Thursday, February 20, 2020

.

Dalam beberapa minggu kebelakangan ini ada hari yang aku fikir begitu banyak.
Ada hari yang aku tak fikir langsung.
Apa lagi yang aku boleh buat selain mengenang memori?

Wednesday, February 12, 2020

Aku penganggur I


Walau tiada gaji,
Kerjaku banyak juga.
Bangun awal pagi, tunai kewajipan pada Ilahi hantar Hakim (6 tahun) ke pra sekolah. 
Kadang-kadang Hakim nak aku mandikan. 
Selalunya ada drama sebabak bilik air.  Menangis meraung-raung bagai didera. Tak mahu mandi.  Mahu air panas. Kata kuncinya, tidak mahu ke sekolah (ah, aku dulu dari peringkat tadika, rendah, menengah sampai tingkatan enam malas juga ke sekolah).
Cat dinding dapur sempena Aidiladha (sebab adik-adik di perantauan sudah boleh balik dan semangat sikit nak berhari raya).
Mesin rumput (yang ini tidak begitu mahir sebenarnya).
Pada hari-hari biasa, mengemas, menyapu membersihkan rumah tempat kami berteduh. Membasuh pinggan dan baju.
Konsisten supaya semuanya rapi dan terjaga. 
Memasak untuk keluarga. Belajar masak tauhu bergedil, seri muka, kek marble, dadih, tauhu berlauk, laksa, mi kari, martabak (ejaan mengikut DBP) nasi goreng kedai kata Along. Mesin berbelas biji kelapa saban minggu untuk dibuat kerisik jualan emak.
Main basikal dan Lego dengan si Adib empat tahun supaya dia melupakan gajet.
Jadi pemandu, peneman, tukang angkat barang. Ah apa-apa sahaja untuk keluargaku. Tidak apalah aku sedia berkhidmat dan apa yang aku lakukan masih terlalu sedikit. Kerana, belasan tahun aku merantau, baruku nampak dengan lebih jelas terlalu banyak perkara dan urusan perlu dibantu sokong menyokong. Semua orang punya tugas.
Lalu engkau pun bertanya, 
"Buat apa sekarang? Sudah dapat kerja?"
Jawabku ringkas "tak buat apa-apa duduk di rumah saja"

Wednesday, November 6, 2019

Tak tahu

Hari ini, ada mesyuarat pertemuan antara bekas pekerja dan bekas majikan.
Aku tak tahu akan murung atau tidak dalam tempoh terdekat ini.
Aku tak tahu banyak perkara yang bakal aku tak tahu kelak.
Tapi hari ini, aku tidak datang dengan rasa tegang, marah atau tertekan.
Aku datang membawa rasa insaf dan muhasabah diri. 
Minggu ini dan minggu lalu, 
aku lebih banyak memerhati dan berfikir.
Ah, ada banyak cara orang bertanya khabar.

Thursday, October 10, 2019

Tragedi Oktober

Semalam, kurang dalam tempoh lapan jam, secara rasmi, menerusi sekeping kertas, syarikat tempatku mencari rezeki, menutup rapat pintunya untuk aku dan lebih 800++ kakitangannya.

Khabar yang dibawa angin mengenai penutupan sudah berterbangan sejak beberapa hari lalu dan kian kencang pada 8 Oktober sebelum menjadi kisah nyata keesokan.

Suara esakan kecil beberapa rakan sedikit sebanyak mencuit emosi. Tapi aku tidak rasa ingin menangis atau terlalu sedih. Aku cuma ingin cepat berkemas dan balik tidur. Mungkin kerana fizikal dan fikiran yang begitu lelah dengan bebanan kerja yang bertambah setelah separuh dari kakitangan menyambut tawaran VSS syarikat tahun lalu.

Aku masih pergi assignment di The Garden, Mid Valley pada pagi 8 Oktober. Fikiran begitu bercelaru. Sesat beberapa kali, sehinggakan akhirnya parking kereta di stesen Abdullah Hukum dan naik LRT (itupun terlepas stesen dan naik Grab pula  ke lokasi). Kali pertama jadi sekacau itu. Walhal sudah selalu ke situ.

