Monday, August 30, 2021

Rangkuman 4 hari

25 Ogos 2021

Hari ini waktu mula bekerja pukul 12 tengah hari. Tetapi pukul 9.08 pagi dapat arahan melalui aplikasi WhatsApp untuk proses satu story seorang pemimpin parti X yang sedang berada di hospital.

Kira-kira 25 minit kemudian dapat satu lagi arahan untuk temubual tujuh beradik yang kematian ibu akibat Covid-19.

Call tak jawab. WhatsApp satu tick sahaja. Scroll FB arwah rasanya macam mereka tinggal di Bandar Tun Hussein Onn.

Pukul 11.19 pagi aku hantar satu lagi story mengenai Sekretariat S yang buat himpunan nyalaan lilin di Dataran Merdeka minggu lepas sudah dapat kumpul dana untuk bayar kompaun dan dana guaman.

Berbalik kepada arahan editor bertugas  aku dapat juga alamatnya dari seorang seller yang pernah COD kek dekat rumah arwah. Pukul 12.28 tengah hari dapat alamat. 

Mandi sekali lagi. Bersiap ala kadar dan gerak ke kereta. Aku call sekali lagi anak arwah untuk tanya sama ada mereka sedia menerima tetamu. Katanya boleh datang pukul 2 petang.

Aku terus gerak sampai dalam pukul 1.20 tengah hari. Kemudian aku pusing-pusing cari ATM sebab dalam dompet ada RM20 sahaja. Seorang editor transfer RM100 dan aku tambah RM50. 

Aku fikir, mungkin lepas keluar ceritanya esok lebih ramai yang bantu. Aku sampai di flat tempat mereka pukul 1.58 tengah hari. Kemudian naik tangga, nampak seorang lelaki berusia 40-an sedang jemur beberapa keping karpet.

Aku bagi salam. Katanya dia sahabat dan jiran kepada arwah dan jemput masuk. Kemudian anak sulung arwah datang. Aku sembang santai minta adik tu flashback momen dengan emak dia buat kali terakhir.

Apa yang paling dia rindu. Rutin emak dia setiap hari. Apa yang mak dia selalu pesan. Adik tu jawab sepatah-sepatah saja. Sebab pakai face mask susah nak baca air muka dia. 

Aku berulang kali minta maaf kalau soalan-soalan aku buat dia lagi sedih.Tapi jiran dia memang bagus. Banyak dia tahu mengenai keluarga tu.

Arwah pernah berkahwin dua kali. Anak bersama suami pertama ada lima orang (10 hingga 18 tahun) manakala suami kedua ada dua orang (3 dan 6 tahun). Kelu dan sedih bercampur baur. 

Aku tidak sentuh langsung perkara itu dalam artikel aku. Aku cuma tulis arwah merupakan seorang ibu tunggal. Moga arwah bahagia di dunia lagi satu.

Sesi interview itu berlangsung kira-kira 40 minitLepas photographer datang baru aku minta adik-adik yang lain keluar untuk snap gambar sekeping dua. Seorang adik berusia 10 tahun lagi tidur. Teringat aku semasa kecil jika ada orang datang aku akan naik rumah atas dan tidur. 

Lepas itu kami gerak. Pukul 5.30 petang begitu aku sudah siap karang story. Tapi editor kata masukkan dalam folder esok sebab tiada kami sahaja yang cover kisah family tu. Jadi story tu akan disiarkan pada 27 Ogos.

Setiap hari ada sahaja kisah anak-anak menjadi yatim atau yatim piatu apabila ibu atau bapa atau kedua-dua orang tua mereka meninggal dunia akibat Covid-19. 

Pergi hospital lepas tu tak balik-balik lagi ke rumah. Tak ubah macam lagi K-Clique yang berjudul Mimpi tu. Pahit sekali mengenangkan. Al-Fatihah buat yang telah pergi. 


26 Ogos 2021

Hari ini aku ditugaskan update ramalan cuaca pagi, petang dan malam. Seawal pukul 7.38 pagi aku sudah hantar ramalan cuaca untuk pagi.

Pukul 8.52 pagi aku buat tulis update kisah seorang pelakon yang tengah struggle jaga keluarga yang kena kuarantin di rumah dengan ibu yang bedridden yang perlu dicuci luka dan ditukar lampin dan disuap makan.

Sedih betul kisah dia. Sudah burnout. Aku yang cuma jaga diri sendiri pun macam sudah kehabisan bateri. Pandemik ini buat semua orang letih.  

Kisah-kisah sedih dan meruntun hati begini dapat ribuan reaction di media sosial platform akhbar kami dan menyumbang page view di laman web yang tinggi. Situasi sama juga di portal-portal berita lain.

Adakah frasa 'menunggang' berita sedih untuk tarik view agak keterlaluan? Entahlah. Apa yang pasti, aku tidak selesa sekali menggunakan perkataan 'menunggang' itu. Barangkali kami hanya membuat kerja kami iaitu melapor dan menghebahkan.

Jauh di sudut hati, aku rasa tidak best juga memikirkan perkara ini. Tetapi itulah hakikat kehidupan. Apa yang terjadi saling berhubung dan berkait.

27 Ogos 2021

Buat update laporan cuaca dan cari story viral lagi. Hari ini story tujuh beradik disiarkan di page 2. Ada yang WhatsApp aku untuk menyumbang. Tapi rupa-rupanya mereka tiada nombor akaun. Macam aku hendak pergi ambil kakaknya yang sulungnya untuk buat akaun tapi aku sibuk sekali seperti kelaziman.

Hari ini aku hantar 10 story total dan ada beberapa yang dapat page view tinggi dan satu daripadanya duduk di kedudukan pertama untuk story yang paling ramai orang klik pada hari tersebut.

Kalau zaman stringer dulu dapat buat 10 story begini tentu sudah berkepuk-kepuk aku punya claim

28 Ogos 2021

Hari ini ada cover seminar kesihatan mental dan ketagihan. Menarik seminar tu. Ada pc dan cuma ada dua soalan yang dapat dijawab dengan jawapannya yang tidak begitu solid sebab tiada figure yang menyokong sayang sungguh.

