Thursday, July 28, 2022

Rangkuman hari demam



Sabtu lepas aku mula tekak aku rasa sakit. Selsema. Tapi aku ada assignment anugerah TYT. Sampai dalam pukul 8.30. Lepas ucapan pukul 10 pagi aku terus gerak balik rumah. Sampai di rumah, buka laptop siapkan story dalam 12 perenggan hantar dalam sistem. Lepas tu aku tidur. Bangun dalam pukul 6 aku nampak story yang sama flash dua kali. Sekali pukul 1.15 tengah hari satu lagi jam 1.47 tengah hari. Test Covid-19 negatif.

Ahad aku ada assignment pukul 8 pagi. Aku bangun pukul 6.10 pagi mandi, solat sunat qobliyah Subuh, Subuh. Yasin. Aku decide tak pergi assignment sebab assignment tu macam tak menarik dan aku pula tak berapa sihat. Basuh baju. Baring. Baca buku. Dhuha. Zuhur. Tidur. Pukul 5 bangun Asar lepas tu keluar pergi Tesco dan Mydin. Balik rumah sudah pukul 8.30 malam. Maghrib tunggu Isyak. Tidur. Test Covid-19 negatif.

Isnin. Bangun awal lagi hari ini. Pukul 5.50 pagi. Mandi. Qobliyah, Subuh. Masih demam. Buka laptop, cuba buat claim mileage. Cuma separuh jalan. Goreng cucur jagung+kucai+bawang+udang. Makan beberapa biji. Rasa nak makan nasi bujang dan ayam goreng. Order makanan dari kafe kampus guna Grab (untung tinggal dekat dengan kampus). Lepas Zuhur tidur sampai lewat petang. Asar pukul 6. Test Covid-19 negatif. Maghrib. Tunggu kawan ambil di rumah pergi assignment di TK. Hujan. Jauh juga tempat assignment tu. Story melibatkan persatuan kebudayaan. Seorang adik yang aku interview tu baru balik kerja syif 8 pagi 8 malam. Allah kasihannya dia. Habis interview dalam 10pm. Sampai rumah pukul 11 malam.

Selasa. Assignment pukul 12.30 tengah hari. Kena sidai. Pukul 2 baru mula. Bersesak. Panas. Rasa nak blah. Tapi sabar sedikit lagi. Usai interview pukul 2.30 petang. Bersila di pinggir padang. Taip story di handphone. Siap dalam 3.30 petang. Makan di BJ, isi minyak. Singgah di Tesco. Sampai rumah pukul 5 lebih. Mandi. Buka Shopee dan beli mesin basuh Samsung 13kg harga RM1,600++ dan order blender kaca juga untuk rumah mak di kampung. Dah lama teringin nak beli dua benda tu dan kebetulan kedua-duanya aku perasan rosak masa balik kampung minggu lepas. Kemudian aku tertidur dan terjaga pukul 10.30 malam. 

Rabu. Hari ini beberapa kali aku terfikir hari ini hari Selasa atau Rabu? Tiba-tiba juga aku lupa nombor plat kereta aku apa ya. Lama juga fikir. Aku buka aplikasi parking untuk check nombor plat kereta. Jam 9 pagi, ada kawan hantar text, tanya aku pergi court atau tidak. Tak pergi kerana tak tahu ada kes apa di court dan dia beritahu ada keputusan kes di high court. Aku kelam kabut capai t-shirt mahu lekas bersiap. Tapi aku sangkut semula baju. Tukar t-shirt lusuh. Aku rasa aku masih demam. Biarlah court tu. Buat tidak tahu sahaja. Duduk di meja makan. Buka laptop. Cuba karang lagi bahan rencana semalam. Baru dalam enam perenggan stuck. Cuba log in aplikasi bank kedua yang dah lama tak buka. Password lupa. Klik forget password. Cuba create pelbagai password tapi gagal. Order lagi nasi bujang dan ayam goreng di Grab macam Isnin lepas. Scroll medsos etc. Rencana masih terbengkalai. Pukul 1 bos KL minta check blackout. Bersiap ala kadar. Terus pergi airport. Interview dua orang. Hantar story di McD 3.52 petang. Bayar parking RM4. Masa nak ambil kereta dekat parking ada copule orang putih dan seorang anak tanya jalan nak ke tokong ular. Katanya tak jumpa teksi. Aku ajak tumpang sekali tempat tu satu jalan juga nak balik rumah. Husband orang Jerman, wife orang Poland. 

