Wednesday, June 9, 2021

Follow up

Diminta melakukan follow up atau susulan menjadi lumrah kehidupan wartawan di meja berita. 

Tambahan pula sepanjang PKP kami dibenarkan bekerja di rumah dan aku sudah lama tiada tugasan luar sejak selepas Hari Raya Aidilfitri. 

Dalam tempoh ini aku banyak melakukan apa yang dipanggil armchair journalism aku juga tak pasti istilah ini bersesuaian atau tidak dengan situasi yang aku hadapi sekarang. Aku selalunya dikehendaki mencari pakar-pakar dalam pelbagai isu yang difikirkan editor boleh dijual di akhbar esok. 

Biasanya pensyarah universiti selain doktor universiti selalu menjadi tempat aku meminta bantuan memandangkan musim Covid-19 boleh dikatakan pelbagai isu berkaitan Covid-19 yang boleh dikupas menjadi artikel menarik untuk pembaca. Aku harap begitulah.

Sabtu lepas kira-kira pukul 10.30 pagi aku diminta mencari seorang pakar undang-undang untuk membuat ulasan mengenai ordinan untuk antivaksin.

Undang-undang yang diwartakan semasa darurat dipanggil ordinan dan dalam keadaan biasa dipanggil akta bagi Kerajaan Persekutuan dan enakmen untuk Kerajaan Negeri. Dalam hati mencongak-congak siapalah yang sudi memberi komen pada pagi Sabtu yang indah ini.

Aku hantar mesej pada seorang peguam yang agak terkenal di media sosial. Hantar beberapa draf soalan dan minta izin untuk telefon. Tiada balasan. Sibuk barangkali. Mengurus keluarga, anak-anak. Apa-apa sahajalah dan aku paling malu dan rasa bersalah ganggu orang pada hari cuti.

Aku pula memang sudah terbiasa selesa hantar mesej dan soalan dahulu sebelum menelefon jadi aku berkira-kira untuk WhatsApp seorang profesor berpangkat datuk yang selalu juga aku hubungi semasa di meja rencana jika ada topik mengenai undang-undang. 

Pendek kata jawapan profesor itu selalunya bagus dan dia juga boleh bercakap mengenai perundangan antarabangsa, undang-undang jenayah dan perlembagaan macam buku sejarah bergerak sahaja.

Masalahnya, jika artikel itu tidak jadi disiarkan beliau akan berleter panjang dan boleh tahan panas juga telinga nanti kalau perkara itu terjadi (pernah berlaku pada seorang kawan).

Tetapi Insya-Allah, perkara seumpama itu tidak akan berlaku di meja rencana kerana artikel yang aku hasilkan pasti disiarkan kerana secara purata aku dan kawan-kawan seangkatan diperuntukkan tiga hingga lima halaman enam hari seminggu di ruangan sisipan rencana.

Berbalik kepada profesor tersebut, kira-kira pukul 11.20 pagi dia suruh aku telefon. Katanya, sudah lama aku tidak telefon beginilah orang bila jadi orang tua. Kalau ada perkara yang diperlukan baru dicari. Katanya lagi  tadi di halaman mengalih pokok. Aku hanya gelak kecil dan layan sahaja dia bercerita. 

Jadi bila dia sudah ready aku bacakan semula soalan dan dia mula menjawab satu persatu-persatu. Aku fikir kali terakhir aku menelefon dia pada tahun 2018 tajuk mengenai isu suaka politik. Aku teringat kali pertama aku menghubunginya ialah pada hujung tahun 2015.

Ketika itu aku diminta editor untuk mencari sesiapa yang boleh mengulas mengenai titah seorang sultan terhadap isu X. Aku ingat lagi hari itu Ahad sudah pukul 6 petang. Tiada pensyarah (aku sudah telefon tiga orang) mahu komen mungkin isu itu agak sensitif kerana ia melibatkan kerabat diraja. Ada pensyarah yang katanya baru balik dari kenduri jauh dan terlalu penat.

Jadi percubaan terakhir aku telefon profesor tersebut. Aku tanyakan kepadanya lebih kurang begini, prof, bolehkah titah sultan menjadi undang-undang. Ya aku tidak sebut langsung nama sultan tersebut dan konteks soalan. 

Pada mulanya dia ketawa dan dia bertanya semula sebenarnya aku mahu tanya isu apa. Aku diam saja. Tetapi dia terangkan juga titah seorang sultan boleh menjadi undang-undang bermula dengan peringkat draf undang-undang oleh jabatan penasihat undang-undang negeri, kelululusan MMKN, bacaan pertama, kedua, ketiga sampai seterusnya.

Kemudian aku berterus-terang mengenai isu tersebut dan dia ketawa lebih kuat dan hasilnya aku dapat hantar artikel tersebut sebelum Maghrib.

Berbalik kepada tugasan aku pada hari Sabtu itu usai habis aku karang hasil temubual aku WhatsApp semula artikel yang sudah siap saja kerana aku tidak mahu salah tulis dan ada masalah di belakang hari.

Esoknya, seperti aku jangka, pukul 9.30 pagi dia hantar mesej tanya ada 'keluar' surat khabar atau tidak. Ya mujur siar cuma surat khabar kehabisan (semua surat khabar Bahasa Melayu) di Seven 11 dan stesen minyak berdekatan rumah habis dijual. 

Tapi mujur ada link online dan akhirnya petang sedikit aku dapat cutting edisi cetak dan aku hantar pada profesor tersebut. 

Oh hari ini ada lagi kena buat follow up. Harap siar esok kerana sumber yang aku hubungi tadi jadual agak ketat hari ini tapi mereka luangkan juga masa untuk menjawab soalan aku. 

Jadi, aku fikir akan rasa agak bersalah kalau ia tidak siar esok atau diperam beberapa hari atau lebih lama atau langsung tak pakai.  Begitulah serba sedikit kisah seorang wartawan era Covid-19.


kata-kata ringkas untuk hari ini

am, jangan berhenti kerja. hari yang buruk akan berlalu hari yang baik akan datang lagi.