Wednesday, September 18, 2024

Tenang dalam ribut - refleksi pewarta rojak

Semalam aku tidur pada jam 2 pagi (tapi kalau pukul 2 pagi bukankah sudah dikira sebagai hari ini, haha) selepas menggosok baju kemeja dan seluar yang akan aku pakai untuk liputan mahkamah pagi ini.

Sudah lama tak 'rajin' begini, gosok baju pada sebelah malam. Biasanya kalau ada tugasan pagi, masa itulah semua benda nak dibuat—pilih pakaian, cari stoking, dan sebagainya—sampai selalu kelam-kabut dan terkejar-kejar untuk keluar assignment.

Jadi, aku fikir, lebih baik malam ini aku bersiap-siap dulu—caj laptop, kemas sedikit bilik, dan pilih pakaian untuk esok—supaya pagi nanti tidak tergesa-gesa. A slow morning is the best start, right?

Aku rasa tak lama aku tidur, aku bermimpi mengeluarkan kereta dari tapak parkir yang macam kompleks perumahan bersambung dengan bangunan pasar. Masa itu dah lewat malam, hampir menganjak ke pagi.

Dalam suasana lampu jingga, situasinya macam baru balik tugasan malam dan perlu keluar dari situ sebelum pasar buka. Tapi aku memandu ke ruang yang salah; sepatutnya aku perlu mengundur untuk membelok keluar dari ruang parkir yang sempit, melalui depan pasar.

Aku sedar kesilapan selepas nampak kereta lain keluar melalui jalan tersebut. Laluan yang aku salah masuk itu berakhir dengan dinding dan ada pintu lif. Aku terjaga. Aku kata pada diri, "Mimpi apa ni, alahai. Tak bestnya rasa di hati."

Kelam dalam cahaya lampu remang, 'terkandas' pula di tempat parkir hampir dinihari.

Aku cuba melelapkan mata semula. Sebelum terjaga dalam mamai, bilik aku rasa tidak gelap pekat, tetapi macam ada cahaya putih berbalam-balam masuk dari tingkap. Adakah sudah masuk waktu Subuh? Aku tak dengar azan pula. Suasana di luar sunyi sepi. Mungkin itu cahaya bulan.

Mata aku berat, dan aku tidur semula. Kemudiannya aku bermimpi sekali lagi. Dalam mimpi itu, aku sedang berbual dengan Joon-Gi. Dia kelihatan macam memujuk aku dengan suara yang lirih dan rendah. Mungkin aku sedang marah atau merajuk, aku tak pasti (aww gedik).

Kemudian Joon-Gi menemaniku (atau aku yang menemaninya sebab aku tak tahu atau tak ingat kenapa aku berada di situ) masuk ke kawasan yang macam pasar lagi. Tetapi suasananya sedikit terasa berbunga-bunga sebab berjalan dengan Joon-Gi kan, haha.

Latar suasana mungkin masih pagi, sekitar pukul 8 pagi. Orang tak begitu ramai. Ia macam mimpi aku melihat diri sendiri dan tertanya-tanya, kenapa aku berjalan agak jauh dari Joon-Gi (agaknya kami sedang melayan fikiran masing-masing ketika itu).

Tak lama kemudian, Joon-Gi berundur dan mengajakku pulang. Aku pegang lengannya dengan tangan kiriku dan menahannya beredar. Tetapi dia tetap mengajakku berundur walhal tempat yang kami nak pergi itu sudah terlalu dekat, dan aku rasa ada sekumpulan orang sedang menunggu kami.

Jadi, sebelah lagi tangan kanan aku menggenggam tangannya lembut dan berkata, "Sudah dekat, jomlah alang-alang kita dah hampir sampai kan, janganlah balik dulu." Tapi aku mengalah bila lihat wajahnya suram dan sedih. Dia sungguh-sungguh tak mahu pergi ke tempat itu—macam trauma pun ada.

Aku memeluk dia (mungkin sebagai tanda ingin memberi semangat), dan dia membalas pelukan aku. Dalam mimpi itu, aku rasa aku ketinggian aku meningkat, hampir melepasi ketinggian Joon-Gi yang 178 sentimeter itu (aku baru Google tadi) hahaha.

Entah kenapa, secara spontan aku mengucup pipinya (apa yang miang dan gatal sangat ni, haha, atau bahasa lain yang lebih indah, romantis ke? Atau apa, weyh, nak describe perbuatan aku tu, haha).

Mata Joon-Gi berkaca, dan dengan linangan air mata, dia minta aku jangan pernah lagi mencium orang lain walaupun aku dibayar (dah kenapa pula begitu, kau pun berlakon ada adegan berciuman dan 'tugasan berbayar' kan pandangan jujur hahaha).

Joon-Gi dalam mimpi aku itu hanya pakai kasual, baju kotak-kotak merah lengan panjang. Lepas itu, kami naik kereta dan beredar dari situ.