Khamis. Hari ini assignment pukul 9.30 pagi di Kompleks T. Aku gerak pukul 8.50 pagi. Sampai dengar taklimat, sidang akhbar 10.20 pagi settle. Joint kawan-kawan makan dan ada senior belanja semua orang. Lepas tu pergi assignment kedua pukul 11 pagi di Kompleks T juga. Dalam 11.30 pagi selesai balik rumah. Sampai dalam 12 tengah hari lebih. Satu story hantar 1.12 tengah hari satu lagi jam 2.45 tengah hari. Lambat juga buat story. Biarlah pakai atau tidak belakang kira. Lepas tu aku tidur sampai pukul 5. Terdengar bunyi phone mesej masuk bertalu-talu. Ada satu bos dari KL minta buat rencana  pendidikan. Lepas tu aku bangun. Makan nasi, makan panadol soluble dan mandi. Rencana tarian kebudayaan masih terbengkalai.


Thursday, July 21, 2022

Tengok bola

Semalam cover perlawanan bola sepak Liga Super. Game pukul 9 tapi jam 8.10 aku sudah duduk di meja dekat grandstand. Meja full house awal mungkin sebab ada team paling kuat turun. Penonton 6,000++ Aku hantar story 10.58 malam. Lepas tu terus turun bawah PC dengan coach kedua-dua pasukan.
PC sekejap je tak sampai 15 minit. Aku terus gerak balik. Sampai rumah dalam pukul 11.30 aku terus mandi. Solat Isyak.
Lepas tu aku makan durian dan nasi goreng. Lepas tu tidur. Pagi ini aku tak pergi assignment sebab nak fokus story review game. Story pertama aku hantar 11.44 pagi dan story kedua aku hantar pukul 12.51 tengah hari. Lepas Zuhur, tidur. Bangun pukul 4.30 petang. Asar. Pukul 6 pergi briskwalk di kampus dengan housemate.





Tuesday, July 19, 2022

Hari kematian

Tiga hari ini cuaca baik. Langit cerah dan panas sampai ke petang.
Kelmarin (Sabtu) dan semalam  (Ahad) aku buat liputan kematian. 
Kedua-duanya langsung tiada kaitan.
Story pertama dapat lebih 18,000 like dan story hari Ahad 23,000 like.
Hari ini, story yang aku buat semalam pakai frontpage. 
Aku dapat interview family dan ada buat angle yang paper lain tak buat.
Aku sendiri tak sanggup baca semula story yang aku tulis.
Kata-kata bapanya terngiang-ngiang di telinga aku. 
"Awak tulis baik-baik tentang anak kami sekalipun, orang tetap mengata juga anak kami". 
Aku hanya diam. Perasaan aku sedikit serba salah dan bercampur-baur. 
Andai aku ada pilihan aku mahu balik tidur tidak sanggup aku berpagi-pagi di unit forensik
melihat mak ayah kalian dengan mata memerah saga menahan esak tangis. Hati terasa dicarik-carik.
Al-Fatihah. Moga adik-adik semua bersemadi dengan aman.



Thursday, July 7, 2022

34

Kembali berkhidmat sebagai stringer tiada dalam perancangan hidupku atau lebih tepat lagi selepas aku melepaskan jawatan sebagai wartawan eksekutif di akhbar X. 

Aku bercadang untuk keluar dari bidang media tapi usaha aku menghadiri beberapa temuduga kerja dengan beberapa syarikat di negeri kelahiranku dan bandar negeri P tidak membuahkan hasil. 

Aku bukanlah mengimpikan sesuatu yang besar. Cukup jika kerja itu ada gaji basic, potongan KWSP, caruman PERKESO dan cuti dua hari seminggu. Kalau dapat office hours cuti Sabtu Ahad terasa alangkah bertuahnya (dasar manusia benda belum dapat memang nampak indah-indah saja). Tapi aku hanya mampu merancang dan Allah sebaik-baik perancang.

