Sunday, January 17, 2021

Catatan Januari

JANUARI ini, masuk bulan kelima aku bekerja di kilang F dan menyewa di Bandar Cassia. 

Bulan depan, 28 Februari kontrak aku tamat. Hati melonjak tak sabar melewati hari-hari berlalu. Ah realitinya, belum tentu ada kerja lain menanti di hari depan. 

Aku macam rasa nak balik kampung. Teman mak yang keseorangan di sana. Kadang-kadang ditemani tok yang sudah mencecah usia 80 tahun ini.

Tentu tok lebih selesa di rumah sendiri. Buktinya, bila ada anak-anak mak yang balik, tok tidak akan betah duduk berlama-lama. 

Tapi, kawan-kawan cakap, kebarangkalian untuk diserap sebagai permanent staff agak tinggi. Cuma, aku sendiri tidak pasti mahu kekal atau pergi. 

Musim pandemik ini, rasa macam mustahil dapat balik kampung dalam waktu terdekat walaupun jaraknya cuma 70 kilometer. 

Hati kecilku memberontak, bukan virus yang sebenarnya memisahkan aku dan kampung halaman tapi undang-undang.

Masa aku menganggur hampir 10 bulan lalu, aku pernah mengadu stress kat mak  sebab susahnya nak dapat kerja. Rasa macam nak 'lari' dari rumah. Mak kata larilah dan ketawa.

Tapi bila aku dapat kerja kilang di Penang mak kata, jadi Alang nak tinggal maklah? 

Aku kata, alah Alang bukan tahan sangat kerja kilang. Entah-entah hari pertama Alang dah cabut lari balik kampung. 

Mak aku ketawa lagi. Tapi end up dah hampir lima bulan di sini.

Ah, entah-entah lepas habis kontrak, aku apply kilang lain dekat-dekat sini juga nanti. Secara peribadi, aku lihat, kerja kilang antara sektor yang ada banyak vacancies musim virus ini. 

Sekarang, biarpun dalam suasana PKP, masih banyak kilang memerlukan ramai operator yang mungkin aku boleh cuba nasib mohon (lagi) itu saja la mampu.

Ironinya, aku sendiri tak pasti mahu jadi apa atau buat apa. Kalau boleh aku hanya mahu buat kerja senang dan tak memeningkan kepala. Serasa aku tidak peduli lagi langkah aku mundur ke belakang. Pendek kata, cita-cita aku sudah mengecil. 

Teringat, ex-roommate di rumah pertama yang aku pernah sewa semasa kat sini selama sebulan sebelum aku pindah ke Halaman S. 

Bila aku kata aku kerja kilang, dia sangka aku engineer di sana. Sebab ada banyak buku di bilik aku. Tinggi bersusun-susun.

Sebenarnya kalau dia tengok betul-betul kebanyakannya buku self-help, puisi, novel, naskah agama) selain timbunan koleksi diari tebal (jurnal yang aku tulis sejak 2012) yang masih aku tulis sehingga sekarang.

Aku ketawa. Lucu. Ah dia sendiri engineer. Tentu dia lebih maklum seperti apa lazimnya sosok engineer itu sebenarnya.






Tuesday, August 18, 2020

Puisi apa hari ini

Mahu baca puisi apa hari ini?
puisi tentang orang miskin susah,
sehari-hari hidup mengenang nasib, 
menunggu tuah memeluk riba,
ah miskin tidak semestinya susah,
lalu engkau bertanya miskin tahap bagaimana?

Barangkali dikatakan miskin
kerana cuma ada beberapa keping syiling 
dan sehelai dua wang kertas seringgit 
di dalam lipatan sapu tangan lusuh.

Ah miskin juga jika asyik melihat diri tidak cukup serba serbi.

Am Yusof
5 Julai 2020

Friday, July 31, 2020

Seperti apa

Hari ini, 
Jika engkau sedang gembira,
Seperti apa bentuk bibirmu 
mengoyak senyum
dan 
irama gelakkmu
tertawa ria.

Jika engkau muram berduka,
sedalam mana garis lukamu,
entah kerana apa ia tergores
entah siapa menggores.

Jika kau sedang menitiskan air mata,
Seperti apa gaya tanganmu menutup wajahmu,
ah entah tangisan petanda syukur,
entah tangisan petanda duka.

Hari ini,
cukup saja aku menyimpan pertanyaan-pertanyaan ini,
selama aku belum bertemu dirimu,
meskipun, 
aku terlalu ingin menyaksikan,
sejak sekian lama,
entah seperti apa bentuk cintamu kepadaku,
pada hari yang aku sendiri,
tidak mampu untuk mengasihi 
diriku sendiri.

Am Yusof 
30 Julai 2020

Tuesday, July 21, 2020

Pahit yang manis

Kataku, 
inilah pahit yang manis,
lalu engkau menyoal,
jadi pahit atau manis?

Jawabku,
pahit di lidah,
manis di hati,
Jadi umami.

Am Yusof
18 Julai 2020

Sunday, June 28, 2020

Senarai barang percuma

Hampir tiada apa-apa yang percuma di dunia ini melainkan, kurniaan Ilahi, helaan nafas, nikmat sihat, kasih sayang keluarga & rakan-rakan. Tidak terhitung jika mahu disenaraikan. Syukur apa adanya. Terima kasih Allah atas segala kurnia.

