Tuesday, October 10, 2023

Jodoh

Ketika entri ini ditulis aku sebenarnya sedang mengerjakan satu rencana untuk ruangan agama.
Terlalu banyak maklumat yang boleh aku tulis buat fikiran aku tersekat juga.
Ah manusia terlalu rumit.
Tulis sajalah dulu.
Biar panjang berjela. Save, sunting dan muktamadkan.
Kalau lekas selesai esok sudah boleh hantar dan bertenang sikit.
Tapi entah kenapa aku terfikir untuk melencongkan arah penulisan
dan menulis tentang tajuk entri ini.

Meski usia sudah mencapai 35 tahun pada 2023 ini, 
aku sangat jarang menyebut soal jodoh 
atau bercakap terbuka tentangnya dengan sesiapa pun.
Dalam circle aku ramai juga bujang terlajak.
Ramai di antara kami sudah melepasi 30-an 
ada juga beberapa kawan yang telah menginjak awal 40-an.

Walaupun aku selalu sangat 'berceramah' dengan adik-adik yang lebih junior
mengenai tiada istilah terlambat untuk bla bla, 
kita hidup tak berlumba dengan sesiapa kecuali diri sendiri 
dan untuk jadi lebih baik dari diri kita yang semalam, 
kita ada garis waktu kita sendiri 
dan perjalanan kita tidak meniru orang lain 
sebab soalan ujian kehidupan kita lain-lain yada yada
sejuta patah perkataan kata-kata motivasi demi meningkatkan semangat juang
supaya terus survive sehari dan sehari lagi.

Begitulah bijak dan bernasnya aku mencurah nasihat. 

Cuma malam ini, aku terasa ingin bertanya,
Ada tak peluang aku jumpa dengan 'separuh aku'
jadi aku sekarang ini tak lengkap ke sebagai manusia?
betul-betul ke aku sekarang ada separuh saja ye?
dan aku jawab kepada diriku sendiri, 
eh tak kau tetap seorang manusia.
Kau adalah diversiti. Kepelbagaian hidupan. 
Maksudnya, ada yang kahwin, ada cerai, 
ada kena bunuh dengan pasangan, ada yang kahwin muda, ada kahwin tua, ada, 
ada duda, ada yang kahwin tiada anak,
ada yang bujang terlajak macam kau, 
dan ada juga yang stay single sampai meninggal 
dunia. al-Fatihah buat yang telah pergi.

Tapi ada satu hari aku terfikir,
disebabkan susah sangat nak bertemu jodoh yang sesuai,
sebab  belum ada yang cuba mendekati dan cuba melintasi
garis sempadan lebih daripada seorang kawan
dengan aku pula belum bertemu lagi calon-calon sesuai yang boleh aku confess
sampai satu hari aku pernah berdoa begini:
Ya, Allah aku tahu aku banyak dosa, keras kepala dan degil
tapi aku sunyi sangat Ya Allah, aku perlu teman
aku teringin disayangi seorang pasangan yang halal,
wahai Penciptaku, kau tolonglah pinjamkan seorang jodoh,
Setahun, dua tahun, tiga tahun, empat tahun,
atau walau sebentar pun jadilah...dari langsung tiada.

Entahlah, aku pun tak tahu, 
sejauh mana aku kuat diuji 
dengan kata-kata dan doa sendiri
berdepan kehilangan
kalau ia betul-betul terjadi. 

Jadi ini buatkan aku istghafar berkali-kali
Ya Allah ampunkan kami 
kami gopoh dan tidak cukup sabar
kau berilah apa yang terbaik dari sisi-Mu
ajari aku untuk jadi hamba yang redha dan bersyukur
dengan apa juga pemberian-Mu.

Aku ingat selama lebih 20 tahun jadi  orang dewasa 
tinggalkan rumah dan kampung halaman
merantau bertahun-tahun di negeri orang
aku sudah 'pakar' hidup single
rupanya ini peringkat paling susah.

Ya Allah, sungguh aku kini sudah terasa, betapa sakitnya sebuah sunyi.















Thursday, September 21, 2023

Versi diri paling santai

Beberapa minggu kebelakangan ini tak banyak assignment menarik.
Aku cuma harap job tulis rencana.
Tapi bagi diriku yang makin hari makin kurang passion dengan kerja ku ketika ini.
Aku jadi makin malas nak bereskperimen gali story menarik.
Pergi tugasan news, aku kadang2 tak dapat hidu newsvalue. Piramid terbalik ah aku menyampah konsep itu.
Satu rencana satu muka surat pun makan masa berhari-hari untuk dilunaskan.
Sebetulnya, aku bukanlah sibuk sangat.
Banyak masa lapang.
Kebelakangan ini aku menemukan versi diriku yang paling santai.
Tak sibuk dan terkejar-kejar.
Dua tiga kali tukar sususan barang dalam bilik dalam masa seminggu.
Sebenarnya aku sudah pindah bilik master yang ada empat tingkap. Dua daripadanya menghadap matahari terbit,
Dua lagi menghadap matahari terbenam.
Hari ini aku mula iklankan buku-buku lama untuk dijual di kedai online.
Sayang sebenarnya nak jual.