Bila berfikir semula aku bekerja di kafe aiskrim yang iklan jawatan kosongnya mahu calon pekerja berumur 18 hingga 25 tahun sedangkan usiaku 34 tahun aku terasa ingin ketawa kecil dan ada ketikanya aku terasa ingin senyum pahit. 4 bulan bekerja full time dan 2 bulan part time (sebab belum dapat staf ganti) sebelum aku fokus sepenuhnya dengan kerja-kerja stringer
 
Tapi ramai saja customer sangka aku fresh graduate dan ada juga fikir aku masih belajar. Mungkin bekerja di kedai aiskrim membuatkan aku tampak ceria dan lebih remaja haha. Ada kawan puji kata muka aku berseri-seri dan nampak happy. Yalah aku jual aiskrim kalau muka masam dan tak mesra alam tentu pelanggan pun tidak ingin beli. Seperkara lagi, aku nature kerja F&B yang memerlukan aku bergerak aktif dan berat badan aku turun kira-kira 7kg berbanding semasa bekerja di ibu kota dulu.

Tiba-tiba rasa sudah tua bila bercakap soal umur. Rasanya pada tahap umur apapun, kita sebagai manusia, tetap berada dalam fasa pembelajaran. Paling tidak belajar cara menjalani hidup yang tiada titik hujungnya selagi nyawa belum berpisah dari badan.

Wednesday, July 6, 2022

Nota untuk diri sendiri

Hidup ini rumit. Cuba buatkan ia ringkas walau tak mudah. Bukankah Allah berfirman dalam al-Quran, setiap kesulitan, disertai kemudahan. 

Kalau rasa penat rehat sekejap. Kalau rasa nak marah, tulis atau rangka draf ringkas mengapa kena marah, catat point penting dan marah secara rasional. Lepaskan. 

Kalau rasa tidak puas hati dengan seseorang confront orang tu. 5WH. Bagi cadangan, buah fikiran. Minta penjelasan. Kalau ada salah minta maaf. Kalau betul jangan berasa menang. Bersederhana dalam segala hal - baik ketika memberi reaksi atau maklum balas.

Jangan rasa besar, usah juga terlalu memperkecilkan diri. Kau cuma datang buat kerja. Selesaikan lepas tu balik. Do your best. Be the best version of yourself. Tapi kalau haritu tak dapat buat begitu, atau alur hidup tidak berjalan sesuai keinginan diri, kau biarkan sahaja. Hari yang buruk akan berlalu. Hari yang baik akan tinggal kenangan. 

Kalau rasa gemuk, kawal pemakanan, puasa, exercise. Kalau tiba-tiba rasa overthinking,  kemas bilik atau satu rumah, basuh baju, tidur atau brisk walk sekejap. Jangan berlengah. Kalau rasa hodoh, tengok cermin, kemaskan diri, pakai baju yang elok, senyum paling manis untuk diri kau sendiri lepas tu, go.

Kalau rasa stuck, tiada ruang untuk melarikan diri daripada belenggu masalah atau apa-apa sahaja kesulitan hidup, istighfar, doa pada Allah minta jalan keluar. Sabar dan solat. Muhasabah diri. Taubat. 

Kalau rasa pokai, miskin dan terbuang cukup bangun awal solat sunat sebelum Subuh dan kau seakan memiliki dunia dan segala isinya.

Kalau rasa macam nak mati selalu ingat orang yang dah mati dalam kubur tu selalu harap dapat hidup balik untuk sujud dan sedekah. 

Sekian dulu nota peringatan untuk diri sendiri pada malam yang hening ini. Allahu Al-Musta'an. Wasalam.

Tuesday, May 31, 2022

Orang surat khabar

Petang 15 Mac aku dapat panggilan seorang senior Y dari tempat kerja lama di Organisasi B. Dia sudah jadi ketua biro. Aku panggilnya bos kerana rasa kekok pula panggil namanya begitu saja. Bos Y offer aku jadi stringer dan katanya aku boleh joint bila-bila masa aku bersedia. Aku rasa agak happy juga tapi pada masa yang sama rasa takut untuk kembali bekerja di sana. 