Pukul 12 editor sudah tanya apa yang menarik. Seminar itu ada tiga hari. Aku fikir kalau Covid-19 tidak ada dan aku di meja rencana, seminar tu mungkin dibuat di dewan kuliah atau hotel ke dan aku akan stay sampai petang tunggu slot yang menarik dan dapat tulis lebih terperinci lagi.

Seronoknya kalau jumpa kawan-kawan yang sekepala dapat makan bihun teh tarik (atau apa-apa sahaja) dan pergi jumpa terus speaker yang bentang kertas untuk dapat penjelasan dan input yang lebih menarik.

Aku hanya hantar story seminar itu sahaja dan satu story DG petang. Tamatlah hari terakhir bekerja pada minggu ini.


29 Ogos 2021

Dua housemate yang merupakan student master sudah balik kampung. Seorang di Kuala Kangsar. Seorang lagi JB. Satu lagi housemate pergi trip hiking 31 Ogos baru balik. Indahnya hidup masing-masing.

Aku masak nasi lauk sup sayur ayam dan tauhu bergedil lepas itu tidur sepanjang petang. Pukul 4 petang editor rencana tanya artikel aku sudah siap atau belum. Aku memang suka tulis rencana tetapi kerja di newsdeks boleh tahan juga tak habis-habis.

Esok insya-Allah sekali lagi aku akan buat percubaan hantar surat resign. Aku rasa bagus juga kalau dapat resign masa performance aku tengah bagus (aku andaikan aku perform berdasarkan jumlah story yang aku hantar untuk edisi print dan web).

Aku fikir dalam keadaan produktif yang maksimum lebih baik aku pergi. Aku tidak tahu kenapa aku fikir begini. Cuma aku rasa kena stop dari semua kekalutan ini dan berada dekat dengan keluarga aku pada masa ini.

Aku call emak aku dan aku katakan pada anak buah aku, Umar nanti Alang balik kita pasang kolam dan main air puas-puas. Maafkan Alang ya. Kerap sangat Alang janji palsu. Asyik kata nak balik pasang kolam tu tapi sampai ke sudah tak balik-balik.

Kak Ngah beritahu, satu malam si anak buahku, Adib berleter. Katanya, mamalah ni suruh Alang pergi kerja. Sekarang tengok, langsung Alang pergi tak balik dah. 



















Tuesday, August 17, 2021

Kebenaran yang pahit

Hari ini sepatutnya syif aku bermula pukul 5 petang sebagai OC petang. Tetapi seawal pukul 8.08 pagi sudah masuk arahan dari seorang editor melalui aplikasi WhatsApp menyuruh aku menghantar satu dua story viral di medsos dan belum sempat aku hadam arahan tersebut masuk pula satu arahan yang meminta aku telefon satu orang susah di laman Facebook. 

Tetapi selang beberapa minit kemudian dia beritahu semula yang aku tak perlu telefon individu berkenaan. Aku scroll medsos macam tiada apa yang menarik sangat jadi awal pagi itu aku pun bersiap ala kadar menapak ke pasar pagi berdekatan taman perumahan tempat aku tinggal. 

Lapang sedikit fikiran bila berjalan-jalan dalam kedamaian pagi dengan cahaya matahari bagaikan masih malu-malu untuk keluar dari lenanya hari itu. Pukul 11.58 pagi aku dapat satu lagi arahan untuk menghubungi penganalisis politik untuk minta dia ulas mengenai kedudukan kerajaan sekarang yang tiada cukup majoriti di Parlimen. Katanya buat tiga para online. 

Aku call Prof Z. Nasib baik dia cepat respons. Tapi susah sungguh hendak buat tiga perenggan saja hasil temubual itu kerana bukan senang hendak menjelaskan sesuatu perkara serumit itu secara ringkas. Ada dekat 30 minit juga aku sembang dengan Prof Z. Sebab takut silap fakta aku minta dia cek dulu tulisan itu.

Sementara menunggu Prof Z, editor tersebut suruh aku goreng dua lagi story untuk online dan satu daripadanya dapat page view yang tinggi di laman web dan komen yang banyak dari netizen dari medsos.  Pukul 3.55 petang Prof Z pulangkan semula artikel yang aku minta dia semak tadi dan aku terus hantar untuk online. 

Tapi bila aku masuk pejabat pukul 5 story tu tiada di laman web dan bila aku cek aku nampak story tu akan pakai di halaman 3 esok. Bila hari semakin petang, aku nampak ada seorang lagi kawan yang hantar story yang minta pandangan pakar mengenai isu yang hampir sama dengan arahan yang aku dapat cuma bila lain orang bercakap kandungannya tidaklah jadi begitu sama. 

Pada pandangan aku, berlaku pembaziran tenaga di situ. Sisi baiknya ulasan Prof Z agak bagus dan menarik. Tulisan tersebut dapat jumlah like dan komen yang agak tinggi di medsos. Sisi kurang baiknya aku rasa penat gila sebab sudah perah otak sejak pagi dan sambung syif 5 petang hingga 12 malam. Aku ingat ada dua kali masa aku cuti bos minta aku buat story. Memanglah kami bekerja dari rumah. Tapi perkara begini bukanlah satu budaya kerja yang baik dan dianggap sebagai satu kebiasaan walau apapun alasannya. 

Ah pahit sekali menyatakan yang benar dan berterus-terang. Aku jadi teringat kata-kata senior aku dulu bahawa susah sekali untuk berkata tidak jika ia melibatkan soal tugasan. Jadi wartawan bukan sekadar satu pekerjaan tetapi ia merupakan gaya hidup.





Wednesday, August 4, 2021

Kerajaan PN tumbang?

