Thursday, March 10, 2016

Hari ini dan tiga kecelaruan

SATU
hari ini Khamis dan tepat pukul 10 pagi aku sudah siap 
pakai baju warna coklat  
kegemaran aku dan terus pecut ke tempat kerja 
sambil dengar CD lagu Meor
menelusuri jalan sesak berdekatan projek MRRT seperti biasa. 
tetapi tidak mengapalah,
kerana aku bukannya kejar masa pun.
sampai di pejabat pukul 10.30 pagi 
buka sistem dan buku nota sambil mencongak-congak story idea
untuk artikel minggu depan.
pergi pantri bancuh secawan Milo
balik semula ke meja capai jadual baru perasan ada 
tanda X untuk hari ini dan Ahad.
capai beg turun kafe tapau
balik semula ke Alam Damai
dan tidur sampai pukul 4 petang.


DUA
bangun dari tidur ternampak text ringkas dari housemate kata
hari ini last promosi percuma
mesin laundry layan diri yang baru buka tiga hari sederet kelab S. 
mandi solat Zohor sambung Asar, ambil comforter 
buka, sarung bantal, selimut, sebaldi kain baju 
dan sumbat dalam kereta menuju ke kedai yang jaraknya sejauh mata memandang saja
premis kosong tiada orang mungkin tak ramai tahu ada promo.
loading dalam dua mesin sekali gus (dasar tamak) dan biar dia pusing sendiri
dalam 30 minit siap tetapi kerana malam ini aku tidak mahu tidur di atas tilam nipis
tanpa comforter aku masukkan pula semua basuhan ke dalam mesin pengering.
untuk itu kena bayar RM4.
tukar token empat keping dan selepas tekan eh mesin pengering lain 
(ada baju di dalamnya) pula berpusing
termenung sesaat tengok anak panah tempat letak syiling 
menunjuk arah atas dan bukannya mesin pengering bahagian bawah yang telah aku masukkan kain bajuku.
tukar lagi token dan sambung semula keringkan benda alah tu.

TIGA
sementara menunggu kesemua cucian kering aku ke pasaraya E beli sekotak susu, 
sebunjut bun pandan dan lima biji epal semuanya RM10.35. 
Capai dompet dan hulur pada chashier RM10.30.
Dia kata perlahan lima sen dan aku kata tak mengapa 
dan senyum pada cashier tetapi dia ulang lagi 
kurang lima sen dan aku kata dengan yakin: 
"Tak apa kalau tak ada baki. Bagi resit saja cukup".
dan tiba2 aku baru aku tersedar rupa-rupanya tak cukup lima sen 
aku cepat-cepat keluarkan 10 sen dan berlalu malu.
Dalam hati mencongak-congak terfikir bagaimana aku boleh fikir cashier yang tiada baki 5 sen untuk dipulangkan
kepada aku sedangkan bayaran aku yang sebenarnya tidak cukup 5 sen.










Sunday, February 14, 2016

Kesan rama-rama


Apa rasanya jika kau boleh
berpatah balik ke masa silam
18 tahun ke belakang 
dari umur 29 tahun kau sekarang
bertemu semula 
dengan orang-orang yang pernah mati
kena bunuh
dan orang-orang itu 
mak kau
kawan-kawan sekolah rendah kau
apa rasanya jika kau boleh tangguhkan sekejap
kematian mereka.
Boku Dake ga Inai Machi 
The Town Where Only I am Missing 
a.k.a ERASED

still ongoing baru upload 6 episod setakat 11 Februari 
release setiap hari Jumaat
menunggu kadangkala buat aku pengap.










bagi aku
 jika aku tiba-tiba dikurniakan 
kuasa untuk kembali 
ke zaman kanak-kanak atau
zaman sekolah semula
aku tak nak
walau betapa indahnya momen-momen
yang pernah aku kecapi 
sebabnya aku rasa aku dah melalui 
fasa-fasa itu dengan sepenuh daya, usaha, kekuatan 
yang aku punya 
pada ketika dan saat itu
jadi
untuk ulang semula aku rasa penat
kerana bagi aku
walau betapa buruknya masa silam
yang kita tinggalkan 
ia sepatutnya dibiar ditempatnya
dan diubati gulungan waktu berlalu

 






