Wednesday, April 20, 2022

Moga bertemu

Assalamualaikum untuk semua impian dan harapan hari depan. Sampai ketemu. 

Friday, March 4, 2022

Mac yang redha

Aku tidak apply kerja di mana-mana sepanjang tempoh ini. Kedai agak suram. Pekerja dari lima orang tinggal tiga. Sale agak merudum. Hari biasa RM500 - RM800 sehari sudah besar rahmat. Kadang-kadang aku terfikir cukup ke bayar sewa kedai RM3,500 sebulan. Bil elektrik, air dan internet. Susah nak hit RM1,000 dan ke atas. 

Rasanya macam tak boleh teruskan lagi kerja di kedai aiskrim. Macam stuck dan terkurung. Selain itu ada 2,3,4 masalah di kedai yang aku rasa tak boleh settle dengan mudah dan singkat. 

Ada beberapa kali seorang lecture yang pernah mengajar aku dulu singgah makan aiskrim dan aku aku agak baik dengannya dan ada beberapa kali berhubung untuk minta nasihat mengenai kerja suatu ketika dahulu. Seperkara lagi, dia jadi references resume aku. Tapi aku tiada kekuatan untuk memperkenalkan diri dan berselindung di sebalik face mask.

Ada satu hari dia cuba berbual dengan aku. Aku jawab soalan dia dengan jawapan lurus bendul dan panggil dia encik. Maafkan aku Dr. Nanti satu hari bila aku rasa sudah jadi better person, aku akan tegur Dr dengan lebih proper dan mungkin kita dapat bersembang panjang.

Monday, February 28, 2022

Februari yang pasrah

Bekerja dalam bidang F&B ini menemukan aku dengan sisi lain diri aku yang selama ini tidak pernah aku fikirkan. Sebenarnya tangan aku tak tahan kalau selalu kena air atau sabun. Tapi mula-mula saja aku berdepan masalah itu dan tangan jadi lebam dan mengelupas.  Lepas beberapa minggu tangan aku sudah okey dan kembali cerah. Alhamdulillah Allah Maha Baik. Tugas-tugas yang pada mulanya aku rasa mustahil untuk dilakukan sudah terasa dipermudahkan. Ia bukanlah kerja yang ringan atau senang sangat. Cuma tak perlu rushing dan boleh buat ikut pace dan kemampuan diri dan tiada siapa pun yang nak marah kalau buat silap. Aku fikir peluang terindah ialah bila kita buat siap, kita mengaku salah, ambil tanggungjawab dan betulkan kesilapan itu sendiri.

Monday, January 31, 2022

Januari yang panjang

Rutin dan dialog yang sama setiap hari membuatkan bulan Januari ini terasa begitu panjang. Aku rasa agak tidak berkembang haha. Apa yang aku boleh buat ialah dengar YouTube channel motivator dan penceramah macam Abdi Suardin, Dr Fahruddin Faiz dan Ustaz Hannan Attaki. Ada masanya aku dengar Begitu Begini Dj Naz atau video-video puisi dan podcast sambil bancuh aiskrim. Aku lebih gemar bekerja di bahagian kitchen dan jarang berada di kaunter. Kadang-kadang bila ada kawan singgah, aku tetap akan menyibukkan diri di belakang. Aku rasa begitu malas bersosial. Aku lebih suka menghabiskan masa dengan diri aku sendiri. Aku melepak, bermonolog dan memberi kata-kata semangat pada diri aku sendiri. Ya begitulah setakat ini yang aku mampu lakukan. 

Saturday, January 1, 2022

Disember yang melelahkan

Alhamdulillah. Selepas menganggur selama 1 bulan 10 hari aku kerja di kedai aiskrim kawan aku di Bandar P.
Tujuh tahun lepas bandar ini tempat alma mater aku berada 
dan bekerja selama 3 tahun 7 bulan selepas tamat pengajian.
Bulan pertama amat memenatkan kurasa. Terkial-kial. Sale hari biasa mencecah RM1,000 ++ dan Sabtu Ahad RM1,500 - RM2,000.
Aku ingat bila kawan aku jadi bos aku akan hilang seorang kawan. 
Tetapi dia tetap orang yang sama.
Tak banyak berubah. Masih mudah ketawa, peramah dan caring macam dulu-dulu.
Terima kasih Tuhan pinjamkan aku kawan yang baik.



