Friday, May 8, 2020

Keropok mahal



Impian bukan keropok,
jangan anggap ia murah,
Pecahkan tembok,
Ambil jalan jauh,
guna tali panjat lepasi tembok,
setelah itu,
tunggulah 
kejayaan akan menengking di hadapan pintu engkau.

Nota: Dialog filem Tamil tajuknya sudah lupa. Ada bahagian yang tak lengkap dan aku sambung sendiri sesedap rasa.






Tuesday, May 5, 2020

Ramadan 2020

Ramadan kali ini mungkin bukan Ramadan terbaik untuk rekod peribadiku. Baru 11 Ramadan. Masih boleh diperbaiki.

Ya Allah, entah kenapa, hatiku sejak beberapa hari ini terasa begitu kecil. Emosi begitu mudah 'melimpah' dengan hanya secuit situasi yang kurang enak pada fikiranku. 

Diriku jadi mudah marah dan merentan. Sesungguhnya aku tidak marah kepada situasi dan orang yang terlibat dengannya. 

Aku cuma marah dengan diriku sendiri kerana mudah kalah dibadai arus perasaan. Ah aneh sekali diriku. Seringkali aku punya kesabaran untuk hal-hal yang lebih menyulitkan dan menyakitkan. 

Tetapi untuk perkara yang tersangat remeh dan senang-senang sahaja boleh selesai sebenarnya, kesabaran itu sudah tiada lagi ditempatnya. 

Entah kenapa aku fikir Ramadan yang dilalui terasa lebih baik ketika merantau di Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan semasa menjadi penghuni asrama di Sekolah D.

Barangkali ini kali pertama aku menyambut Ramadan ketika bergelar penganggur. Tiada lagi waktu sibuk-sibuk dan bekejar-kejar. Sepatutnya lebih mudah fokus ibadah.

Astagfirullhalazim. Ya Allah selamatkanku dari diriku sendiri. Ampuni aku. Ampuni hambu-Mu Ya Allah.

Monday, April 20, 2020

PKP hari ke-34

Bangun 6.50 pagi. Betulkan ampaian disondol babi. Babi korek ubi mak. Cabut rumput separuh kereta sorong. Sapu sampah, kemas bilik. Masak sambal ikan bilis, goreng telur, buat kek pisang. Drama korea Open City TVN 416.


Sunday, April 19, 2020

PKP hari ke-33 (Ahad)


Bangun 6.40 pagi. Sapu sampah di dalam dan luar rumah. Kemas tempat tidur. Cabut rumput satu kereta sorong.  Punggah kayu api (reput diserang anai-anai, sarang semut jumpa kala jengking), Masak Bayam Brazil goreng tepung. Baca buku Mawar Tajalli ~ H.b Johar (belum habis), drama Memoir of Murderer TVN 416. Kematian 1/89.

Tuesday, April 14, 2020

PKP hari ke-28 (Selasa)

Bangun pukul 6.30 pagi.
Goreng bihun dua bungkus.  Basuh baju. Sental sinki. Sapu sampah dalam rumah. Kaut daun kering dan bakar sampah luar rumah. Lupa simpan ayam, kucing makan beberapa ketul. Masak bubur nasi. Surah Ali Imran ayat 1 hingga ayat 32. The Accidental Detective 2: In Action. Kematian 5/82.

Monday, April 13, 2020

PKP hari ke-27 (Isnin)

Bangun pukul 5 pagi. Al-Ma'thurat. Basuh baju. Pergi pekan isi minyak scooter mak. Beli ayam dua ekor, tauge dan tauhu. Hidupkan enjin kereta. Masak sup ayam. Gunting rambut aku dan mak. Mandi hujan lebat. Alif Lam Mim dan Al-Mulk. Kematian 1/77.

Sunday, April 12, 2020

PKP hari ke-26 (Ahad)

Bangun 8.30 pagi. Sapu sampah dalam rumah. Basuh pakaian. Mesin sembilan biji kelapa. Bakar ikan guna kayu api. Kelim karipap. Filem Confession Of Murder. Buat ais krim. Bahan: satu tin susu cair, satu sudu besar ovalatte, empat sudu susu pekat, satu penutup esen vanila, putar dengan hand mixer sampai gebu, masukkan perisa strawberi dan jagung, sejukkan. Kematian 3/76.

