Tetapi selang beberapa minit kemudian dia beritahu semula yang aku tak perlu telefon individu berkenaan. Aku scroll medsos macam tiada apa yang menarik sangat jadi awal pagi itu aku pun bersiap ala kadar menapak ke pasar pagi berdekatan taman perumahan tempat aku tinggal.
Lapang sedikit fikiran bila berjalan-jalan dalam kedamaian pagi dengan cahaya matahari bagaikan masih malu-malu untuk keluar dari lenanya hari itu. Pukul 11.58 pagi aku dapat satu lagi arahan untuk menghubungi penganalisis politik untuk minta dia ulas mengenai kedudukan kerajaan sekarang yang tiada cukup majoriti di Parlimen. Katanya buat tiga para online.
Aku call Prof Z. Nasib baik dia cepat respons. Tapi susah sungguh hendak buat tiga perenggan saja hasil temubual itu kerana bukan senang hendak menjelaskan sesuatu perkara serumit itu secara ringkas. Ada dekat 30 minit juga aku sembang dengan Prof Z. Sebab takut silap fakta aku minta dia cek dulu tulisan itu.
Sementara menunggu Prof Z, editor tersebut suruh aku goreng dua lagi story untuk online dan satu daripadanya dapat page view yang tinggi di laman web dan komen yang banyak dari netizen dari medsos. Pukul 3.55 petang Prof Z pulangkan semula artikel yang aku minta dia semak tadi dan aku terus hantar untuk online.
Tapi bila aku masuk pejabat pukul 5 story tu tiada di laman web dan bila aku cek aku nampak story tu akan pakai di halaman 3 esok. Bila hari semakin petang, aku nampak ada seorang lagi kawan yang hantar story yang minta pandangan pakar mengenai isu yang hampir sama dengan arahan yang aku dapat cuma bila lain orang bercakap kandungannya tidaklah jadi begitu sama.
Pada pandangan aku, berlaku pembaziran tenaga di situ. Sisi baiknya ulasan Prof Z agak bagus dan menarik. Tulisan tersebut dapat jumlah like dan komen yang agak tinggi di medsos. Sisi kurang baiknya aku rasa penat gila sebab sudah perah otak sejak pagi dan sambung syif 5 petang hingga 12 malam. Aku ingat ada dua kali masa aku cuti bos minta aku buat story. Memanglah kami bekerja dari rumah. Tapi perkara begini bukanlah satu budaya kerja yang baik dan dianggap sebagai satu kebiasaan walau apapun alasannya.
Ah pahit sekali menyatakan yang benar dan berterus-terang. Aku jadi teringat kata-kata senior aku dulu bahawa susah sekali untuk berkata tidak jika ia melibatkan soal tugasan. Jadi wartawan bukan sekadar satu pekerjaan tetapi ia merupakan gaya hidup.