Friday, September 17, 2021

Jumaat yang indah

Hari ini aku agak gembira. Tiga daripada enam story yang aku hantar dapat view tinggi dengan dua daripadanya dapat lebih 4,000 likes di media sosial dan dikongsi lebih 1,000 kali. Syukur Alhamdulillah.



Komen bro ini betul-betul make my day.


Pada peringkat awal aku rasa macam tidak begitu gembira apabila hari ini ada meeting gantian yang sepatutnya ada semalam tetapi ditangguh kerana Hari Malaysia. 

Tetapi sebelum meeting itu bermula satu story yang aku hantar kira-kira pukul 10 pagi dapat sambutan yang agak baik dan dikongsi banyak kali membuatkan aku berasa agak senang hati dan bersemangat untuk masuk meeting. 

Aku teringat bos nombor 1 Encik X telefon pukul 8 malam semalam. Lucunya dia yang kena Covid-19 dia pula tanya khabar aku. Aku pun tanya khabar dia balik. Akward la juga. Sebab dia kena Covid-19 yang ada simptom tentulah dia tak sihat. 

Dia ingatkan aku untuk ambil cuti balik kampung dan kata lagi sekali janganlah berhenti. Aku hanya kata insya-Allah dan lebih banyak berdiam diri.

Tak tahu nak respons apa. Kadang-kadang orang cuma nak faham ikut level mereka sahaja. Biarlah. Terpulang se mua ada pandangan. Aku sudah tidak mahu fikir. Aku tak salahkan bos aku. Tiada siapa yang salah. Hujung-hujung kita cuma rasa perlu 'menyelamatkan diri sendiri'. 

Bukan senang hendak cari orang ganti. Tetapi semua orang replaceable bos. Cuma barangkali mungkin penat sikit sebab macam bazir masa set interview orang lepas itu enam hingga 10 bulan kemudian (atau mungkin lebih lama) cepat atau lambat mereka resign. Entahlah mungkin masa akan buat keadaan jadi bertambah baik. 

Masa aku mula-mula masuk bulan Mac lepas aku sudah buat kira-kira sendiri. Berapa bulan yang kita akan rasa burn-out dan pada bulan ke berapa pekerja ada kecenderungan untuk berhenti. Macam aku sendiri aku rasa burn-out pada bulan ketiga aku bekerja dan rasa yang berkobar-kobar untuk berhenti antara bulan kelima dan keenam. 

Ya singkat sungguh. Semasa aku kerja di Organisasi B tarikan untuk berhenti datang pada tahun ketiga dan aku berhenti selepas berkhidmat selama 3 tahun 7 bulan. Semasa aku di meja X pula rasa macam tak boleh lagi nak teruskan datang pada tahun keempat cuma tak ada la sampai hendak resign. Kebetulan company tutup masa tu. 

Aku fikir kalau buat survey tertutup mungkin 80 peratus kawan-kawan dari team aku nak berhenti tetapi mereka tiada pilihan lebih-lebih lagi buat yang sudah berkeluarga kerana gaji di situ agak okey.

Berbalik kepada soal meeting, tadi semasa membentangkan tajuk bos-bos diam sahaja cuma Encik E ada tanya sikit-sikit tentang tajuk tu.  Mungkin tajuknya tidak begitu menarik atau mereka fikir aku pun sudah tak lama bekerja di situ.  

Ah aku pun tidak tahu sempat atau tidak menyiapkan laporan khas yang tidak berapa khas tersebut. Tapi soalannya aku sudah rangka dan hantar kepada sumber. Aku pun benci juga bekerja musim Covid-19 sebab susah betul nak dapatkan maklum balas sumber. 

Seawal pukul 7.30 pagi aku memulakan tugas hari ini tiada pula aku menerima arahan yang berat-berat dari editor bertugas. Story terakhir dihantar pada pukul 5.39 petang. Lepas itu aku baru masak nasi dan goreng telur kerana aku belum makan tengah hari yang proper pada hari Jumaat yang indah ini.

Hari ini juga aku berpeluang berbalas text dengan sahabatku L yang berkongsi beberapa iklan kerja kosong sebagai wartawan. Entahlah aku pun tidak tahu sama ada akan jadi wartawan di tempat lain atau tidak. Apa yang pasti aku mungkin tidak akan apply apa-apa kerja berkaitan wartawan dan praktis media dalam masa terdekat.