Friday, August 18, 2023

Apam balik

Satu malam hari Isnin aku rasa macam nak makan sesuatu yang manis.
Bukan coklat. Kek pun bukan. 
Lagi satu, aku rasa nak keluar daripada rumah
ambil angin
dan rasa nak mengelak bertemu housemate aku
Kami tak gaduh atau bermasam muka pun.
Cuma dalam tiga empat bulan kebelakangan aku rasa kami terlalu rapat.
Selalu keluar makan sama-sama.
Berbual berjam-jam sampai larut malam.
Ada beberapa kisah yang tak sepatutnya aku cerita.
Tapi ada satu cerita tu aku ingat sangat aku tak kata begitu pun
Tapi bila aku cerita semula perkembangan cerita tu 
rupanya pemahaman dia lain dan dia kata aku yang cerita begitu
Bila aku nafikan dia mati-matian kata dia dengar daripada aku
aku mengaku aku agak pelupa orangnya
tapi ada benda-benda yang insya-Allah aku memang tak akan lupa 
jadi part yang dia kata tu bukan daripada aku sebab ia tak berlaku 
tak ada untung apa pun aku tokok tambah
tujuan aku cerita masa itu untuk ringankan sikit kepala aku 
sebab orang dalam cerita tu agak menganggu fikiran aku pada ketika itu
aku rasa dia mungkin keliru dengan mana-mana plot drama tv 
tapi disebabkan kami dua-dua jenis keras kepala
masing-masing yakin diri tak salah dengar / bercerita
jadi tidaklah pula aku dan dia mengalah dan kata:
Okay sorry ya aku salah dengar / sorry aku salah cerita
jadi aku ambil pengajaran
jaga lidah. Jangan bergosip apa-apa dah. 
Jangan cakap perkara tak bermanfaat.
Keep the distance. 
Jadi berbalik pada awal tulisan ini.
Aku keluar memandu beberapa kilometer 
dan kemudiannya spontan belok ke satu jalan dan terjumpa 
satu gerai apam balik.
Aku beli dua keping apam balik yang saiz kecil tu. 
Sedap juga rasanya. 
Yang special tu lebih lemak berkrim dengan jagung lebih
Bagus penjualnya siap hantar dengan pakej senyuman di meja.
Jarang jumpa gerai apam balik yang sediakan meja makan.
Lepas makan aku balik.



 

Monday, July 10, 2023

PRN

Sudah lama tidak menulis di blog ini.
Sebenarnya ada beberapa juga coretan aku tulis dan sekadar simpan di draft
tanpa aku berniat tekan butang publish. 
Sebabnya ah entahlah (ini jawapan paling selamat dan mudah aku kira). 
Terlalu banyak bermain di fikiran. Tak terluahkan. 

Beberapa minggu kebelakangan ini aku sedikit dihujani tugasan bersangkut paut PRN
mengekori ketua negeri dan 'usahawan politik' bertanya soalan-soalan yang ada ketikanya 
boleh tahan panas dan pedas juga.
Untung sabut timbul untung batu tenggelam. Untung dijawab dapatlah tulis artikel yang 'menarik'  dan boleh jual di akhbar keesokan harinya.
Minggu lalu aku dapat ruang menulis analisis negeri dua muka surat.
Apa yang membuatkan aku begitu bersyukur analisis aku dari awal sampai akhir strukturnya dan idea 
penulisan aku tidak diubah dan tidak dipersoalkan 
Ada juga kenalan hantar mesej dan beritahu mereka sedang baca analisis itu selain ada pensyarah politik yang kongsi artikel itu di medsos mereka.
Aku juga bersyukur diizinkan Allah SWT menyiapkan analisis itu dalam tempoh dua hari 
gara-gara arahan saat akhir ah cakap banyak banyak atau merungut pun tak guna kerana
ia tetap perlu dihantar apabila tiba masanya.
Dalam dua tiga hari kami juga diminta follow up berapa kerusi yang akan ditandingi parti-parti dari 
komponen blok PH-BN dan PN.
Bagi sesetengah parti susah juga mahu dapat sumber yang boleh komen berapa kerusi sebenarnya diperuntukkan kepada mereka.
Jadi aku tidaklah berkecil hati jika panggilan telefonku tidak berjawab atau mesej yang dihantar 
sekadar mendapat bluetick.
Ya kalau dapat Alhamdulillah kalau tiada balasan usaha cari lagi dan lagi sampai dapat apa yang dimahukan editor.
Ya pada akhirnya harus juga berhasil.