Sampai saja terus duduk dan tangan terus menyalin segala butiran maklumat dan kata-kata yang dicurahkan. Usai tugasan, minum kopi dan makan sambil berbual lama dengan wajah-wajah biasa yang selalu ditemui di lapangan.  Pulangnya tumpang kereta Kak R ke stesen LRT.

Petangnya, keluar dari pejabat agak awal (pukul 6.30 petang dikira awal bagiku kerana biasanya balik selepas Mahgrib atau Isyak) berkumpul  di Restoran W dengan dengan 8-10 orang lagi meraikan officemate yang resign dan sudah dapat tawaran kerja baru.

Lucu. Rupa-rupanya kami semua yang meraikan rakan tersebut secara berjemaah pula hilang kerja pada keesokan harinya.

Mudahnya semuanya berakhir begitu sahaja untuk sebuah perusahaan yang baru menyambut ulang tahunnya ke-80. Aneh jika difikirkan.

Mujur semua bahan rencana yang kukira penting dan dikerjakan bermati-matian sebelum itu sempat disiarkan. 
Pendek kata, tidak gembira tetapi lega. 

Juga rasa sedikit bimbang. Bagai separuh diriku bagai ikut menghilang entah ke mana.

Adakah aku akan berpeluang lagi menjadi wartawan di tempat lain?

Entah kenapa terdetik juga rasa lega kerana aku mengakhirinya kerjaya ini tanpa menyebakan kerugian duit ringgit etc, disaman, terbunuh, menjerit marah-marah, memukul sesiapa, mencemar imej dan reputasi individu etc

Kerana laporan/penulisan akhbar boleh menaikkan seseorang boleh juga jadi sebaliknya.

Ah benar bagai nukilan kata Pak Samad dalam naskhah Hujan Pagi. "Wartawan jati jarang makan gaji tanpa makan hati".

Heh, kerja apapun, kebanyakannya sama saja. Kadangkala menyenangkan. Ada ketikanya menyebalkan. 





Nota untuk diri sendiri:
Dalam tempoh lebih tujuh tahun bekerja dalam bidang ini aku pernah terlibat dalam lapan kemalangan (empat semasa menunggang scooter dan empat lagi ketika memandu kereta). 












Sunday, October 6, 2019

Hujan di hatiku

Walaupun hari ini off, pukul 8 pagi aku sudah sampai di pejabat. Mahu bereskan/kemaskan artikel untuk siaran lusa (Selasa).

Artikel tiga muka surat itu harus siap & lengkap sehari sebelum tarikh cetak (Isnin)

Biasanya editor akan baca dan turunkan tandatangan (tanda bahan yang dihantar sudah lulus) pada sebelah malamnya. 

Kira-kira 1 jam 30 minit kemudian aku buru-buru ke kuliah di Masjid W.

Sampai sahaja kerusi yang disusun dalam dewan masjid sudah penuh. Alhamdulillah ramai yang hadir memakmurkan rumah-Nya.

Aku duduk bersila belakang merapat terus di ceruk dinding.

Di barisan hadapan  duduk pula rombongan anak-anak yatim. Terhibur sejenak melihat gelagat dan wajah naif mereka.

Kuliah dimulakan dengan selawat, qasidah Ya Robbi Solli dan bacaan al-Quran (Inna Fatahna).

Setelah itu penyampaian tausiyah diselangi qasidah yang indah seperti Assalamu’alaik, Muhammad Nabina, Mudhoriyyah dan Sollu ‘ala Khairil Anam.

Suara penceramah jelas. Tutur bicaranya tersusun rapi. Wajahnya aku tak nampak. Terlindung di sebalik pentas dan kepala jemaah yang memenuhi saf lebih hadapan.

Baru bahagian mukadimah mataku sudah basah. Aduh awal-awal sudah menangis. Menangis tanpa suara.

Kenapa agaknya? Getus kotak fikirku tertanya sendiri.

