Pekerja kilang - cebisan kisah

Petang tadi, semasa tanganku pantas mengendalikan mesin HM yang menjadi rutin harian aku di line S, aku tertangkap perbualan seorang rakan.

Katanya, adakah kerja kilang  menjadi pilihan cita-cita setiap kali disoal ketika di bangku sekolah?
Ah, di kilang ada banyak position. Cuma yang dibangkitkan di sini, kerja operator biasa.

Barangkali mungkin ramai yang berkata tidak untuk pekerjaan tersebut.

Sebagai rekod, kilang F ialah kilang keenam aku pernah bekerja seumur hidupku.

1. Kilang CS (2005)

Kilang ini buat produk lampu LED. Aku kerja semasa tunggu SPM kira-kira tiga bulan lebih sebelum sambung STPM.

Paten syif 4-2. 12 jam. Ada syif. Aku jaga mesin yang dipanggil 2nd Shear. Gaji sekitar RM500++ saja pada ketika itu. 

Team di bahagian aku ditempatkan ada lebih kurang 8-10 orang saja termasuk leader (muda usianya 23 tahun)
dan technician. Ya tak ramai. 

Jujurnya, aku bukanlah pandai buat kerja sangat. Jarang dapat output. 

Tapi di sana, aku fikir tidak menjemukan dan masa tidak terasa lambat berlalu sebab ralit handle mesin (selalu tak terkejar dek kelajuan mesin sebenarnya hehe).


Proses berdiri dan duduk  Boleh berjalan beberapa meter untuk hantar lot yang dah siap dan ambil lot baru. 

2. Kilang SP (2007)

Kilang sarung tangan. Paten 6-1. Syif siang saja 12 jam. Gaji dalam RM600++ 

Bahagian paling best di sini ialah ramai kawan lebih 10 orang apply masuk kerja ialah kawan-kawan sekapal STPM yang tengah tunggu result. 

Kerjanya berat juga, kena loading barang dan timbang glove laju-laju untuk pekerja kontrak packing. Aku ingat bertahun-tahun juga effect sakit di bahagian bahu sebelah kanan.  

Lucunya, ada satu hari stok glove yang sampai pada aku tak elok  Bergumpal-gumpal. Jadi, bahagian packing buat sangat lambat. Aku dan partner timbang memang tak boleh sorok wajah gembira kami. 

Tapi kasihan (sebab mereka dibayar per kotak RM1 kalau tak salah) tengok muka mereka masam dan last give-up balik awal. 

Bila mereka balik, aku dan kawan-kawan timbang pula kena packing sambil sembang tentang masa depan. Precious moment. 

Masa bergabung tu kami bagi semangat antara satu sama lain. Masa kerja kilang ni aku makan banyak dan badan aku rasa macam athlete haha. 

Sebab berdiri 12 jam dan banyak berjalan juga. Bulan kelima aku kerja driver van kami mogok dan berhenti hantar pekerja sebab tak dapat payment. Jadi aku dan kawan-kawan pakat resign.

3. Kilang F (2007)

Selepas resign dari kilang SP, jiran aku ajak ikut van minta kerja kilang di Bayan Lepas, Penang. Kilang ini banyak exam. Syif 4-2. 12 jam siang dan malam. 

Aku paling suka smock labuh yang mengingatkan aku pada lab coat yang kami pakai di kelas Biologi. Smock tu boleh pakai bawa balik. 

Aku jaga mesin CP yang besar gedabak. Tapi aku kerja dalam sebulan saja sebab surat masuk U sudah sampai. 

Aku masih ingat wajah keruh supervisor dan buddy (aku ingat lagi rambutnya keriting perang dan diikat tocang kuda dan aku suka personaliti dia yang strong, confident walaupun dia sedikit garang). 


Yalah penat-penat mereka train orang blah macam tu saja. Cuma masa tu aku naif dan cuma rasa happy masa bagitau mereka dapat  offer letter tu. 

3. Kilang M (2011)

Kilang ni buat produk macam-macam. Ada TV (model lama yang besar di bahagian belakang), tandas dan part motosikal. 

Syif 6-1 kerja 8 pagi hingga 5 petang. Kilang ini kawan aku yang tengah cuti semester ajak apply. Lepas interview, kami terus mula kerja. 

Tapi dua orang kawan aku lari balik lepas break tengah hari. Kerja yang aku ialah gosok kertas pasir pada apa sahaja barang yang dibagi pada aku dan beberapa orang yang lain dan biasanya kami berdiri. 

Suasana agak panas dan berkuap sebab tiada aircond dan kipas (mungkin tak sesuai pasang sebab kilang berhabuk etc). 