Semalam aku masuk pejabat syif pukul 4 petang hingga 12 malam sebagai oc petang. Sejak Julai lalu walaupun kes harian Covid-19 negara meledak lima digit, petugas sudah kembali ke pejabat dengan jumlah terhad. Pada hari tersebut ada 195 orang menemui ajal kerana Covid-19. Rekod kematian semasa hari ini pula 257 kes. 

Kira-kira pukul 6 petang terdengar beberapa NE sedikit berteriak "Kerajaan Tumbang" (tetapi tidaklah begitu kuat). Masa itu ada sidang live Presiden Parti U. 

Semacam deja vu. Awal Julai lalu situasi agak sama juga berlaku selepas TPM baharu dilantik. Kebetulan aku jadi oc petang dan duduk di tempat sama yang berdekatan NE, ANE dan ketua-ketua meja seperti kelaziman.

Aku tidak begitu ambil pusing. Aku bercakap kepada diriku sendiri, ah sembang sahaja kerajaan tumbang. Bos A belikan KFC untuk semua orang. Agaknya kerajaan akan betul-betul boleh tumbang agaknya esok. Tapi sejauh mana untungnya untuk marhean? 

Kerja aku sebagai oc masukkan story ke dalam web yang masuk tak berhenti-henti pada masa yang sama cari gambar yang sesuai, taip segala hashtag dan tulis kapsyen media sosial. Sepantas mungkin.

Tapi PV web agak rendah. Aku goreng dua story dan satu daripada lepas muat naik kurang 15 minit dapat hampir 100 likes dan dikongsi 12 kali. Satu lagi sejuk saja tiada sambutan.

Pukul 10.30pm gerak keluar dari pejabat dan sampai rumah pukul 11 malam sambung masukkan story game bola dan crime yang baru masuk. Standby sampai pukul 12.30pm dan kemudian mandi dan masukkan baju kotor dalam mesin basuh.

Aku tersenyum sendiri. Terasa lucu. Sebenarnya hari ini aku hendak tender surat resign. Aku sudah atur ayat dalam kepala apa yang perlu diperkatakan. Tetapi semuanya hilang dan lenyap ditelan kesibukan tugas di newsroom.

Aku cuba melelapkan mata. Keesokan harinya aku off day mahu hantar kereta untuk service. 

Bila aku mahu hantar surat peletakan jawatan? Biarlah masa menentukan. Mungkin minggu-minggu berikutnya atau bulan depan. Sebelum itu, sabarlah sehari lagi dan sehari lagi dan sehari lagi sampai sabar yang sudah lama menipis itu sampai ke tarikh luputnya.

Aku juga tidak tahu adakah keputusan resign adalah keputusan yang tepat dan baik untuk masa depan aku. Kerja lain belum tentu. Sahabatku L yang beberapa bulan lebih awal angkat kaki sudah berpesan kalau mahu resign apa-apa yang berlaku selepas itu kena redha. Jalan terus.



















Tuesday, June 15, 2021

Orang bunian

Tepat pukul 5.30 pagi tadi jam penggera telefon bimbit aku berbunyi. Tapi aku tutup dan kembali menggulung diri dalam comforter. 

Tak lama kemudian aku cepat-cepat bingkas. Eh sudah pukul 6.30 pagi baru sepicing rasanya aku melelapkan mata. Tanpa berlengah aku bergegas mandi memakai pakaian solat.

Sebenarnya sudah beberapa hari aku qada solat Subuh. Sebabnya tidur lambat dan bangun-bangun jam sudah pukul 8 pagi dan ke atas. Mungkin faktor bekerja dari rumah membuatkan waktu tidur tak teratur (teruk betul disiplin aku beberapa hari kebelakangan ini).

Usai solat aku baca surah Yasin. Selepas tu aku keluar dari bilik aku dan sambung tidur di bilik Zam. Sudah lebih seminggu aku tidur di bilik Zam yang balik Terengganu sejak 28 Ramadan lalu.

Bilik Zam betul-betul di hadapan ruang tamu dan ada tingkap. Sebenarnya rumah yang aku sewa sekarang tuan rumah ubah suai daripada tiga bilik kepada enam bilik. Hanya dua bilik ada tingkap. Bilik aku dan empat penghuni lagi tiada tingkap.

Jadi bila tutup lampu memang gelap seperti di dalam gua pakej dengan kedap bunyi. Suara orang luar pun tidak dengar. Sangat senyap sunyi kalau tutup pintu boleh terlajak tidur sampai ke tengah hari.

Jadi bila tidur di bilik Zam mudah sedikit aku bangun pagi bila cahaya matahari masuk ke dalam bilik dan dengar bunyi kenderaan atau suara jiran yang lalu lalang.

Berbalik semula kisah aku pada pagi ini. Dalam hati kata tak usahlah tidur nanti kepala pening dan badan rasa berat. Tapi aku betul-betul tak tahan mengantuk dan terus tidur dan kemudian aku mimpi.

Dalam mimpi tu, disebabkan aku memang biarkan pintu bilik terbuka, aku nampak mak aku duduk di sofa ruang tamu dan tersenyum pada aku. Aku bangun, eh bagaimana mak sampai siapa hantar mak?

Mak aku kata ada kereta hantar (aku bayangkan mungkin teksi atau Grab) dan mak aku kata bukankah mak sudah pernah datang ke sini dua kali. Aku angguk-angguk setuju (walhal hakikatnya emak aku tak pernah sekali pun datang ke mana-mana rumah sewa yang aku pernah tinggal.

Kemudian aku bawa mak berjalan-jalan di luar. Kami berjalan melalui jalan berbatu merah. Ia bukanlah jalan yang wujud dalam nyata. Tapi keadaan seperti sangat familiar. Mungkin ia jalan yang aku pernah lalui dalam mimpi sebelum ini.

Aku tanya pada mak aku, mak cakap macam mana alamat rumah Alang pada pemandu teksi mak sebut nombor rumahku betul tapi nombor lorong salah, aku cuba tanya eh macam mana dia boleh hantar mak ke tempat yang betul sedangkan nombor lorong salah tapi mak tak dengar pertanyaan aku sementelah mak sudah jalan laju di hadapan. 