Sunday, September 25, 2022

Banjir, bola dan politikus

24 September 2022

Pagi Sabtu ini aku aku bangun awal Subuh dan decide untuk tak pergi assignment pagi sebab nak siapkan rencana. Tapi dalam pukul 9.30 pagi. bos mesej minta cek banjir. Tapi aku fikir kalau gerak sekarang macam mana nak masuk kawasan tu kan banjir. Jadi aku basuh baju (cuci pakai tangan) jemur dan settle semua baru aku gerak ke sana kira-kira 10 pagi.

Jalan jem teruk juga dan tempat banjir tu boleh tahan jauh. Aku sampai dalam 11 pagi dan masa tu air yang pada mulanya paras pinggang dah surut. Puncanya air sungai melimpah sampai masuk rumah penduduk. Aku seorang saja reporter yang cover banjir kilat tu.

Selepas dapat cerita yang aku kira agak menarik aku dan pixman lepak di kedai makan berdekatan dan siapkan kerja (campur bergosip) dan ada YB kawasan turut lepak dan meeting (mengenai banjir) di situ juga.

Selesai semua kami gerak dalam pukul 1 tengah hari. Sampai rumah mandi dan solat kawan datang ambil di rumah dan aku drive kereta dia bawa ke mall berdekatan (sebenarnya dah janji awal untuk jumpa). Jalan sekejap pusing mall curhat lepas tu kami gerak balik. 

Sampai dekat rumah sekitar 5.30 petang aku tak terus naik dan belok ke masjid. Solat Asar lepas tu baru balik dan aku tidur dalam pukul 6 petang gitu hahaha. Aku terjaga dalam pukul 7 mandi tunggu Maghrib dah siap solat bersiap ala kadar terus gerak ke stadium.

Aku sampai stadium dalam 8.15 malam dan duduk menyelit di meja dekat urusetia. Selepas keluarkan segala extension sambung plug buka laptop aku mula taip kesebelasan utama dan hantar dekat group sukan.

Habis game Aku hantar story bola dalam11.07 malam dan turun untuk pc dengan coach
Story bola keluar di platform online pukul 11.18 malam.


24 September 2022

Story banjir aku semalam pakai 1 page. Berbaloi redah selut dan segala susah payah :D dan aku bangun lambat juga. Lepas qada Subuh solat Dhuha dalam pukul 10 pagi aku mula transkrip hasil interview dua coach semalam. Tetapi ada satu coach bukan orang local dia punya Bahasa Inggeris  perkataannya macam ditelan. 

Jadi aku kena dengar banyak kali dan akhirnya dapat juga siapkan story coach tu kira-kira jam 12.13 tengah hari dan story coach kedua aku hantar pukul 1.30 tengah hari. Story pertama pakai pukul 12.52 tengah hari dan story kedua pakai 2.32 petang.

Sebelum itu ada kawan minta transkrip tapi aku tak cakap banyak aku bagi saja. Kita mudahkan orang, Allah mudahkan urusan kita.  Selesai story bola aku mandi solat Zuhur gerak pergi Bandar C cover DSAI.

Event tu ada beberapa sesi ceramah dan pembentangan dan lama juga nak habis. Lepas PC dengan DSAI aku dan beberapa orang kawan gerak pergi satu restoran mamak buat story sama-sama. Lepas siap kerja dan sesi bersembang kani gerak balik. Sampai rumah dalam 6.45 petang. Mandi, Asar tunggu Maghrib. Demkianlah hari Sabtu Ahad aku yang agak produktif pada minggu ini.



 




Tuesday, September 13, 2022

Penunggu court 1

Isnin, 12 September.
Semalam hari yang hambar. Mungkin sedikit kurang bernasib baik. Aku cover kes mahkamah 11 wanita warga asing dituduh kes persundalan. Aku sampai pukul 8.45 pagi. Duduk sekejap di luar pintu masuk court dengan videographer dan pixman bertugas. Reporter lain belum sampai. Setelah berbasa-basi dan malas nak berborak lagi aku naik tingkat 5 cari tempat kosong, duduk serta tengok handphone. Suasana agak riuh sebab ramai betul orang di luar kamar sama ada duduk di bangku atau mundar-mandir.

Kurang 5 minit duduk baru aku sedar aircond tak berfungsi. Aiseh. Aku ke tandas basuh muka. Lepas tu duduk semula. Jumpa seorang senior journalist lengkap bertali leher dan kasut kilat. Aku tegur, ada kes ke bro (aku teringat dia pernah beritahu akan dipanggil ke mahkamah sebab satu artikel yang dia pernah tulis dulu) dia hanya angguk dan beritahu kes yang aku perlu cover tu tingkat 7 dan aku cepat-cepat berlari naik ke aras yang dinyatakan tetapi sampai di tingkat ada kawasan ajak turun ke tingkat 5 kerana di situ ada sekumpulan lagi OKT untuk kes sama.

