Sebenarnya ada beberapa juga coretan aku tulis dan sekadar simpan di draft
tanpa aku berniat tekan butang publish.
Sebabnya ah entahlah (ini jawapan paling selamat dan mudah aku kira).
Terlalu banyak bermain di fikiran. Tak terluahkan.
Beberapa minggu kebelakangan ini aku sedikit dihujani tugasan bersangkut paut PRN
mengekori ketua negeri dan 'usahawan politik' bertanya soalan-soalan yang ada ketikanya
boleh tahan panas dan pedas juga.
Untung sabut timbul untung batu tenggelam. Untung dijawab dapatlah tulis artikel yang 'menarik' dan boleh jual di akhbar keesokan harinya.
Minggu lalu aku dapat ruang menulis analisis negeri dua muka surat.
Apa yang membuatkan aku begitu bersyukur analisis aku dari awal sampai akhir strukturnya dan idea
penulisan aku tidak diubah dan tidak dipersoalkan
Ada juga kenalan hantar mesej dan beritahu mereka sedang baca analisis itu selain ada pensyarah politik yang kongsi artikel itu di medsos mereka.
Aku juga bersyukur diizinkan Allah SWT menyiapkan analisis itu dalam tempoh dua hari
gara-gara arahan saat akhir ah cakap banyak banyak atau merungut pun tak guna kerana
ia tetap perlu dihantar apabila tiba masanya.
Dalam dua tiga hari kami juga diminta follow up berapa kerusi yang akan ditandingi parti-parti dari
komponen blok PH-BN dan PN.
Bagi sesetengah parti susah juga mahu dapat sumber yang boleh komen berapa kerusi sebenarnya diperuntukkan kepada mereka.
Jadi aku tidaklah berkecil hati jika panggilan telefonku tidak berjawab atau mesej yang dihantar
sekadar mendapat bluetick.
Ya kalau dapat Alhamdulillah kalau tiada balasan usaha cari lagi dan lagi sampai dapat apa yang dimahukan editor.
Ya pada akhirnya harus juga berhasil.
