Monday, August 30, 2021

Rangkuman 4 hari

25 Ogos 2021

Hari ini waktu mula bekerja pukul 12 tengah hari. Tetapi pukul 9.08 pagi dapat arahan melalui aplikasi WhatsApp untuk proses satu story seorang pemimpin parti X yang sedang berada di hospital.

Kira-kira 25 minit kemudian dapat satu lagi arahan untuk temubual tujuh beradik yang kematian ibu akibat Covid-19.

Call tak jawab. WhatsApp satu tick sahaja. Scroll FB arwah rasanya macam mereka tinggal di Bandar Tun Hussein Onn.

Pukul 11.19 pagi aku hantar satu lagi story mengenai Sekretariat S yang buat himpunan nyalaan lilin di Dataran Merdeka minggu lepas sudah dapat kumpul dana untuk bayar kompaun dan dana guaman.

Berbalik kepada arahan editor bertugas  aku dapat juga alamatnya dari seorang seller yang pernah COD kek dekat rumah arwah. Pukul 12.28 tengah hari dapat alamat. 

Mandi sekali lagi. Bersiap ala kadar dan gerak ke kereta. Aku call sekali lagi anak arwah untuk tanya sama ada mereka sedia menerima tetamu. Katanya boleh datang pukul 2 petang.

Aku terus gerak sampai dalam pukul 1.20 tengah hari. Kemudian aku pusing-pusing cari ATM sebab dalam dompet ada RM20 sahaja. Seorang editor transfer RM100 dan aku tambah RM50. 

Aku fikir, mungkin lepas keluar ceritanya esok lebih ramai yang bantu. Aku sampai di flat tempat mereka pukul 1.58 tengah hari. Kemudian naik tangga, nampak seorang lelaki berusia 40-an sedang jemur beberapa keping karpet.

Aku bagi salam. Katanya dia sahabat dan jiran kepada arwah dan jemput masuk. Kemudian anak sulung arwah datang. Aku sembang santai minta adik tu flashback momen dengan emak dia buat kali terakhir.

Apa yang paling dia rindu. Rutin emak dia setiap hari. Apa yang mak dia selalu pesan. Adik tu jawab sepatah-sepatah saja. Sebab pakai face mask susah nak baca air muka dia. 

Aku berulang kali minta maaf kalau soalan-soalan aku buat dia lagi sedih.Tapi jiran dia memang bagus. Banyak dia tahu mengenai keluarga tu.

Arwah pernah berkahwin dua kali. Anak bersama suami pertama ada lima orang (10 hingga 18 tahun) manakala suami kedua ada dua orang (3 dan 6 tahun). Kelu dan sedih bercampur baur. 

Aku tidak sentuh langsung perkara itu dalam artikel aku. Aku cuma tulis arwah merupakan seorang ibu tunggal. Moga arwah bahagia di dunia lagi satu.

Sesi interview itu berlangsung kira-kira 40 minitLepas photographer datang baru aku minta adik-adik yang lain keluar untuk snap gambar sekeping dua. Seorang adik berusia 10 tahun lagi tidur. Teringat aku semasa kecil jika ada orang datang aku akan naik rumah atas dan tidur. 

Lepas itu kami gerak. Pukul 5.30 petang begitu aku sudah siap karang story. Tapi editor kata masukkan dalam folder esok sebab tiada kami sahaja yang cover kisah family tu. Jadi story tu akan disiarkan pada 27 Ogos.

Setiap hari ada sahaja kisah anak-anak menjadi yatim atau yatim piatu apabila ibu atau bapa atau kedua-dua orang tua mereka meninggal dunia akibat Covid-19. 

Pergi hospital lepas tu tak balik-balik lagi ke rumah. Tak ubah macam lagi K-Clique yang berjudul Mimpi tu. Pahit sekali mengenangkan. Al-Fatihah buat yang telah pergi. 


26 Ogos 2021

Hari ini aku ditugaskan update ramalan cuaca pagi, petang dan malam. Seawal pukul 7.38 pagi aku sudah hantar ramalan cuaca untuk pagi.

Pukul 8.52 pagi aku buat tulis update kisah seorang pelakon yang tengah struggle jaga keluarga yang kena kuarantin di rumah dengan ibu yang bedridden yang perlu dicuci luka dan ditukar lampin dan disuap makan.