Oleh kerana OKT ramai, mereka dibahagikan kepada dua kumpulan. Jadi aku dan kawan aku pilih kumpulan paling ramai di tingkat 5 dan ikut masuk ke kamar penghakiman yang agak sesak hari itu. Tambah teruk aircond  pula bermasalah. Aku menyelit dan duduk di satu sudut. OKT kes lain pun ramai memenuhi ruang hadapan. Ada kes narkotik dan macam-macam lagi. Dalam 15 minit OKT warga asing masih belum dipanggil. Aku keluar ambil nafas dalam 10 minit masuk semula. 

Tak lama lepas tu seorang OKT dipanggil. Baru dua orang mereka skip group tu (sebab tunggu translator) dan panggil kes narkotik. Lepas beberapa orang dibaca kertas pertuduhan, sambung seorang lagi OKT warga asing. Habis seorang tu kena skip lagi. Jam sudah pukul 12.30 dan aku sudah mulai koyak dengan aircond yang jahanam. Masuk satu mesej dari seorang kawan Q ajak balik katanya kawan T ada dapat angle story menarik kes yang sama di tingkat 7. 

Jadi aku pun turun bersama-sama dia untuk cari kawan T dan kami decide untuk makan di sebuah kedai dan aku pun ikut dan kami semua car pool kereta kawan Q cari kedai makan. Kami betul-betul makan berbual-bual hampir dua jam langsung tak sentuh soal kerja. Aku jadi malu alah nak minta info kes daripada kawan tersebut yang sebenarnya senior semasa aku kerja di Organisasi B dulu. 

Jadi bila dah habis makan kami gerak balik dekat tempat parkir kereta di court dan di situ aku baru ambil nota kes tu dari kawan T dan aku gerak balik rumah. Biasanya aku buat story di court cepat-cepat baru balik. Tapi hari ini story aku lambat dan aku fikir alang-alang lambat baik aku buat di rumah. Aku pun tak tahu nak klasifikasikan hari ini sebagai apa. Rasa macam loser sikit sebab punya awal pergi court duduk berjam-jam dengar sebutan kes tapi akhirnya takda hasil dan kena minta info dari orang pula.





Friday, September 2, 2022

Rangkuman kisah penunggu

24 Ogos 2022 
Pukul 9 pagi aku text seorang PA VC UA  di negeri L minta komen mengenai satu isu pendidikan. Aku hantar senarai lima soalan. Tapi dia kata TNC lebih sesuai jawab dan beri nombor PA TNC. Jadi aku pun bertanya pada PA tersebut. Agak cepat juga dia respons dan dia minta e-mel soalan. Jadi aku e-mel dengan harapan dia reply dalam masa 5 atau enam hari sebab deadline aku 1 September. Pada hari yang sama aku e-mel Pensyarah Y di universiti dekat rumah aku berkaitan isu yang sama. Malamnya beliau reply kata akan buat draf jawapan sebelum aku pergi jumpa beliau. 

30 Ogos 2022
Aku follow up dengan PA TNC dan dia kata TNC terlalu sibuk. Jadi aku pun kata pada dia akan usahakan cara lain dan tukar plan B dengan menghubungi seorang PA VC di UA negeri X. Maklum balas yang diterima positif dan aku beritahu deadline aku 1 September tapi aku boleh drag 2 September sebab aku risau kalau masa tak cukup untuk mereka. 

1 September aku pergi jumpa Pensyarah Y dan sembang dengan beliau dekat sejam. Balik tengah hari aku terus proses hasil interview (agak semangat) sebab Profesor itu orang lama (sudah bertongkat) macam ayah-ayah kita saja, teratur dan baik orangnya. Jadi dapat tulis lebih 900 patah perkataan. Sepatutnya macam sudah lengkap. Tapi sebab editor minta interview VC juga untuk pelbagaikan input. Petang 1 September itu aku tanya, status jawapan pada PA VC. Beliau kata team media sedang perkemaskan lagi dan Insya-Allah boleh dapat petang esok. Jadi aku pun kira macam lega. Malamnya aku buat claim Ogos sebab esok kena hantar ke office.