L juga pesan supaya bagi terus hantar surat resign pada HR dan cepat-cepat pastikan bila tarikh terakhir aku bekerja. Ada betulnya juga. Insya-Allah aku akan hantar pada hari Isnin ini.

Kemudian sahabatku Mi (yang sudah agak lama aku tak hubungi) hantar WhatsApp screenshot satu artikel aku yang tersiar dalam edisi online dan bermulalah episod bertanya bertanya khabar dan perkembangan diri masing-masing. 

Aku dapat tahu dia akan berhenti kerja sebagai pensyarah di sebuah kolej swasta untuk mula berniaga satu jenama ais krim francais yang sedang meningkat naik. 

Katanya bisnes itu dijangka akan mula hujung bulan depan dan aku pun spontan kata kalau macam itu aku kerja dengan dialah sebab aku pun hendak resign. Dia excited dan terus kongsi semua location dan gambar-gambar kedai. 

Aku harap projek kawanku berhasil. Bolehlah aku tumpang cari makan dan bayar komitmen bulanan kereta aku yang berbaki RM10,713.34. Tapi kalau kedai itu tidak berjaya buka nampaknya aku kena cari kerja lain. Ala Kulli Haal. Tiada yang sia-sia di sisi-Nya.



Tuesday, September 14, 2021

Tentang bertahan dan meninggalkan

Setelah hantar surat resign pada 30 Ogos lepas aku bekerja dan teruskan kehidupan seperti biasa tanpa tahu bila last day aku bertugas. Sebabnya, bos nombor 1 akhbar X Encik E simpan dahulu surat resign aku dalam laci meja dia dan minta aku balik kampung dan berfikir semula kesan daripada tindakan yang diambil. Dia minta aku jumpa dia semula pada hari Rabu (1 September)  tetapi tergendala kerana aku lihat dia sibuk dan aku juga ada kerja yang perlu dilunaskan. Akhirnya aku berkesempatan jumpa dia sekali lagi pada Ahad (5 September) ketika aku bertugas sebagai OC pagi di pejabat.

Kali kedua pertemuan, aku lihat Encik E tampak lebih bersedia membentangkan hujah-hujah yang tidak dapat aku sangkal ada betulnya. Tentang masa depan dan hari-hari esok yang bakal aku jalani. Tentang bakat dan pengalaman yang akan menjadi sia-sia jika aku keluar dari bidang ini. Katanya lagi, masa depan aku cerah di situ dan minta aku bersabar sedikit masa lagi. Bagus betul dia punya 'point' sehingga aku kehilangan kata-kata.

Jauh di sudut dihati, aku rasa bersyukur juga dia simpan dahulu surat aku sekali gus beri masa lebih lama untuk aku berfikir secukup masak dan tuntas.  Cuma kalau beliau hantar surat tersebut dekat pengurusan tertinggi group syarikat ASAP barangkali aku sudah boleh menanda kalendar menghitung  har oki-hari pemergian aku dari KL. Jawapanku hanya menuju ke satu hala - balik kampung. Entahlah aku sudah letih berpetualang di KL dan buat kerja-kerja yang menekan fikiran dan emosi termasuk 'menekan' sumber-sumber untuk beri bahan 'story' yang boleh 'jual' dalam akhbar kami.

Beberapa hari kemudian khabar aku hendak resign itu tersebar dalam kalangan editor-editor kanan. Ada yang minta aku tolong cadangkan calon pengganti yang sesuai. Seorang daripada mereka sampai dua kali bertanya bila aku last day kerana dia hendak susun jadual. 
Perbualan jadi serba kekok. Belum apa-apa aku sudah terasa jadi seperti orang asing. Aku sendiri tiada jawapan sementelah Encik E disahkan positif Covid-19 pula baru-baru ini dan dia masih dalam proses tawar menawar berhubung keputusan peletakan jawatan aku.

Ada beberapa editor yang mesej dan call beri kata-kata semangat pujuk supaya bertahan. Tiada masalah yang tidak boleh diatasi. Mereka boleh arrange untuk aku balik dua atau tiga kali sebulan.  Sebenarnya aku fikir agak susah untuk balik setiap bulan sebab komitmen kerja, cuti yang sangat susah mahu dapat double off, laporan khas untuk diletak di muka depan, prosedur merentas negeri dan aku rasa aku bukanlah larat sangat nak berulang alik memandu jauh-jauh sekarang ini.

