Artikel tiga muka surat itu harus siap & lengkap sehari sebelum tarikh cetak (Isnin)
Biasanya editor akan baca dan turunkan tandatangan (tanda bahan yang dihantar sudah lulus) pada sebelah malamnya.
Kira-kira 1 jam 30 minit kemudian aku buru-buru ke kuliah di Masjid W.
Sampai sahaja kerusi yang disusun dalam dewan masjid sudah penuh. Alhamdulillah ramai yang hadir memakmurkan rumah-Nya.
Aku duduk bersila belakang merapat terus di ceruk dinding.
Di barisan hadapan duduk pula rombongan anak-anak yatim. Terhibur sejenak melihat gelagat dan wajah naif mereka.
Kuliah dimulakan dengan selawat, qasidah Ya Robbi Solli dan bacaan al-Quran (Inna Fatahna).
Setelah itu penyampaian tausiyah diselangi qasidah yang indah seperti Assalamu’alaik, Muhammad Nabina, Mudhoriyyah dan Sollu ‘ala Khairil Anam.
Suara penceramah jelas. Tutur bicaranya tersusun rapi. Wajahnya aku tak nampak. Terlindung di sebalik pentas dan kepala jemaah yang memenuhi saf lebih hadapan.
Baru bahagian mukadimah mataku sudah basah. Aduh awal-awal sudah menangis. Menangis tanpa suara.
Kenapa agaknya? Getus kotak fikirku tertanya sendiri.
Adakah benar aku rindu pada Rasulullah SAW yang menjadi topik utama kuliah hari itu?
Mungkin barangkali teringat orang tua. Sudah lebih seminggu tidak telefon bertanya khabar.
Atau mungkin terkenang kerja di pejabat yang masih belum lunas.
Barangkali juga terkenang hidup yang jarang sunyi dilambung ombak kehidupan.
Harap tiada sesiapa tengok. Kesat air mata dengan sapu tangan. Letak sapu tangan atas lantai beralaskan karpet berwarna merah.
Tiba-tiba ada botol air (mungkin tak ditutup dengan baik) terbalik lalu tumpah di atas sapu tangan. Jadi agak lencun. Siapa pemiliknya aku tidak pasti.
Sapu tangan sama diguna pula mengelap air mata. Ah dramatik. Lucu pun ya juga.
Habis kuliah segera bingkas bangun. Lalu di hadapan kumpulan anak yatim, beberapa orang daripada mereka cepat menghulur tangan.
Tanganku dikucup atau diletak di dahi. Terasa tua pula. Sama-sama mengukir senyum.