Aku pun jalan laju cuba menyaingi langkah mak, bila aku dekat dengan mak tiba-tiba kami bertembung dengan orang ramai. Kebanyakannya wanita bertudung dan memakai kain sarung dan memakai baju plain berwarna pastel.

Mereka nampak macam sedang dalam perjalanan menghadiri majlis keramaian yang istimewa. Mungkin kenduri perkahwinan atau kesyukuran dan jalan tersebut dipenuhi orang-orang tersebut.

Aku pegang erat tangan mak dan tarik mak dekat dengan aku. Aku berbisik perlahan, mak mereka ini tentu orang bunian. Sekarang kan tengah lockdown Covid-19 mana boleh berarak meriah begini. 

Haha lucu sungguh fikiran aku di dalam mimpi tersebut. Ya aku bercakap berbisik supaya mereka yang aku panggil orang bunian ketika itu tidak mendengar percakapan aku.

Tapi aku tidak pasti mak dengar atau tidak. Wajah mak keliru aku usaha tarik tangan mak untuk keluar dari kumpulan orang ramai tetapi bila tengok ke bawah tempat aku bakal melangkah rupanya-rupanya ruang jalan memang sudah tiada sebaliknya ia merupakan tebing tepian jalan yang agak tinggi dan kemudian aku terjaga.

Menariknya dalam mimpi aku aku sewa sebuah bilik berharga RM500 dan bilik tu memang amat luas macam rumah jenis apartment studio. Tetapi di dalam rumah tu ada beberapa bilik lain. Semasa di Penang aku pernah juga bermimpi tinggal di dalam bilik tersebut.

Bilik tu memang cantik ada tingkap yang luas dan sliding door kaca. Agak dramatik dan suasananya segar dan indah sekali jika angin bertiup sepoi-sepoi bahasa menerobos masuk ke dalam bilik. Sejuk dan nyaman.

Bangun dari tidur memang aku rasa agak malas sedikit. Jam pukul 9 pagi. Disebabkan aku sudah mandi aku basuh muka, gosok gigi, tuang cereal dan susu bawa ke ruang tamu, buka laptop dan mula bekerja.

Walaupun terasa macam kepala berat sebab tidur lepas Subuh aku pujuk diri sendiri kata hari ini best sebab aku mimpi mak aku.

Pagi pukul 10.11 pagi aku hantar satu story yang viral di medsos dan kira-kira pukul 12 tengah hari ada seorang profesor call minta tolong aku tulis sikit kenyataan dia. Isunya mengenai tempoh darurat dan pertikaian ahli politik pembangkang + beberapa ahli politik kerajaan serang ahli politi kerajaan memerintah sekarang.

Aku kurang minat sangat dijadikan alat politik ini. Tetapi aku dengar juga dalam 10 minit. Lepas selesai aku mula mengarang dan banyak tulis dari sudut perlembagaan dan perundangan. Biar ada hitam putih dan berfakta. 

Semasa aku tengah siapkan story itu housemate balik dari Sunway Velocity bawa balik burger Rio, kentang dan nasi ayam gepuk. Aku pun berhenti makan sambil berbual-bual dengan mereka.

Hari ini ada empat kali parcel sampai Aku ada pesan meja dari Ikea dan kerusi di Shopee tapi dua barang itu belum sampai.

Pukul 2.24 petang aku hantar story pada profesor minta dia baca dalam pukul 2.47 petang dia reply dan betulkan beberapa klausa undang-undang dan kira sudah clear untuk dihantar.

Belum sempat aku hantar bos minta aku tulis story online empat perenggan PM akan buat pengumuman khas pukul 5 petang nanti. Aku hantar story tersebut pada pukul 3.22 petang. Kemudian ada pula satu story lagi editor minta aku buat dan aku hantar pukul 3.28 petang.

Pukul 3.35 petang aku hantar pula story profesor dan terus oc bertugas upload dalam web dengan agak pantas juga.

Pukul 4.50 petang aku sudah standby untuk perutusan khas PM untuk edisi online (edisi cetak Putrajaya selesaikan kata bos) jadi selepas hantar empat story online PM aku solat Asar.

Pukul 8.56 malam selepas makan nasi impit goreng aku tengok sekejap medsos nampak isu viral menarik dan terus goreng sikit dalam tujuh perenggan dan hantar pada bos online. Tetapi story tu sejuk saja dan kurang dapat tanda like dan tiada langsung orang komen.

Jadi itulah penutup hari aku yang agak produktif walaupun hakikatnya ada lagi dua artikel laporan khas yang belum siap-siap dan ada satu tajuk yang masih belum bergerak. Alhamdulillah 'Ala Kulli Haal .

Wednesday, June 9, 2021

Follow up

Diminta melakukan follow up atau susulan menjadi lumrah kehidupan wartawan di meja berita. 

Tambahan pula sepanjang PKP kami dibenarkan bekerja di rumah dan aku sudah lama tiada tugasan luar sejak selepas Hari Raya Aidilfitri. 

Dalam tempoh ini aku banyak melakukan apa yang dipanggil armchair journalism aku juga tak pasti istilah ini bersesuaian atau tidak dengan situasi yang aku hadapi sekarang. Aku selalunya dikehendaki mencari pakar-pakar dalam pelbagai isu yang difikirkan editor boleh dijual di akhbar esok. 

Biasanya pensyarah universiti selain doktor universiti selalu menjadi tempat aku meminta bantuan memandangkan musim Covid-19 boleh dikatakan pelbagai isu berkaitan Covid-19 yang boleh dikupas menjadi artikel menarik untuk pembaca. Aku harap begitulah.

Sabtu lepas kira-kira pukul 10.30 pagi aku diminta mencari seorang pakar undang-undang untuk membuat ulasan mengenai ordinan untuk antivaksin.