Saturday, December 26, 2015

rasa tanpa perisa 11

diam
kerana aku mahu jimat tenaga menjerit
senyum
kerana aku mahu jadi orang manis
lupa
kerana aku tidak mahu terkenang-kenang lagi
pindah
kerana aku tidak mahu terus tunggu
harap
kerana aku masih punya Tuhan dan kudrat



Tuesday, December 8, 2015

12A

Rumah adalah tempat letak simpan
sekeping hati milik kita.
Tempat yang hati kita
memanggil-manggil
minta cepat pulang.
Tetapi bila sekeping hati itu
tidak lagi aku temukan
apakah aku masih boleh memanggil
tempat itu sebagai rumah?


Mushishi episod 7

Tuesday, November 17, 2015

orang baik

Macam mana baik bahasa kita 
kita tak maki orang 
orang maki kita
macam mana baik 
kita jaga kebajikan orang 
kita tak khianat orang
orang khianat kita.

Demikian kehidupan 
supaya manusia
orang baik tak rasa  
hidup ini untuk selama-lamanya
supaya orang baik insaf
ini tempat tumpang.

DrMAZA

Saturday, October 10, 2015

migrain

Lewat malam begini kurasa seperti
kepalaku penuh
disumbat puluhan pulut udang
berbalut daun pisang 
di dalamnya berisi pulut susu yang
lemak secukup rasa
bertaburan di segenap
ruang tengkorakan
kelapa parut berwarna
kuning
bergaul sebati
dengan udang kering
serta pedas lada
dan puluhan lidi yang
mencucuk-cucuk
sampai aku rasa mahu
belah kepala sendiri
dengan keratan horizontal
dan keluarkan kesemua
kuih kegemaran arwah Che tu
supaya kepalaku lapang
dan aku boleh tidur dengan tenang

Friday, June 26, 2015

Lesen DA

Setelah give up ambil lesen kereta manual tahun 2013
di Institut Memandu M,
hujung Mei 2015 baru aku 
terhegeh-hegeh ambil lesen semula. 

Kali ini aku ambil lesen D Automatik (DA) di Pusat Latihan Memandu C
sebab utamanya nak cepat 
dapat lesen dan malas fikir
tentang clutch dan gear semua 
lagipun lesen kelas D aku sudah mau expired (26 Jun cukup 2 tahun dari tarikh lesen L itu dikeluarkan).

 Sebab keduanya aku mau pindah tempat kerja + pindah rumah + pindah negeri ;)
Sebagai stringer di Pertubuhan B yang terletak di Bandar G
aku sangat-sangat jarang ambil cuti
dan hanya belajar kereta bila tiada tugasan lapangan.

Biasanya aku minta pelepasan dua jam setiap satu sesi dan sambung kerja lepas tu.

Memang terkejar-terkejar sikit sebab aku kerja hampir setiap hari termasuk Sabtu Ahad dan kerja berterusan 7 hari seminggu hingga kadangkala mencecah 14 ke 16 hari baru cuti sehari hingga tiga hari sudah menjadi lumrah dalam pekerjaanku.

Aku cuti paling banyak seminggu masa raya dan hanya akan ambil cuti jika ada urusan penting dan hal kecemasan keluarga. Tidak mengapalah aku sudah redha begitu kerana ada job adalah fulus.

Mak aku pada mulanya tak boleh terima hakikat yang jadual kerja aku camtu. Tapi aku terang pada mak aku
yang aku tak la kerja around the clock (habis goreng story boleh rehat). 

Tapi ada masa tertentu contohnya
musim bola memang kerja sampai malam (kalau ada assignment pagi dan petang tambah crime yang tak boleh nak jangka bila nak terjadi kadangkala tengah tidur pun boleh terbangun pergi scence lewat malam atau pagi buta) tapi dah lebih tiga tahun (sejak 17 Nov 2011) aku tak pula rasa jemu disebabkan aku sayang kerja aku dan enjoy buat semua tu dan hadap nature ketidak tentuan 
rutin seharian.

Bila aku dapat pengesahan tawaran kerja dari akhbar K pada 11 Jun (aku start kerja baru pada 1 Julai) aku tunggu bos aku balik bercuti dua minggu (masa itu  baki cuti beliau ada lagi empat hari kalau tak silap) dan bagi notis tiga hari bermula 16 Jun (kira last day 18 Jun) pada masa yang sama aku letak jawatan sebagai AJK dalam kelab MM (juga dengan notis singkat).