Adakah benar aku rindu pada Rasulullah SAW yang menjadi topik utama kuliah hari itu?

Mungkin barangkali teringat orang tua. Sudah lebih seminggu tidak telefon bertanya khabar.

Atau mungkin terkenang kerja di pejabat yang masih belum lunas. 

Barangkali juga terkenang hidup yang jarang sunyi dilambung ombak kehidupan.

Harap tiada sesiapa tengok. Kesat air mata dengan sapu tangan. Letak  sapu tangan atas lantai beralaskan karpet berwarna merah.

Tiba-tiba ada botol air (mungkin tak ditutup dengan baik) terbalik lalu tumpah di atas sapu tangan. Jadi agak lencun. Siapa pemiliknya aku tidak pasti.

Sapu tangan sama diguna pula mengelap air mata. Ah dramatik. Lucu pun ya juga.

Habis kuliah segera bingkas bangun. Lalu di hadapan  kumpulan anak yatim, beberapa orang daripada mereka cepat menghulur tangan.

Tanganku dikucup atau diletak di dahi. Terasa tua pula. Sama-sama mengukir senyum.




Sunday, March 31, 2019

Belajar senyum

Senyum adalah cara paling mudah untuk hilangkan rasa geruh.
Biarkan gundahmu larut dengan garisan senyum yang paling lebar dan tulus,
dan jadikan senyum itu untuk dirimu sendiri saat kau berasa tidak berdaya melakukan apa-apa.

Kata Kuntowijaya "Tersenyumlah. Bahkan sesaat sebelum orang datang membunuhmu".

Wednesday, December 26, 2018

Berasa hidup

"Apa tujuan baca buku?
Untuk hidup. 
Buku ni tak ada nutrisi dan tak boleh dimakan. 
Tapi hidup ini ada banyak hala.
Selagi seseorang itu baca buku dia boleh terus mencari. 
Aku rasa perbuatan membaca itu membawa maksud
hidup -Hachi (Isteriku & Kedai Buku) -


Sunday, November 18, 2018

Pause II

Selepas run + jalan berlenggang kangkung aku terus gerak ke Batu Caves. 

Aku selamat sampai kira-kira pukul 9.15 pagi. Sudah tukar baju bersih (set dengan jurugambar pukul 9.30 pagi).

Sambil jalan-jalan di tapak festival, terjumpa seorang wanita macam mualaf sedang tengok pameran Rasulullah SAW dalam khemah di situ. Aku pun tanpa berlengah keluarkan recorder terus minta izin untuk interview.

Masya-Allah. Rupa-rupanya, kakak tu muslim dari Mongolia. 

Kemudian duduk dekat pentas dengar tazkirah usai sesi, interview pula ustaz merangkap penceramah jemputan slot tersebut. Tengah hari dalam pukul 12.30 aku dah gerak balik rumah. Mandi, solat zohor, makan dan menuju ke office

Bagusnya, program itu (yang berlangsung sampai malam) penganjur (yang sangat membantu dan memudahkan urusan) ada buat live Facebook. Jadi boleh tengok pengisian lain-lain juga. 

Alhamdulillah artikel siap pukul 10.30 malam. Terima kasih Allah. Walaupun agak kelam kabut (sebab pergi run punya pasal hehe run tu serius best) hatiku terasa lapang. Selapang-lapangnya, Luas. macam padang rumput yang boleh lari sambil main layang- layang gituuh.








Saturday, November 17, 2018

Pause

Hari ini Sabtu. Sedang menunggu keajaiban. Kalau tak ajaib, aku yang akan ghaib nanti.

Terlintas di fikiran, mahu lari jauh-jauh. Hilangkan diri M.I.A. Puncanya, ada beberapa 'drama' menyerabutkan berkaitan kerja berlaku pada aku minggu ini.

Satu daripadanya, bos minta aku ganti rakan setugas di Meja Rencana tulis rencana utama sempena Maulidur Rasul untuk siaran Selasa. Sebabnya, rakan tersebut, F outstation di Sarawak dan tak dapat balik ikut tarikh yang ditetapkan. 