Undang-undang yang diwartakan semasa darurat dipanggil ordinan dan dalam keadaan biasa dipanggil akta bagi Kerajaan Persekutuan dan enakmen untuk Kerajaan Negeri. Dalam hati mencongak-congak siapalah yang sudi memberi komen pada pagi Sabtu yang indah ini.

Aku hantar mesej pada seorang peguam yang agak terkenal di media sosial. Hantar beberapa draf soalan dan minta izin untuk telefon. Tiada balasan. Sibuk barangkali. Mengurus keluarga, anak-anak. Apa-apa sahajalah dan aku paling malu dan rasa bersalah ganggu orang pada hari cuti.

Aku pula memang sudah terbiasa selesa hantar mesej dan soalan dahulu sebelum menelefon jadi aku berkira-kira untuk WhatsApp seorang profesor berpangkat datuk yang selalu juga aku hubungi semasa di meja rencana jika ada topik mengenai undang-undang. 

Pendek kata jawapan profesor itu selalunya bagus dan dia juga boleh bercakap mengenai perundangan antarabangsa, undang-undang jenayah dan perlembagaan macam buku sejarah bergerak sahaja.

Masalahnya, jika artikel itu tidak jadi disiarkan beliau akan berleter panjang dan boleh tahan panas juga telinga nanti kalau perkara itu terjadi (pernah berlaku pada seorang kawan).

Tetapi Insya-Allah, perkara seumpama itu tidak akan berlaku di meja rencana kerana artikel yang aku hasilkan pasti disiarkan kerana secara purata aku dan kawan-kawan seangkatan diperuntukkan tiga hingga lima halaman enam hari seminggu di ruangan sisipan rencana.

Berbalik kepada profesor tersebut, kira-kira pukul 11.20 pagi dia suruh aku telefon. Katanya, sudah lama aku tidak telefon beginilah orang bila jadi orang tua. Kalau ada perkara yang diperlukan baru dicari. Katanya lagi  tadi di halaman mengalih pokok. Aku hanya gelak kecil dan layan sahaja dia bercerita. 

Jadi bila dia sudah ready aku bacakan semula soalan dan dia mula menjawab satu persatu-persatu. Aku fikir kali terakhir aku menelefon dia pada tahun 2018 tajuk mengenai isu suaka politik. Aku teringat kali pertama aku menghubunginya ialah pada hujung tahun 2015.

Ketika itu aku diminta editor untuk mencari sesiapa yang boleh mengulas mengenai titah seorang sultan terhadap isu X. Aku ingat lagi hari itu Ahad sudah pukul 6 petang. Tiada pensyarah (aku sudah telefon tiga orang) mahu komen mungkin isu itu agak sensitif kerana ia melibatkan kerabat diraja. Ada pensyarah yang katanya baru balik dari kenduri jauh dan terlalu penat.

Jadi percubaan terakhir aku telefon profesor tersebut. Aku tanyakan kepadanya lebih kurang begini, prof, bolehkah titah sultan menjadi undang-undang. Ya aku tidak sebut langsung nama sultan tersebut dan konteks soalan. 

Pada mulanya dia ketawa dan dia bertanya semula sebenarnya aku mahu tanya isu apa. Aku diam saja. Tetapi dia terangkan juga titah seorang sultan boleh menjadi undang-undang bermula dengan peringkat draf undang-undang oleh jabatan penasihat undang-undang negeri, kelululusan MMKN, bacaan pertama, kedua, ketiga sampai seterusnya.

Kemudian aku berterus-terang mengenai isu tersebut dan dia ketawa lebih kuat dan hasilnya aku dapat hantar artikel tersebut sebelum Maghrib.

Berbalik kepada tugasan aku pada hari Sabtu itu usai habis aku karang hasil temubual aku WhatsApp semula artikel yang sudah siap saja kerana aku tidak mahu salah tulis dan ada masalah di belakang hari.

Esoknya, seperti aku jangka, pukul 9.30 pagi dia hantar mesej tanya ada 'keluar' surat khabar atau tidak. Ya mujur siar cuma surat khabar kehabisan (semua surat khabar Bahasa Melayu) di Seven 11 dan stesen minyak berdekatan rumah habis dijual. 

Tapi mujur ada link online dan akhirnya petang sedikit aku dapat cutting edisi cetak dan aku hantar pada profesor tersebut. 

Oh hari ini ada lagi kena buat follow up. Harap siar esok kerana sumber yang aku hubungi tadi jadual agak ketat hari ini tapi mereka luangkan juga masa untuk menjawab soalan aku. 

Jadi, aku fikir akan rasa agak bersalah kalau ia tidak siar esok atau diperam beberapa hari atau lebih lama atau langsung tak pakai.  Begitulah serba sedikit kisah seorang wartawan era Covid-19.


Thursday, June 3, 2021

Pening

1. Jangan pening-pening fikir simple saja.
2. Tak perlu pening benda ini begini saja
3. Kenapa pening dia sepatutnya macam ini.

Itu antara kata yang gemar diucapkan seorang bekas bos di Meja X.
Ah hakikatnya kerja tersebut memang selalu memeningkan kepala.
Bukan aku seorang tapi kawan-kawan lain pun menghadapi perkara sama.
Meskipun pada awalnya memang cuba tidak mahu terlalu overthinking 
hujung-hujung ia akan jadi pening juga atas pelbagai faktor.
Walaupun aku sudah sedaya upaya guna teknik mindfulness dan sewaktu dengannya.
Mahu jadi simple pun dalam kebanyakan masa tak mudah. 
Ya Allah, mudahkanlah, mudahkanlah, mudahkanlah.



