Aku tidak sangka akan bekerja kilang buat kesekian kalinya pada usia mencecah 33 tahun.
Sebagai tip, kilang ini tak ambil lepasan ijazah, diploma atau calon yang ada ciri-ciri bakal menyambung pelajaran atau berpotensi berhenti awal.
Berbekalkan pengalaman kerja yang aku tulis pembantu pejabat di Syarikat U selama 4 tahun dan alasan berhenti disebabkan syarikat bangkrupt aku tidak disoal banyak semasa interview.
Ah, aku memang ada buat 'kerja-kerja pejabat' pun dan mungkin sikit lagi untuk jadi sama banyak dengan tugas sebagai wartawan.
Sebab, meja kerjaku di Meja Rencana berdekatan telefon dan kalau pada hari biasa ia sentiasa berdering dan aku selalunya jadi tukang angkat dan menjawab segala persoalan.
Ada ketikanya aku aku turut diminta memberi ikan dan kura-kura makan di kolam dan menyiram pokok bunga dan sebenarnya ia tidaklah begitu membebankan.
Kerja-kerja hakiki lazimnya disiapkan pada sebelah malam usai Maghrib dan kerap juga aku datang pada waktu off-day termasuk semasa aku bercuti tahunan untuk melunaskan kerja yang takkan pernah tuntas.
Mungkin ia bukan budaya kerja yang sihat. Tetapi tak banyak yang dapat dilakukan sebab beban kerja memang banyak dan aku sendiri tidak gemar bekerja di rumah.
Semasa di kilang T ada juga budak dari sebuah universiti di Pantai Timur terlepas masuk dalam kumpulan aku tetapi dia tidak muncul-muncul selepas hari ketiga.
Aku berhasrat nak kerja lama di kilang T dan pengurus HR pernah panggil batch aku ke pejabatnya dan minta kami tolong jangan berhenti sebab susah nak dapatkan pekerja.
Paten syif 5-2 dan 6-1 dan bekerja 12 jam. Rehat sesi pertama 30 minit dan rehat kedua 30 minit. Aku solat Zohor pada waktu break dan solat asar selepas waktu kerja kerana pukul 6.30 petang sudah boleh keluar dari line.
Aku drive sendiri dengan jarak rumah dan kilang kira-kira 15 kilometer. Aku biasanya akan solat Asar di masjid dan terus tunggu Maghrib.
Bahagian paling bahagia ialah balik di rumah disambut dengan senyum mak di muka pintu.
Seterusnya, aku akan bercerita situasi kerja pada hari itu sambil makan masakan mak sebelum masuk tidur usia Isyak antara pukul 9 hingga 10 malam.
Esoknya sebelum berangkat pergi kerja salam tangan mak dan kucup kedua belah pipinya. Ia rutin yang berulang-ulang.
Hidup yang ringkas. Tidak begitu terkejar-kejar. Cuma bila balik kerja memang sakit satu badan.
Cuma aku hanya dapat bertahan sebulan sahaja kerana tak dapat catch up speed operator di sana yang pada aku sangat laju.
Output 4,000 hingga 6,000 (di beberapa line assamble tempat lain aku tak pasti dan sekitar 8,000 hingga 12,000 di line packing atau mungkin ada line packing lain yang jumlah outputnya lebih tinggi atau lebih rendah tidaklah aku pasti sebab aku hanya pernah bekerja di tiga line packing sahaja.
Kerja syif malam adalah paling menggilakan kerana masa itu tiada pelawat dan kami pulun output gila-gila.
Selepas dapat gaji (kira-kira RM1,114) aku ada datang kerja dua hari. Aku cuba bertahan tapi tak boleh. Pada hari terakhir aku bekerja aku kena marah dengan group leader.
Pada hari itu aku buat tiga kerja, label, support weld dan support untuk test barang. Masa support test barang tu aku terlepas barang failed.
Aku buat kerja test tu berdua dengan seorang kakak I. Menangis dia bila kena marah sementara aku hanya berdiri terpinga-pinga.
Aku confuse sebenarnya. Kenapa boleh silap agaknya. Aku pasti aku tidak mengelat.
Ah takkanlah aku sengaja melepaskan barang failed memang sumpah aku cek satu persatu.
Hari itu aku bekerja bermati-matian tak ubah macam tangan sotong dan aku beritahu kakak I yang aku takkan datang lagi pada hari esok dan hari-hari berikutnya.
Seperkara yang buat aku rasa loser ialah bila lihat seorang mak cik matanya warna putih sebelah badannya kecil sahaja tahan bekerja syif yang panjang dan berdiri pula buat kerja packing.
Mak cik tu ada juga aku tengok kena marah bila dia silap packing disebabkan terlalu mengantuk.
Aku agak bernasib baik sebab kebanyakan hari dapat duduk di line yang disediakan kerusi.
Ada juga aku rasa loser bila tiada hari yang aku lalui tanpa aku kena marah. Sedangkan orang yang sudah bekerja 10 tahun pun kena marah apatah lagi aku.
Ah kerja wartawan ada juga kena marah. Tapi tidak sesakit kena maki kerja kilang.
Mungkin aku rasa berbaloi kena maki sebab kerja wartawan memang tersenarai dalam 10 pekerjaan paling stres dan ia dari bidang aku.
Aku akui, kerja apa-apapun stes sebenarnya. Cleaner, pemandu lori, pengangkut sampah, guru, penghantar makanan, petugas kaunter, telemarketer pendek kata semuanya ada tingkat stres tersendiri.
Cuma stres kerja kilang ini aku tak boleh hadam. Aku bertanya kepada diri aku, kenapa aku perlu stres ya? Sebab tak berbaloi stres kalau dilayan macam kain buruk dan gaji minimum RM1,200.
Pada aku alang-alang bekerja kilang baik buat kerja macam robot saja usah diserabutkan dengan sikap manusia yang toksik dan tak menyelesaikan masalah.
Pernah aku terdengar, seorang pekerja lama tu kata pada seorang kawan, "kalau dah tau buat kerja lambat, tak payahlah pergi break" terpana aku dengar.
Aku fikir ia bukanlah budaya kerja yang menyihatkan.
Selepas itu baru aku perasan memang ada beberapa orang dari line belakang tak keluar masa break kedua dan mereka pulun output. Entahlah aku pun tak faham. Mungkin mereka takut tak dapat bonus etc.
Di kilang itu aku lihat, memang ada orang (mungkin leader) terutamanya syif pagi dia akan tunggu operator buat silap dan tegur dengan suara kuat. Toksik betul perangai.
Aku juga keliru trainer yang sepatutnya menagajar kami itu mak tiri bawang merah yang menjelma sebagai trainer.
Lucu bila difikirkan dan dek kerana terlalu geram, ketika itu aku mengisyitiharkan dia orang paling teruk yang aku pernah jumpa pada tahun 2020.
Sergahannya dari belakang selalu buat aku terkejut dan dia jauh lagi muda dari usiaku.
Tapi lama kelamaan marahku padanya sudah hilang dan aku anggap dia cumalah manusia lemah yang diuji dengan sedikit kuasa dan aku pula diuji dengan sikapnya.
Teringat bait lirik nasyid berjudul Allah Maha Baik nyanyian Derry Sulaiman yang berbunyi "Sengaja Allah menguji kita untuk melihat siapa yang paling baik amalnya.
Jadi aku fikir bila diuji, kena neutralkan dia dengan beramal. Banyak zikir, ibadah sunat, bertaubat dan jaga ibadah wajib dengan baik. Begitulah.
Bersambung.....