Sebenarnya F sendiri baru joint Meja Rencana merangkap jadi bidan terjun ganti seorang kawan yang 'pindah meja' dan sepatutnya bertanggungjawab cover topik itu.

Sejujurnya, kepala aku jeng kreng ibarat wayar berselirat sama kusut dengan paparan tab pada browser di handphone dan PC berkaitan tajuk tu hehe.

Rasa berdebar, bimbang sebab setakat pukul 4 petang, aku masih tak dapat lock interview (subjek untuk temubual pun tak ada) pendek kata belum dapat apa-apa topik untuk highlight.

Lepas solat Asar berjemaah di surau office tadi aku doa sungguh-sungguh, Ya Allah, hamba nak tulis tentang hari kelahiran kekasih-Mu, hamba nak tulis perkara yang baik. Hamba mohon ihsan, bantuan, pertolongan Mu Ya Rabbi berikan ilham dan jalan.

Alhamdulillah, pukul 5.36 petang, aku dapat text seorang penganjur event Festival Maulid di Batu Caves, Selangor. Tiada rotan akar pun jadi. Jujurnya, hati dipagut bimbang. Adakah pengisian acara itu nanti dapat diolah menjadi artikel tiga muka surat?

Lebih drama lagi, esok (Ahad) aku janji dengan kawan nak pergi event run di Taman Botani Shah Alam. Ah redah saja. Jika difikirkan soal kerja memang tak akan habis. Mungkin boleh chill dan boleh release stress sikit lepas beriadah. 

Cadangnya, pukul 7 pagi ready lari, mungkin ambil masa 40 minit ke sejam (untuk jarak 5KM). Kemudian,terus gerak ke Batu Caves. 

Oh jangan lupa bawa baju salin dan tuala. Harap boleh berhenti di mana-mana toilet masjid atau surau untuk mandi. 








Sunday, November 4, 2018

Aku ok

Aku tak apa-apa. 
Cuma berhenti menjadi orang yang tidak aneh menurut sangkaanmu.

Tuesday, October 9, 2018

Pelakon kurang handal

Nota: ini kisah mimpi

Suatu hari aku balik kampung aku ajak mak tinggal dengan aku di KL.

Ini sebenarnya sangat mustahil berlaku di alam nyata. Lebih logik kalau mak yang suruh aku tinggal di kampung bersamanya hehe.

Ok sambung cerita.

Dalam mimpi tu entah bagaimana di rumah ada seorang perempuan tinggal  di rumah mak. Mungkin sudah lebih sebulan. Dia juga bahasakan diri dia mak. Muda. Lawa.

Aku tak pasti dia siapa dan datang dari mana. Siapa sebenarnya dia. Tapi dia cakap lemah lembut dan berusaha buat baik dengan kami.

Tapi dalam mimpi tu aku nampak dia fake. Segala tindak-tanduk dia bagaikan dibuat-buat.

Tidak ingin terheret dengan drama yang lebih panjang aku katakan begini padanya:

"Awak ni orang yang macam mana ya sebenarnya? Saya teringin nak tengok perangai awak yang real punya.

"Tak usah berlakon lagi. Apa sahaja dalam hati awak cakap saja depan-depan saya".

Lepas tu dia reveal diri dia yang sebenar. Aku tak ingat sangat sebenarnya apa yang dia kata tapi lebih kurang dia mengaku dia ada niat yang tidak begitu murni pada keluarga kami.

Kemudian aku katakan begini pada dia.

"Dah tu awak nk duduk di sini berapa lama? 10 tahun 20 tahun?

"Awak tak ada life sendiri ke? Nanti awak mati di depan Tuhan awak nak jawab apa?

Sebenarnya ada lagi beberapa babak lepas tu. Tapi aku dah lupa 😅

kata-kata ringkas untuk hari ini

am, jangan berhenti kerja. hari yang buruk akan berlalu hari yang baik akan datang lagi.