Friday, June 19, 2020

Nota kepada diri I

Sebenarnya aku tidak hilang apa-apa. Kerana semuanya pinjaman dari-Nya. 

Pun begitu, Allah sudah ganti perkara yang bukan milikku itu dengan sesuatu yang lebih baik. 

Telah lama diganti sebenarnya. Cuma aku tidak perhati betul-betul sebelum ini. Terima kasih Allah. 

Maafkan hamba-Mu. Hamba tidak sabar, gopoh dalam meminta pada-Mu. Walhal Engkau Maha Tahu dan lebih mengenal diriku dan keperluanku.

Ya Allah, Ya Rabbi penuhkanlah dadaku dengan iman. Suburkan rasa kasihku pada-Mu dan Nabi-Mu Muhammad SAW. Ikatkan hatiku pada-Mu. 

Ya Allah Ya Lathif Jadikan diriku orang yang berlemah-lembut, sabar, tekun dan bersungguh-sungguh dalam setiap perbuatan dan amal soleh.

Thursday, May 28, 2020

Rangkuman dua hari

27 Mei 2020

6.30 pagi. Yasin selepas Subuh. Main kejar-kejar di halaman dengan Hakim (6 thn) dan Adib (3 thn). Cabut / mencangkul rumput sebaldi (40 minit). Basuh kain. Mesin kelapa sembilan biji. Buat senaman sit up dan regangan badan dengan Hakim (20 minit). Sapu sampah.  Zohor. Angkat baju. Tidur pukul 3.30 petang. Bangun pukul 4.50 petang. Buang sampah di pekan. Bakar sampah. Malam: drama korea The Little Princess. Buat popia nestum. al- Mulk, al-Waqiah dan as-Sajadah. Masuk tidur pukul 1.30 pagi.

28 Mei 2020

6.43 pagi. Yasin selepas Subuh. 7.25 pagi senaman + berlari dengan adib dan hakim. Cangkul rumput sebaldi. 8.30 pagi mandikan adib + hakim. Basuh kain. Senaman sit-up 25 kali. Jual buku The Malay Dilemma RM30 di Carousell. Tidur petang pukul 1.05pm hingga 3pm.


Friday, May 22, 2020

Cerita semalam

Malam 29 Ramadan. Jarum jam menghampiri detik 10 malam. Aku rasa ingin menangis. Aku siapkan lipatan baju di ruang tamu. Beri kucing makan bihun goreng. Kemudian menyelinap masuk kamar, baring dan menangis tanpa suara sambil istighfar dalam hati. Lalu tidur.

Friday, May 8, 2020

Keropok mahal



Impian bukan keropok,
jangan anggap ia murah,
Pecahkan tembok,
Ambil jalan jauh,
guna tali panjat lepasi tembok,
setelah itu,
tunggulah 
kejayaan akan menengking di hadapan pintu engkau.

Nota: Dialog filem Tamil tajuknya sudah lupa. Ada bahagian yang tak lengkap dan aku sambung sendiri sesedap rasa.






Tuesday, May 5, 2020

Ramadan 2020

Ramadan kali ini mungkin bukan Ramadan terbaik untuk rekod peribadiku. Baru 11 Ramadan. Masih boleh diperbaiki.

Ya Allah, entah kenapa, hatiku sejak beberapa hari ini terasa begitu kecil. Emosi begitu mudah 'melimpah' dengan hanya secuit situasi yang kurang enak pada fikiranku. 

Diriku jadi mudah marah dan merentan. Sesungguhnya aku tidak marah kepada situasi dan orang yang terlibat dengannya. 

Aku cuma marah dengan diriku sendiri kerana mudah kalah dibadai arus perasaan. Ah aneh sekali diriku. Seringkali aku punya kesabaran untuk hal-hal yang lebih menyulitkan dan menyakitkan. 

Tetapi untuk perkara yang tersangat remeh dan senang-senang sahaja boleh selesai sebenarnya, kesabaran itu sudah tiada lagi ditempatnya. 

Entah kenapa aku fikir Ramadan yang dilalui terasa lebih baik ketika merantau di Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan semasa menjadi penghuni asrama di Sekolah D.

Barangkali ini kali pertama aku menyambut Ramadan ketika bergelar penganggur. Tiada lagi waktu sibuk-sibuk dan bekejar-kejar. Sepatutnya lebih mudah fokus ibadah.

Astagfirullhalazim. Ya Allah selamatkanku dari diriku sendiri. Ampuni aku. Ampuni hambu-Mu Ya Allah.

Monday, April 20, 2020

PKP hari ke-34

Bangun 6.50 pagi. Betulkan ampaian disondol babi. Babi korek ubi mak. Cabut rumput separuh kereta sorong. Sapu sampah, kemas bilik. Masak sambal ikan bilis, goreng telur, buat kek pisang. Drama korea Open City TVN 416.


kata-kata ringkas untuk hari ini

am, jangan berhenti kerja. hari yang buruk akan berlalu hari yang baik akan datang lagi.