"Wahai Tuhanku! Sesungguhnya kami berlindung kepadamu daripada memohon sesuatu kami tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; dan jika Engkau tidak mengampunkan dosa kami dan memberi rahmat kepada kami nescaya menjadilah kami dari orang-orang Yang rugi".  (Hud:47)

"Kami memohon kasih sayang-Mu ya Allah agar jiwa dan kehidupan kami berada dalam aman di dunia agar kami dapat mengimarahkan bumi sepertimana yang Engkau perintahkan, maka daripada Engkaulah sahaja ya Allah kami memohon bantuan dan pertolongan.

Ya Allah bukakanlah pintu kemenangan kepada kami dengan kemenangan yang nyata, kejayaan di dunia dan akhirat.


Wednesday, September 1, 2021

Pelarian 1

Tiada hari yang aku tidak terbayang wajah seorang emak di layar fikiran aku dan setiap kalinya air mata aku tumpah. Setiap kali akhir telefon aku katakan sayang mak dan mak akan kata sayang Alang juga dengan suara yang mengempang rasa sebak. Aduh. 

Beberapa hari kebelakangan ini aku sudah tidak pantas lagi buat kerja dan struggle nak siapkan satu-satu task yang diarahkan Mungkin pandemic fatigue, kerja semakin memberat dan aku sudah tidak boleh fokus sebab teringat dekat mak aku.

Setiap hari yang berlalu terasa begitu lambat. Hendak tunggu boleh merentas negeri bila tu? Dalam rutin kerja yang haru biru dan tak tentu masa bolehkah aku selalu dapat balik dengan tenang? Tetapi semuanya kata-kata itu hanya bergaung di kepala. Cuti pun masih kena attend meeting dan  NE mesej minta bahan.

Aku rasa macam kena scam. Dulu masa dipanggil katanya ada kerja kosong. Ini banyak pula kerjanya hahaha...hambar. Ya, sebenarnya kerja yang haru-biru dan kadang-kala tidak tentu hala punca ini merupakan antara sebab utama aku mahu cepat-cepat angkat kaki dari kota yang penuh kalut ini. 

Setiap aku kali aku stuck dalam kesesakan trafik yang teruk (pernah lebih dua jam) sedangkan aku ada janji nak interview orang memang koyak juga juga la perasaan. Masa itu belok masuk lorong RNR apa entah yang ada line putih-putih tu dan interview orang tu by phone dalam 20 minit.

Jadi aku tidak betah menunggu dan bertahan. Aku cuma fikir mahu lekas pulang dan tidur di atas riba emak aku. Sebenarnya aku yang rapuh dan sangat-sangat memerlukan emak aku sekarang. Tetapi mengaku lemah bukan pilihan yang aku ada sekarang.

Aku terasa nak lari jauh-jauh dari semua ini. Balik kampung lepas tu nak kerja apa? 

 

Tuesday, August 31, 2021

Hantar surat resign


Tengah hari semalam aku pergi ke sebuah kedai buku untuk print surat resign. Kali kedua aku print surat resign di kedai tersebut yang entah berapa kali disunting dan ditukar tarikh sebelum itu.

Pukul 4.20 petang semalam aku sudah sampai ke pejabat untuk memulakan syif bertugas pukul 5 petang.  Tujuan aku masuk awal untuk claim honorarium untuk dua artikel iklan client yang selamat disiarkan pada bulan ini.

Aku duduk di bahagian belakang berbual-bual dengan rakan-rakan di meja hiburan sambil asah bakat 'loyar buruk' aku yang sudah lama berkarat sebab sudah agak lama tidak bercampur gaul dengan mereka.

Tepat pukul 5 petang aku bergerak menuju ke stesen oc dan memulakan tugas aku pada petang tersebut mengendalikan web dan platform media sosial akhbar X.

Pukul 6.34 petang, aku hantar mesej WhatsApp kepada bos nombor 1 akhbar X untuk minta izin bercakap sebentar. Selepas dapat lampu hijau, aku bawa sekeping fail plastik yang di dalamnya ada sampul berisi surat resign.