2 September 2022

Hujan mengguyur pagi Jumaat yang kurasakan begitu tenang dan indah sekali hari ini. Aku drive menuju court BP. Kes bunuh. Sampai 8.45 pagi. Tapi polis di mahkamah kata dalam sejam baru panggil kes tu sebab mereka nak selesaikan kes narkotik dan saman trafik dulu. Aku pun dan empat kawan lain jalan kaki di satu kedai makan tepi court dan makan nasi kukus (aku dan seorang saja makan lain-lain minum saja). Seorang kawanku beritahu semalam dia mimpi aku menang Perodua Alza. Dia kata masa tu aku nampak sangat happy dan lompat tinggi gila. Hahaha aku bayangkan aku drive Alza fuhh macam menarik jangankan kereta, menang basikal pun sudah cukup buatkan aku rasa bagai dunia ini ana yang punya haha. Jam 9.30 pagi aku naik semula court. Tunggu dalam 10.10 pagi baru boleh masuk kamar perbicaaraan. 11.30 pagi story dah flash. Aku pun gerak balik. Sebelum tu PA VC ada hantar mesej, jawapan akan dapat petang sikit. Jadi aku pun bertenang saja. Balik rumah, mandi dan basuh kuali. Ya kuali yang aku guna masak makanan lewat malam semalam. Lepas itu aku solat Zuhur dan baca Kahfi sampai habis. Dalam 2.30 petang aku gerak pergi office. Tapi jalan sesak luar biasa 3.20 petang baru sampai. Lepas hantar claim aku terus gerak balik dan jalan jammed minta ampun.  Tapi dalam kesesakan trafik luar biasa tu aku sempat beli laksa pak cik di simpang dekat trafik yg parking pun memang payah. Banyak kali pak cik tu ucap terima kasih. Aku ingat kali terakhir aku makan laksa dia 7 tahun lepas sebelum aku pindah ke Lembah Klang. Lepas tapau (nasib baik dia bungkus dengan pantas) aku cepat-cepat blah sebab parking haram. Aku sampai rumah dengar azan Asar sayup-sayup. Sampai rumah aku terus makan laksa, mandi dan solat. Aku teragak-agak nak roger PA VC sebab setakat pukul 6 petang mereka senyap saja. Lepas Maghrib pukul 8 malam aku terpaksa tanya. Katanya dia sendiri tunggu balasan jawapan VC tersebut huhu. Aku rasa macam sedih gila. Entahlah. Aku pun tak explain apa-apa pada editor yang incharge ruangan tersebut. Sebab aku sendiri tiada jawapan pasti. Tapi hari ini tidaklah sepenuhnya mengecewakan. Cuma menunggu boleh jadi menyeksakan kalau akhirnya tiada hasil. Tak apalah.  Alhamdulillah Ala Kulli Haal. All praise and thanks are only for Allah in all circumstances.

Aku harap esok aku dapat submit artikel itu. Cuma aku ada dua assignment esok. Satu tengah hari dan satu lagi pukul 4 petang. Ah bagaimana agaknya rupa hari Sabtuku esok. Mungkin esok aku patut joging atau morning walk dulu. Tak perlu stres dengan apa yang aku tak boleh kawal. Duhai hari, berlalulah kamu dengan baik. 



Thursday, August 18, 2022

[Satu lagi] Hari yang sibuk

18 Ogos 2022

Hari ini Khamis aku kena cari pelajar cemerlang STPM. Bos kata pengumuman jam 12 tengah hari. Pukul 11.30 pagi aku gerak ke sebuah sekolah menengah yang jadi pusat calon STPM di daerah T. Sampai sekolah aku jumpa guard dia minta aku tulis nama dan pergi dewan. Sampai dewan aku jumpa guru yang ada duduk di beberapa meja yany ada macam fail keputusan SPTM (mungkin mengikut kelas) Ada satu meja kaunselor dan aku pergi tanya cikgu tu ada tak murid sekolah itu yang dapat PNGK 4.0 hari ini. Dia kata ada dua orang dan bawa aku jumpa aku pengetua. Pengetua agak terkejut dan kata dia tak jemput media. Dia tanya kenapa ya pilih sekolah ini. Aku pun kata sebab sekolah ini pusat calon STPM dan mungkin akan ramai pelajar cemerlang (sebenarnya sekolah tu pinggir bandar dan aku harap dapat cerita menarik student yang mungkin orang susah etc). Aku kata, kalau pengetua tak beri keizinan tak mengapa aku boleh balik. Tapi dia kata aku boleh interview student tu tapi tak boleh ambil gambar  yang menampakkan sekolah. Dia juga minta aku sembang dengan student di luar sekolah selepas keputusan diumumkan. Tapi aku minta pada pengetua untuk interview di dewan sekejap saja dan akan ambil gambar background dinding sahaja yang takkan nampak pun sekolah sebab jarak dewan dan pagar luar boleh tahan jauh dan macam susah pula nk bawa student di luar pagar sekolah dalam situasi tepi jalan sangat tidak sesuai. Dalam 12.15 tengah hari mereka mula bentang peratusan, pencapaian keseluruhan sekolah. Lepas itu nama semua calon yang dapat PNGK 3.0 dan ke atas dipanggil seorang demi seorang ambil keputusan atas pentas. Pukul 1.30 tengah hari begitu (lepas tamat segala sesi bagi hadiah bunga pakai selempang) aku pun pergi dekat dua calon yang dapat PNGK4.0 interview sepantas kilat aku ingat tak sampai 15 minit ambil gambar dalam dua tiga keping saja dan cabut. Nasib baik kisah mereka agak menarik. Balik aku buat story dan bila dah siap aku terus gerak ke lokasi assignment kedua di muzium kampus tempat aku belajar dulu dan sampai sana tepat jam 4 petang tapi majlis mula 4.30 petang. Story STPM keluar di web 4.08 petang dan dapat 16,000 likes dan 160 shares.

