SATU
hari ini Khamis dan tepat pukul 10 pagi aku sudah siap
pakai baju warna coklat
kegemaran aku dan terus pecut ke tempat kerja
sambil dengar CD lagu Meor
menelusuri jalan sesak berdekatan projek MRRT seperti biasa.
tetapi tidak mengapalah,
kerana aku bukannya kejar masa pun.
sampai di pejabat pukul 10.30 pagi
buka sistem dan buku nota sambil mencongak-congak story idea
untuk artikel minggu depan.
pergi pantri bancuh secawan Milo
balik semula ke meja capai jadual baru perasan ada
tanda X untuk hari ini dan Ahad.
capai beg turun kafe tapau
balik semula ke Alam Damai
dan tidur sampai pukul 4 petang.
DUA
bangun dari tidur ternampak text ringkas dari housemate kata
hari ini last promosi percuma
hari ini last promosi percuma
mesin laundry layan diri yang baru buka tiga hari sederet kelab S.
mandi solat Zohor sambung Asar, ambil comforter
buka, sarung bantal, selimut, sebaldi kain baju
dan sumbat dalam kereta menuju ke kedai yang jaraknya sejauh mata memandang saja
premis kosong tiada orang mungkin tak ramai tahu ada promo.
loading dalam dua mesin sekali gus (dasar tamak) dan biar dia pusing sendiri
dalam 30 minit siap tetapi kerana malam ini aku tidak mahu tidur di atas tilam nipis
tanpa comforter aku masukkan pula semua basuhan ke dalam mesin pengering.
untuk itu kena bayar RM4.
tukar token empat keping dan selepas tekan eh mesin pengering lain
(ada baju di dalamnya) pula berpusing
termenung sesaat tengok anak panah tempat letak syiling
menunjuk arah atas dan bukannya mesin pengering bahagian bawah yang telah aku masukkan kain bajuku.
tukar lagi token dan sambung semula keringkan benda alah tu.
TIGA
sementara menunggu kesemua cucian kering aku ke pasaraya E beli sekotak susu,
sebunjut bun pandan dan lima biji epal semuanya RM10.35.
Capai dompet dan hulur pada chashier RM10.30.
Dia kata perlahan lima sen dan aku kata tak mengapa
dan senyum pada cashier tetapi dia ulang lagi
kurang lima sen dan aku kata dengan yakin:
"Tak apa kalau tak ada baki. Bagi resit saja cukup".
dan tiba2 aku baru aku tersedar rupa-rupanya tak cukup lima sen
aku cepat-cepat keluarkan 10 sen dan berlalu malu.
Dalam hati mencongak-congak terfikir bagaimana aku boleh fikir cashier yang tiada baki 5 sen untuk dipulangkan
kepada aku sedangkan bayaran aku yang sebenarnya tidak cukup 5 sen.