Aku: Assalamualaikum bos, maaf bos ganggu saya ada perkara nak beritahu
Bos: Ada apa tu?
Aku: Maaf bos. Saya nak resign bos.
Bos: Laaa kenapa tu. Awak tak suka kita semua ke? Kita tak okey ke awak?  
Aku: Eh tak bos. Semua okey dan baik-baik belaka bos. Cuma saya nak balik kampung bos, teman mak saya. Mak saya tinggal seorang dekat rumah kampung nun. 
Bos: Tapi masa depan awak macam mana? Awak kena fikir juga tu.
Aku: Kerja insya-Allah ada banyak. Tapi mak cuma ada seorang bos.
Bos: (terdiam seketika) tak apa hari Rabu kita jumpa dan sembang semula ya (sambil pulang balik surat aku).
Aku: Tak apa bos. Bos simpan dulu surat itu. Jangan risau tempohnya sebulan dari tarikh terima. Saya rasa lega sangat bila sudah bagi surat itu. Minta diri dulu bos terima kasih banyak-banyak.

Aku pun berjalan ke tempat aku semula. Tiba-tiba seorang dari editor kata, wah hantar proposal. Untunglah ada proposal. Aku hanya ketawa di sebalik facemask. Fail yang aku bawa ke bilik bos itu disangka proposal rupanya. Elok juga begitu dan aku terus hanyut dengan kerja-kerja aku.



Monday, August 30, 2021

Rangkuman 4 hari

25 Ogos 2021

Hari ini waktu mula bekerja pukul 12 tengah hari. Tetapi pukul 9.08 pagi dapat arahan melalui aplikasi WhatsApp untuk proses satu story seorang pemimpin parti X yang sedang berada di hospital.

Kira-kira 25 minit kemudian dapat satu lagi arahan untuk temubual tujuh beradik yang kematian ibu akibat Covid-19.

Call tak jawab. WhatsApp satu tick sahaja. Scroll FB arwah rasanya macam mereka tinggal di Bandar Tun Hussein Onn.

Pukul 11.19 pagi aku hantar satu lagi story mengenai Sekretariat S yang buat himpunan nyalaan lilin di Dataran Merdeka minggu lepas sudah dapat kumpul dana untuk bayar kompaun dan dana guaman.

Berbalik kepada arahan editor bertugas  aku dapat juga alamatnya dari seorang seller yang pernah COD kek dekat rumah arwah. Pukul 12.28 tengah hari dapat alamat. 

Mandi sekali lagi. Bersiap ala kadar dan gerak ke kereta. Aku call sekali lagi anak arwah untuk tanya sama ada mereka sedia menerima tetamu. Katanya boleh datang pukul 2 petang.

Aku terus gerak sampai dalam pukul 1.20 tengah hari. Kemudian aku pusing-pusing cari ATM sebab dalam dompet ada RM20 sahaja. Seorang editor transfer RM100 dan aku tambah RM50. 

Aku fikir, mungkin lepas keluar ceritanya esok lebih ramai yang bantu. Aku sampai di flat tempat mereka pukul 1.58 tengah hari. Kemudian naik tangga, nampak seorang lelaki berusia 40-an sedang jemur beberapa keping karpet.

Aku bagi salam. Katanya dia sahabat dan jiran kepada arwah dan jemput masuk. Kemudian anak sulung arwah datang. Aku sembang santai minta adik tu flashback momen dengan emak dia buat kali terakhir.

Apa yang paling dia rindu. Rutin emak dia setiap hari. Apa yang mak dia selalu pesan. Adik tu jawab sepatah-sepatah saja. Sebab pakai face mask susah nak baca air muka dia. 

Aku berulang kali minta maaf kalau soalan-soalan aku buat dia lagi sedih.Tapi jiran dia memang bagus. Banyak dia tahu mengenai keluarga tu.

Arwah pernah berkahwin dua kali. Anak bersama suami pertama ada lima orang (10 hingga 18 tahun) manakala suami kedua ada dua orang (3 dan 6 tahun). Kelu dan sedih bercampur baur. 

Aku tidak sentuh langsung perkara itu dalam artikel aku. Aku cuma tulis arwah merupakan seorang ibu tunggal. Moga arwah bahagia di dunia lagi satu.

Sesi interview itu berlangsung kira-kira 40 minitLepas photographer datang baru aku minta adik-adik yang lain keluar untuk snap gambar sekeping dua. Seorang adik berusia 10 tahun lagi tidur. Teringat aku semasa kecil jika ada orang datang aku akan naik rumah atas dan tidur. 