Sedih betul kisah dia. Sudah burnout. Aku yang cuma jaga diri sendiri pun macam sudah kehabisan bateri. Pandemik ini buat semua orang letih.  

Kisah-kisah sedih dan meruntun hati begini dapat ribuan reaction di media sosial platform akhbar kami dan menyumbang page view di laman web yang tinggi. Situasi sama juga di portal-portal berita lain.

Adakah frasa 'menunggang' berita sedih untuk tarik view agak keterlaluan? Entahlah. Apa yang pasti, aku tidak selesa sekali menggunakan perkataan 'menunggang' itu. Barangkali kami hanya membuat kerja kami iaitu melapor dan menghebahkan.

Jauh di sudut hati, aku rasa tidak best juga memikirkan perkara ini. Tetapi itulah hakikat kehidupan. Apa yang terjadi saling berhubung dan berkait.

27 Ogos 2021

Buat update laporan cuaca dan cari story viral lagi. Hari ini story tujuh beradik disiarkan di page 2. Ada yang WhatsApp aku untuk menyumbang. Tapi rupa-rupanya mereka tiada nombor akaun. Macam aku hendak pergi ambil kakaknya yang sulungnya untuk buat akaun tapi aku sibuk sekali seperti kelaziman.

Hari ini aku hantar 10 story total dan ada beberapa yang dapat page view tinggi dan satu daripadanya duduk di kedudukan pertama untuk story yang paling ramai orang klik pada hari tersebut.

Kalau zaman stringer dulu dapat buat 10 story begini tentu sudah berkepuk-kepuk aku punya claim

28 Ogos 2021

Hari ini ada cover seminar kesihatan mental dan ketagihan. Menarik seminar tu. Ada pc dan cuma ada dua soalan yang dapat dijawab dengan jawapannya yang tidak begitu solid sebab tiada figure yang menyokong sayang sungguh.

Pukul 12 editor sudah tanya apa yang menarik. Seminar itu ada tiga hari. Aku fikir kalau Covid-19 tidak ada dan aku di meja rencana, seminar tu mungkin dibuat di dewan kuliah atau hotel ke dan aku akan stay sampai petang tunggu slot yang menarik dan dapat tulis lebih terperinci lagi.

Seronoknya kalau jumpa kawan-kawan yang sekepala dapat makan bihun teh tarik (atau apa-apa sahaja) dan pergi jumpa terus speaker yang bentang kertas untuk dapat penjelasan dan input yang lebih menarik.

Aku hanya hantar story seminar itu sahaja dan satu story DG petang. Tamatlah hari terakhir bekerja pada minggu ini.


29 Ogos 2021

Dua housemate yang merupakan student master sudah balik kampung. Seorang di Kuala Kangsar. Seorang lagi JB. Satu lagi housemate pergi trip hiking 31 Ogos baru balik. Indahnya hidup masing-masing.

Aku masak nasi lauk sup sayur ayam dan tauhu bergedil lepas itu tidur sepanjang petang. Pukul 4 petang editor rencana tanya artikel aku sudah siap atau belum. Aku memang suka tulis rencana tetapi kerja di newsdeks boleh tahan juga tak habis-habis.

Esok insya-Allah sekali lagi aku akan buat percubaan hantar surat resign. Aku rasa bagus juga kalau dapat resign masa performance aku tengah bagus (aku andaikan aku perform berdasarkan jumlah story yang aku hantar untuk edisi print dan web).

Aku fikir dalam keadaan produktif yang maksimum lebih baik aku pergi. Aku tidak tahu kenapa aku fikir begini. Cuma aku rasa kena stop dari semua kekalutan ini dan berada dekat dengan keluarga aku pada masa ini.

Aku call emak aku dan aku katakan pada anak buah aku, Umar nanti Alang balik kita pasang kolam dan main air puas-puas. Maafkan Alang ya. Kerap sangat Alang janji palsu. Asyik kata nak balik pasang kolam tu tapi sampai ke sudah tak balik-balik.

Kak Ngah beritahu, satu malam si anak buahku, Adib berleter. Katanya, mamalah ni suruh Alang pergi kerja. Sekarang tengok, langsung Alang pergi tak balik dah. 



















kata-kata ringkas untuk hari ini

am, jangan berhenti kerja. hari yang buruk akan berlalu hari yang baik akan datang lagi.