Friday, May 14, 2021

Hari ini hari lahir

Hari ini Hari Raya Kedua Aidilfitri.
Hari ini juga hari lahir ke-33.
Minggu ini aku mudah menitiskan air mata.
Mungkin kerana sudah agak lama berjauhan dengan keluarga.
Mendengar atau membaca perkataan yang tertulis tiga huruf m.a.k cukup membuatkan aku menangis 
sama ada teresak-esak atau ada ketikanya aku masih menutup rapat bibir, mengetap pipi 
tapi mata sudah memerah. berkaca-kaca. Apatah lagi kalau aku lihat foto emak.
Berderai-derai air mata seperti hujan musim tengkujuh. 
Lagi-lagi kena bekerja pula pada 1 Syawal dan 2 Syawal.
Hari ini aku bekerja syif petang (4 petang hingga 12 malam).
Aku sudah tidak tahu apa rasa bahagianya.
Cuma barangkali seiring peningkatan usia,
aku fikir bahagia itu tidak lagi menjadi berbentuk sebiji kek yang penuh.
Misalnya, bahagiakah bila ada kerja? 
atau bahagiakah bila ada duit? 
Jawapan untuk kedua-dua soalan itu secara peribadi tidak boleh kujawab bahagia bulat-bulat.
Mungkin pembahagian jawapannya sedikit bahagia, sedikit sebal, sedikit pahit, sedikit payah, sedikit kurang sabar, sedikit manis, sedikit terhibur, sedikit rasa berguna, sedikit rasa aneh, sedikit rasa mahu pukul orang, sedikit marah dan sedikit tidak puas hati. 
aku fikir bahagia pada sudut pandangan aku pada usia ke-33 aku hari ini ialah
berbentuk serpihan atau potongan atau cebisan. Mungkin nipis, kecil, tidak tahan lama.
Misalnya,
Aku bahagia jika dapat selesaikan satu tugasan pada hari itu.
Aku bahagia jika dapat berkumpul, berbual-bual, makan beramai-ramai bersama teman serumah.
Aku bahagia jika selesai baca sebuah buku yang bagus atau tonton filem, anime, drama yang bagus.
Lagi apa ya?
Apa-apapun, aku cuma mahu pulang ke ribaan emak aku.

Monolog: Allah malu sekali aku pada-Mu ya Rabbi.
Banyak sekali aku mengomel tentang anugerah kehidupan yang aku kecapi sekarang.
Bimbing aku jadi hamba yang baik dan bersyukur.
Terima kasih ya wahai Allah hidupkan aku lagi sehari hari ini.
Insya-Allah aku cuba sedaya upaya ku Ya Allah jadi hamba-Mu yang bermanfaat dan berbakti pada orang-orang di sekeliling aku.



Saturday, April 17, 2021

Letih

Seletih-letih bekerja memeras fikiran 
dan segenap kudrat,
letih lagi menjadi seorang penganggur.

Ya Allah,
Berilah jalan keluar daripada semua masalah.

Ya Allah,
Bantulah hamba-Mu ini untuk jadi orang yang lebih bersyukur, tabah dan redha.

Sunday, April 11, 2021

Kembali jadi wartawan

Masuk hari ini sudah hari ke-42 aku kembali menjadi wartawan. Rasanya bercampur baur.

Syukur, takut, gembira, sedih, lelah, penat, sebal, kecewa, tertekan, teruja dan puas hati kalau dapat selesaikan sesuatu tugas yang diarahkan.

Rasa itu hadir bersilih ganti dan saling bertukar tempat. Ah sampai bila agaknya aku dapat bertahan. Tiga bulan? Enam bulan? Setahun? 

Entah hanya Allah Maha Mengetahui dan Maha Memberi Petunjuk. Sebulan pertama aku ditempatkan di meja luar negara. 

Purata translate story ialah paling sikit empat, paling banyak sembilan story setiap hari termasuk online. Bahagian agak menarik ialah berpeluang bekerja dari rumah selama enam hari pada bulan lalu.

Meja yang aku sangka 'macam makan kacang' masa duduk  di Meja Rencana dulu agak tough juga rupa-rupanya. Kerja bersambung-sambung seawal pukul 7.30 pagi sampai lewat petang.

Makan selalunya di meja saja tak lebih 30 minit. Solat zuhur dan asar selalunya lambat.

(Aku rasa masalah solat lambat ini boleh diperbaiki kerana bukankah hidup ini kita yang mengolahnya? Ah tapi itulah kata-kata selalu mudah diucap tapi sukar dipraktiskan)

Kalau tahu ada kes besar kami ambil inisiatif sendiri translate story tersebut tanpa tunggu arahan bos dan upload dalam web sama ada pada awal pagi atau malam. Sebab bos pun sibuk juga buat terjemahan selain kena edit dan tapis story kami.

Menarik juga dapat direct akses untuk masukkan story dalam web. Masuk bulan April, aku diminta masuk meja news. Aduh cuak. Lama tak buat news dan keluar assignment news.

Assignment rencana bebas boleh pilih sendiri. Rindu nak masuk rencana  tapi takut juga sebab setiap minggu ada cover dan beban kerja bertambah. Sebenarnya bahagian mana-mana pun sekarang ini tak cukup orang sebenarnya.

Hari pertama aku cover menteri di jabatan perdana menteri  tapi story menteri tak ada jadi aku buat story ekonomi yang bos ekonomi minta.

Esoknya, sekali lagi aku dapat tugasan yang 'berbaur' ekonomi. Bila aku dapat tugasan sebelah malamnya, eh ini macam eknomi lagi.

Cuma bila pergi event ekonomi soalan aku tak berapa nak bijak sangat sebab jujurnya aku tak mahir terma ekonomi tapi aku gembira bila soalan aku menghasilkan jawapan yang baik dan boleh melengkapkan story aku dan mungkin kawan-kawan lain juga.

Hari ketiga bos ekonomi request aku untuk bantu cover event ekonomi untuk satu tempoh yang tidak tahu sampai bila.

Semasa di agensi berita B, aku pernah cover event ekonomi cuma tidak begitu kerap dalam sebulan sekali atau dua kali atau kadang-kadang langsung tak ada.

Tapi bila hari-hari attend event ekonomi aku rasa kepala aku macam ketat juga nak digest.
Secara peribadi event ekonomi agak best dan menarik juga. 

Cuma aku kurang mahir dan berlaku dua kali tengah event bos minta proses release dan aku buka laptop masa event berlangsung untuk proses press release sepantas mungkin.