Lepas itu kami gerak. Pukul 5.30 petang begitu aku sudah siap karang story. Tapi editor kata masukkan dalam folder esok sebab tiada kami sahaja yang cover kisah family tu. Jadi story tu akan disiarkan pada 27 Ogos.

Setiap hari ada sahaja kisah anak-anak menjadi yatim atau yatim piatu apabila ibu atau bapa atau kedua-dua orang tua mereka meninggal dunia akibat Covid-19. 

Pergi hospital lepas tu tak balik-balik lagi ke rumah. Tak ubah macam lagi K-Clique yang berjudul Mimpi tu. Pahit sekali mengenangkan. Al-Fatihah buat yang telah pergi. 


26 Ogos 2021

Hari ini aku ditugaskan update ramalan cuaca pagi, petang dan malam. Seawal pukul 7.38 pagi aku sudah hantar ramalan cuaca untuk pagi.

Pukul 8.52 pagi aku buat tulis update kisah seorang pelakon yang tengah struggle jaga keluarga yang kena kuarantin di rumah dengan ibu yang bedridden yang perlu dicuci luka dan ditukar lampin dan disuap makan.

Sedih betul kisah dia. Sudah burnout. Aku yang cuma jaga diri sendiri pun macam sudah kehabisan bateri. Pandemik ini buat semua orang letih.  

Kisah-kisah sedih dan meruntun hati begini dapat ribuan reaction di media sosial platform akhbar kami dan menyumbang page view di laman web yang tinggi. Situasi sama juga di portal-portal berita lain.

Adakah frasa 'menunggang' berita sedih untuk tarik view agak keterlaluan? Entahlah. Apa yang pasti, aku tidak selesa sekali menggunakan perkataan 'menunggang' itu. Barangkali kami hanya membuat kerja kami iaitu melapor dan menghebahkan.

Jauh di sudut hati, aku rasa tidak best juga memikirkan perkara ini. Tetapi itulah hakikat kehidupan. Apa yang terjadi saling berhubung dan berkait.

27 Ogos 2021

Buat update laporan cuaca dan cari story viral lagi. Hari ini story tujuh beradik disiarkan di page 2. Ada yang WhatsApp aku untuk menyumbang. Tapi rupa-rupanya mereka tiada nombor akaun. Macam aku hendak pergi ambil kakaknya yang sulungnya untuk buat akaun tapi aku sibuk sekali seperti kelaziman.

Hari ini aku hantar 10 story total dan ada beberapa yang dapat page view tinggi dan satu daripadanya duduk di kedudukan pertama untuk story yang paling ramai orang klik pada hari tersebut.

Kalau zaman stringer dulu dapat buat 10 story begini tentu sudah berkepuk-kepuk aku punya claim

28 Ogos 2021

Hari ini ada cover seminar kesihatan mental dan ketagihan. Menarik seminar tu. Ada pc dan cuma ada dua soalan yang dapat dijawab dengan jawapannya yang tidak begitu solid sebab tiada figure yang menyokong sayang sungguh.

Pukul 12 editor sudah tanya apa yang menarik. Seminar itu ada tiga hari. Aku fikir kalau Covid-19 tidak ada dan aku di meja rencana, seminar tu mungkin dibuat di dewan kuliah atau hotel ke dan aku akan stay sampai petang tunggu slot yang menarik dan dapat tulis lebih terperinci lagi.

Seronoknya kalau jumpa kawan-kawan yang sekepala dapat makan bihun teh tarik (atau apa-apa sahaja) dan pergi jumpa terus speaker yang bentang kertas untuk dapat penjelasan dan input yang lebih menarik.

Aku hanya hantar story seminar itu sahaja dan satu story DG petang. Tamatlah hari terakhir bekerja pada minggu ini.


29 Ogos 2021

Dua housemate yang merupakan student master sudah balik kampung. Seorang di Kuala Kangsar. Seorang lagi JB. Satu lagi housemate pergi trip hiking 31 Ogos baru balik. Indahnya hidup masing-masing.

Aku masak nasi lauk sup sayur ayam dan tauhu bergedil lepas itu tidur sepanjang petang. Pukul 4 petang editor rencana tanya artikel aku sudah siap atau belum. Aku memang suka tulis rencana tetapi kerja di newsdeks boleh tahan juga tak habis-habis.