Sementara tunggu event mula aku interview siap-siap Profesor yang buat exhibition tu. Aku terserempak lecture (aku agak kamcing juga dengan lecture tu dan) aku angkat tangan dari jauh dan tegur dia Dr apa khabar? Soalan pertama dia tanya pada aku hang okey ka? kami borak agak lama juga. Pukul 5.30 petang aku cabut sebab kena hadir meeting kelab nun jauh di seberang bandar M. 

Tengah bermesyuarat bos KL hantar mesej di WhatsApp minta rencana tapi aku tak dapat bagi lagi semua input yang dia nak. Malamnya ada bola dan meeting pun belum habis aku terus cabut pergi stadium. Aku rasa nak kerat diri aku kepada tiga bahagian sebab tiba-tiba banyak pula benda aku nak kena settle serentak. Pertama, sebab aku setiausaha kelab (yang baru dua minggu dilantik) dan perlu catat minit mesyuarat dan perkara berbangkit yang dibincangkan. Kedua, aku perlu tengok balik dan susun setakat mana bahan yang ada pada aku dan bagi pada bos rencana yang mesej aku pada lewat petang yang kusut itu. Ketiga, aku kena sampai awal di stadium untuk duduk di meja dekat plug dan solat Maghrib di masjid berdekatan stadium sebelum game mula. Aku sampai stadium 8.30 malam. Seperti dijangka meja di grandstand  penuh. Kecewa sungguh. Meja tu patut tambah lagi satu. Aku pun pergi dekat plug pasang extension yang memang aku bawa di rumah, letak laptop atas lantai.  Ya malam tu aku cover bola di atas lantai sebab tempat tu saja dekat dengan plug (tengok live di YouTube). WiFi stadium tak boleh guna malam itu sebab urusetia kata takut ganggu live stesen TV. Jadi aku guna data hotspot sendiri. Rasanya kalau satu kemudahan stadium pun tak boleh guna (meja dan WiFi) baik tengok live di rumah. Tapi malam itu game agak menarik dan aku goreng story agak panjang. Sebaik saja wisel penamat dibunyikan aku terus hantar story game dekat group sukan dan turun untuk pc. Pc sekejap saja kurang 20 minit untuk kedua-dua jurulatih. Pukul 11.22 malam story flash dan bos pun tak ada tanya apa-apa aku ingat hampir tiada bahagian dipotong mungkin hanya satu perenggan sahaja dibuang sebab kurang penting. Aku pun balik. Sampai rumah aku terus mandi, Isyak dan terus tulis rencana sampai pukul 2 pagi dan tidur.

Jumaat

Aku bangun awal pagi, mandi, solat Subuh dan mula karang story pc bola. Sebelum tu aku hantar story rencana yang aku buat semalam (tak lengkap pun tapi aku hantar juga sebab nak tunjuk bos itu saja yang aku ada ketika itu). Lepas habis transkrip pc bola dan tulis intro story dalam pukul 9 pagi bos biro minta pergi ke mahkamah. Aku pun terus pergi. Kes simple saja. Cuma aku dan seorang press dari akhbar bahasa cina dalam court room tu. Lepas dapat details dari DPP aku pun menapak duduk dekat tepi taman permainan tempat aku parking kereta. Sempat aku pass info pada seorang kawan yang tak pergi dan terus 'ketuk' story bola yang terbengkalai dan akhirnya dapat hantar dalam pukul 12 tengah hari gitu. Pukul 12.18 tengah hari story tu siar di laman web langsung tak diubah termasuk ada satu typo tapi susah nak perasan typo tu dasar menegakkan benang yang basah haha. Lepas tu aku pergi assignment CM di Pusat S (dekat dengan rumah aku). Aku sampai agak lambat tapi kebetulan kami kena sidai event meleret dengan acara peragaan fesyen, aku sempat buka laptop buat story court pagi tadi. Dalam pukul 2 petang assignment tu selesai habis pc  kami dapat story politik dan aku terus balik rumah. Balik rumah aku mandi, solat Zuhur siapkan story politik tersebut sampai azan Asar.  Lepas Asar kebetulan satu lagi sumber rencana bagi skrip jawapan soalan yang aku pernah tanya sebelum ini jadi aku dapat lengkapkan rencana dan submit version penuh pada lewat petang itu juga. Jadi berakhirlah satu lagi hari yang agak kelam kabut, ke sana ke mari dan agak produktif. Khalas