Masa dalam perjalanan balik (entah ke mana destinasi hendak dituju itu), aku ada tengok macam album foto lama selain ada barang-barang comel yang disimpan dalam beberapa kotak dan kami berbual lagi (tapi tak tahu la berbual apa tak ubah macam aku tengok lakonan drama yang ada vibes ceria).

Aku terbangun dan bertanya pada diri, "Kenapa agaknya ya aku mimpi Joon-Gi versi melankolik dan macam agak rapuh gitu." sebab ramai mengenalinya sebagai seorang yang elegant sense of style. 

Sebab kan ada banyak lagi watak dia yang lebih cool atletik, tangkas bergaduh pakai sut macam Lawless Lawyer atau nampak lebih kuat macam dalam Moon Lovers: Scarlet Heart Ryeo atau alangkah lebih indah kalau dapat jumpa dia dalam versi lebih cantik seperti watak Gong-Gil dalam The King and The Clown.

Tetapi apa-apapun, selepas aku bingkas bangun dari tidur yang singkat itu, aku tanpa sedar tersenyum sendiri. Yalah, aku mimpi Joon-Gi, takkan tak rasa ada rasa senang di hati langsung, hahaha. Rasanya, mimpi indah sebegitu tidak akan berulang lagi. Ah, walau betapa indah mimpi itu, ia tetap mimpi kan. Tak kekal dan tak ubah bagai fatamorgana sahaja.

Sebenarnya, aku jarang mengikuti sangat pelakon K-Drama. Selalu tak tengok habis setiap episod, sebab sama ada bagi speed laju atau terus skip tengok episod tiga atau dua terakhir.

Aku terfikir, kalau aku berkesempatan jumpa Joon-Gi (mungkin dalam fans meet-and-greet session hahaha manalah tahu kan) adakah aku akan jerit panggil nama dia dan lambai-lambai dengan bersemangatnya? Tapi rasanya aku akan berdiam diri sahaja dan memerhatikannya dalam kerumunan ramai orang dari jauh. 

Tahun lepas, aku pernah dapat peluang interview Ella (ada lebih kurang 10 orang wartawan termasuk blogger) selepas konsertnya. Aku rasa hanya aku seorang reporter dari state, yang lain-lain adalah wartawan hiburan dari ibu kota.

Habis sesi temubual itu, kami dapat peluang bergambar seorang-seorang dengan ratu rock berhijab itu dan aku hanya snap sekali gambar (bukan selfie, ada kawan bantu ambilkan) dan aku dengan malu-malu kata, "Terima kasih, Kak El sebab sudi bergambar." (ada wartawan lain request buat video dan sebagainya untuk content media sosial mereka macam-macam korang ye).

Masa itu aku terfikir, "Group photo kan senang, kenapa semua nak ambil gambar seorang-seorang? Bukankah renyah dan meletihkan." Sungguh prihatin aku sebagai fan Ella, haha. Aku rasa dapat tengok dia dari jauh dari pentas masa konsert pun sudah cukup.

Mungkin aku tidak sesuai menjadi wartawan hiburan. Aku tengok, 'azab' juga ya kadang-kadang rakan dari meja hiburan nak korek story dan gosip, haha. Perlu ada skill tersendiri, dan rasanya aku mungkin akan agak 'terseksa' kalau ditempatkan di meja hiburan.

Sebenarnya, semasa bekerja untuk akhbar X di ibu kota, meja kerjaku (Meja Rencana) berjiran dengan ketua Meja Hiburan dan dialah antara panel yang interview aku, haha. Jadi aku memang gebang juga semasa interview itu; jika ditempatkan di meja manapun, aku mahu berjuang dan tidak kisah, walhal dalam hati, "Janganlah Meja Hiburan," haha. Apa khabar bos itu agaknya. Dia baik dan selalu bertegur sapa dengan aku. Ada masanya bila dia baca rencana yang aku tulis dia akan puji.

Tetapi hari ini aku menjadi reporter 'rojak'. Segala macam beat aku redah, dari berita am, human interest, politik, kes mahkamah, sukan, kadang-kadang bencana dan jenayah, rencana agama, kisah masyarakat, aduan, berita longkang, remeh-temeh, besar kecil, semua aku sauk saja selagi ada ruang dan peluang.

Berbalik kepada kisah sepanjang hari ini. Di mahkamah tadi, aku hadir bicara kes saman tiga pemimpin parti R terhadap seorang MP dari parti B. Agak plot twist bagi aku. Aku sampai jam 9.15 terus buka laptop dalam kamar mahkamah yang agak lapang hanya ada aku  seorang dari akhbar arus perdana seorang lagi portal.