Aku teringat pada seorang kakak cantik tapi ruas jari kukunya kelihatan agak bengkok dan berwarna kehitaman. Mungkin terlalu lama dia buat kerja gosok menggosok tu. 

Tapi wajahnya selalu dihias senyum dan dia rajin mengajak aku berbual-bual. Ada satu tempat kerja yang aku fikir paling 'selesa' di situ. 

Ia ruang belakang kilang dengan separuh bangunan tidak berdinding. Kami akan duduk (dalam lima hingga enam orang) di atas tong cat yang diterbalikkan dan melakukan kerja menggosok. 

Ah, itulah 'bangku' paling terbaik buat aku di kilang M. Di sebelahnya, ada bilik mengecat dengan pekerja menyarung sut (tak pasti material apa) dan gas protection mask. 

Bau cat industri memang kuat di situ dan mereka biasanya, akan duduk dal 15 hingga 30 minit sebelum rotate dengan orang lain. 

Bila keluar, mereka, akan duduk di atas tong cat dan buat kerja gosok macam aku. Jujurnya, ia situasi menginsafkan pada aku. Di situ aku banyak berfikir dan bermuhasabah diri. 

Kerja yang aku anggap menyakitkan tangan itu bagi mereka ada waktu berehat dan tempat paling selesa berbanding dalam bilik cat yang sempit dan berbau chemical. 

Ada ketikanya leader, yang kami panggil uncle, sudah agak tua. Orangnya baik dan sentiasa sibuk bekerja. Dia akan panggil aku minta tolong kira barang dan buat senarai. 

Kali pertama dia tanya pada aku, sama ada tau baca dan kira dan aku ingat ada beberapa kali aku tolong kirakan barang  sekali gus dapat berjalan-jalan dalam kilang sambil membunuh sedetik dua waktu menggosok. 

Sebenarnya, Kilang itu tiada kantin dan surau (aku teringat leader agak pelik bila aku minta izin untuk solat Zohor). 

Aku ambil wudhuk di paip kaki lima dekat luar kilang dan solat berlapikkan kotak dan masa tu tak ada phone canggih yang boleh tunjuk arah kiblat dan aku solat sahaja ikut ada tempat lapang. 

Aku tak nampak orang lain solat, sebab masing-masing tidak berhenti bekerja, sambung dari satu kerja ke satu kerja yang lain.


Aku pernah berbual dengan seorang brother yang kerjanya mengecat itu katanya sudah 12 tahun dia kerja di situ. 

Masa itu dia baru keluar dari bilik cat dengan peluh bersimbah membasahi wajah dan bajunya dia cepat-cepat capai kertas pasir duduk atas tong cat dan gosok barang bersusun yang dihantar pada kami. Aku hairan. Bagaimana dia boleh tahan begitu lama. 

Aku fikir gaji yang diperoleh mesti berkat kerana orang tidak berhenti bekerja melainkan waktu break. Ada juga seorang kakak usia lebih 40-an. 

Katanya, dia hari-hari akan OT sampai pukul 9 malam. Katanya boleh dapat dalam 2K. Yalah sudah kerja lama lebih 10 tahun, kerjanya pula berat, berdiri saja dan tangan pula sentiasa pantas  bekerja. 

Katanya, setiap hari tidur pukul 12 malam qada solat Zohor, Asar dan Maghrib. 

Seperkara lagi, aku tidak pasti rupa tandas kilang kerana aku tak pernah pergi sementelah aku bekerja sekejap sahaja dan bagi surat resign sehari selepas dapat gaji. 

Seingat aku, ada seminggu lebih yang aku tak datang sebab pergi interview kerja di KL dan konvo. Puan HR call dan bertanya ringkas adik masih nak kerja ka?

Esoknya aku datang. Beberapa hari kemudian, dia bagi slip gaji hasil kerja beberapa belas hari itu aku dapat dalam RM300++ dan esoknya pula aku bagi surat resign.

Apa yang aku perasaan riak wajah HR itu tenang saja dan tidak menunjukkan tanda-tanda marah. Aku tak tahu sama ada dia fake atau dia betul-betul tak kisah (sejak dulu aku ada habit suka menebak air muka orang).

Dia senyum sahaja bila aku dengan muka tembok dan tak tahu malunya kata, "akak baki saya bekerja ada lagi enam hari harap boleh masukkan dalam akaun saya ya".

Tapi sudahnya aku tak perasan baki gaji yang beberapa hari bekerja tu dimasukkan atau tidak sebab gaji bekerja sebagai pemberita daerah di organisasi B turut menggunakan akaun bank yang sama.

Bersambung...

kata-kata ringkas untuk hari ini

am, jangan berhenti kerja. hari yang buruk akan berlalu hari yang baik akan datang lagi.