Tuesday, August 2, 2022

Terkunci

Semalam Ahad aku kena cover assignment bola Liga Super team D Vs H.
Tak kira siapa yang lawan lebih elok kalau dapat sampai awal sebab takut meja di grand stand penuh.
Selalu aku standby atas sejadah sebelum Maghrib dan bila lepas azan terus solat.
dan gerak sebelum pukul 8pm dan biasa dalam 8.20pm-8.30pm dah sampai stadium. Tapi semalam aku aku ralit buat claim.  Lepas siap solat dan bersiap sepantas kilat aku capai segala kunci dan keluar dalam 8.10pm . Lepas keluar aku dengan yakinnya terus tekan tombol pintu kayu kunci dari luar. Tanpa aku sedar kunci terjatuh atas sofa. Jadinya, aku terperangkap di antara pintu kayu dan pintu jeriji besi. Sebenarnya ini sudah beberapa kali berlaku. Tapi pada masa akan datang aku sudahpun letak kunci spare di tempat tersembunyi dekat luar rumah sebagai langkah berjaga-jaga.
Aku call housemate (housemate ini kerja kedai aiskrim sama dengan aku dulu)
Tapi dia tak angkat huhuhu. Aku dah mula berpeluh. Bimbang. Nasib baik dulu lepas resign aku ada lepak beberapa kali di kedai dan kenal budak-budak baru yang kerja situ dan cepat-cepat roger diaorang.
Alkisahnya hari Ahad aku faham sangat mesti customer ramai tambah pula lepas Maghrib. Memang tak boleh cabut balik on the spot. Dalam 30 minit housemate sampai rumah dan tolong bukakan pintu sebelum bergegas pergi kerja semula. Kesian pula dekat dia jika difikirkan muka dia yang penat kerja. Kerja F&B memang letihh. Aku faham sangat. Tapi apakan daya. Aku terpaksa menyusahkan dia.
Sampai stadium dalam 8.50pm memang meja dah penuh. Dapatlah duduk tumpang bucu meja dekat announcer di grandstand. Huhu sedikit menganggu emosi. Tempat aku duduk tak begitu strategik. Jadi aku agak hilang fokus lagipun aku bukannya pandai sangat tengok bola dan banyak bergantung pada live di YouTube saja. Kalau hendak dikira, dekat tujuh tahun aku tak buat story bola lepas berhijrah di KL pada 2015. Pernah rotation di meja sukan pun dalam dua minggu saja. Masa di company lama pula 2012 - Jun 2015 aku hantar result saja dan story interview/pc hantar keesokan harinya. Setakat hari ada dalam 21 story bola aku dah hantar sejak story pertama aku submit pada 18 April. Semalam aku hantar story 11pm dan masa tu lampu stadium pun dah tutup sebelum aku lari turun pergi pc di bawah. Dalam 11.15 paper 2 dah flash story (Alhamdulillah) 
Tapi bos paper 1 mesej minta senarai balik siapa skor gol dan minit sebab dia kata tak faham story aku. Aku pun hantar. Rupanya dia tak faham satu perenggan sahaja. Aku tidaklah begitu ambil hati. 
Cuma mungkin story sukan aku belum pernah ditegur kecuali semalam jadi ada rasa sedikit loser. Sebagai budak mentah yang bukannya pandai sangat buat story sukan aku mengaku kelemahan aku dan minta maaf. Fikiranku agak melayang. Kami interview dua coach recording dalam 6 minit dah habis. Kami tak tanya banyak dan diaorang pun tak ulas banyak.
Ada FRU dekat luar sebab ultras tuan rumah tak puas hati. Biarlah aku malas fikir apa yang mungkin terjadi rusuhan, provokosi atau apa-apa insiden tidak diingini. Aku terus drive balik. Semua akan okey rasanya. Nanti diaorang bersurai la tu. Hari ini macam kusut. Suara aku masih serak dan ada sikit selsema. Balik aku solat Isyak dan tidur. Story pc game aku submit pukul 10.31 pagi. Alhamdulillah terima kasih Allah untuk segala hal. Hanya kepada-Mu daku berserah.

Thursday, July 28, 2022

Rangkuman hari demam



Sabtu lepas aku mula tekak aku rasa sakit. Selsema. Tapi aku ada assignment anugerah TYT. Sampai dalam pukul 8.30. Lepas ucapan pukul 10 pagi aku terus gerak balik rumah. Sampai di rumah, buka laptop siapkan story dalam 12 perenggan hantar dalam sistem. Lepas tu aku tidur. Bangun dalam pukul 6 aku nampak story yang sama flash dua kali. Sekali pukul 1.15 tengah hari satu lagi jam 1.47 tengah hari. Test Covid-19 negatif.

Ahad aku ada assignment pukul 8 pagi. Aku bangun pukul 6.10 pagi mandi, solat sunat qobliyah Subuh, Subuh. Yasin. Aku decide tak pergi assignment sebab assignment tu macam tak menarik dan aku pula tak berapa sihat. Basuh baju. Baring. Baca buku. Dhuha. Zuhur. Tidur. Pukul 5 bangun Asar lepas tu keluar pergi Tesco dan Mydin. Balik rumah sudah pukul 8.30 malam. Maghrib tunggu Isyak. Tidur. Test Covid-19 negatif.

