Friday, May 14, 2021

Hari ini hari lahir

Hari ini Hari Raya Kedua Aidilfitri.
Hari ini juga hari lahir ke-33.
Minggu ini aku mudah menitiskan air mata.
Mungkin kerana sudah agak lama berjauhan dengan keluarga.
Mendengar atau membaca perkataan yang tertulis tiga huruf m.a.k cukup membuatkan aku menangis 
sama ada teresak-esak atau ada ketikanya aku masih menutup rapat bibir, mengetap pipi 
tapi mata sudah memerah. berkaca-kaca. Apatah lagi kalau aku lihat foto emak.
Berderai-derai air mata seperti hujan musim tengkujuh. 
Lagi-lagi kena bekerja pula pada 1 Syawal dan 2 Syawal.
Hari ini aku bekerja syif petang (4 petang hingga 12 malam).
Aku sudah tidak tahu apa rasa bahagianya.
Cuma barangkali seiring peningkatan usia,
aku fikir bahagia itu tidak lagi menjadi berbentuk sebiji kek yang penuh.
Misalnya, bahagiakah bila ada kerja? 
atau bahagiakah bila ada duit? 
Jawapan untuk kedua-dua soalan itu secara peribadi tidak boleh kujawab bahagia bulat-bulat.
Mungkin pembahagian jawapannya sedikit bahagia, sedikit sebal, sedikit pahit, sedikit payah, sedikit kurang sabar, sedikit manis, sedikit terhibur, sedikit rasa berguna, sedikit rasa aneh, sedikit rasa mahu pukul orang, sedikit marah dan sedikit tidak puas hati. 
aku fikir bahagia pada sudut pandangan aku pada usia ke-33 aku hari ini ialah
berbentuk serpihan atau potongan atau cebisan. Mungkin nipis, kecil, tidak tahan lama.
Misalnya,
Aku bahagia jika dapat selesaikan satu tugasan pada hari itu.
Aku bahagia jika dapat berkumpul, berbual-bual, makan beramai-ramai bersama teman serumah.
Aku bahagia jika selesai baca sebuah buku yang bagus atau tonton filem, anime, drama yang bagus.
Lagi apa ya?
Apa-apapun, aku cuma mahu pulang ke ribaan emak aku.

Monolog: Allah malu sekali aku pada-Mu ya Rabbi.
Banyak sekali aku mengomel tentang anugerah kehidupan yang aku kecapi sekarang.
Bimbing aku jadi hamba yang baik dan bersyukur.
Terima kasih ya wahai Allah hidupkan aku lagi sehari hari ini.
Insya-Allah aku cuba sedaya upaya ku Ya Allah jadi hamba-Mu yang bermanfaat dan berbakti pada orang-orang di sekeliling aku.



kata-kata ringkas untuk hari ini

am, jangan berhenti kerja. hari yang buruk akan berlalu hari yang baik akan datang lagi.