Nampak agak tergesa-gesa di situ.
Memang aku tak fikir panjang pun. Sebabnya aku dah kerja 15 hari tanpa cuti dan aku agak risau memikirkan kemampuan aku mendapat lesen dalam tempoh 12 hari sebelum berhijrah ke tempat baharu. 

Pada mulanya aku rasa macam kehilangan sesuatu yang berharga dalam hidup aku rasa sedih (sikit) dan rasa insaf bagaimana rasanya menjadi  penganggur. 

Sementalah offer letter rasmi pun belum dapat (katanya ambil di HQ masa lapor diri) hingga 
sampai satu tahap aku terfikir macam mana kalau aku hanya berdelusi je pasal kerja baru tu hahaha.

Tapi lepas sehari dua aku dah boleh membiasakan diri dengan transisi kehidupanku dan memenuhi masa lapang yang ada dengan packing/donate/buang barang di rumah sewa dan berulang alik ke kelas memandu yang berbaki lapan jam (total 16 jam dan aku hanya belajar dua jam sehari) + tidak termasuk kelas persediaan untuk test (haritu aku belajar dari pukul 8.30 pagi hingga 3 petang) dan terus test JPJ pada hari berikutnya (24 Jun). 

bersambung......

Nota: Agak rojak entri ini kerana ia pecahan kecil suatu perjalananku yang asal boleh redah dan sangat cepat berubah dihanyut arus waktu gituuhh



Thursday, June 18, 2015

Rumah no. 1

aku anggap workspace ini sebagai
rumah pertama aku di perantauan
sebabnya banyak masa aku dihabiskan di sini
berbanding rumah sewa tiga kotak di BJ
tempat aku belajar menjadi lebih manusia
paling penting,
tempat aku enjoy favourite food aku hehe
tiada kenangan manis atau pahit aku tinggalkan 
di situ
cuma yang ada sesuatu yang aku istilahkan 
sebagai 
#pasang surut kehidupan# 
setiap yang bermula pasti berakhir jua.


17 November 2011 - 17 Jun 2015
Jalan Perak, George Town












* Tempat jatuh lagi dikenang inikan pula tempat cari makan :-D

Sunday, May 31, 2015

sekolah petang

Dalam mimpi aku semalam,
Entah macam mana Juzzou Suzuya jadi adik aku.
Abah (sepatutnya arwah) suruh amik dia kat sekolah. 
Masa itu sudah pukul 6 petang lebih.
Aku tak banyak cakap terus amik basikal tua abah 
bawah rumah dan kayuh laju-laju sebab tak nak adik aku tunggu lama. 
dalam 15 minit sampai tepi pagar sekolah, 
aku berehat sekejap ambil angin bawah pokok 
(besar juga pokok tu tak tau pokok apa) 
sambil lap peluh dengan lengan baju, 
tiba-tiba budak tu melompat keluar dari pagar 
terus menerpa ke arah aku 
menyebabkan basikal dan aku hilang keseimbangan 
dan terjatuh (basikal timpa aku sebenarnya)
aku membebel sikit pasal perangai dia yang tak semenggah
dan main redah tu
budak tu buat muka tak bersalah 
lepas dia angkat basikal dan tolong aku bangun
laju saja dia naik atas sit dan tepuk carrier (mahu carry aku di belakang). 
Dalam perjalanan pulang tu kami singgah kedai runcit 
beli tiga aiskrim pop (2/3 untuk Suzuya separuh untuk aku) 
sambil makan atas basikal, aku kata pada Suzuya, 
"Adik lepas hang habis sekolah kolej nanti aku harap hang tak kerja dengan CCG. 
Hang buat lah apa-apa kerja lain. 
Janji halal dan tak menumpahkan darah sesiapa,". Budak tu diam saja.
Mungkin dia tak faham 
satu apa pun kata-kata aku 
atau mungkin juga aku sendiri yang sebenarnya
tak begitu mengerti satu apa pun tentang diri dia



Monday, May 25, 2015

kata-kata ringkas untuk hari ini

am, jangan berhenti kerja. hari yang buruk akan berlalu hari yang baik akan datang lagi.