Isnin. Bangun awal lagi hari ini. Pukul 5.50 pagi. Mandi. Qobliyah, Subuh. Masih demam. Buka laptop, cuba buat claim mileage. Cuma separuh jalan. Goreng cucur jagung+kucai+bawang+udang. Makan beberapa biji. Rasa nak makan nasi bujang dan ayam goreng. Order makanan dari kafe kampus guna Grab (untung tinggal dekat dengan kampus). Lepas Zuhur tidur sampai lewat petang. Asar pukul 6. Test Covid-19 negatif. Maghrib. Tunggu kawan ambil di rumah pergi assignment di TK. Hujan. Jauh juga tempat assignment tu. Story melibatkan persatuan kebudayaan. Seorang adik yang aku interview tu baru balik kerja syif 8 pagi 8 malam. Allah kasihannya dia. Habis interview dalam 10pm. Sampai rumah pukul 11 malam.

Selasa. Assignment pukul 12.30 tengah hari. Kena sidai. Pukul 2 baru mula. Bersesak. Panas. Rasa nak blah. Tapi sabar sedikit lagi. Usai interview pukul 2.30 petang. Bersila di pinggir padang. Taip story di handphone. Siap dalam 3.30 petang. Makan di BJ, isi minyak. Singgah di Tesco. Sampai rumah pukul 5 lebih. Mandi. Buka Shopee dan beli mesin basuh Samsung 13kg harga RM1,600++ dan order blender kaca juga untuk rumah mak di kampung. Dah lama teringin nak beli dua benda tu dan kebetulan kedua-duanya aku perasan rosak masa balik kampung minggu lepas. Kemudian aku tertidur dan terjaga pukul 10.30 malam. 

Rabu. Hari ini beberapa kali aku terfikir hari ini hari Selasa atau Rabu? Tiba-tiba juga aku lupa nombor plat kereta aku apa ya. Lama juga fikir. Aku buka aplikasi parking untuk check nombor plat kereta. Jam 9 pagi, ada kawan hantar text, tanya aku pergi court atau tidak. Tak pergi kerana tak tahu ada kes apa di court dan dia beritahu ada keputusan kes di high court. Aku kelam kabut capai t-shirt mahu lekas bersiap. Tapi aku sangkut semula baju. Tukar t-shirt lusuh. Aku rasa aku masih demam. Biarlah court tu. Buat tidak tahu sahaja. Duduk di meja makan. Buka laptop. Cuba karang lagi bahan rencana semalam. Baru dalam enam perenggan stuck. Cuba log in aplikasi bank kedua yang dah lama tak buka. Password lupa. Klik forget password. Cuba create pelbagai password tapi gagal. Order lagi nasi bujang dan ayam goreng di Grab macam Isnin lepas. Scroll medsos etc. Rencana masih terbengkalai. Pukul 1 bos KL minta check blackout. Bersiap ala kadar. Terus pergi airport. Interview dua orang. Hantar story di McD 3.52 petang. Bayar parking RM4. Masa nak ambil kereta dekat parking ada copule orang putih dan seorang anak tanya jalan nak ke tokong ular. Katanya tak jumpa teksi. Aku ajak tumpang sekali tempat tu satu jalan juga nak balik rumah. Husband orang Jerman, wife orang Poland. 

Khamis. Hari ini assignment pukul 9.30 pagi di Kompleks T. Aku gerak pukul 8.50 pagi. Sampai dengar taklimat, sidang akhbar 10.20 pagi settle. Joint kawan-kawan makan dan ada senior belanja semua orang. Lepas tu pergi assignment kedua pukul 11 pagi di Kompleks T juga. Dalam 11.30 pagi selesai balik rumah. Sampai dalam 12 tengah hari lebih. Satu story hantar 1.12 tengah hari satu lagi jam 2.45 tengah hari. Lambat juga buat story. Biarlah pakai atau tidak belakang kira. Lepas tu aku tidur sampai pukul 5. Terdengar bunyi phone mesej masuk bertalu-talu. Ada satu bos dari KL minta buat rencana  pendidikan. Lepas tu aku bangun. Makan nasi, makan panadol soluble dan mandi. Rencana tarian kebudayaan masih terbengkalai.


Thursday, July 21, 2022

Tengok bola

Semalam cover perlawanan bola sepak Liga Super. Game pukul 9 tapi jam 8.10 aku sudah duduk di meja dekat grandstand. Meja full house awal mungkin sebab ada team paling kuat turun. Penonton 6,000++ Aku hantar story 10.58 malam. Lepas tu terus turun bawah PC dengan coach kedua-dua pasukan.
PC sekejap je tak sampai 15 minit. Aku terus gerak balik. Sampai rumah dalam pukul 11.30 aku terus mandi. Solat Isyak.
Lepas tu aku makan durian dan nasi goreng. Lepas tu tidur. Pagi ini aku tak pergi assignment sebab nak fokus story review game. Story pertama aku hantar 11.44 pagi dan story kedua aku hantar pukul 12.51 tengah hari. Lepas Zuhur, tidur. Bangun pukul 4.30 petang. Asar. Pukul 6 pergi briskwalk di kampus dengan housemate.





kata-kata ringkas untuk hari ini

am, jangan berhenti kerja. hari yang buruk akan berlalu hari yang baik akan datang lagi.