Wednesday, November 6, 2024

Kisah umrah part 1

Sejujurnya aku rasa, ujian aku di tanah suci Makkah ini ialah mak aku dan ujian mak aku mungkin juga diri aku sendiri dengan sikap tak berapa semenggah / bukanlah baik sangat yang serba kekurangan ini.

Mak aku makan lambat. Sebab gigi baris depan semua dah tiada (ada gigi palsu tapi tak suka pakai. Mak aku kadang-kadang tak lalu makan, tapi sebab orang kata di Makkah, kena jaga percakapan, mak aku akan kata sedapnya, dan makan macam berselera.

Selalu juga dia letak nasi banyak tapi memang payah habis (mak aku biasa akan habiskan makanan).
mak aku kalau di tanah air memang makan banyak dan jenis tak tahan lapar. Mak aku di sini pergerakan dia lambat. Sebab sakit kaki. Dalam kebanyakan masa aku cedukkan nasi untuk dia dan ambil air untuk mak aku sebab aku tak boleh tahan tengok, koordinasi pergerakan mak aku yang agak lambat di Makkah ini.

Sebenarnya, kan, mak aku lasak dan energetik orangnya. Kadang-kadang aku fikir, mak aku lebih kuat daripada aku. Pergi kebun menebas, lepas Subuh di kampung tak tidur, suka masak air guna dapur kayu, pergi tolong orang kenduri joint team rewang, pergi kelas mengaji Khamis dan Jumaat.

Pendek kata sangat aktif. Cuma di Makkah ini, mak aku macam agak blur. Mungkin sedang menyesuaikan diri, mungkin mak aku tak biasa travel jauh / dan kebanyakan masa, duduk kampung dan berlegar dalam rutin dan aktiviti sama saja.

Kami akan makan di aras M yang diletak label 'restoran' (maaf cakap aku rasa, terjemahan yang kurang tepat, dan lebih sesuai dipanggil ruang makan. Dewan makan pun tak sesuai). Meja susun rapat-rapat, bilangan terhad. Hotel ada 11 tingkat (aku dan mak aku di tingkat 11). 

Hari pertama dan kedua aku, tak berapa boleh hadam, dengan 'suasana' hotel ini. Ada dua lif (pernah cuma satu lif boleh guna sebab rosak). Satu daripada Lif tu pada aku jenis 'antik' ya tuan-tuan dan puan-puan. Ada dua lapisan pintu yang di sebelah luar daun pintu yang kita kena tolak dan tarik macam pintu klinik besi tu dan pintu kedua tu macam pintu lipat tapi dua-dua lif tu kecil masuk, empat @ lima  orang pun dah penuh / pintu tak boleh tutup dengan ratusan jemaah yang memang kerap turun naik untuk urusan ibadah, pengurusan diri etc dan ya, gara-gara lif ini saja aku dah kalah teruk hahaha.

Aku sebenarnya, jenis suka tangga, sebab kira exercise la kan tapi tangga hotel itu, jenis sempit dan dan binaan dia menjunam untuk orang-orang tua agak bahaya. Sampai satu tahap, aku sampai pernah terlintas dalam hati, tangga begini lulus EC ke? Hahaha kau tengoklah jauhh nau fikir.

Memang tak molek laa perangai hahaha pada hari pertama dan kedua tu, aku rasa tak sabar-sabar nak tinggalkan kota Makkah. Tapi kan,  tiada hari yang aku tidak menangis di tanah suci terutamanya masa iktikaf di Masjidil Haram. Ibadah di sini dijanjikan 100,000 kali ganda pahala, dah kenapa aku nak cepat-cepat balik pula. Santailah nak, jangan semua dibawa panik. Gituu kata motivasi. 

Berbalik kisah mak aku, aku rasa mak aku  macam dalam fasa stres. Berdasarkan pengalaman aku handle kolum kesihatan dan belajar psikologi kesihatan stres ini tak semestinya, kau sedar yang kau stres tetapi tubuh tu memberi signal stres. Hari ketiga, aku nampak mak aku susah buat pergerakan mudah. Ada satu hari, anak baju pun aku pakaikan, mak aku singsing baju untuk wudhuk, tapi tak boleh pastu dia jadi macam panik eh kenapa baju ni (sebenarnya banyak lagi contoh peristiwa tapi lebih mudah cerita secara verbal).

Lepas tu kan, mak aku jadi lupa. Mak aku tanya, dalam telekung pakai tudung tak, pastu bila dah siap nak gerak tu, mak aku tanya, mak ambil wudhuk tak. Jadi mestilah kena masuk balik ambil wudhuk kan, dan beg silang tu aku perlu double cek / masukkan / buang apa yang patut. Bila sampai tahap begini kan, aku jadi sayu dan rasa nak nangis juga sobs. 

Pastu mak aku macam tak percaya aku dengan izin dan kasih sayang Allah SWT, insya-Allah boleh la jadi pemandu jalan untuk pergi balik / masuk keluar masjidil haram yang banyak pintu dan laluan yang sungguh unik itu. Kalau masuk pintu lain atau tiba-tiba dalam situasi guna / ubah laluan lain, dia akan kata tak boleh jalan ini, tarik aku pergi ke laluan lain walhal ada satu masa tu kami sudah terang-terang nampak landmark menuju hotel, yang selalu aku tunjuk dan cakap ulang-ulang hotel belah kiri. Itu tempat mak beli barang di Safwah dan mak aku macam sentap la sikit.

Mungkin mak aku sakit kaki, jalan lambat jadi dia risau kalau salah jalan, pastu satu lagi signal yang menunjukkan badan dia stres ialah dia cengkam tangan aku kuat betul takut masa jalan. Hari pertama dan kedua tu aku koyak la juga. Hari Selasa, aku dah boleh adjusting. Bila time jadi gitu masa jalan aku peluk bahu dia pelan-pelan dan Istighfar. Tak explain teruk-teruk dah.

Sebenarnya aku jenis suka explore dalam masjid tu dan kalau boleh nak solat depan kaabah. Ada satu masa, aku fikir bestnya la adik aku dia lelaki, dia macam bebas sikit berbanding aku. Aku pun ada masanya, macam nampak satu laluan yang menarik untuk dicuba tapi mak aku kata solat tempat biasa pun tak apa. Ada satu hari kami lambat, kami solat Maghrib di dataran luar tu. Pastu aku ajak mak jom Isyak dalam masjid, sebab sini laluan orang lalu lalang. Tapi mak aku tak nak. Sekali polis datang, minta semua orang beredar. 

Aku rasa, hari ketiga di Makkah, aku ubah sikit mindset aku. Aku datang sini untuk khidmat dekat mak aku. Itu pun ibadah juga. Ada rezeki, tersilap jalan misalnya macam kes lepas kena perambat pulis itu hari entah macam mana tiba-tiba masuk betul-betul ke dataran kaabah. Wahai Allah, buatkanlah mak saya sihat, kuat dan cergas, sampai boleh berlari-lari di tanah haram-Mu.

Wahai Allah, yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang, pandulah hati dan fikiran kami pada jalan lurus. Jadikanlah kami berbuat apa yang disukai-Mu walau di mana jua kami berada. Aamiin.





 

kata-kata ringkas untuk hari ini

am, jangan berhenti kerja. hari yang buruk akan berlalu hari yang baik akan datang lagi.