Aku risau kalau terlepas key point penting masa event berlangsung dan bergantung kepada pc saja kalau buat kerja lain masa event.

Aku faham bos pun banyak kerja dan buat banyak story juga. Lagipun bos bukan orang yang cerewet dan sangat memudahkan kerja.

Aku harap peluang bekerja di meja ekonomi akan memberi nilai tambah baharu dalam perjalanan hidup aku sebagai wartawan.

Aku harap cepat catch-up dan belajar menulis berita ekonomi dengan lebih baik. 

Bahagian sedihnya, solat zuhur asar dan maghrib masih lambat terutamanya kalau event pagi sambung kena pergi assignment  lain petang atau dalam erti kata lain back to back assignment.

Selalu dihinggap rasa berdosa kerana dahulukan kerja dari solat. Kerja mungkin tak salah. Aku yang salah. Lemah dan rapuh.

Ya Rabbi, bantulah aku menjadi hamba-Mu yang taat dan lebih baik

Tiada daya dan upaya kecuali dengan kekuatan Allah yang Maha Tinggi lagi Maha Agung.



Sunday, February 28, 2021

Pindah I

23 Februari (Selasa) lalu merupakan hari terakhir  aku bekerja di Kilang F yang jatuh pada syif malam pada minggu tersebut.

Memandangkan kilang memang cuti Jumaat, Sabtu dan Ahad, aku apply cuti tahunan pada hari Rabu dan Khamis.

Masa itu cuti tahun aku cuma tinggal 1.53 hari jadi baki 0.5 hari lagi aku apply cuti tanpa gaji melalui sistem pekerja secara online.

Alhamdulillah supervisor approved. Cara pengiraan cuti tahunan di sini agak unik aku rasa (mungkin kebanyakan tempat lain juga begitu cuma aku tidak pernah tahu sebelum ini).

Setelah aku teliti rupa-rupanya kiraan cuti tahunan pekerja mengikut sistem yang dikemaskini secara automatik ialah lebih kurang ialah 0.034 sehari.

Dalam tempoh enam bulan aku bekerja, aku dapat 7 hari cuti tahunan.  Cumanya, kebanyakan cuti sudah digunakan sempena cuti Hari Krismas dan cuti Tahun Baharu 2021 . 

Puas hati dapat bercuti dalam 12 hari juga campur dua public holiday tersebut dan cuti wajib Jumaat Sabtu dan Ahad selepas empat bulan berkempas pulas pulun OT dan hanya dapat cuti sehari sahaja seminggu.

Aku tanya HR apa status aku lepas tamat kontrak enam bulan. Kata mereka, aku secara automatik akan diserap sebagai pekerja tetap pada Mac.

Tapi terpulang pada aku untuk sambung atau tidak.  Aku katakan sudah dapat tawaran kerja lain.

Berbalik kepada kisah last day aku bekerja. Aku ada bawa satu beg mengandungi 60 pek coklat untuk dihadiahkan kepada kawan-kawan.

Detik dramanya ialah apabila aku dah siap loading barang dalam kereta aku tertinggal kunci dalam rumah dan dengan yakinnya terus lock pintu. Kasut kerja belum bawa keluar. Jam ketika itu sudah menginjak ke pukul 6.30 petang.

Aduh. Adakah aku perlu terus balik kampung tak payah pergi kerja. Bisikku alah sekali ini sahaja aku bukan pernah ponteng. 

Lagipun semua penghuni rumah kerja kilang. Takkan balik punya kalau belum pukul 7 petang.

Aku cuba nasib  text dalam group rumah dan nasib baik roomate aku beritahu dia boleh cuba balik awal sikit.

Ajaibnya, roomate aku A kerja di bahagian akaun dan purchasing di kilang H sangat jarang (jujurnya aku rasa aku tak pernah tengok dia balik dalam lingkungan pukul 6pm) dapat balik awal apatah lagi menghampiri hujung bulan sebab nak tutup akaun.

6.42 petang housemate aku yang baik hati itu hantar voice note WhatsApp beritahu dia sudah dekat dan Alhamdulillah dia sampai tak lama kemudian.

Dalam tempoh kurang 15 minit tu aku pecut ke kilang nasib baik jaraknya tak begitu jauh dan jalan tak sesak.

Lepas scan badge suhu etc di aras bawah aku berlari naik tangga ke tingkat tiga. Ya aku berlari dan tercungap-cungap bernafas sebaik sahaja tiba di atas.

Sampai di tempat scan kasut jam besar di dinding kilang menunjukkan pukul 7.02 malam. 

Tapi masa scan, kasut anti-statik yang aku pakai menunjukkan keputusan failed dan bukan pass seperti kelaziman.

Aku tak pasti kenapa. Mungkin kasut dah rosak sebab dah pakai dekat enam bulan atau mungkin sebab aku berlari dan caj elektriknya jadi tinggi. Eh boleh ke macam tu? Hehe pokoknya aku pun tak tahu.

Aku pergi ke stesen aku buat kerja tapi rasa tak sedap hati pakai kasut yang failed. Lagipun selepas pukul 7.30 supervisor biasanya akan terima report result kasut. 

Dalam 10 minit aku pun keluar balik di pintu lain pergi mesin test lagi satu di luar line dan bila test memang sah failed.

Sebelum 7.30 malam aku beritahu leader kata kasut failed dan dia kata tak apa dan aku terus buat kerja.

Pukul 2.30 pagi leader tanya aku bila aku last day. Aku jawab hari ini dan dia minta aku train bakal pengganti aku di stesen X dan Y.

Aku pun ajar budak tu dan nampak dia agak gelabah (mungkin mamai juga) dan buat banyak reject. Ah aku pun dulu begitu juga. Sehari dua lagi tentu dia boleh buat dengan lebih cekap dan pantas.

Pukul 6 lebih gitu aku minta tolong leader edarkan coklat dekat kawan-kawan di line.