Tuesday, March 24, 2020

Tentang diam

Diam
ialah kata-kata 
yang tidak pernah usai.
Ada kalanya ia ucapan paling manis,
atas nama,
silaturahim
dan 
sopan santun.
Meskipun,
dalam kebanyakan waktu,
ia sulit sekali ditafisr.

Selain mengenang memori,
apa lagi yang boleh dibuat orang pengalah seperti aku,
selain berdiam diri.


Am Yusof
7 Mac 2020

Thursday, March 19, 2020

PKP hari ke-2 (Khamis)

Bangun 6 pagi. Semalam dapat panggilan
supaya hadir temuduga untuk jawatan penolong HR buat kali kedua di Bukit Mertajam pukul 10 pagi.

Dalam hati kata biar betul? Kalau ditahan polis bagaimana? Ah hanya minda mempersoalkan tapi mulut pantas saja menutur kata setuju.

Gerak dari rumah di Kampung B, Perak pukul 7 pagi sampai pukul 9 pagi. Pukul 9.30 masuk pejabat. Hanya aku seorang calon dipanggil. Aku diberi penutup hidung & mulut serta diminta bersihkan tangan dengan hand sanitizer.

Teringat ujian pengiraan dan penyediaan graf yang kujawab pada temuduga pertama tempoh hari. Semuanya betulkah sehingga aku dipanggil lagi. Tapi hendak bertanya rasa tidak patut dan kurang sopan pula. 

Jumpa penemuduga kira-kira pukul 9.45 pagi. Penemuduga juga bertopeng muka. Sesi soal jawab berjalan pantas. Lucu berserkup separuh wajah begini bila bercakap kabus naik ke cermin mata.

Pukul 10.06 pagi sudah hantar swafoto ke group WhatsApp keluarga dengan mesej "sudah siap interview". Jalan lengang. Gerak balik rumah sampai pukul 11.30.

Entah dapat atau tidak? Entah layak atau tidak?



Nota:
Kematian dua orang.

Thursday, February 20, 2020

.

Dalam beberapa minggu kebelakangan ini ada hari yang aku fikir begitu banyak.
Ada hari yang aku tak fikir langsung.
Apa lagi yang aku boleh buat selain mengenang memori?

Wednesday, February 12, 2020

Aku penganggur I


Walau tiada gaji,
Kerjaku banyak juga.
Bangun awal pagi, tunai kewajipan pada Ilahi hantar Hakim (6 tahun) ke pra sekolah. 
Kadang-kadang Hakim nak aku mandikan. 
Selalunya ada drama sebabak bilik air.  Menangis meraung-raung bagai didera. Tak mahu mandi.  Mahu air panas. Kata kuncinya, tidak mahu ke sekolah (ah, aku dulu dari peringkat tadika, rendah, menengah sampai tingkatan enam malas juga ke sekolah).
Cat dinding dapur sempena Aidiladha (sebab adik-adik di perantauan sudah boleh balik dan semangat sikit nak berhari raya).
Mesin rumput (yang ini tidak begitu mahir sebenarnya).
Pada hari-hari biasa, mengemas, menyapu membersihkan rumah tempat kami berteduh. Membasuh pinggan dan baju.
Konsisten supaya semuanya rapi dan terjaga. 
Memasak untuk keluarga. Belajar masak tauhu bergedil, seri muka, kek marble, dadih, tauhu berlauk, laksa, mi kari, martabak (ejaan mengikut DBP) nasi goreng kedai kata Along. Mesin berbelas biji kelapa saban minggu untuk dibuat kerisik jualan emak.
Main basikal dan Lego dengan si Adib empat tahun supaya dia melupakan gajet.
Jadi pemandu, peneman, tukang angkat barang. Ah apa-apa sahaja untuk keluargaku. Tidak apalah aku sedia berkhidmat dan apa yang aku lakukan masih terlalu sedikit. Kerana, belasan tahun aku merantau, baruku nampak dengan lebih jelas terlalu banyak perkara dan urusan perlu dibantu sokong menyokong. Semua orang punya tugas.
Lalu engkau pun bertanya, 
"Buat apa sekarang? Sudah dapat kerja?"
Jawabku ringkas "tak buat apa-apa duduk di rumah saja"

kata-kata ringkas untuk hari ini

am, jangan berhenti kerja. hari yang buruk akan berlalu hari yang baik akan datang lagi.