Tuesday, June 16, 2026

Bercakap dengan diri sendiri 11


Beberapa hari kebelakangan ini, aku rasa sedikit jatuh.

Ada beberapa story dan tugasan yang aku usahakan tidak mendapat tempat untuk disiarkan  atau mungkin tidak cukup kuat untuk melepasi meja editorial. (Perkara ini sudah banyak kali berlaku apabila company sedang melalui fasa penjimatan dan hanya akan pilih story yang betul-betul berimpak saja untuk disiarkan.

Tengah hari tadi, ada satu tugasan benar-benar menguji keyakinan diri. Aku duduk berjam-jam mengikuti pembentangan dan mendengar ucapan demi ucapan, mencatat sebanyak mungkin, tetapi apabila tiba masanya untuk menulis, aku buntu. Aku tidak mampu menghasilkan story yang terasa hidup dan menarik.

Mungkin kerana sifat acaranya yang terlalu teknikal dan sarat dengan bahasa korporat. Semuanya penting, semuanya ada nilai, tetapi pada masa yang sama terasa sukar untuk diterjemahkan menjadi sebuah cerita yang mampu menarik perhatian pembaca.

Aku sendiri tidak begitu yakin untuk menghantarnya ke meja editorial.

Sebenarnya dari awal aku sudah teragak-agak untuk cover tugasan tersebut sebab majlis tu MOA dan MOU apa sangatlah yang aku harapkan, kan? Haha. Tetapi sebab ketua biro assigned aku pun pergi cuba nasib dengan hati yang berat.

Bukan setiap tugasan akan melahirkan karya yang membanggakan. Ada hari-hari apabila aku pulang dengan nota yang penuh, tetapi kepala kosong. Selepas berbelas tahun aku buat kerja ini detik-detik begini membuatkan aku rasa loser dan berkalau-kalau dengan takdir.

- Kalaulah aku ambil off saja
- Kalaulah aku abaikan saja assignment tu sambung saja briswalk sampai 10,000 langkah lagi bagus (aku sempat buat 2,500 langkah saja pukul 7.20am di Stadium B sampai pukul 8am sebelum prepare untuk ke lokasi tugasan.
- Kalaulah begitu, kalaulah begini....(Ah bukankah aku sudah tahu dalam hidup kita tak boleh terlalu lama tinggal dalam ruang 'kalau' )

Maka buat kesekian kalinya aku membaca tulisan Profesor KH Nadirsyah Hosen mengenai huruf Muqatta'ah (huruf-huruf pembuka surah) dalam al-Quran untuk meluruskan kembali sudut pandang aku yang bengkang bengok hari ini.

"Alif, Lam, Mim. Itulah ayat-ayat Kitab yang penuh hikmah," (Surah Luqman: 1-2).

Betapa kerap kita ingin memahami segala perkara — memaksa takdir untuk berbicara, mendesak kehidupan agar memberi jawapan. Namun di permulaan wahyu, Allah mengajarkan sesuatu yang lebih dalam daripada sekadar makna: ada perkara-perkara yang hanya dapat diterima dengan iman; ada jawapan yang hanya akan datang pada waktunya; dan ada perjalanan yang mesti ditempuh dengan penuh ketundukan.

Maka, Alif Lam Mim bukan sekadar susunan huruf. Ia adalah pesanan lembut dari langit: Percayalah, meskipun kau tidak selalu memahami.

Alif: Permulaan yang Harus Ditempuh

Lihatlah Alif, tegak berdiri, kuat – seperti seseorang yang memulakan langkah di permulaan perjalanan. Dia tidak ragu-ragu, tidak banyak bertanya, hanya melangkah dengan berani.

Dalam kehidupan, kita sering dihadapkan dengan permulaan yang penuh persoalan. Kita tidak tahu apa yang menanti di hadapan, kita tidak pasti sama ada langkah kita ini benar. Namun seperti Alif, kita mesti berani berdiri – walaupun dunia belum memberi sebarang jaminan. Kerana keyakinan adalah asas kepada segala-galanya.

Lam: Kelenturan dalam Perjalanan

Kemudian datang huruf Lam, melengkung lembut – seakan mengajar bahawa kehidupan tidak sentiasa lurus. Ada liku yang perlu dilalui, ada selekoh yang membawa kita ke arah yang tidak disangka-sangka.

Lam mengajar bahawa ada waktunya kita perlu teguh seperti Alif, tetapi ada juga saatnya untuk tunduk, untuk bersabar, untuk menerima. Kerana tidak semua persoalan perlu jawapan sekarang. Tidak semua doa harus dimakbulkan serta-merta. Ada keindahan dalam menunggu. Ada kemuliaan dalam berserah.

Mim: Kembali ke Pangkuan-Nya

Akhirnya, ada huruf Mim – membulat sempurna, seperti satu lingkaran yang membawa kita kembali ke titik asal. Seperti ombak yang memukul pantai, hanya untuk kembali ke lautan. Seperti angin yang berhembus ke segala arah, tetapi akhirnya kembali ke jalan pulang.

Mim mengajar bahawa segala-galanya akhirnya akan kembali. Tiada perjalanan yang sia-sia. Tiada kehilangan yang benar-benar hilang. Apa yang pergi, jika memang ditakdirkan untukmu, akan kembali dalam bentuk yang lebih indah. Dan apa yang tidak kembali, mungkin memang ditakdirkan untuk menjadi sebahagian daripada perjalanan — bukan destinasi.

Alif, Lam, Mim: Cinta yang Tidak Perlu Difahami

Alif, Lam, Mim bukan hanya huruf-huruf. Ia adalah bisikan lembut dari langit, mengajarkan kita untuk percaya walau tidak selalu memahami. Seperti kehidupan — yang penuh rahsia tetapi sentiasa punya makna. Seperti doa — yang tidak selalu dijawab, tetapi sentiasa didengar. Seperti cinta — yang tidak selalu dimiliki, tetapi tetap indah untuk dirasai.

Maka, berjalanlah seperti Alif – berani memulakan walau belum tahu ke mana arah akan membawa.

Hadapilah hidup seperti Lam – sabar menerima setiap liku dan perubahan.

Dan akhirnya, pulanglah seperti Mim – dengan hati yang utuh, dengan jiwa yang tenang, kembali kepada-Nya.

Kerana pada akhirnya, semua persoalan akan terjawab di hadapan-Nya. Dan di sanalah kita akan memahami bahawa setiap langkah, setiap air mata, setiap pencarian — semuanya membawa kita lebih dekat kepada-Nya.

Akhirnya, kita akan sampai.

Akhirnya, kita akan pulang.

Dan di hadapan-Nya, kita akan sedar bahawa seluruh perjalanan ini sentiasa berada dalam genggaman kasih-Nya.

Nota: Profesor KH Nadirsyah Hosen atau juga dikenali sebagai Gur Nadir adalah pensyarah di Melbourne Law School, The University of Melbourne, Australia.

Bercakap dengan diri sendiri 11

Beberapa hari kebelakangan ini, aku rasa sedikit jatuh. Ada beberapa story dan tugasan yang aku usahakan tidak mendapat tempat untuk disiark...