Sebenarnya, pada pagi hari yang sama, seorang kawan ada hantar WhatsApp tanya hendak joint tak jadi stringer akhbar V. Aku memang teringin juga kerja surat khabar semula. Malam harinya baru ketua biro akhbar V call dan sembang mengenai offer kerja tersebut dan diminta hantar resume dan surat permohonan. Kebetulan yang aneh kerana dapat tawaran kerja stringer dalam selang masa beberapa jam. 

Keesokan harinya, admin pejabat di KL akhbar V hantar borang untuk diisi. Aku beritahu kawanku. Bulan Mac adalah bulan terakhir aku kerja dengan dia. Sebenarnya kawanku antara orang penting yang menjadi asbab aku dapat offer kerja tu. Dia petik nama aku semasa dapat tahu kawan-kawan di akhbar V sedang cari stringer baru.

Dilema juga sebenarnya. Aku tak tahu nak pergi mana satu. Organisasi B aku sudah pernah kerja 3 tahun 7 bulan dulu dan rasanya macam tahu selok belok budaya kerja di sana dan orang-orangnya. Bos di KL boleh tahan garangnya kalau salah langkah. Cuma mungkin bahagian yang paling aku suka pejabatnya yang ada meja kerja sendiri. Tapi aku bukannya muda lagi nak berumah pantai di office tengok anime macam dulu-dulu kalau tiada assignment. Agak lama juga aku fikir sehingga Mac berlalu begitu sahaja. 

Aku mengaku agak selfish dan biar bos Y tunggu lebih dua minggu dan pada 7 April dia WhatsApp kata nak singgah di kedai. Tapi masa itu aku sudah resign kerja di kedai aiskrim dan bercadang untuk habiskan Ramadan di kampung dengan mak aku. Masa itu, baru aku beritahu tak jadi joint Organisasi B. Dia terkejut dan aku pun rasa tak best juga sebab macam sudah hilang satu peluang bekerja dengan bos yang baik dan mudah berurusan macam dia. Satu ayat dia yang  buat aku terharu ialah pintu tawaran sentiasa buka untuk aku. 

Pada 12 April aku lapor diri dengan ketua biro D yang incharge operasi di Penang. Lama juga aku tunggu dia sampai. Hampir tiga jam. Tapi Alhamdulillah. Sempat juga aku baca mathurat dan surah Yasin. Nampak orangnya macam tak friendly. Ah tak apalah dia bos, bukan kawan lepak minum kopi. Balik dari jumpa bos tu aku pergi jumpa bos Y9. Kami berborak dan aku sekali lagi minta maaf untuk semuanya yang terjadi. Aku kata pada dia, offer bos sangat bagus saya susah nak tolak. Tapi saya rasa nak cuba akhbar V sebab belum pernah kerja dengan mereka lagi. Kalau tak okey, boleh ke saya lompat balik sini? Dia hanya ketawa. Sebenarnya aku sekadar cakap saja tiada niat pun nak buat begitu. Tapi hari depan siapa yang tahu kan.

Pada mulanya, minggu pertama aku rasa sedikit menyesal joint akhbar V sebab ada beberapa story aku tak pakai dan ada office pun macam tak berguna sebab beberapa perkara berbangkit. Aku teringat suasana office organisasi B yang ada vibes macam home sweet home dan menyenangkan.

Tapi masuk minggu ketiga bekerja aku mula mendapat rentak. Satu daripada kelebihan jadi stringer akhbar V ialah aku aku boleh hantar story aku pada akhbar sekutu lain yang berada di bawah company yang sama. Follower media sosial mereka juga ramai (lebih tiga kali ganda daripada akhbar tempat aku kerja dulu). Siapa yang tidak suka kan kalau story yang ditulis dapat ribuan like dan share. Lain-lain kelebihan nanti aku tulis dalam hantaran lain. Terima kasih Allah Maha Pemberi Rezeki. Aku teringat kata-kata arwah Ustaz Ali Jaber bahawa semua takdir adalah baik kerana kita tidak tahu rahsianya. Maafkan daku Ya Allah.

Wednesday, April 20, 2022

Moga bertemu

Assalamualaikum untuk semua impian dan harapan hari depan. Sampai ketemu. 