Jadi, plot twist sungguh; R dan B yang menyaman dan disaman, tapi parti D pula dipanggil sebagai saksi. Menariknya, dua individu dari parti D itu adalah orang dalam Kabinet Kerajaan P. Jadi, selepas selesai, aku kembali menapak ke tempat sidang media DB, berpeluh juga di tengah hari yang agak panas itu.

Sidang media itu diadakan di sebuah dewan mesyuarat, dan ramai juga rakan-rakan yang membuat liputan. Ia bermula jam 12.15 tengah hari. Ada pembentangan mengenai beberapa isu, dan aku layan saja mendengar hingga pukul 1 lebih. Sesi soal jawab juga agak panjang (aku seronok bertanya soalan kerana topiknya menarik minat aku, dan aku rasa boleh 'jual' story tersebut, haha).

Selepas selesai PC itu, pegawai komunikasi jemput kami makan. Kami pun makan sambil berbual di bangunan tersebut. Selesai makan, aku pergi ke kereta untuk mengambil barang seorang kawan yang memang ada dalam keretaku, dan bercadang nak patah balik untuk proses story di tempat makan tadi kerana ada plug dan meja/kerusi.

Namun, selepas ambil barang itu, angin tiba-tiba bertukar kencang seolah-olah akan ribut. Disebabkan kawasan itu berdekatan laut, kami nampak ombak tinggi dan ada yang melimpah sampai ke jalan. Kawanku ambil video, dan masa itu ada ramai orang berlari mencari tempat perlindungan. Aku kembali masuk ke dalam bangunan.

Aku mula buat story DB, dan ada dua perkara yang boleh ditulis secara berasingan. Aku ingat aku siap mengarang story pertama kira-kira pukul 2.24 petang dan story kedua pukul 3.16 petang. Ketika itu hujan lebat disertai angin kencang di luar bangunan.

Selepas itu, aku sambung buat story court yang terbengkalai. Lama juga, aku ingat aku siap dalam pukul 4.48 petang dan hantar kepada kawan aku. Kawan aku kata dia belum proses itu kerana nak pastikan sama ada dua saksi dari Parti D akan datang esok (sebab aku jadikan itu sebagai intro). Tapi akhirnya kami dapat tahu kedua-duanya tak jadi datang, dan the defence closed their case. Keputusan akan dibuat pada 4 Disember (wah, ini macam kena tukar seluruh direction story).

4.51 petang, jurugambar call kata ada dua pelancong asing maut ditimpa pokok dan bangunan runtuh di Jalan G, jaraknya kira-kira 500 meter saja dari bangunan tempat aku berteduh tadi. Jadi, aku pergi ambil kereta dan terus gerak. Tapi, aku kena park jauh sebab jalan ditutup disebabkan insiden itu. Aku sampai sana kira-kira pukul 5.15 petang. Masa itu sudah ada beberapa kawan sampai, dan kami tunggu PC dari bomba.

Selepas PC, aku terpinga-pinga cari port buat story, sebab lokasi kejadian di tepi jalan yang sempit dan sesak. Memang tak nampak ada kedai makan, jadi aku berjalan kembali ke kereta dan siapkan story di sana. Aku hantar flash pukul 6.16 petang dan story penuh 12 perenggan pukul 6.39 petang. Lepas itu terus balik, dan aku sampai rumah pukul 7.30 malam.

Sebenarnya, aku terlupa terus yang aku kena rewrite semula story court sebab sampai saja di rumah, aku mandi dan solat Maghrib dan qada Zuhur dan Asar, dan sambung dengan Isyak, huhu (lemahnya iman seorang aku gara-gara kerja). Baru teringat bila kawanku dari portal tunjukkan artikelnya yang baru siap pada pukul 8.41 malam (dan siar pada pukul 9.55 malam).

Tapi aku sudah hilang minat nak menyiapkan story itu, banyak perkara kena check dan kena dengar rakaman semula sebab takut salah interpretasi dan jadi backfire bukan sahaja kepada pihak dituntut atau menuntut itu, tetapi kepada aku sendiri. Aku rasa story itu akan jadi bahan troll dan sensasi, dan silap-silap boleh jadi satu kontroversi baharu serta mendatangkan masalah.

Hari ini agak produktif juga dan mood aku baik, tidak begitu tertekan walaupun apa yang dirancang pada asalnya hanya nak pergi tugasan court sahaja pada sebelah pagi. Aku kena ekstra mempersiapkan diri pada musim cuaca buruk yang tidak menentu ini, yang mana semasa cuaca panas boleh bertukar ribut dan hujan lebat, selain fenomena air pasang besar pada ketika ini sebab kalau apa-apa terjadi, sudah tentu kami kena berkejar ke lokasi.

Panjang betul posting ini, haha. Banyak ketawa sendiri hari ini. Kerana tiada kawan untuk diajak ketawa dan deep talk.




kata-kata ringkas untuk hari ini

am, jangan berhenti kerja. hari yang buruk akan berlalu hari yang baik akan datang lagi.