Ketika entri ini ditulis aku sebenarnya sedang mengerjakan satu rencana untuk ruangan agama.
Terlalu banyak maklumat yang boleh aku tulis buat fikiran aku tersekat juga.
Ah manusia terlalu rumit.
Tulis sajalah dulu.
Biar panjang berjela. Save, sunting dan muktamadkan.
Kalau lekas selesai esok sudah boleh hantar dan bertenang sikit.
Tapi entah kenapa aku terfikir untuk melencongkan arah penulisan
dan menulis tentang tajuk entri ini.
Meski usia sudah mencapai 35 tahun pada 2023 ini,
aku sangat jarang menyebut soal jodoh
atau bercakap terbuka tentangnya dengan sesiapa pun.
Dalam circle aku ramai juga bujang terlajak.
Ramai di antara kami sudah melepasi 30-an
ada juga beberapa kawan yang telah menginjak awal 40-an.
Walaupun aku selalu sangat 'berceramah' dengan adik-adik yang lebih junior
mengenai tiada istilah terlambat untuk bla bla,
kita hidup tak berlumba dengan sesiapa kecuali diri sendiri
dan untuk jadi lebih baik dari diri kita yang semalam,
kita ada garis waktu kita sendiri
dan perjalanan kita tidak meniru orang lain
sebab soalan ujian kehidupan kita lain-lain yada yada
sejuta patah perkataan kata-kata motivasi demi meningkatkan semangat juang
supaya terus survive sehari dan sehari lagi.
Begitulah bijak dan bernasnya aku mencurah nasihat.
Cuma malam ini, aku terasa ingin bertanya,
Ada tak peluang aku jumpa dengan 'separuh aku'
jadi aku sekarang ini tak lengkap ke sebagai manusia?
betul-betul ke aku sekarang ada separuh saja ye?
dan aku jawab kepada diriku sendiri,
eh tak kau tetap seorang manusia.
Kau adalah diversiti. Kepelbagaian hidupan.
Maksudnya, ada yang kahwin, ada cerai,
ada kena bunuh dengan pasangan, ada yang kahwin muda, ada kahwin tua, ada,
ada duda, ada yang kahwin tiada anak,
ada yang bujang terlajak macam kau,
dan ada juga yang stay single sampai meninggal
dunia. al-Fatihah buat yang telah pergi.
Tapi ada satu hari aku terfikir,
disebabkan susah sangat nak bertemu jodoh yang sesuai,
sebab belum ada yang cuba mendekati dan cuba melintasi
garis sempadan lebih daripada seorang kawan
dengan aku pula belum bertemu lagi calon-calon sesuai yang boleh aku confess
sampai satu hari aku pernah berdoa begini:
Ya, Allah aku tahu aku banyak dosa, keras kepala dan degil
tapi aku sunyi sangat Ya Allah, aku perlu teman
aku teringin disayangi seorang pasangan yang halal,
wahai Penciptaku, kau tolonglah pinjamkan seorang jodoh,
Setahun, dua tahun, tiga tahun, empat tahun,
atau walau sebentar pun jadilah...dari langsung tiada.
Entahlah, aku pun tak tahu,
sejauh mana aku kuat diuji
dengan kata-kata dan doa sendiri
berdepan kehilangan
kalau ia betul-betul terjadi.
Jadi ini buatkan aku istghafar berkali-kali
Ya Allah ampunkan kami
kami gopoh dan tidak cukup sabar
kau berilah apa yang terbaik dari sisi-Mu
ajari aku untuk jadi hamba yang redha dan bersyukur
dengan apa juga pemberian-Mu.
Aku ingat selama lebih 20 tahun jadi orang dewasa
tinggalkan rumah dan kampung halaman
merantau bertahun-tahun di negeri orang
aku sudah 'pakar' hidup single
rupanya ini peringkat paling susah.
Ya Allah, sungguh aku kini sudah terasa, betapa sakitnya sebuah sunyi.