Friday, March 4, 2022

Mac yang redha

Aku tidak apply kerja di mana-mana sepanjang tempoh ini. Kedai agak suram. Pekerja dari lima orang tinggal tiga. Sale agak merudum. Hari biasa RM500 - RM800 sehari sudah besar rahmat. Kadang-kadang aku terfikir cukup ke bayar sewa kedai RM3,500 sebulan. Bil elektrik, air dan internet. Susah nak hit RM1,000 dan ke atas. 

Rasanya macam tak boleh teruskan lagi kerja di kedai aiskrim. Macam stuck dan terkurung. Selain itu ada 2,3,4 masalah di kedai yang aku rasa tak boleh settle dengan mudah dan singkat. 

Ada beberapa kali seorang lecture yang pernah mengajar aku dulu singgah makan aiskrim dan aku aku agak baik dengannya dan ada beberapa kali berhubung untuk minta nasihat mengenai kerja suatu ketika dahulu. Seperkara lagi, dia jadi references resume aku. Tapi aku tiada kekuatan untuk memperkenalkan diri dan berselindung di sebalik face mask.

Ada satu hari dia cuba berbual dengan aku. Aku jawab soalan dia dengan jawapan lurus bendul dan panggil dia encik. Maafkan aku Dr. Nanti satu hari bila aku rasa sudah jadi better person, aku akan tegur Dr dengan lebih proper dan mungkin kita dapat bersembang panjang.

Monday, February 28, 2022

Februari yang pasrah

Bekerja dalam bidang F&B ini menemukan aku dengan sisi lain diri aku yang selama ini tidak pernah aku fikirkan. Sebenarnya tangan aku tak tahan kalau selalu kena air atau sabun. Tapi mula-mula saja aku berdepan masalah itu dan tangan jadi lebam dan mengelupas.  Lepas beberapa minggu tangan aku sudah okey dan kembali cerah. Alhamdulillah Allah Maha Baik. Tugas-tugas yang pada mulanya aku rasa mustahil untuk dilakukan sudah terasa dipermudahkan. Ia bukanlah kerja yang ringan atau senang sangat. Cuma tak perlu rushing dan boleh buat ikut pace dan kemampuan diri dan tiada siapa pun yang nak marah kalau buat silap. Aku fikir peluang terindah ialah bila kita buat siap, kita mengaku salah, ambil tanggungjawab dan betulkan kesilapan itu sendiri.

Monday, January 31, 2022

Januari yang panjang

Rutin dan dialog yang sama setiap hari membuatkan bulan Januari ini terasa begitu panjang. Aku rasa agak tidak berkembang haha. Apa yang aku boleh buat ialah dengar YouTube channel motivator dan penceramah macam Abdi Suardin, Dr Fahruddin Faiz dan Ustaz Hannan Attaki. Ada masanya aku dengar Begitu Begini Dj Naz atau video-video puisi dan podcast sambil bancuh aiskrim. Aku lebih gemar bekerja di bahagian kitchen dan jarang berada di kaunter. Kadang-kadang bila ada kawan singgah, aku tetap akan menyibukkan diri di belakang. Aku rasa begitu malas bersosial. Aku lebih suka menghabiskan masa dengan diri aku sendiri. Aku melepak, bermonolog dan memberi kata-kata semangat pada diri aku sendiri. Ya begitulah setakat ini yang aku mampu lakukan. 

Saturday, January 1, 2022

Disember yang melelahkan

Alhamdulillah. Selepas menganggur selama 1 bulan 10 hari aku kerja di kedai aiskrim kawan aku di Bandar P.
Tujuh tahun lepas bandar ini tempat alma mater aku berada 
dan bekerja selama 3 tahun 7 bulan selepas tamat pengajian.
Bulan pertama amat memenatkan kurasa. Terkial-kial. Sale hari biasa mencecah RM1,000 ++ dan Sabtu Ahad RM1,500 - RM2,000.
Aku ingat bila kawan aku jadi bos aku akan hilang seorang kawan. 
Tetapi dia tetap orang yang sama.
Tak banyak berubah. Masih mudah ketawa, peramah dan caring macam dulu-dulu.
Terima kasih Tuhan pinjamkan aku kawan yang baik.



kata-kata ringkas untuk hari ini

am, jangan berhenti kerja. hari yang buruk akan berlalu hari yang baik akan datang lagi.