SATU
Beberapa hari ini jiwaku sedikit merusuh.Puncanya aku ada daftar satu acara larian yang berlangsung semalam (Sabtu) dan hari ini (Ahad) di daerah dekat tempat kelahiranku. Slot larianku adalah pada hari Sabtu.
Hari Jumaat usai kerja sekitar tengah hari aku bergegas balik kampung dan sampai sekitar pukul 3 petang. Rasa berkobar-kobar nak pergi lari. Tapi, entah kenapa, aku tak bangun masa mak aku kejutkan untuk pergi larian tu. Maka berlalulah satu hari di hari Sabtu yang bagi aku agak merugikan tanpa aktiviti yang begitu produktif dan tidak mengeluarkan peluh misalnya main beyblade dengan anak buah aku dan tidur petang berjam-jam.
DUA
Memandangkan jadual kerja aku boleh saja berubah sekelip mata (kecuali jika pergi ibadah haji / umrah atau bercuti luar negara atau keluar dari negeri P) maka aku tidak begitu terkejut apabila tiba-tiba Ketua Biro minta cover dua assignment pada pagi Ahad iaitu keesokan harinya yang sepatutnya aku off lagi sehari. Jadi hari ini pukul 6.30 pagi aku sudah gerak balik dan sampai ke lokasi tugasan pertama pada jam 8.10 pagi.
Berbalik pada tajuk entri ini, sejak beberapa hari sebelum itu, aku agak kecewa sebenarnya kerana tiada kawan sudi tukar slot Ahad mereka untuk berlari bersama-sama aku pada hari Sabtu. Terlintas juga di fikiran, alahai rupanya aku tiada seorang kawan pun yang sanggup berkorban dan penuhi permintaan yang bagi aku tidaklah begitu mustahil. Barangkali salah aku juga kerana tidak minta dengan cukup bersungguh-sungguh dan terus-terang. Ya hujung-hujung orang akan memilih apa yang lebih menguntungkan / memberi kepuasan / mengembirakan diri mereka terlebih dahulu.
Ya salahku juga kerana bitter serta agak beremosi hingga pada akhirnya aku menjadi tidak bermotivasi untuk pergi acara itu. Mungkin aku sudah sering pergi larian seorang diri jadi kali ini aku tak rasa nak jadi lone ranger. Aku letih hadap fasa hidup seorang-seorang. Sunyi dalam riuh. Bungkam dalam ramai. Mereka tak perlu faham dan aku pula tak perlu jelaskan atau update apa-apa. Aku juga letih berkawan lewat mesej dan hantaran komen di media sosial. Jadual dan minat tak sepadan untuk bersua dan meluangkan masa bersama-sama.
Jadi, aku terasa tidak mahu menempuh proses larian itu 'bersendirian'. Aku membayangkam aku akan ambil gambar orang paling tidak pun gambar kaki sendiri, medal post di status lepas tu dapat like dan komen. Ah sangat tidak seronok. Hal yang orang kata not a big deal. Hoi takkanlah itupun nak berkecil hati. Tapi itulah, kecil dan simple pada orang, boleh jadi besar dan rumit untuk seorang aku. Begitu juga sebaliknya. Besar dan sulit bagi sesetengah orang, boleh jadi remeh dan mudah saja bagi aku. Aku cuba cari buku / bahan bacaan yang mungkin judulnya Seni Untuk Tidak Merasa Apa-apa. Cara-cara Menjadi Tidak Perasa. Ah belum aku jumpa lagi, naskhah bertajuk sedemikian. Mungkin aku kena buat satu 🥸