Esok insya-Allah sekali lagi aku akan buat percubaan hantar surat resign. Aku rasa bagus juga kalau dapat resign masa performance aku tengah bagus (aku andaikan aku perform berdasarkan jumlah story yang aku hantar untuk edisi print dan web).

Aku fikir dalam keadaan produktif yang maksimum lebih baik aku pergi. Aku tidak tahu kenapa aku fikir begini. Cuma aku rasa kena stop dari semua kekalutan ini dan berada dekat dengan keluarga aku pada masa ini.

Aku call emak aku dan aku katakan pada anak buah aku, Umar nanti Alang balik kita pasang kolam dan main air puas-puas. Maafkan Alang ya. Kerap sangat Alang janji palsu. Asyik kata nak balik pasang kolam tu tapi sampai ke sudah tak balik-balik.

Kak Ngah beritahu, satu malam si anak buahku, Adib berleter. Katanya, mamalah ni suruh Alang pergi kerja. Sekarang tengok, langsung Alang pergi tak balik dah. 



















Tuesday, August 17, 2021

Kebenaran yang pahit

Hari ini sepatutnya syif aku bermula pukul 5 petang sebagai OC petang. Tetapi seawal pukul 8.08 pagi sudah masuk arahan dari seorang editor melalui aplikasi WhatsApp menyuruh aku menghantar satu dua story viral di medsos dan belum sempat aku hadam arahan tersebut masuk pula satu arahan yang meminta aku telefon satu orang susah di laman Facebook. 

Tetapi selang beberapa minit kemudian dia beritahu semula yang aku tak perlu telefon individu berkenaan. Aku scroll medsos macam tiada apa yang menarik sangat jadi awal pagi itu aku pun bersiap ala kadar menapak ke pasar pagi berdekatan taman perumahan tempat aku tinggal. 

Lapang sedikit fikiran bila berjalan-jalan dalam kedamaian pagi dengan cahaya matahari bagaikan masih malu-malu untuk keluar dari lenanya hari itu. Pukul 11.58 pagi aku dapat satu lagi arahan untuk menghubungi penganalisis politik untuk minta dia ulas mengenai kedudukan kerajaan sekarang yang tiada cukup majoriti di Parlimen. Katanya buat tiga para online. 

Aku call Prof Z. Nasib baik dia cepat respons. Tapi susah sungguh hendak buat tiga perenggan saja hasil temubual itu kerana bukan senang hendak menjelaskan sesuatu perkara serumit itu secara ringkas. Ada dekat 30 minit juga aku sembang dengan Prof Z. Sebab takut silap fakta aku minta dia cek dulu tulisan itu.

Sementara menunggu Prof Z, editor tersebut suruh aku goreng dua lagi story untuk online dan satu daripadanya dapat page view yang tinggi di laman web dan komen yang banyak dari netizen dari medsos.  Pukul 3.55 petang Prof Z pulangkan semula artikel yang aku minta dia semak tadi dan aku terus hantar untuk online. 

Tapi bila aku masuk pejabat pukul 5 story tu tiada di laman web dan bila aku cek aku nampak story tu akan pakai di halaman 3 esok. Bila hari semakin petang, aku nampak ada seorang lagi kawan yang hantar story yang minta pandangan pakar mengenai isu yang hampir sama dengan arahan yang aku dapat cuma bila lain orang bercakap kandungannya tidaklah jadi begitu sama. 

Pada pandangan aku, berlaku pembaziran tenaga di situ. Sisi baiknya ulasan Prof Z agak bagus dan menarik. Tulisan tersebut dapat jumlah like dan komen yang agak tinggi di medsos. Sisi kurang baiknya aku rasa penat gila sebab sudah perah otak sejak pagi dan sambung syif 5 petang hingga 12 malam. Aku ingat ada dua kali masa aku cuti bos minta aku buat story. Memanglah kami bekerja dari rumah. Tapi perkara begini bukanlah satu budaya kerja yang baik dan dianggap sebagai satu kebiasaan walau apapun alasannya. 

Ah pahit sekali menyatakan yang benar dan berterus-terang. Aku jadi teringat kata-kata senior aku dulu bahawa susah sekali untuk berkata tidak jika ia melibatkan soal tugasan. Jadi wartawan bukan sekadar satu pekerjaan tetapi ia merupakan gaya hidup.





kata-kata ringkas untuk hari ini

am, jangan berhenti kerja. hari yang buruk akan berlalu hari yang baik akan datang lagi.