Yalah takkan aku nak berjalan-jalan dalam line edar coklat macam wakil rakyat pula.

Output kena ligan weyh. Lagipun aku fikir nak buat stok lebih sikit untuk hari esok dengan harapan dapat memudahkan kerja kawan-kawan.

Tapi aku tahu mereka boleh handle dan ah setakat aku berhenti seorang apalah sangat cuma aku rasa alang-alang dah pergi kerja nak bagi yang terbaik dari awal sampai akhir.

Masa itu rasa terharu pula masa kawan-kawan di line lambai ucap good luck etc. 

Team work di sana memang terbaik dan hormat orang tua (aku paling tua dalam line termasuk lebih tua dari leader dan penolong leader hoho)

Aku sempat SMS supervisor ucap terima kasih approved cuti yang aku apply last minute dan beliau ucap selamat maju jaya dan doa moga aku berjaya di luar sana.

Sebelum balik aku pergi bilik pengawal dan pulangkan badge.  Maka berakhirlah hari aku pada hari terakhir di kilang F dan terus pecut balik kampung. 

Alhamdulillah. Terima kasih Allah untuk semuanya.





Monday, February 15, 2021

Dipanggil temuduga

Satu pagi 4 Februari (Khamis) seorang senior di syarikat akhbar X telefon. Sebenarnya semalam dia sudah WhatsApp bertanya khabar dan buat apa sekarang.

Aku kata, "saya kerja kilang sekarang bang".

Dia tanya pada aku sama ada berminat tak nak joint akhbar X semula? Aku terdiam. Berfikir apa jawapan yang aku patut beri.

Takkanlah aku hendak kata: "Tak apalah bang. Terima kasih tanya. Tapi saya suka kerja kilang lagi" (hoih sukalah sangat hahaha)

Atau mampukah aku hendak kata: "Insya-Allah minat bang kalau diberi peluang"

Serius aku sudah tak larat nak kerja kilang. Aku juga rasa agak gerun mengenangkan tekanan bergelar wartawan semula.

Aku membayangkan hidupku yang akan menjadi kelam-kabut mengejar deadline, memandu ke sana ke mari menuju tempat tugasan dan berdepan saman parking dalam situasi mendesak.

Aku juga terfikir situasi-situasi random yang pasti tidak sunyi mengusutkan fikrian dan jiwa aku kelak termasuk mengalami sindrom mudah lupa sebab kepala banyak berfikir soal kerja.

Aku memikirkan keberangkalian 1001 keadaan yang aku sifatkan serba payah bakal menanti kalau aku kerja wartawan semula.

Ah mungkin aku exaggerate atau terlalu drama. Tapi jujurnya itulah yang aku sering rasai.

Tapi aku akhirnya dengan agak pantas memberi jawapan kedua. Tidak lama selepas itu, bos nombor satu akhbar tersebut call pula. 

Beliau minta aku hadir temu duga di KL secepat mungkin. Tapi aku rasa berat hati memikirkan kos, tenaga, masa dan kena mohon cuti yang agak leceh juga sebenarnya. 

Jadi beliau cadangkan sesi temuduga melalui Google Meet pada 8 Februari dan mujur aku bekerja syif malam pada hari tersebut.

Pada hari temuduga aku prepare jawapan untuk soalan yang biasanya gemar ditanya penemuduga seperti tell me about yourself yang mana aku compile sedikit sebanyak pengalaman aku sebagai wartawan sejak November 2011.

Tetapi soalan itu tidak ditanya sebaliknya aku mendapat soalan di luar jangkaan iaitu apa pandangan aku tentang story-story yang diketangahkan frontpage akhbar X sekarang.

Jawapannya aku goreng saja sebab sebenarnya lebih setahun lebih aku tak beli surat khabar. Aku cuma baca surat khabar lama yang bungkus nasi lemak yang biasa aku beli untuk sarapan saja.

Pada tahap aku sebagai pekerja kilang yang bekerja 12 jam empat hari seminggu dan bergaji kecil surat khabar bukanlah satu item keutamaan untuk dibeli.

Jika diperhatikan, ketiadaan beberapa akhbar termasuk akhbar X yang berdepan isu pemberhentian operasi dalam tempoh setahun tidaklah begitu mengubah kehidupan orang awam ditambah musim pandemik. 

Tapi aku fikir tindakan mempersoalkan kewujudan surat khabar seperti yang kerap aku dengar beberapa tahun kebelakangan ini seperti bukanlah begitu tepat.

Ada orang baca lagi ke surat khabar?
Siapa baca artikel macam ni?
Eh bukan surat khabar tu dah bungkus ke?

Kerana bagi aku mudah sahaja. Surat khabar itu boleh jadi dianggap penting untuk satu-satu kelompok dan boleh juga menjadi tidak penting kepada kelompok yang lain.

Berbalik kepada temuduga. Bos yang interview tanya bolehkah aku lapor diri di KL pada 15 Februari. Jawabku tidak boleh kerana aku beritahu kontrak aku memang akan tamat hujung bulan Februari.

Sebenarnya boleh saja aku cabut lari begitu saja. Cuma kali ini aku rasa nak pecah rekod peribadi - tempoh paling lama aku bekerja kilang dan tiada ponteng.

Aku fikir tiada apa yang perlu dikejar. Kalau dapat Alhamdulillah. Kalau tak dapat juga Alhamdulillah. Pendek kata, kalau dapat bagus. Kalau tak dapat juga bagus. 

Aku teringat kata-kata Allahyarham Syeikh Ali Jaber yang lebih kurang begini:

"Semua takdir adalah baik kerana kita tidak tahu apa rahsianya"

Sebelah petangnya bahagian HR mesej. Mereka minta isi borang dan minta nombor Perkeso serta KWSP. 

Esok paginya HR hantar surat tawaran kerja. Allah Allah Allah. Hanya kepada-Mu aku berserah.

kata-kata ringkas untuk hari ini

am, jangan berhenti kerja. hari yang buruk akan berlalu hari yang baik akan datang lagi.